Wednesday, December 18, 2013

Hebat : 2 pelajar Universiti New York cipta robot boleh terbang


Hebat : 2 pelajar Universiti New York cipta robot boleh terbang | Sebuah robot baharu yang boleh terbang dan meniru pergerakan seperti obor-obor diperkenalkan kepada umum dalam satu mesyuarat di sini pada Ahad lalu. Menurut laman web berita teknologi, Science Codex, pencipta robot tersebut, Leif Ristroph dan Stephen Childress memperkenalkan ciptaan unik mereka pada mesyuarat anjuran Bahagian Bendalir Kimia Persatuan Fizikal Amerika Syarikat. Ristroph dan Childress, kedua-duanya pelajar Courant Institute di Universiti New York memperkenalkan robot tersebut menerusi ciptaan mereka yang berjudul ‘Robot terbang dan pergerakan seperti obor-obor’. “

Cabaran utama mencipta robot ini termasuklah bagaimana untuk meniru dan menghasilkan pergerakan sayap yang stabil. "“Kami menggunakan lalat sebagai contoh untuk menghasilkan sayap yang stabil dan boleh terbang," kata Ristroph. Robot kecil itu mempunyai berat hampir dua gram dan panjang 10 sentimeter. Robot terbang yang masih belum diberi nama itu berfungsi dengan cara mengepak-ngepakkan sayapnya bagi menghasilkan momentum sebelum terbang. Pergerakan itu dilihat sama seperti pergerakan obor-obor di dalam air. Sayap robot itu disambungkan dengan motor kecil yang bertindak sebagai enjin penggerak. - AGENSI




.

Perbuatan pelik ibu hamil ini mencetuskan kontroversi



Perbuatan pelik ibu hamil ini mencetuskan kontroversi | Seorang wanita Britain mencetuskan kontroversi apabila aksinya memukul perut ketika mengandungkan anak sulung dirakamkan semata-mata mahu membuktikan kandungannya itu kuat. Aksi Heather Thorpe, 24, itu dirakamkan oleh bekas pasangannya, Sean Hanlon, sebulan sebelum wanita berkenaan melahirkan anak. Namun apabila Hanlon menyerahkan rakaman terbabit kepada polis, tiada tindakan diambil ke atas Thorpe dengan alasan tiada kesalahan dilakukan oleh wanita itu. Menurut Hanlon, 26, dia merakamkan video berkenaan pada Oktober tahun lalu selama lima saat menggunakan telefon pintar iPhone ketika masih bersama dengan Thorpe.

Malah katanya, bekas pasangannya itu turut menumbuk perutnya seolah-olah tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap bayi yang dikandungnya. "Saya tidak percaya tiada sebarang tindakan diambil polis ke atas Thorpe kerana dia boleh dikenakan hukuman tegas atas kesalahannya itu," katanya. Pasangan terbabit berpisah selepas Thorpe melaporkan kelakuan ganas Hanlon terhadapnya kepada polis. Dalam pada itu, siasatan Polis West Midlands yang bertarikh 3 Januari lalu mendapati, kandungan Thorpe berusia lapan bulan ketika video berkenaan dirakamkan.

"Kami menerima laporan berhubung kes itu pada Disember 2012, namun siasatan tidak menemukan sebarangan kesalahan daripada tindakan wanita terbabit. "Kes ini dirujuk kepada pusat perkhidmatan kanak-kanak dan remaja tempatan," katanya. Kisah bayi Thorpe, Mark Thorpe yang lahir dalam keadaan sihat dan kini berusia setahun dipaparkan dalam media baru-baru ini apabila bayi terbabit dikatakan mampu menari, berjalan dan bercakap pada usia yang masih muda. Thorpe yang kini tinggal bersama keluarganya di Chelmsley Wood, West Midlands enggan mengulas tentang kejadian berkenaan. - AGENSI





.

Kreatif : Buah jadi produk seni


Kreatif : Buah jadi produk seni | Beberapa peniaga menjual buah lelabu dijadikan produk seni yang dijual di sebuah pasar barang-barang antik di sini. Buah lelabu itu diukir dengan tulisan kaligrafi dan lukisan seperti wajah haiwan dan manusia. Trend menjadikan buah itu sebagai produk seni telah bermula sejak pemerintahan Dinasti Qing. Dinasti itu memerintah China dari 1644 hingga 1912. - Agensi



.




.

Bunuh anak kerana 'ganggu' hubungan cintanya


Bunuh anak kerana 'ganggu' hubungan cintanya | Seorang wanita menghadapi hukuman penjara selepas mengaku melemaskan anaknya yang baru berusia 15 bulan di Selat Inggeris hanya kerana budak itu ‘mengganggu’ hubungan cintanya. Kekejaman Fabienne Kabou itu dapat disaksikan hasil rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang menunjukkan wanita dari Senegal itu menolak anak perempuannya Adelaide ke pesisiran pantai di Berck sur Mer pada 19 November lalu. Mayat Adelaide ditemui nelayan dalam keadaan masih diikat pada kereta sorongnya.Dengan menggunakan data DNA yang ditemui pada kereta sorong itu, polis menahan Fabienne, 36, di sebuah rumah yang dikongsi dengan kekasihnya berusia 63 tahun di Paris 10 hari kemudian.

Penuntut jurusan falsafah itu memberitahu polis, dia mengambil tindakan kejam selepas melihat kehadiran Adelaide ‘mengganggu’ hubungannya dengan lelaki terbabit yang juga bapa mangsa. Kepada kekasihnya, Fabienne mendakwa Adelaide sudah diserahkan kepada neneknya di Senegal. Fabienne ditahan Sabtu lalu dan disoal hakim dalam sesi mahkamah tertutup sebelum diarahkan disiasat atas tuduhan bunuh. Peguamnya Fabienne Roy-Nansion berkata, wanita terbabit mengakui perbuatannya. Bapa kanak-kanak itu dilaporkan berkata Fabienne ibu yang baik, malah jiran ditemui juga terkejut dengan kejadian itu.

