Thursday, January 23, 2014

Gambar sebagai bukti kekejaman


Gambar sebagai bukti kekejaman | Rejim Presiden Syria Bashar al-Assad didakwa melakukan kekejaman dan membunuh 11,000 tahanan, menurut satu laporan menggemparkan didedahkan kepada umum, kelmarin. Pendedahan dibuat berdasarkan pemeriksaan ke atas 55,000 gambar dipercayai diseludup keluar oleh bekas jurugambar polis di negara bergolak tersebut. Difahamkan, bukti perbuatan tidak berperikemanusiaan rejim Bashar tersebut turut memaparkan bukti patologi forensik yang melakukan pemeriksaan ke atas kubur besar di Kosovo sebelum ini.

Menurut Al-Jazeera, bekas ketua pendakwa raya mahkamah khas di Sierra Leone menyifatkan, laporan setebal 31 muka surat itu sebagai kebenaran membuktikan rejim Bashar melakukan pembunuhan kejam secara besar-besaran. "Koleksi gambar jelas menunjukkan cara pembunuhan sistematik dilakukan ke atas tahanan. Mereka dibiarkan kebuluran dan diseksa dengan kejam hingga mati. "Misteri kehilangan ramai penduduk Syria sejak perang saudara tercetus di negara itu kini terjawab," katanya lagi. -AP



.

Khabar terkini Felixia Yeap



Khabar terkini Felixia Yeap | Langkah bekas model Playboy, Felixia Yeap, 27, menukar penampilan berhijab sejak akhir tahun lalu, membuka lembaran baru dalam kerjayanya apabila mula ditawarkan berlakon. Felixia atau nama sebenarnya Yeap Chin Yee, berkata beliau menerima tawaran menjadi pelakon wanita utama sebuah telefilem tempatan awal bulan ini yang memulakan penggambaran di Lembah Klang, minggu lalu. "Saya terkejut dengan tawaran itu, namun gembira kerana watak ditawarkan sangat sesuai dengan penampilan sekarang yang membolehkan saya mengekalkan imej berhijab.

 "Saya memang sudah lama teringin berlakon, namun tidak pernah temui watak sesuai. Jadi, saya pendamkan saja hasrat itu," katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan Felixia yang pernah menjadi model majalah Playboy Filipina, Julai lalu dan `Gadis Arnab' Kelab Playboy Macau pada 2011, kini lebih selesa memakai pakaian sopan terutama baju kurung dan jubah. Felixia juga berhijab apabila tidak terbabit dengan sesi fotografi atau tugasan peragaan. Beliau turut mengumumkan secara terbuka untuk lebih memilih dalam menimbang tawaran peragaan dan mengelak terbabit dalam tugasan yang memerlukannya beraksi seksi dan mengghairahkan. -BH




.

Sekumpulan remaja kantoi melakukan perbuatan vandalisme



Sekumpulan remaja kantoi melakukan perbuatan vandalisme | Sekumpulan remaja tidak menyangka tindakan mereka menterbalikkan tong sampah ke jalan raya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sehingga mengundang kehadiran seorang anggota polis sebelum mereka diarahkan membersihkan kawasan berkenaan. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia) pada 7 Januari itu, remaja yang melakukan perbuatan vandalisme tersebut tidak mengetahui bahawa tindak-tanduk mereka dirakam. Operator CCTV tersebut kemudian bertindak menghubungi pihak polis, yang bergegas ke tempat kejadian untuk menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Setibanya di tempat kejadian, polis berkenaan memberikan kata-kata nasihat kepada remaja tersebut dan mengarahkan mereka supaya mengutip sampah-sarap yang bertaburan di jalan raya serta menempatkan semula tong sampah di tempat yang betul.

Namun begitu, tiada tindakan lanjut diambil ke atas mereka berhubung insiden tersebut. Bagi mengelakkan daripada kejadian sama berulang kembali, Majlis Perbandaran York dan Polis North Yorkshire mengambil keputusan untuk memuat naik video berkenaan di laman-laman sosial. Seorang anggota Majlis Perbandaran, Linsay Cunningham-Cross menyifatkan perbuatan tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bersyukur kejadian itu dirakam oleh operator CCTV sebelum berjaya ditangani dengan baik oleh pihak polis.

"Kes ini menunjukkan bagaimana kemudahan teknologi yang ada di bandar ini boleh membantu polis melindungi masyarakat daripada pelbagai jenayah,'' jelas Cunningham-Cross. Sementara itu, menurut Supritendan Phil Cain, insiden berkenaan berjaya dikesan dengan cepat oleh CCTV sehingga membolehkan polis tiba di tempat kejadian dalam masa beberapa minit sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini. "Saya memuji tindakan polis yang menangani masalah dengan begitu baik, mudah-mudahan remaja terbabit belajar daripada kejadian ini dan memperbaiki diri mereka pada masa akan datang,'' ujar Cain. - AGENSI




.

