Friday, March 21, 2014

Gambar bas konsert jelajah Miley Cyrus terbakar



Gambar bas konsert jelajah Miley Cyrus terbakar | Sebuah bas konsert jelajah bintang popular, Miley Cyrus hangus dijilat api dalam satu kebakaran selepas satu tayar kenderaan itu pecah ketika berada di jalan raya. Ketika kejadian, bas berkenaan membawa sejumlah kru konsert jelajah terbaharunya, Bangerz. Beberapa imej yang dimuat naik oleh adik Miley, Noah Cyruz, 13, di laman perkongsian gambar Instagram menunjukkan kepulan asap keluar daripada bas itu yang dijilat api.


Menurutnya, Miley tiada dalam bas berkenaan ketika kejadian manakala semua penumpang dan pemandu bas selamat. "Syukur kepada Tuhan kerana kami selamat," kata Noah di laman Twitternya. Kejadian itu berlaku sewaktu bas tersebut dalam dalam perjalanan menuju ke bandar raya New Orleans. Susulan insiden tersebut, konsert Miley di bandar berkenaan terpaksa dijadualkan semula. - Agensi




.

Buah Epal pelik, seperti cantuman epal hijau dan merah


Buah Epal pelik, seperti cantuman epal hijau dan merah | Seorang wanita terkejut apabila pokok epal di halaman rumahnya mengeluarkan buah “kembar,” lapor media semalam. Mel Staples berkata, dia meminta anak lelakinya yang berusia lapan tahun untuk memetik buah itu di halaman rumah mereka untuk dimakan. Namun, katanya, dia terkejut kerana ia sangat berbeza daripada epal biasa. “Epal itu kelihatan seperti cantuman epal hijau dan merah dan ia bercantum dengan baik,” katanya. Epal pelik itu tumbuh di laman rumah Mel di Kingston, selatan Tasmania. Mel juga memuat naik gambar epal berkenaan ke laman sosial dan menarik perhatian rakan-rakannya.


 “Mereka tidak mempercayai epal ini dan menuduh saya mewarnakan buah berkenaan sebagai bahan jenaka,” katanya.Sementara itu, pakar penanaman epal, Bob Magnus berkata dia belum pernah melihat epal seperti itu. “Epal itu sangat jarang ditemui tetapi pelbagai jenis mutasi boleh berlaku pada setiap masa,” katanya. Magnus berkata, epal sememangnya melalui proses mutasi secara semula jadi dan epal gala atau epal merah yang ada kini adalah sangat berbeza daripada generasi asal. “Amalan kacukan epal bukan sesuatu yang aneh kerana apa yang anda jumpa di kedai kini kebanyakannya melalui proses berkenaan,” katanya. - AFP




.

Gambar Akuarium Disney World pecah


Gambar Akuarium Disney World pecah | Sebuah akuarium di restoran T-Rex Cafe dalam taman air Disney World Florida di sini pecah menyebabkan sejumlah pelanggan basah kuyup, lapor akhbar New York Daily kelmarin. Bagaimanapun, semua hidupan laut di dalam akuarium besar itu dapat diselamatkan manakala para pengunjung restoran berkenaan juga tidak cedera.


Seorang saksi kejadian, Kate Wallace, 28, menyatakan, kejadian itu mencetuskan suasana kelam-kabut di premis berkenaan. Terdapat juga segelintir pengunjung yang hanya memerhatikan akuarium itu pecah sambil merakam gambar insiden tersebut yang berlaku pada Isnin lalu. - Agensi




.

MH370 : Terima kasih Indonesia


MH370 : Terima kasih Indonesia | JIKA kecil tapak tangan, nyiru kami seluruh rakyat Malaysia tadahkan’ tanda ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, kerjasama, bantuan dan simpati kerajaan dan rakyat Indonesia terhadap apa yang sedang kami rakyat Malaysia alami ketika ini. Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lalu turut menjentik sanubari seluruh rakyat Indonesia yang sama-sama merasakan kedukaan atas apa yang sedang dilalui oleh Malaysia, sahabat terdekat yang harus dikongsi bersama. Tidak hanya komitmen padu daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono serta pihak berkuasa Indonesia yang diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malahan seluruh rakyat Indonesia sama-sama berkabung dan bersedih dengan apa sedang menimpa Malaysia pada saat ini.

