Monday, March 17, 2014

Inilah sebabnya Chef Riz diboikot stesen tv



Inilah sebabnya Chef Riz diboikot stesen tv | Tukang masak selebriti iaitu Chef Riz berasa terkilan apabila terdapat beberapa pihak stesen televisyen telah memboikotnya untuk tidak melibatkannya dalam mana-mana program masakan. Bercakap kepada mStar online, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 32, berkata, walaupun tidak mempunyai bukti sahih secara hitam putih, namun dia sedar dirinya telah diboikot sejak kontroversi dia didakwa menipu dalam resume sebagai juri program terbitan Astro Masterchef Malaysia pada penghujung tahun 2011. "Walaupun tiada hitam putih mengatakan saya diboikot pihak stesen televisyen, tetapi saya tahu yang mereka tidak mahu menggunakan khidmat saya dalam mana-mana program kerana isu lama berkaitan dengan resume itu.

"Diakui, memang saya terkilan ke atas apa yang berlaku. Tetapi saya terima dengan hati yang terbuka dan menganggap ia berpunca daripada kesilapan saya yang lalu," katanya. Sebelum ini Chef Riz didakwa menipu dalam resume sebagai juri Masterchef Malaysia yang dipaparkan dalam laman web Astro Ria pada hujung tahun 2011. Dalam resume berkenaan Chef Riz dilaporkan pernah bekerja sebagai ketua chef dan penolong ketua chef di sebuah restoran Itali terkenal New York, Babbo dan restoran Perancis, Le Bernadin. Bagaimanapun, kedua-dua pemilik restoran berkenaan, chef selebriti, Mario Batali dan Eric Ripert menyangkal kenyatan tersebut dan mendakwa Chef Riz tidak pernah bekerja di sana. -Mstar




.

MH370 : Apa kaitan penyanyi Mila Jirin dan Kapten Zaharie


MH370 : Apa kaitan penyanyi Mila Jirin dan Kapten Zaharie | Genap 10 hari hari ini, pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang masih belum ditemui. Seluruh dunia terus menantikan perkembangan terbaru dan mengharapkan para penumpang serta kru pesawat itu selamat dan segera kembali ke tanah air. Begitu juga dengan penyanyi kecil molek Mila Jirin yang turut sedih mengenangkan apa yang telah terjadi. Memetik kenyataan di Utusan baru-baru ini, kata Mila, baginya kehilangan anak kapal dan penumpang pesawat kebangaan negara tersebut penuh misteri. Namun jauh di sudut hatinya dia cukup risau dengan keadaan mereka. Tambahan pula Kapten Zaharie Ahmad Shah cukup dikenalinya apabila juruterbang tersebut menyertai kelab peminatnya sejak tahun 2007 yang lalu.


"“Saya tak tahu nak cakap sebenarnya. Perasaan sedih dan trauma masih lagi saya rasakan apatah lagi kisah kehilangan pesawat masih lagi hangat diperkatakan. "“Apa yang boleh saya simpulkan antara saya dan Zaharie kami memang mengenali antara satu sama lain. Beliau memang seorang lelaki yang baik dan sering kali terlibat dengan acara anjuran kelab peminat saya," jelas Mila. Walaupun begitu, Mila menjelaskan yang mereka sudah lama tidak bertemu dalam acara-acara kelab disebabkan kesibukan masing-masing. Dia masih ingat kali terakhir bertemu Zaharie di Melaka beberapa tahun lalu. Ketika itu mereka bersembang panjang dan Zaharie ada menitipkan kata-kata nasihat buat dirinya. “Saya anggap dia sebagai orang dewasa yang banyak pengalaman hidup. Kami tidaklah begitu rapat tetapi saya memang mengenali perwatakan setiap ahli kelab peminat The Voice Of Mila. “Sejujurnya hanya selepas kejadian ini barulah saya tahu beliau merupakan juruterbang MAS. Sebelum ini saya tak pernah tahu pun jawatannya," katanya.

