Wednesday, March 26, 2014

Tokyo ada cara unik bagi menangani masalah pembulian siber


Tokyo ada cara unik bagi menangani masalah pembulian siber | Kanak-kanak di sebuah bandar di Jepun dilarang menggunakan telefon bimbit selepas jam 9 malam dalam usaha menangani masalah pembulian siber. Jurucakap lembaga pendidikan Kariya berkata, bermula April ini, 13,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 15 tahun di bandar itu akan terikat dengan peraturan baru itu. Usaha ini diharapkan mampu menghalang golongan itu terjebak dalam kes pembulian siber, menghabiskan masa bertukar-tukar emel menggunakan telefon bimbit selain mengekang kesan negatif lain akibat penggunaan berlebihan aksesori itu.

Inisiatif itu hasil usaha polis, pekerja sosial dan guru. Bagaimanapun, ibu bapa tidak akan dihukum jika anak mereka tidak mematuhi peraturan berkenaan. Ibu bapa bagaimanapun diminta mengambil semua telefon bimbit selepas jam 9 malam dan memantau penggunaan laman web anak mereka dalam kempen yang membabitkan 21 sekolah itu. Beberapa minggu lalu, kerajaan mendedahkan statistik menunjukkan penggunaan tinggi telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun.

Mengikut statistik itu, kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun menghabiskan masa online 107.4 minit secara purata sehari menggunakan telefon bimbit. Cadangan mengehadkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun pertama kali dibuat pada 2008 berikutan masalah pembulian siber kini dihadapi kanak-kanak dan ibu bapa di seluruh dunia. - Agensi





.

Pameran di muzium dedahkan rahsia mumia selama ini


Pameran di muzium dedahkan rahsia mumia selama ini | Satu pameran di Muzium Britain, bakal mendedahkan rahsia mumia yang jarang diketahui sebelum ini antaranya bukti bahawa manusia purba turut berdepan masalah kesihatan seperti kolestrol tinggi dan sakit gigi. Pameran dinamakan Ancient Lives: New Discoveries itu bakal membongkar rahsia tersembunyi lapan mumia purba Mesir selepas menjalani imbasan tomografi computer (CAT). Mumia-mumia itu terdiri daripada kerabat diraja sehingga rakyat biasa yang berusia antara 1,300 tahun hingga 5,500 tahun. Ada di antara mumia itu mati pada usia dua tahun dan ada diantaranya meninggal dunia ketika berumur 50 tahun. Laman web, Mail Online melaporkan, dua daripada mumia itu didapati menghidap masalah jantung berdasarkan penemuan mendapan kalsium, tisu dan kolesterol pada bahagian kakinya.

Keadaan itu terjadi disebabkan pengambilan makanan tinggi lemak atau faktor keturunan. Kebanyakan mumia itu turut mengalami kerosakan gigi yang mengakibatkan keradangan pada tekak sehingga boleh membawa maut akibat masalah pernafasan. Penemuan baharu itu mendedahkan, manusia purba turut mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung yang biasanya dikaitkan dengan gaya hidup masa kini. Kurator Jabatan Purba Mesir dan Sudan muzium berkenaan, John Taylor berkata, pihaknya mahu menampilkan apa yang dialami oleh mumia tersebut, dan bukan hanya menjadikan mumia itu sebagai bahan pameran. -AP




.

Bayi pramatang dilahirkan dalam pesawat namun kemudian disahkan meninggal



Bayi pramatang dilahirkan dalam pesawat namun kemudian disahkan meninggal | Seorang bayi mati selepas dilahirkan pramatang dalam pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke New York. Menurut sumber, ibu bayi berkenaan yang sarat mengandung dibenarkan menaiki pesawat terbabit oleh doktor, namun mula sakit bersalin selepas kapal terbang itu berlepas. Penerbangan itu terus dialihkan ke Tokyo manakala wanita itu dan anaknya dikejarkan ke hospital, namun bayi itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - Agensi




.

Gambar enjin Malindo Air terbakar dan pesawat terpaksa berpatah balik


Gambar enjin Malindo Air terbakar dan pesawat terpaksa berpatah balik | Pesawat Malindo Air ke Terengganu terpaksa berpatah balik ke Subang selepas sistem pengesan kebakaran beri amaran ketika terbang 7,000 kaki di udara, pagi tadi. Kenyataan akhbar syarikat itu berkata, sebaik sistem pengesan kebakaran berkenaan memberi amaran, kru yang bertugas menjalankan senarai pemeriksaan kecemasan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal keadaan.

Berikutan itu, juruterbang membuat keputusan berpatah balik ke Subang dan pesawat kemudiannya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan tiada yang mengalami kecederaan. Kesemua penumpang kemudiannya dibawa menaiki pesawat lain ke Terengganu. Sementara itu, punca kejadian sedang disiasat dan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, pengeluar enjin dan pengilang kapal terbang berkenaan. -BH





.

