Friday, January 31, 2014

Usia tua menjadi alasan bagi wanita ini membuat sesuatu yang salah



Usia tua menjadi alasan bagi wanita ini membuat sesuatu yang salah | Seorang nenek mencuri ketika membeli-belah selama empat tahun kerana bosan dengan usia yang semakin tua. June Humphreys, 76, menggunakan pas bas percuma untuk ke bandar berdekatan dan mengambil barangan, menyembunyikannya di dalam troli sebelum menyelinap keluar dari kedai tanpa membayar barangan berkenaan. June akan melakukan demikian di dua daerah ketika menjalani rawatan untuk kanser payudara dan osteoarthritis. June dari Crewe, Cheshire mempunyai kesalahan jenayah mencuri pada 2011, 2012, 2013 dan Januari tahun ini. Dalam kejadian terbaru, dia mengaku bersalah mencuri alat tulis dari Iceland yang berharga £2 (RM11), pakaian bayi dan pam payudara berharga £69 (RM381).

Pegawai mahkamah Darren Vernon memberitahu majistret North Staffordshire, June mempunyai rekod ketagihan heroin ketika remaja. Dia sering membuat perjalanan dengan pengangkutan awam dan melakukan jenayah. “Dia tahu dia melakukan kesalahan. Dia kata dia bosan dan tinggal sendirian. Dia ada tujuh anak tetapi satu-satunya yang dihubungi June tinggal di atas kediamannya.” June dipenjarakan sebulan tetapi hukuman ditunda selama setahun. Dia juga diberi amaran akan dipenjarakan jika melakukan kesalahan lagi. -HM




.

Impian pelik pelakon terkenal filem Twilight, Kristen Stewart


Impian pelik pelakon terkenal filem Twilight, Kristen Stewart | DI sebalik wajahnya yang cantik, bintang terkenal, Kristen Stewart mempunyai keinginan yang cukup pelik. Bekas kekasih Robert Pattinson ini memberitahu keinginannya untuk mencukur dan membuat tatu di kulit kepalanya sebelum meninggal dunia. “Kalau saya bukan pelakon, saya pasti akan melakukannya. Kalau tak berpeluang untuk botak, saya ingin memotong pendek rambut ini. “Namun, yang pasti, sebelum meninggal dunia, saya ingin melakukannya walau sekali. Tapi, setakat ini, saya belum memilih jenis tatu yang diingini,” katanya.

Khabar terkini, penerbit veteran, Julie Dah­lan


Khabar terkini, penerbit veteran, Julie Dah­lan | Namanya sering menjadi sendaan dan gurauan dalam kalangan penggiat filem dan drama. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu di sebalik sikapnya itu, penerbit veteran Julie Dah­lan, 61, mempunyai sikap mulia terutama berjasa dalam menaik­kan nama artis baru hingga popular seperti Datin Sofia Jane dan Nasha Aziz. Kini penerbit sensasi yang juga ibu tunggal ini berdepan zaman suram apabila menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan penglihatan yang semakin pudar sejak April lalu menyebab­kannya sukar bekerja dan hanya berehat di rumah. Lebih menguji, Julie atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM2,000 sebulan. Mujur jasa penerbit filem Wira Angkasa, Driving School, Harry Boy dan pel­bagai lagi judul filem ini diingati rakan baiknya dari Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) seperti Ketua Pegawai Eksekutifnya Pansha, Presiden PFM Datuk Yusof Haslam dan ahli jawatankuasa PFM, Datuk Freddie Fernandez.

Mereka berkunjung ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, Isnin lalu, untuk melihat ke­adaannya serta me­nyumbang RM5,000 untuk meri­ngankan beban Julie. “Sumba­ngan dibuat kerana mengenang­kan Julie yang berjasa dalam dunia perfileman tanah air. Kami sudah lama merancang untuk bertemu Julie namun baru kali ini berkesempatan. Saya sebagai seorang daripada pemegang amanah dalam Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) juga akan me­ngusulkan kepada presidennya, Datuk DJ Dave supaya menghulurkan bantuan kepada Julie. “Akan ada perbezaan antara sakit biasa dan sakit serius. Harapnya YA1M akan bagi bantuan. Kalau boleh jumlahnya berbeza kerana kes ini lebih serius berbanding biasa,” kata Yusof. Yusof mengibaratkan hubungan dengan Julie seperti keluarga sendiri, malah pembabitannya sebagai penerbit juga bermula daripada cabaran Julie.