Bahaya dan kesan penggunaan produk tidak berdaftar berlabel 'Delima Raja Urat'



Bahaya dan kesan penggunaan produk tidak berdaftar berlabel 'Delima Raja Urat' | Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar berlabel 'Delima Raja Urat' yang dijual sebagai ubat tradisional Melayu di pasaran. Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Eisah Abdul Rahman berkata hasil ujian oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk itu mengandungi 'dexamethasone' iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952."'Dexamethasone' adalah agen anti radang biasa digunakan dalam rawatan alergi, yang hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh daripada farmasi dengan preskripsi doktor," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya 'Dexamethasone' tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional dan penggunaannya secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma. "Pesakit juga boleh mengalami 'Cushing's Syndrome' yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil," katanya. Menurutnya, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis adalah berisiko tinggi dan dinasihatkan tidak menggunakan produk ini.

"Ia berkemungkinan dicampur bahan terlarang kortikosteroid kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi serius," katanya. Eisah berkata individu yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Katanya syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini untuk menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil. "Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di 03-78835400 atau melayari laman sesawang http://www.bpfk.gov.my.," katanya. -HM





.

Reaksi anak pelakon Didie Alias diatas berita kehamilannya


Reaksi anak pelakon Didie Alias diatas berita kehamilannya | Pelakon dan pelawak, Didie Alias mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Daniel, 19, menangis apabila mendapat tahu dia sedang mengandung tiga bulan. Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammed Ali, 41, berkata, anaknya itu terlalu gembira kerana tidak menyangka akan mendapat seorang lagi adik. "Saya pada mulanya tidak memberitahu dia tentang keadaan saya tetapi apabila dia pulang bercuti dari universiti, saya tutup matanya dan meletakkan tangannya di perut saya. "Apabila mendapat tahu saya mengandung dia menangis kerana terlalu gembira kerana bakal mendapat adik," katanya kepada mStar Online. Didie ditemui pada majlis pengumuman 'Top 5' Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) di Hotel Royale Chulan di sini, Rabu.

Pelakon itu turut dicalonkan menerusi kategori Artis Komedi Wanita Popular pada acara yang bakal berlangsung pada 6 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang.Dalam perkembangan sama, Didie berkata, Daniel berharap dia akan mendapat anak lelaki sebagai temannya pada masa hadapan. Jelas Didie, dia tidak kisah tentang jantina anak tetapi mengharapkan kandungannya selamat tanpa sebarang masalah. "Pada usia saya sekarang risikonya banyak dan saya perlu lebih berhati-hati agar tiada sebarang kejadian buruk berlaku. "Bagaimanapun setakat ini semuanya berjalan lancar dan sentiasa mengikut arahan doktor," katanya. Tambah Didie, anak-anak sangat mengambil berat keadaannya dan melarang dia melakukan kerja-kerja berat ketika mengandung. Didie dan suaminya, Norisham Ismail berkahwin pada Mei 2009. Pelakon sejak era 80-an itu sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor, Ridzuan Hashim dan mempunyai lima orang hasil perkahwinan itu.

Sementara itu, Didie berkata, dia sangat bersyukur apabila sejak mengandung rezekinya melimpah ruah sehinggakan dia tidak sampai hati untuk menolak pelawaan pihak produksi. Jelas Didie, dia akan tetap aktif berlakon namun akan hanya memilih watak-watak yang sesuai dengan keadaannya sekarang. "Saya baru selesai menjalani dua penggambaran drama dan akan kembali berlakon dalam beberapa projek lagi. "Paling menyeronokkan apabila penerbit dan pengarah terkenal, Khabir Bhatia menelefon saya untuk berlakon dalam drama arahannya. "Saya cukup terharu kerana sudah lama mengimpikan untuk bekerja di bawah arahannya dan sudah tentu tidak akan menolak. Ini dinamakan rezeki anak," ujarnya. -Mstar





.

Lelaki maut terkena tembakan senapang buatan sendiri di Sabah


Lelaki maut terkena tembakan senapang buatan sendiri di Sabah | Seorang lelaki berumur 64 tahun maut dipercayai terkena tembakan senapang buatan sendiri yang meletup ketika dilemparkan ke dalam bot di Membakut, semalam. Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Mustaffa Maaroff Mustaffa berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki tempatan yang berasal dari Keningau itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian perutnya.

"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga ahli keluarganya dan seorang pemandu bot baru balik dari memburu kelawar dan mangsa telah melemparkan senjata dipanggil 'bakakuk' itu ke dalam bot sebelum meletup di Sungai Pimping, Membakut," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis pelancaran buku "Amalan Menyambut Kelahiran Menyusuri Sunah Nabi Akhir Zaman". Mustaffa berkata, mayat mangsa dibawa ahli keluarganya ke Hospital Keningau dan pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira 8 malam.

"Polis menahan tiga orang ahli keluarga mangsa yang berumur dalam lingkungan 30an untuk membantu siasatan," katanya. Katanya, polis turut menemui selaras 'short gun' berlesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!