Tuesday, January 28, 2014

Akibat bencana alam di Indonesia, 450,000 orang jadi miskin


Akibat bencana alam di Indonesia, 450,000 orang jadi miskin | Kira-kira 450,000 orang menjadi miskin akibat bencana alam seperti banjir di beberapa kawasan di seluruh Indonesia sejak kebelakangan ini, yang turut menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat. Penganalisis ekonomi Hendri Saparini berkata kenaikan dalam angka golongan miskin pasca-bencana adalah disebabkan tiada program membantu memulihkan aktiviti ekonomi masyarakat. "Misalnya, apakah ada program mengawal dan mengendali harga bahan keperluan asas setelah bencana alam?" kata Hendri seperti dipetik akhbar harian Media Indonesia pada Isnin.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 29 juta penduduk miskin di Indonesia, naik 1.5 peratus berbanding 28.55 juta orang miskin pada September tahun lalu, mengikut data Badan Pusat Statistik. Penganalisis ekonomi dari Universiti Brawijaya Ahmad Erani Yustika pula berkata kerugian paling besar akibat bencana alam adalah dari Jakarta kerana bandar raya itu ialah pusat ekonomi Indonesia. Laporan itu menyebut bahawa jumlah orang miskin bertambah setiap tahun kerana kesan bencana alam ke atas masyarakat kini menjadi semakin meluas.

Data Kementerian Pertanian pula menunjukkan kawasan tanaman padi yang terjejas oleh banjir pada bulan Januari, dari tahun 2007 hingga 2011, melibatkan kawasan seluas 72.96 hektar. Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata jumlah kerosakan dan kerugian di Indonesia akibat bencana alam mencecah angka Rp30 trilion setiap tahun. Jumlah kerugian itu jauh lebih tinggi berbanding peruntukan yang disediakan oleh BNPB yang berjumlah Rp3 trilion dan ia telah melambatkan usaha pihak berkuasa untuk memulihkan keadaan di kawasan terjejas bencana. - Bernama




.

Benar, ianya sudah tidak relevan


Benar, ianya sudah tidak relevan | PERIBAHASA ‘bagai anjing dengan kucing’ biasanya dirujuk kepada individu yang sering bertelagah. Namun, peribahasa itu tidak lagi relevan apabila kedua-dua haiwan itu dikatakan menjadikan ‘sahabat setia'. Pemilik anjing Diane Gagliano yang bekerja di Perkhidmatan haiwan Seminole County berkata, anjingnya mengutip kucing itu dari tepi jalan selepas dibuang oleh pemiliknya. “Kucing lumpuh itu berusia kira-kira dua tahun.

Anjing saya membawanya pulang ke rumah dan kini kedua-duanya bersahabat,” katanya dipetik DailMail Menurutnya, jika ada sesiapa yang cuba menyentuh kucing itu, anjingnya akan melindungi kucing terbabit. Melihat keakraban kedua-dua haiwan itu, beliau kini berusaha membuat kempen menyelamatkan kucing dan anjing terbiar di sekitar rumahnya di Florida, Amerika Syarikat. -AFP




.

Gambar, akibat landak jatuh atas kepala


Gambar, akibat landak jatuh atas kepala | SEORANG wanita Brazil terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya dicucuk lebih 270 duri landak. Sandra Nabucco, 52, dari Rio de Janeiro berkata, landak itu jatuh di atas kepalanya dari tiang elektrik ketika beliau sedang berjalan sekitar bandar itu. “Apabila saya menyentuh kepala akibat terlalu sakit, saya dapati banyak duri landak di tangan,” katanya dipetik DailyMail Sejurus kejadian itu, dia meminta bantuan dari jiran untuk menghantarnya ke hospital.


“Saya diberikan antibiotik dan doktor bedah mengeluarkan lebih 200 duri dari kepala. Ia amat menyakitkan,” katanya. Beliau berkata, kehadiran landak itu menjadi tanda tanya kerana kawasan dilaluinya bukanlah berhampiran hutan. -DM




.

