Friday, April 4, 2014

Gambar pernikahan penyanyi Radhi (OAG) & Nur Shahira


Gambar pernikahan penyanyi Radhi (OAG) & Nur Shahira  | Penyanyi Radhi (OAG) sah bergelar suami kepada model sambilan Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, dengan sekali lafaz dalam satu majlis serba ringkas yang di adakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat. Majlis akad nikah yang berlangsung kira-kira pukul 10.30 pagi disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Mohd Firdaus Subhi. Pada majlis itu Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 37, menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 manakala wang hantaran sebanyak RM30,000 kepada pengantin perempuan. Pihak lelaki turut memberikan 12 dulang hantaran antaranya minyak wangi, beg tangan, sejadah, produk kesihatan, sirih junjung, kek dan cincin. Ia dibalas 14 dulang hantaran oleh pengantin perempuan antaranya sirih junjung, buah-buahan, Al-Quran, dompet dan tali pinggang, sejadah dan cincin.


Sebelum akad nikah, majlis merisik dan bertunang dijalankan sebagai menyempurnakan adat Melayu. Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih. Radhi yang ditemui selepas majlis akad nikah melahirkan rasa syukur dengan pernikahan itu dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. "Alhamdulillah, akhirnya kami disatukan. Saya harap dapat membimbing isteri ke arah kebaikan bersama. "Saya rasa hidup ini lebih sempurna dan berazam untuk menjadi suami yang baik, Insya-Allah," katanya kepada mStar Online. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Ayu dan yang kedua buat Radhi dan penyanyi itu turut mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim, 8 tahun hasil perkahwinannya yang terdahulu dengan Shazlin Sharif, 35 pada tahun 2005. -Mstar



.

Tahniah!! Shila Amzah Berjaya Jadi Finalis 'I Am Singer' Di China


Tahniah!! Shila Amzah Berjaya Jadi Finalis 'I Am Singer' Di China  | Penyanyi Shila Amzah berjaya menjadi finalis pertandingan I Am Singer yang akan berlangsung di Hunan, Changsha, China pada Jumaat (hari ini). Ia merupakan satu sejarah kerana Shila, 24, merupakan artis Melayu pertama yang menyertai acara itu sejak diperkenalkan pada tahun lalu. Dalam pertandingan tersebut, tiga peserta dari China berjaya mara ke peringkat akhir manakala Shila bersama Gary Chaw mewakili Malaysia. Hong Kong dan Taiwan masing-masing seorang peseta. “Saya telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk persembahan saya pada malam final ini. Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong saya sejak saya bergelar sebagai seorang penyanyi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.

Pertandingan itu akan berlangsung pada pukul 8 malam (8 malam waktu Malaysia). Kata Shila, dia diberi arahan untuk bersedia dengan dua buah lagu di mana pada pusingan pertama dia akan berduet bersama seorang penyanyi luar. Jika berjaya mendapat tempat antara lima tertinggi, dia akan mara ke pusingan kedua dan akan membuat persembahan secara solo sebelum peminat diberi ‘kuasa’ untuk membuat undian bagi memilih juara. Shila turut mencipta kebolehan luar biasa apabila terpilih ke peringkat akhir I Am Singer sedangkan beliau menyertai acara berkenaan ketika minggu ketujuh iaitu pada Februari lalu.

Pada persembahan pertamanya, dia telah mendendangkan lagu Xiang Ni De Ye yang bermaksud Di Kala Malam, Ku Merindui Mu di mana lagu tersebut telah melonjakkan namanya dalam pertandingan itu sehingga membolehkan dia mendapat tempat kedua. Lebih membanggakan pada minggu kesebelas popularitinya melonjak dan dia berjaya meraih tempat pertama selepas mempersembahkan lagu Rolling In The Deep nyanyian Adele. Pada pertandingan itu tahun lalu, peserta dari China iaitu Yu Quan dipilih sebagai juara. Orang ramai boleh mengundi Shila dengan melayari http://vote.weibo.com/vid=2578278 -Mstar





.

Pemain Bola Manchester United, Wayne Rooney dikecam sebab tak romantik dengan isteri


Pemain Bola Manchester United, Wayne Rooney dikecam sebab tak romantik dengan isteri | SEBAGAI isteri kepada seorang pemain bola sepak terkenal dunia, pastinya seorang wanita itu mengimpikan sambutan hari ulang tahun kelahirannya dalam suasana romantik, bertuah dan begitu gembira. Tetapi perkara itu tidak akan berlaku jika wanita itu berkahwin dengan bintang Manchester United, Wayne Rooney. Hal ini kerana, tweet yang diberikan Rooney kepada isterinya mencerminkan bahawa dia bukan seorang yang bijak menghargai wanita.


Penyerang United itu dalam Twitternya dilaporkan hanya sekadar mengucapkan, "Selamat hari lahir kepada isteriku@ColeenRoo harap kamu mempunyai hari yang baik."Tweet yang ditujukan oleh Rooney itu kemudian disifatkan sebagai tidak sepatutnya oleh pelbagai pihak kerana menganggap dia tidak menghargai wanita apatah lagi isterinya. Coleen dan Rooney mula bercinta sejak 10 tahun lalu sebelum berkahwin. -MStar




.

Seorang lelaki amalkan diet pemakanan yang paling pelik di dunia


Seorang lelaki amalkan diet pemakanan yang paling pelik di dunia | Seorang lelaki India dari negeri Karnataka, selatan negara ini mempunyai diet pemakanan yang pelik apabila dia didapati ketagih makan batu-bata, batu kerikil dan lumpur. Ajaibnya, lelaki itu, Pakkirappa Hunagundi, 30, mampu makan sehingga tiga kilogram batu dan lumpur pada setiap hari yang didapati dari jalan-jalan. Hunagundi dilaporkan mula mempunyai selera terhadap objek yang tidak boleh dimakan orang lain ketika usianya baru mencapai 10 tahun.