Kisah banduan larikan diri sejauh 6km, namun menyerah diri setelah dipujuk ibu



Kisah banduan larikan diri sejauh 6km, namun menyerah diri setelah dipujuk ibu | SEORANG lelaki berusia 33 tahun mencetuskan kekecohan selepas melarikan diri dari kawalan polis di Lapangan Terbang John F Kennedy, Amerika Syarikat. Suspek berada di bawah perintah perlindungan itu diburu selepas melarikan diri dengan van hitam menyebabkan polis terpaksa memburunya sejauh 6 kilometer. Pegawai polis tempatan berkata, suspek dapat ditahan selepas dipujuk oleh ibunya. “Suspek menyerah selepas namanya dipanggil oleh ibunya yang ketika itu merayu dan menangis,” katanya menurut NYdaily.

Menurutnya, suspek sebelum ini ditahan selepas terlibat dalam jenayah domestik. “Ketika melarikan diri, suspek melanggar halangan polis menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan oleh anggota kami. Namun, suspek terus memecut hingga ke Taman Ozone Selatan di Queens sebelum menyerah diri,” katanya. Beliau berkata, suspek tidak mempunyai senjata itu akhirnya ditahan dan dibawa ke Hospital Jamaica untuk penilaian psikiatri. -AP





.

Kejam : Ibu bunuh bayi sendiri dengan gunting


Kejam : Ibu bunuh bayi sendiri dengan gunting | Seorang pembantu rumah Indonesia berusia 26 tahun ditahan kerana didakwa membunuh anaknya yang baharu lahir menggunakan gunting pada Ahad. Difahamkan wanita itu dibawa ke Hospital Serdang pada waktu tengah malam selepas dia mendapatkan bantuan daripada majikannya selepas mengadu sakit di bahagian abdomen. Selepas menjalani pemeriksaan doktor, wanita itu membuat pengakuan bahawa dia melahirkan anaknya sendiri. Tetapi dia mendakwa telah mengepam anaknya yang baharu lain ke dalam tandas. Satu laporan polis dibuat oleh doktor dan polis membuat siasatan di rumah majikan wanita itu di Taman Bukit Kajang Baru. Polis tidak menemui sebarang bukti bahawa bayi itu telah dipam ke dalam tandas, tetapi mereka menemui mayat bayi yang baharu lahir di bilik pembantu rumah itu, beserta sepasang gunting.

Pembantu rumah itu memberitahu polis bahawa dia meminjam gunting itu daripada majikannya sebelum bersalin. Difahamkan dia menggunakan gunting itu untuk mengelar leher bayi berkenaan. Pembantu rumah itu telah berkhidmat dengan majikannya selama lebih dua tahun. Dipercayai bapa kepada lelaki itu adalah warga Nepal. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan kes tersebut berkata, lelaki itu telah pulang ke Nepal. Dalam kes yang berasingan, polis menahan seorang penuntut unievrsiti yang berusia 20an kerana didakwa membunuh anaknya yang baharu lahir di sebuah bilik asrama di Bandar Seri Putra, Kajang pada Sabtu.

Pelajar itu meletakkan bayi berkenaan di dalam beg plastik sampah sebelum membuangnya di Terminal Bersepadu Selatan, Cheras. Dia kemudiannya membeli tiket untuk pergi ke Melaka dan membuang bajunya yang berlumuran darah di sebuah resort pada Ahad. Pelajar itu kemudiannya pulang ke asrama pada hari berikutnya dan seorang penjaga asrama universiti itu menunggunya. Difahamkan dia memberitahu penjaga asrama itu mengenai kejadian yang berlaku. Penjaga itu kemudiannya membuat laporan polis. Abdul Rashid berkata, dua suspek direman bagi membantu siasatan.




.

MH370: Majlis fatwa putuskan solat jenazah ghaib tidak perlu sekarang serta anak kapal dan penumpang beragama Islam bergelar syahid akhirat.



MH370: Majlis fatwa putuskan solat jenazah ghaib tidak perlu sekarang serta anak kapal dan penumpang beragama Islam bergelar syahid akhirat | Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan tidak memerlukan solat jenazah ghaib ke atas penumpang pesawat MH370 yang beragama Islam buat masa sekarang. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, ini kerana pihak berkuasa yang mencari dan menyelamat masih belum menjumpai mayat atau cebisan mangsa pesawat MH370.


Majlis fatwa putuskan anak kapal dan penumpang MH370 bergelar syahid akhirat 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berpendirian penumpang dan anak kapal pesawat MH370 beragama Islam bergelar syahid akhirat. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat selepas Muzakarah Khas yang diadakan di sini hari ini. - Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!