Bahkan, media-media tempatan termasuk media elektronik Indonesia turut memberi liputan tentang misteri kehilangan MH370 sepanjang 24 jam. Lebih menyentuh hati apabila pembaca berita meminta seluruh rakyat Indonesia untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan kesemua penumpang dan anak kapal pesawat MH370, selain memohon kepada Tuhan agar memudahkan urusan pencarian yang sedang giat diusahakan. Indonesia menyedari negara sahabatnya sedang diuji dengan dugaan yang besar, dan Indonesia wajar menghulurkan salam kemanusiaan bagi meringankan beban yang ditanggung Malaysia kini. Susilo sendiri yang sibuk dengan urusan negara serta giat menjalankan kempen politik menjelang pilihan raya negara ini, masih sanggup meluangkan masa untuk bertanyakan khabar tentang laporan terbaru misteri kehilangan MH370 daripada Menteri Luarnya, Marty Natalegawa.

Presiden Susilo difahamkan sendiri sentiasa memantau proses pencarian yang dijalankan dengan bantuan beberapa negara termasuk Indonesia. "Yang saya ketahui Presiden sentiasa memberi perhatian terhadap peristiwa kehilangan pesawat Malaysia Airlines. Kita (Indonesia) membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat dan Kementerian Luar terus melaporkan perkembangan tentang pencarian (pesawat MH370) kepada presiden," kata Staf Khusus Presiden (Bidang Luar Negeri), Teuku Faizasyah seperti dipetik sebagai berkata. Pemerintah Indonesia turut membantu meringankan penderitaan dan kesedihan semua keluarga tujuh warga Indonesia yang menjadi penumpang pesawat itu dan menyalurkan maklumat dan perkembangan terbaru tentang operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 kepada keluarga berkenaan daripada pihak berkuasa Malaysia.

Menurut Teuku Faizasyah, Presiden Susilo juga telah memberikan arahan kepada Kementerian Luar untuk menghulurkan bantuan sebaik mungkin untuk membantu keluarga terbabit. "Kita tidak bisa (boleh) berbuat banyak, selain berharap yang terbaik. Hingga saat ini, belum ada titik cerah, setidaknya kita memberi harapan ada suatu titik terang dalam masalah ini, paling tidak ada kejelasan untuk keluarga," katanya. Bantuan yang dihulur Indonesia juga merangkumi aspek ketenteraan dan kepolisian bersama-sama dengan negara-negara lain, yang amat dihargai oleh Malaysia.

Semoga usaha yang digembleng secara bersepadu ini akan memberi manfaat yang besar buat kedua-dua negara serumpun ini. ``Kita sedang dan akan terus berusaha sebaik mungkin dengan dibantu kelengkapan dan peralatan yang serba moden dan sofistikated untuk mencari dan menyelamatkan penumpang MH370. ``Namun pada masa sama, kita juga memanjatkan doa kepadaNya untuk memudahkan urusan pencarian dan seterusnya memberikan petunjuk yang jelas berhubung kehilangan (pesawat MH370) ini,’’ katanya. - Utusan




.

MH370 : Pakar penerbangan percaya, pesawat tidak menjunam ke laut


MH370 : Pakar penerbangan percaya, pesawat tidak menjunam ke laut | Seorang pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak terhempas dengan kuat di Lautan Hindi. Pakar tersebut, David Gallo (gambar kecil) berkata, rumusan itu dibuat selepas sebuah satelit berjaya mengesan beberapa objek bersaiz besar di satu lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,500 dari barat daya Perth, Australia semalam. Gallo merupakan ketua penyiasat AS yang membantu mencari sebuah pesawat Air France yang hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik pada 2009. Katanya, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh para pegawai Australia, terdapat dua objek besar dengan sebuah objek berkenaan berukuran lebih 20 meter panjang dan dikelilingi beberapa objek kecil terapung di Lautan Hindi. Objek tersebut dipercayai serpihan kapal terbang. Ujarnya, beberapa pakar marin yang mengkaji angin dan ombak memberitahu bahawa keadaan lautan di lokasi objek itu dikesan adalah tenang sejak beberapa hari lalu. "Biasanya serpihan akan bertaburan di lautan tetapi sekiranya keadaan laut adalah tenang kemungkinan serpihan ini berada dekat antara satu sama lain," katanya.

Berdasarkan saiz yang digambarkan oleh pegawai Australia, Gallo meramalkan objek itu kemungkinan sayap atau badan pesawat. "Daripada serpihan yang besar ini kemungkinan pesawat ini mendarat dengan agak perlahan ketika di laut. "Kapal terbang ini tidak terhempas secara menjunam ke permukaan laut," jelasnya. Menurutnya, ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas. Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut. Dalam tragedi tersebut, seramai 228 penumpang dan anak kapal pesawat itu maut manakala kotak hitam kapal terbang itu hanya dijumpai selepas dua tahun tragedi berlaku. "Lautan adalah tempat yang misteri dan sukar untuk kita meramalkan sama ada penumpang pesawat MH370 ini terselamat atau sebaliknya. "Kita hanya akan mengetahui semua itu selepas pesawat ini djumpai," jelasnya. - Agensi





.