Bila lelaki tak menghargai pengorbanan besar seorang isteri



Bila lelaki tak menghargai pengorbanan besar seorang isteri | Habis madu, sepah dibuang - begitu nasib menimpa seorang wanita selepas dia menyelamatkan nyawa suaminya dengan menderma buah pinggang. Samantha Lamb, 41, menawarkan buah pinggang untuk suaminya Adam, 45, yang menghidap kegagalan renal dan memerlukan dialisis untuk meneruskan hidupnya. Sebagai persediaan menderma buah pinggang, Samantha sanggup menahan lapar bagi membolehkan berat badannya turun 19 kilogram bagi memastikan dia sendiri cukup sihat pembedahan pada Oktober 2009. Pengorbanan itu kemudian menarik perhatian stesen televisyen BBC yang menerbitkan dokumentari khas mengenai cinta Samantha. Tidak seperti cerita cinta biasa, rumah tangga Samantha - Adam berantakan hanya beberapa tahun selepas pembedahan itu. Adam akhirnya meninggalkan Samantha.

Dia mengangkut semua barangnya, termasuk televisyen dan radio sebelum meninggalkan kunci rumah di dalam peti surat ketika Samantha bekerja syif malam. Samantha percaya suaminya menjalin hubungan sulit dengan rakan baiknya, namun Adam berkali-kali menafikan. Pasangan itu - yang berkenalan ketika sama-sama menjadi pemandu ambulans - pernah berpisah seketika sebelum berkahwin pada 2007. Adam jatuh sakit tidak lama selepas itu dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Kata Samantha, dia tidak tergamak melihat Adam lalu menawarkan buah pinggangnya. “Adam yang mempunyai anak hasil perkahwinan sebelum ini mahu melihat mereka membesar,” katanya. Menurut Samantha, dia kini menyesal membantu Adam.


“Saya tidak menyesal melakukan pembedahan yang membantu seseorang - namun alangkah baiknya jika buah pinggang itu diberi kepada orang lebih layak. “Kalaulah boleh saya ambil semula buah pinggang itu dan memberinya pada orang lain,” katanya. Namun dia mengakui perkara itu mustahil dan kini hanya berharap proses perceraian diselesaikan secepat mungkin. Katanya, dia merasa sakit hati setiap kali melihat parut berukuran empat inci hasil pembedahan itu. “Namun sekurang-kurangnya Adam pun perlu sentiasa ingat dia berhutang nyawa dengan saya,” katanya. Sementara itu, Adam menafikan mengadakan hubungan dengan rakan isterinya selain menegaskan tidak pernah meminta didermakan organ berkenaan. -AP




.

Harapan dan pandangan Juan Mata untuk Manchester United


Harapan dan pandangan Juan Mata untuk Manchester United | "Apabila saya dengar (David) Moyes mahu mendapatkan saya, saya cuma mampu berkata..wow!. Sekarang, saya mahu menjuarai Liga Perdana Inggeris bersama (Wayne Rooney) dan RVP (Robin van Persie)." Itu kenyataan yang dikeluarkan bintang tengah Sepanyol, Juan Mata dalam temu bual pertamanya selepas sah bergelar pemain Manchester United, semalam. Mata berikrar akan membantu pasukan baharunya menjuarai Liga Perdana, malah yakin dia mampu memenuhi harga mahal, 37 juta pound (RM204.34 juta) yang terpaksa dibayar United kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya. Mata diperkenalkan di Manchester United buat kali pertama semalam, sehari selepas menyertai juara Liga Perdana itu hujung minggu lalu. Malah, bintang tengah berusia 25 tahun itu sudah bersedia untuk diturunkan menentang Cardiff City dalam perlawanan liga di Old Trafford, esok selepas memberitahu Moyes bahawa dia bersedia memainkan peranan dalam mana-mana posisi di belakang penyerang.