Mengimbas kembali kejadian kehilangan pesawat tersebut, Mila hanya mengetahui tentang perkara berkenaan (8 Mac) melalui laman sosial. Tidak mengesyaki apa-apa, sama seperti rakyat Malaysia yang lain berdoa agar pesawat tersebut ditemui seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Namun hatinya mula berdetik apabila melihat senarai nama penumpang dan anak kapal dan terpandang satu nama yang begitu dikenalinya selama ini. "“Memang saya berdebar sebab beliau antara orang yang hilang. Saya fikir keluarganya tentu runsing dan gundah-gulana memandangkan sampai sekarang masih belum ada berita positif mengenainya," jelasnya Saat berita tersebut semakin tersebar, Mila ada cuba untuk menghubungi telefon bimbit Zaharie melalui pembantu peribadinya namun tidak berjawab. Lantas Mila ada memuat naik gambar dirinya bersama Zaharie di laman sosial Instagram sebagai tanda simpati.


Tidak bertahan lama, gambar tersebut akhirnya dipadam oleh Mila beberapa hari selepas itu. “Saya muat naik gambar tersebut sebagai tanda simpati dan risau dengan keadaan yang berlaku. Sebaliknya apabila gambar itu dipaparkan banyak sangat komen negatif daripada peminat. “Ada yang kata saya tak sensitif, tak menghormati keluarga dan macam-macam lagi. Saya sendiri tak berniat untuk menyakiti sesiapa dan perbuatan itu (memuat naik gambar) sebagai tanda kerisauan saya. “Untuk mengelak macam-macam persepsi negatif lebih baik saya buang gambar itu segera daripada terus menjadi isu dan menimbulkan perdebatan di laman sosial," tambah Mila lagi. -Utusan





.

Chef terkenal hasilkan makanan unik di Hotel Waldorf Astoria, New York



Chef terkenal hasilkan makanan unik di Hotel Waldorf Astoria, New York | Seorang chef terkenal, Gene Rurka mengetuai satu pasukan untuk menghasilkan makanan unik di Hotel Waldorf Astoria di sini kelmarin. Rurka dibantu oleh 40 tukang masak bagi menyediakan makanan unik itu yang melibatkan masakan serangga, organ haiwan seperti kemaluan kambing dan labah-labah tarantula. Tukang masak itu turut memasak lipas dan aligator untuk para tetamu pada majlis makan malam Kelab Penjelajah kali ke-110.



Aligator merupakan reptilia besar yang bentuknya seperti buaya. Pada kebiasaannya ia terdapat di tasik dan sungai. Pengerusi syarikat Amazon, Jeff Bezos turut menghadiri majlis makan malam itu. Dia turut menikmati makanan lipas yang dimasak oleh Rurka dan pasukan memasaknya. Kuih coklat yang dihidangkan bersama larva turut disediakan untuk para tetamu. - Agensi




.

Gambar tatu seekor kucing di bibir Miley Cyrus


Gambar tatu seekor kucing di bibir Miley Cyrus | PENYANYI kontroversi Miley Cyrus nampaknya masih terus menimbulkan isu dan baru-baru ini, dia mengejutkan para peminatnya dengan membuat tatu di dalam bibirnya. Penyanyi lagu Wrecking Ball itu pertama kali menunjukkan tatu tersebut di laman akaun Instagram miliknya. Tatu tersebut dilihat jelas seperti seekor kucing yang sedang sedih di bibir Miley. Miley turut meletakkan kapsyen foto tersebut dengan menggunakan hashtag: " #sadkitty @waynewontpostpicsofnakedwomen @katyweaver #lovemoneyparty #freakz."

Bagaimanapun, penyanyi muda itu dikecam oleh segelintir peminatnya yang menganggap dia telah membahayakan diri dengan membuat tatu di bahagian tubuh yang tidak sepatutnya. Miley kini memiliki lebih daripada 20 tatu di badannya. tatu-tatu tersebut termasuklah gambar neneknya, sebuah petikan Theodore Roosevelt, tengkorang dan banyak lagi. -AP



.

