Sunday, February 2, 2014

Kisah sedih mengenai seorang anak yang memiliki kehidupan yang sangat menyedihkan



Kisah sedih mengenai seorang anak yang memiliki kehidupan yang sangat menyedihkan | Demi menjaga bapanya yang lumpuh, seorang anak nekad membuat rayuan kepada pihak universiti untuk membenarkan bapanya tinggal di asramanya selama satu semester. Guo Shijun, 20, yang menuntut di sebuah universiti ternama di China itu akhirnya berjaya mendapat keizinan pihak universiti untuk membawa bapanya sebagai langkah mengurangkan beban pelajar itu. Bapanya lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terjatuh 15 meter dari jambatan ketika bekerja di bandar Liuan, wilayah Anhui di tengah China. Lebih menyedihkan, ibu Shijun pula menghidapi penyakit mental dan kini bertarung sakit meningitis. Ketika ini, datuk dan nenek Shijun mengambil alih tugas menjaga ibunya , namun mereka tidak dapat menjaga bapanya.

Bagi memastikan Shijun dapat menjaga bapanya dengan lebih baik, anak muda itu menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universiti supaya dia tidak perlu bergegas untuk memeriksa bapanya setiap kali waktu pertukaran subjek dan semasa rehat makan tengah hari. Di sebalik dugaan hidup yang terpaksa dihadapinya, Shijun tetap berjaya memperoleh markah cemerlang dalam peperiksaannya. Untuk menangung kos yuran pengajian, Shijun terpaksa membuat pinjaman daripada rakan-rakan dan saudara-mara.

Shijun terpaksa membayar £ 2000 (RM 11,000) setahun untuk yuran pengajian sahaja tidak termasuk makan minum, bil-bil dan kos penjagaan untuk ibu bapanya. Walaupun fokus terhadap pelajarannya sedikit terganggu, bagaimanapun anak muda ini tidak patah semangat untuk berusaha mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajian. Bercakap mengenai pengalaman beliau , Shijun berkata: “Saya tidak boleh berkata bahawa hidup ini mudah tetapi satu-satunya jalan keluar dari masalah ini ialah melalui kerja keras. Jadi saya tidak akan merungut. "Saya fikir, selepas saya tamatkan pengajian, keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya -AP




.

Lelaki Bangladesh cuba rogol wanita 50 tahun cedera ditetak oleh suami mangsa


Lelaki Bangladesh cuba rogol wanita 50 tahun cedera ditetak oleh suami mangsa | Seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba merogol seorang wanita berusia 50 tahun cedera di kaki kanan akibat ditetak oleh suami mangsa dalam kejadian di Kampung Teluk Wanjah di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai tiba-tiba masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu hadapan dan merentap pakaian serta cuba merogol mangsa. Mangsa cuba mempertahankan dirinya dan menjerit meminta pertolongan suaminya berusia 62 tahun yang ketika itu sedang mengupas buah kelapa di belakang rumah. Suami wanita itu yang meluru masuk ke dalam rumah untuk membantunya terpaksa bergelut dengan lelaki itu dan suspek bertindak kasar dengan menumbuk bahagian dada suami wanita itu sehingga terjatuh.

Kerika pergelutan suami mangsa menetak lelaki itu pada bahagian kaki kanan dengan menggunakan parang yang digunakan untuk mengupas kelapa. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan sebagai cubaan merogol dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan. Wanita berkenaan ketika ditemui di rumahnya hari ini berkata lelaki Bangladesh itu yang bekerja sebagai buruh binaan menyewa rumah berdekatan dengan rumah mereka sejak dua tahun lalu. Katanya, ketika kejadian lelaki itu dikatakan berkeliaran di luar rumah dan keluar masuk rumah sewanya (lelaki itu) sebelum bertindak demikian. Lelaki tersebut bertindak sedemikian selepas tiada orang di sekeliling rumah. Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Bernama





.

Kisah sedih ketika meraikan Tahun Baru Cina


Kisah sedih ketika meraikan Tahun Baru Cina | Kegembiraan keluarga untuk merakamkan gambar kenangan ketika meraikan Tahun Baru Cina berakhir tragedi apabila anak tunggal pasangan itu maut apabila televisyen menghempapnya dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, di sini, malam tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, keluarga berkenaan sedang bersiap-siap merakamkan gambar kanak-kanak perempuan itu, Chew Hui Zhen, tiga tahun, sebelum dihempap televisyen 29 inci. "Televisyen jenis lama iaitu saiz besar dan berat itu diletak di atas sebuah rak yang tingginya tidak sampai satu meter dan dipercayai kanak-kanak berkenaan berdiri di hadapan rak itu untuk mengambil gambar sebelum ia (rak) condong dan televisyen itu jatuh atasnya.

"Akibat kejadian berkenaan, mangsa parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut, bagaimanapun kanak-kanak itu mati ketika menerima rawatan pada 10.30 malam tadi. "Kita dimaklumkan kejadian itu oleh pihak hospital dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Baharom berkata, polis menyiasat kejadian itu sebagai mati mengejut kerana laporan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Katanya, pihaknya belum mengambil keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak itu kerana mereka masih dalam keadaan sedih dan trauma. "Ketika kejadian beberapa anggota keluarga bapa kanak-kanak itu turut berada di rumah berkenaan dan mereka sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina," katanya. Sementara itu, usaha pihak media untuk menemu bual ibu bapa kanak-kanak itu, Chew Hock Soon, 26, dan Phoruethai Sae Lee, 25, di bilik mayat HSJ gagal selepas mereka enggan ditemubual. Bapa kanak-kanak itu bekerja sebagai tukang paip manakala ibunya warga Thailand dan tidak bekerja. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!