"Saya tahu, mereka (United) membayar harga yang tinggi, tetapi saya yakin semuanya akan berbaloi. "Saya akan memberikan yang terbaik seperti yang selalu saya lakukan. Pasukan ini dan pengurus mereka sangat bagus, penyokong United cukup menakjubkan. Kami memiliki segala-galanya untuk melakar kejayaan. "Ketika kali pertama saya dengar United berminat untuk mendapatkan saya, saya cuma mampu berkata 'wow'. "Pasukan ini memiliki banyak kejayaan dalam sejarah Liga Perdana dan bola sepak Inggeris. Ia sesuatu yang hebat apabila mengetahui kelab seperti Manchester United berminat dengan anda," ujar Mata lagi. Menurut Mata, dia lebih banyak beraksi di sayap kiri ketika kali pertama tiba di Chelsea, namun musim lalu dia lebih banyak beraksi di posisi kanan. "Saya tidak kisah bermain di bahagian mana, asalkan saya dapat beraksi," katanya.

Mata turut mendedahkan, penjaga gol United, David de Gea, iaitu rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol adalah orang yang menggalakkan dia menyertai United. "Dia menghantar mesej kepada saya sejak beberapa hari lalu dan bertanya bila saya mahu datang. Dia tanya saya, kamu mahu datang naik helikopter atau basikal?. "Sudah tentu, pemain seperti saya akan cuba menjaringkan gol, membantu mencipta gerakan dan kreatif di bahagian tengah. Seronok dapat bergabung dengan Wayne Rooney, Robin van Persie, Adnan (Januzaj), (Antonio) Valencia, Chicharito (Javier Hernandez) serta (Danny) Welbeck. Mereka semua pemain yang bagus," katanya. Sementara itu Moyes berharap, pasukan bimbingannya mampu melakukan revolusi tahap pertama menjelang perlawanan menentang Cardiff selepas berjaya mendapatkan Mata.

Mata merupakan pembelian kedua terbesar Moyes, selepas membeli Marouane Fellaini dari Everton dengan nilai 27.5 juta pound (RM151 juta) tahun lepas. Jurulatih kelahiran Scotland itu percaya, kehadiran Mata mampu membawa perubahan buat pasukannya, yang kini ditinggalkan 14 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal. "Saya mahu membina sebuah pasukan yang menarik. Itulah cara yang saya mahukan dalam bola sepak dan saya tidak tahu cara lain. "Saya mahu menang dan memberi sesuatu kepada penonton kerana saya belum cukup memberikan yang terbaik setakat ini," kata Moyes. - AGENSI




.

Anugerah Grammy dicemari dengan persembahan pelik?


Anugerah Grammy dicemari dengan persembahan pelik? | Anugerah Grammy semalam memberi kejutan lain daripada yang lain apabila turut meraikan 33 pasangan yang dikahwinkan serentak sebagai sebahagian daripada persembahan pada malam itu. Acara itu berjaya dirahsiakan sehingga waktu yang ditetapkan, iaitu ketika persembahan lagu Same Love oleh Macklemore dan Ryan Lewis bersama Mary Lambert serta Madonna. Perkahwinan semua pengantin terbabit - yang turut merangkumi pasangan sejenis - dirasmikan Queen Latifah. Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif The Recording Academy Neil Portnow berkata, dia bangga majlis perkahwinan itu berjalan lancar malah menganggapnya cukup bermakna.

“Banyak idea ditonjolkan dalam majlis anugerah kami adalah hasil idea kreatif artis kami. “Lagu ini memang istimewa dan menyeru kita bersikap adil serta toleransi,” katanya. Portnow juga tidak mempedulikan persepsi negatif yang mungkin menganggap anugerah Grammy digunakan untuk mempolitikkan isu tertentu. “Kami tidak pernah mencampuradukkan anugerah ini dengan politik. “Majlis malam ini sekadar untuk menyatukan pasangan yang saling mencintai dan mahu hidup bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam. -Reuters




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!