Akhirnya, Kontrak Hanez Suraya Sebagai Duta Aura White Dibatalkan



Akhirnya, Kontrak Hanez Suraya Sebagai Duta Aura White Dibatalkan  | Perkara ini sebenarnya sudah lama orang ramai duga dan jenama mana ingin melibatkan diri mereka dengan kancah kontroversi lebih lebih apabila ianya melibatkan sensitiviti di kalangan para pengguna mereka. Ini kisah Aura White & dutanya Hanez Suraya. Semua tahu yang setahun lalu, Hanez Suraya telah dilantik sebagai duta dan jurucakap kepada produk kecantikan Aura White dan pelantikan beliau ini sejajar dengan imej beliau ketika itu yang bersih dari kontroversi dan memiliki kecantikan tersendiri.

Namun selepas terpalit dengan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan seorang jejaka berstatus suami orang dan menjadi perhatian ramai termasuk pernah menjadi muka hadapan di akhbar tempatan, Aura White khabarnya mengambil keputusan drastik. Keputusan diambil Aura White untuk berhenti menjadikan Hanez Suraya sebagai duta kami kira sebagai satu langkah bijak untuk tidak terus mengaitkan produk mereka dengan kontroversi sekaligus menjejaskan jualan. Ini mungkin boleh menjadi pengajaran kepada Hanez Suraya sendiri atau artis artis lain yang telah dilantik untuk menjadi duta mana mana produk untuk menjaga imej diri — bukan untuk mengejar duit, tetapi tidak menutup pintu rezeki sendiri. -rtky




.

Gambar Fasha Sandha yang sedang hamil anak kedua



Gambar Fasha Sandha yang sedang hamil anak kedua | Pasangan suami isteri, Fasha Sandha dan Rizal Ashram baru baru ini berada di kepulauan Bali, Indonesia untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan seorang rakan namun beberapa gambar terbaru mereka menarik perhatian ramai. Lebih tepat gambar Fasha Sandha yang dilihat tampil dengan perut yang semakin membesar dan ini mengesahkan yang pelakon popular itu kini sedang hamil dengan anak kedua. Fasha Sandha kelihatan berseri seri ketika hadir ke majlis resepsi rakannya itu dan mengenakan busana rona ungu dan peminat dunia hiburan yang aktif di forum Cari meramalkan yang beliau kini sedang hamil 5 ke 6 bulan.

Peminat juga yang meninggalkan komen ramai berharap yang Fasha Sandha & Rizal Ashram bakal dikurniakan anak perempuan kali ini selepas kelahiran putera sulung, Putra Rayfal Ramli pada 15 April 2013 yang lalu. Tahniah buat Fasha Sandha dan Rizal Ashram sekeluarga yang bakal menyambut kelahiran orang baru tidak lama lagi. Berikut beberapa keping gambar terbaru pasangan ini di Bali. -Rtky




.

Misteri jeritan dari dalam kubur kini terdedah


Misteri jeritan dari dalam kubur kini terdedah | Seorang lelaki berusia 50 tahun bernasib baik kerana masih hidup selepas terperangkap dalam keranda di sebuah tanah perkuburan awam selama empat hari. Lelaki berkenaan berkata, dia terpaksa minum air kencingnya sendiri untuk mengelak daripada mati. Lelaki yang hanya dikenali sebagai Chien diselamatkan Khamis lalu apabila satu pasangan yang melawat tanah perkuburan awam Pifeng di daerah Nantao itu terdengar jeritan meminta tolong dari keranda berhampiran. Polis dan bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membuka keranda itu dan mendapati lelaki terbabit di dalamnya dengan pakaian berlumpur. Chien memberi kenyataan yang mengelirukan kepada polis mengenai bagaimana dia boleh terperangkap dalam keranda itu. Pada mulanya dia berkata kawannya meletakkan dia di situ tetapi selepas itu memberitahu dia terjatuh ke dalamnya kerana mabuk. Dia gagal menerangkan bagaimana keranda itu boleh tertutup.