Gadis selamat dalam kemalangan yang nyaris membuatkan dia mati digilis


Gadis selamat dalam kemalangan yang nyaris membuatkan dia mati digilis | Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang gadis terselamat walaupun terperosok di bahagian bawah lori sejurus terbabit kemalangan di simpang Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini semalam. Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Nurhidayatul Afiqah Muassyis, 24, dikatakan terjatuh selepas dirempuh lori itu dari belakang menyebabkan mangsa tercampak. Saksi kejadian, Shamsul Abas, 40-an, berkata, mangsa yang tidak sempat bangkit dari jatuh kemudian hampir digilis lori itu. Menurutnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun masih sempat menekan brek sebelum tayar lori berhenti hanya beberapa sentimeter dari kepala mangsa. “Seorang penunggang motosikal yang melalui lokasi kejadian kemudian segera memberi bantuan menarik mangsa keluar dari bahagian bawah lori itu.


“Gadis terbabit bagaimanapun hanya menangis teresak-esak akibat terkejut dengan kejadian itu. Saya cuba menenangkan gadis itu selain memintanya supaya menghubungi ahli keluarga,” katanya. Dia berkata, mangsa bagaimanapun terus menangis dan memberitahu gagal mengingati apa-apa. “Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian menyebabkan mangsa yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi itu kian panik. “Saya kemudian menghantar mangsa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan berikutan mangsa mengalami kecederaan kecil pada bahagian kaki kiri,” katanya. Menurutnya, bapa mangsa yang berjaya dihubungi kemudian muncul tidak lama kemudian. “Dia hanya mampu mengucap syukur sambil memeluk anaknya itu. Mangsa benar-benar bernasib baik dan terselamat dari ajal,” katanya. -HM




.

ISTERI UNTUK DISEWA - SYAMNURIEZMIL




ISTERI UNTUK DISEWA - SYAMNURIEZMIL | Pada mulanya, memang lulu tak terfikir akan beli dan memiliki novel berwarna pink ni. Tapi masa tengah asyik memilih buku kat kedai buku tu, adalah seorang ni suggest beli novel ni, hebat katanya.. Dan alhamdulillah lulu terima cadangan tu, dan bila baca yeay novel ni siyes memang best :)

Mengisahkan mengenai Nur Adreiana menjalankan perkhidmatan sewa,'orang untuk disewa'.. Kalau ada masalah perhubungan, atau perlukan seseorang untuk selesaikan masalah, perlu seseorang untuk menyamar menyelamatkan hubungan anda dan sidia atau ingin memutuskan hubungan dengan si dia, Nur Adreiana adalah orang yang paling tepat. Sebaik saja dia terfikir mengenai 'perkhidmatan' itu, terus saja dia buat special entry kat blog pink nya. Dan menakjubkan, serta merta ada pelanggan yang perlukan perkhidmatannya.

Perkhidmatan yang sememangnya mendatangkan bayaran yang mahal itu, nampaknya sedikit sebanyak membuatkan Nur Adreiana mulai binggung sebab perkhidmatan yang sepatutnya selesai beberapa hari, mulai berlanjutan dah tak tahu bila akan berakhir. Namun dia selesa dengan hubungan itu kerana Noah Ryzal merupakan seorang yang sangat memahami. Disamping itu, kehadiran Putera Raiyan yang jatuh hati padanya, turut perlukan perkhidmatanya sebagai 'bakal isteri'. Bagaimana pula dengan Imtiyaz, kawan baik yang sudah lama menyimpan hati padanya? Tidak ketinggalan juga Suffi Naufal, lelaki persis pelakon pujaannya, Remy Ishak.. Owh memang Nur Adreiana ada ramai pilihan.

Cerita yang best sangat, sebab takdelah watak yang negatif sangat pun, rasa happy saja baca novel yang satu ni. Siapakah yang bakal menjadi pilihan Nur Adreiana, dan mampu menyewa hatinya dengan ringgit cinta? Ya, menurut novel ini, 'dalam hidup, hanya ada 2 pilihan, tanpa dia, kita boleh hidup atau tanpa dia kita tak boleh hidup..' :)



Tajuk : Isteri Untuk Disewa
Penulis : Syamnuriezmil
Halaman : 813 muka surat
Harga : RM29/RM32




P/S - Fully recommended by Lulu Caldina




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!