Sejak dari itu, dia mula menguyah batu dan lumpur yang terdapat pada dinding dan jalan-jalan raya dan mendakwa diet itu langsung tidak mendatangkan sakit buatnya. Gangguan pemakanan pelik itu dikenali sebagai 'Pica', sejenis ketagihan terhadap bahan-bahan yang tidak mempunyai nilai pemakanan. Malah dengan keadaan giginya yang masih sempurna, Hunagundi mengenepikan tanggapan bahawa dia harus menghentikan ketagihannya itu.


"Saya telah makan batu bata dan kerikil kira-kira 20 tahun. Saya suka memakannya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya. "Perkara itu menjadi satu kemestian bagi saya. Saya boleh mengelak daripada makan lauk-pauk, tetapi tidak batu atau lumpur," katanya sebagaimana lapor Mail Online. Walaupun ibunya cuba memujuk dia untuk meninggalkan diet pelik itu, namun bagi lelaki tersebut, bahan-bahan binaan mempunyai rasa yang lebih baik berbanding makanan biasa. - AGENSI





.

Isteri lebam seluruh badan akibat diterajang suami yang mengamuk


Isteri lebam seluruh badan akibat diterajang suami yang mengamuk | Hanya kerana mengejutkan suaminya daripada tidur, seorang isteri diterajang oleh lelaki berkenaan yang mengamuk hingga lebam seluruh badan, kelmarin. Dalam kejadian jam 10.40 pagi, lelaki berusia 20-an itu yang berada di rumah mereka di Sentul pada mulanya meminta isterinya yang berusia 29 tahun membelikan minuman di kedai. “Mangsa kemudian akur dan terus ke kedai berhampiran membeli minuman diminta sebelum pulang ke rumah kira-kira 10 minit kemudian.

“Bagaimanapun, sebaik masuk ke rumah, mangsa mendapati suaminya tertidur lalu mengejutkannya untuk diberikan minuman. Bagaimanapun, suspek tiba-tiba terus mengamuk dengan memaki-hamun isterinyamenyebabkan wanita itu memintanya bertenang. Suspek kemudian terus menyerang mangsa dengan menampar, memukul serta menyepak berulang kalihingga mengerang kesakitan,” katanya. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. -HM




.

MH370 : Peringatan penting buat waris 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi


MH370 : Peringatan penting buat waris 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi | Waris 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi, berpeluang memperoleh pampasan sehingga RM1.3 juta (AS$400,000) setiap seorang. Bagaimanapun, jumlah itu boleh diperoleh jika mereka melantik firma perundangan penerbangan untuk mengendalikan tuntutan insurans, berbanding menyerahkannya kepada syarikat penerbangan terbabit. Ernie R Auliasari, juru perunding syarikat pengurusan tuntutan Asia Pacific Provides Claim Management Services (APCMS), yang berpangkalan di Jakarta, berkata mereka sewajarnya memperoleh pampasan setimpal dengan memfailkan tuntutan secara terus kepada syarikat insurans.

“Jumlah pampasan minimum yang sepatutnya diterima waris adalah AS$400,000. Bagaimanapun, jumlah mungkin berbeza mengikut beberapa kriteria latar belakang penumpang seperti status sosial, bilangan tanggungan dan taraf sosio ekonomi. “Semua mangsa, termasuk dua penumpang bayi berhak mendapat pampasan insurans, malah jumlahnya mungkin lebih banyak kerana faktor umur,” katanya sambil menambah waris kru penerbangan juga boleh membuat tuntutan menerusi kaedah sama. Sehubungan itu, waris dinasihat tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang dokumen perjanjian, terutama berhubung pelepasan liabiliti, walaupun ada pihak yang menawarkan sejumlah pampasan.-BH




.

ALAMAK! ARZIRIL KE ARIEL? - WANIEY ZAKARIA

~ENTRI MELEKAT~


ALAMAK! ARZIRIL KE ARIEL? - WANIEY ZAKARIA | Novel ini mengisahkan mengenai Dania dan Ariel yang dibesarkan bersama. Ariel yang dalam diam menyintai Dania sejak mereka di bangku sekolah, tetap memendam perasaan walaupun sudah dewasa dan berjaya dalam kerjaya. Malah kejayaannya selama ini adalah kerana Dania, walaupun  tidak disedari gadis itu.

Berbeza dengan Dania, selama ini kehadiran dan sikap ambil berat Ariel tidak sedikit pun membuka matanya untuk mengetahui betapa sayang dan prihatinnya Ariel padanya. Malah Dania benci dan memulaukan lelaki itu bertahun lamanya. Sehinggalah kehadiran Arziril Ryan dalam hidup Dania kembali mendekatkan mereka dan membuahkan rasa kasih yang sukar dimengerti oleh Dania. Namun Ariel ditakdirkan mengahwini orang lain, justru membuatkan Dania kecewa.

Bertahun berada di luar negara selepas berkahwin, Ariel akhirnya kembali ke Malaysia dan membawa kejutan bersamanya. Adakah Dania masih setia menyayangi Ariel? Akan adakah jodoh diantara mereka berdua?



Tajuk : Alamak! Arziril ke Ariel?
Penulis : Waniey Zakaria
Halaman : 648 muka surat
Harga : RM22/RM25




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!