 Chien memberitahu dia ketakutan apabila tersedar. Dia cuba untuk meminta bantuan dan membuka penutup keranda itu tetapi tidak berjaya. Dia mengalami dehidrasi selepas sekian lama berada di dalam keranda berkenaan tetapi bernasib baik kerana dapat menggunakan beg plastik yang ditemui dalam poketnya bagi diisi air kencingnya untuk diminum. Chien berada di dalam keranda itu selama empat hari tanpa boleh menggerakkan badannya dan merasakan dia akan mati sebelum sempat diselamatkan. Namun keajaiban terjadi apabila hujan ribut yang berlaku mengalirkan air melalui celah keranda membolehkan dia minum. Apabila mendengar suara orang berhampiran Khamis lalu, dia menjerit sekuat hati dan yakin dia akan diselamatkan selepas mendengar bunyi tapak kaki menuju dan anjing menyalak ke arahnya. Doktor berkata Chien kini berada dalam keadaan stabil. - Agensi





.

MH370 : Kenapa pesawat itu dikhabarkan disembunyi di pangkalan AS di Diego Garcia?



MH370 : Kenapa pesawat itu dikhabarkan disembunyi di pangkalan AS di Diego Garcia? | Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang masuk hari kesembilan hari ini dipercayai telah 'disembunyikan' di Diego Garcia, pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi. Menurut portal Cabal Times, sekiranya spekulasi pesawat itu terbang ke pangkalan tentera AS di Diego Gracia adalah benar, radar Indonesia sudah pasti mengesan kedudukan pesawat tersebut. Namun, persoalannya Indonesia yang dipercayai negara terlibat dalam gerakan 'rahsia globalisasi' atau pakatan Barat yang mempunyai agenda tertentu, sudah pasti berdiam diri tentang apa yang mereka kesan pada radar mereka, dakwa portal itu. Portal itu membuat spekulasi itu berdasarkan laporan media yang menyebut walaupun pesawat itu dikesan terputus hubungan dengan radar pada pukul 1.22 pagi Sabtu lalu namun ada pihak mendakwa pesawat itu masih boleh dihubungi lagi beberapa jam selepas itu selagi enjinnya hidup.

Sejurus selepas transponder pesawat dimatikan, MH370 dipercayai membuat pusingan-U dan didakwa melintasi Malaysia menghala ke Diego Garcia. Menurut portal itu, sekiranya pesawat mengalami masalah teknikal, juruterbang seboleh-bolehnya akan cuba mendarat dengan selamat di laut dan tidak akan berpatah balik ke Malaysia. Persoalannya, mengapa tiada pihak yang mendedahkan tentang kedudukan MH370 berada di Diego Garcia? Ia mungkin kerana kakitangan di pangkalan tentera AS di Diego Garcia mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk tidak bertanyakan soalan dan 'menutup mata' tentang apa yang mereka lihat di radar. Sementara itu, Cabal Times dalam laporannya mendakwa mengapa AS melakukan 'rampasan pesawat' itu adalah kerana MH370 membawa sejumlah besar rakyat China dan AS mahu mengeruhkan hubungan Kuala Lumpur dan Beijing. - AGENSI





.

Pelajar 15 tahun dakwa di liwat oleh 4 senior di asrama sekolah



Pelajar 15 tahun dakwa di liwat oleh 4 senior di asrama sekolah | Polis menahan empat pelajar senior bagi membantu siasatan berhubung seorang pelajar berusia 15 tahun yang mendakwa diliwat di asrama sebuah sekolah di daerah ini, baru-baru ini. Difahamkan, kejadian menimpa mangsa berlaku sebanyak tiga kali, sejak pertengahan Februari hingga 10 Mac lalu. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Azmi Abdul Rahim berkata, kesemua yang berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 10.15 pagi semalam dan direman selama empat hari bagi siasatan lanjut. "Tangkapan itu dibuat susulan laporan daripada bapa tiri pelajar terbabit berusia 34 tahun yang mendakwa mangsa diliwat beberapa pelajar senior di sekolah.