“Saya dah kenal Julie sejak zaman bujang. Saya juga diberi peluang berlakon filem Wira Angkasa yang menjadi filem pertama JD Productions. Ketika itu saya belum buat filem dan hanya terbitkan drama TV. Saya tak berani terbitkan filem kerana tengok banyak syarikat produksi gulung tikar. “Namun Julie banyak bagi semangat pada saya dan selepas 60 drama, baru saya berani terbitkan filem. Selain itu, saya juga pernah mengarah drama terbitan JD Productions suatu ketika dulu. Saya tetap berhubung de­ngan Julie tapi kebelakangan ini agak berkura­ngan. Namun secara peribadi saya ada hulurkan bantuan kepada­nya,” katanya yang turut me­ngambil anak Julie, Hani Nurzara berlakon drama bersiri Roda-Roda KL. Pansha pula berkata, Julie seorang ahli yang aktif ketika berada dalam persatuan yang ditubuhkan pada 1981 ini. Justeru pihaknya tidak teragak-agak menghulurkan sumbangan ini buatnya.

“Dia menjadi ahli pada 1987 dan walaupun kurang aktif buat filem lagi, kami tetap menghargai sumba­ngannya kerana memba­ngunkan industri filem kita. Sebenarnya ini bukan kali pertama PFM bagi bantuan pada orang seni kerana sumbangan sama pernah dibuat kepada Allahyarham Azean Irdawaty. “Sesiapa saya yang pernah berjasa kepada dunia seni filem akan dibantu,” katanya. ‘Saya tidak meminta-minta’ Bantuan dan kunjungan rakan-rakan lama ini begitu dihargai Julie. Bagaimanapun, dia bertegas tidak mahu ada pihak tersalah anggap bahawa dia suka meminta-minta bantuan wang ringgit. “Alhamdulillah, bantuan ini dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan saya yang agak tinggi. Saya bukan jenis yang meminta-minta tetapi apabila ada pihak yang menyumbang saya sangat berterima kasih dan bersyukur. Sebelum ini saya ada terima sumbangan daripada KARYAWAN dan Datuk Sharifah Aini,” katanya. Julie berkata, dia perlu menjalani dialisis kerana ia tak boleh berhenti lebih dari tiga hari. Jika tidak, air akan berkumpul dalam badan dan boleh menyebabkan dia sukar bernafas.

“Pernah saya terpaksa berhutang dulu untuk buat dialisis dan apabila ada duit, baru saya bayar,” katanya yang kini ha­nya me­ngenali individu menerusi suara kerana panda­ngan semakin kabur. Julie berkata, ketika baru disahkan ada pe­nyakit ini, dia berasakan dirinya terpinggir daripada semua orang. “Namun saya berfikiran positif menganggap hidup perlu diteruskan. Saya ada kepakaran buat drama jadi saya minta diberikan peluang untuk mengisi slot drama yang diterbitkan oleh RTM. Malah, saya sudah pergi sesi ‘pitching’ pada September lalu dan berharap akan terima keputusan positif. “Saya sudah ada barisan pengarah seperti Murali Abdullah dan Along Kamaruddin yang sudi mengarahkan drama terbitan saya. Sebagai seorang yang ber­status ibu tunggal, diharap­kan keutamaan diberikan kepada saya. Apa yang saya buat adalah mengikut prosedur ditetapkan kerana saya tak suka terus berjumpa pihak atasan untuk dapatkan ‘job’. “Saya juga menyeru mana-mana penerbit untuk ambil anak saya Hani, 32, berlakon. Secara tak langsung dia ada pendapatan dan dapat membantu menanggung kos perubatan saya,” katanya. -HM




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!