"Lelaki itu mendakwa mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan pihak sekolah. Dia membuat laporan polis pada Khamis lalu," katanya di sini hari ini. Jelas Azmi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu kerana melakukan seks di luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan. "Pihak sekolah perlu memantau asrama dan tidak berselindung jika berlaku sebarang masalah sosial kerana boleh menjurus ke arah jenayah yang lebih serius," katanya. -Utusan




.

BPL : [Gambar] Manchester United diaibkan di laman sendiri



BPL : Manchester United diaibkan di laman sendiri | Dua sepakan penalti ketua pasukan, Steven Gerrard membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Manchester United semalam untuk memboleh­kan mereka te­rus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea. Gerrard menjaringkan gol menerusi sepakan penalti di kedua-dua separuh masa perlawanan untuk membolehkan pasukan pelawat menguasai perlawanan dan jaringan ketiga melalui Luis Suarez melengkapkan kemenangan kedua Liverpool di Old Trafford dalam tempoh sepuluh tahun. Liverpool tidak berasa kekok memulakan perlawanan di gelanggang lawan apabila menguasai perlawanan dan dalam tempoh sepuluh minit pertama mereka telah dua kali membuat percubaan ke arah gol menerusi penyerang, Daniel Sturridge dan pertahanan kiri mereka, Glen Johnson namun kedua-dua­nya tidak menepati sasaran.

 Tersentak dengan percubaan tersebut, United bangkit untuk mencari gol pendahuluan namun percubaan Robin van Persie dari dalam petak penalti juga gagal menerjah gawang gol. Pada minit ke-27 pertahanan United sekali lagi diuji, kali ini menerusi percubaan pemain tengah pasukan pelawat, Joe Allen namun penjaga gol, David De Gea bersedia untuk menyelamatkan rembatan bintang Wales itu. Mimpi buruk mula melanda pasukan tuan rumah pada minit ke-32 apabila Rafael menampan bola de­ngan tangan ketika cuba mengawal Suarez di dalam kawasan gol dan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg tidak teragak-agak memberi sepakan penalti yang mudah di­sempurnakan Gerrard, yang me­rembat ke sebelah kanan tatkala De Gea merebahkan badan ke sebelah kiri.


United cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-43 tetapi rembatan Wayne Rooney dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Rafael berjaya diselamatkan penjaga gol, Simon Mignolet. Tidak sampai seminit perlawanan separuh masa kedua bersambung Liverpool dihadiahkan satu lagi sepakan penalti apabila Phil Jones merempuh Allen dan Gerrard sekali lagi tidak mempersiakan peluang yang terhidang apabila me­rembat leret ke tempat yang sama dan kali ini gagal dijangkau De Gea walaupun dia sudah merebahkan badan ke arah yang tepat. Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat Liverpool pada minit ke-76 kerana Nemanja Vidic menerjah Daniel Sturridge sehingga menyebabkan ketua pasukan United itu diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua, namun Gerrard gagal menyempurnakan peluang untuk mencatat hatrik apabila sepakannya terkena tiang kiri gawang.

Kad merah yang diterima Vidic adalah kali keempat buatnya sepanjang bertemu Liverpool iaitu kali pertama pada September 2008 (Liver­pool 2 United 1), Mac 2009 (United 1 Liverpool 4), Oktober 2009 (Liverpool 2 United 0). Bagaimanapun, kegagalan sepakan penalti tersebut berjaya ditebus dengan gol ketiga Liverpool apabila Suarez berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Sturridge dan tidak melepaskan peluang dengan merembat untuk menewaskan De Gea. - REUTERS





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!