Kejadian itu menimbulkan kemarahan ratusan orang yang berhimpun di luar mahkamah serta pesisiran pantai dengan membawa atau memakai barangan berwarna putih - cara warga Perancis memprotes dalam kes membabitkan keganasan terhadap kanak-kanak. Sementara itu, pakar perundangan di Mahkamah Rayuan Paris, Gerard Lopez berkata, perbuatan Fabienne tidak boleh dianggap sebagai tindakan orang gila, sebaliknya sudah dirancang . “Siasatan kini perlu melihat sama ada dia menjadi mangsa penderaan fizikal atau psikologi pasangannya. “Ada orang yang menjadi keanak-anakan dan narsisistik selepas menjadi ibu. “Kita perlu mengkaji sama ada wanita itu terdorong akibat tekanan untuk memenuhi kehendak kekasihnya yang mahukan perhatiannya,” katanya. - Agensi





.

Inilah buktinya harimau tidak akan jadi jinak walaupun dipelihara sejak kecil oleh manusia


Inilah buktinya harimau tidak akan jadi jinak walaupun dipelihara sejak kecil oleh manusia | Seorang pelatih haiwan dikejarkan ke hospital selepas diserang harimau jagaannya di Zoo Australia, Queensland. Jurucakap zoo berkata, David Styles, 30, cedera parah tetapi stabil selepas lehernya tembus dibaham harimau yang dikendalikannya sejak kecil. “Pada awalnya keadaan tidak berbahaya tetapi harimau itu dipercayai terlalu teruja ketika bermain dengan Styles dan haiwan berkenaan membaham mangsa,” katanya. Kejadian itu berlaku ketika kira-kira 50 orang pengunjung melihat aksi Styles bersama harimau jagaannya.

Zoo berkenaan memang popular kerana ia diasaskan pakar hidupan liar dan personaliti televisyen, mendiang Steve Irwin. Jurucakap zoo berkata, Styles masih mendapatkan rawatan di hospital. Pengarah zoo itu, Wes Mennon berkata, pekerja lain menyaksikan insiden berkenaan dan menarik Styles yang bertugas di situ sejak sembilan tahun lalu. “Ketika insiden itu, pasukan kecemasan kami dikejarkan ke tempat kejadian segera. Mereka bertindak profesional dan tenang. Saya sanjung mereka,” katanya. Pihak berkuasa berkata, mangsa mengalami luka parah dan dalam keadaan sedar ketika diterbangkan ke hospital di Brisbane.

Pegawai perubatan Andrew Haggerty berkata, kecederaannya mungkin lebih buruk. “Leher ialah kawasan yang rumit dan mengandungi struktur penting termasuk pembuluh darah dan saluran udara. “Sebarang pendarahan di kawasan itu boleh menyebabkan komplikasi,” katanya. Laporan mengatakan Styles digigit selepas pertunjukan dan harimau berkenaan menyerang di bahu dan leher sebelum cuba melemaskannya di kolam dalam sangkar. Zoo Australia yang menyimpan tiga harimau Bengal dan lapan harimau Sumatera.- Agensi





.

400 Pelajar Asing Dakwa Ditipu Kolej, Program Diploma Tidak Wujud


400 Pelajar Asing Dakwa Ditipu Kolej, Program Diploma Tidak Wujud  | Kira-kira 400 pelajar asing mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan kolej dengan kerugian RM8 juta apabila program diploma yang dimohon tidak wujud. Para pelajar tersebut telah membayar RM20,000 seorang untuk yuran pengajian tetapi kemudian mendapati bahawa kolej berkenaan tidak menawarkan program itu. Pelajar Faheem Khan, 24, berkata dia datang dari India untuk mengikuti kursus diploma dalam pengurusan pelayaran di sebuah kolej tempatan yang menjanjikan gaji yang tinggi dan penempatan pekerjaan selepas tamat program. "Daripada pergi ke kelas, kami telah dihantar untuk bekerja di sebuah hotel lima bintang selama kira-kira 12 hingga 16 jam sehari dengan alasan menjalani latihan amali," katanya pada sidang media yang dianjurkan oleh Tenaganita baru-baru ini.

Faheem berkata, dia memfailkan tuntutan bayaran balik di Tribunal Pengguna dan memenangi kes itu tetapi kolej swasta terbabit mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi. "Pada 19 November lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu tetapi saya masih bimbang sekiranya kolej mungkin merayu lagi," katanya sambil menambah bahawa laporan polis terhadap kolej itu telah dibuat. Warga Nepal, Rojinna Risal, 22, berhenti kerja di negara asal kerana dia berpendapat ia sebuah kolej antarabangsa yang berkredibiliti. "Pegawai bahagian pengambilan memberitahu kami bahawa kami dijamin mendapat tempat latihan amali di syarikat-syarikat pelayaran yang diiktiraf dengan gaji bermula dari RM4,838 kepada RM8,063.

"Tetapi sebaliknya mereka memaksa kami untuk bekerja di hotel. "Visa kami akan tamat tempoh tidak lama lagi dan saya bimbang sekiranya pihak kolej akan melarikan wang kami," katanya. Pengarah Eksekutif Tenaganita, Dr Irene Fernandez menggesa pihak berkuasa untuk menggantung operasi kolej swasta itu kerana ia masih menarik ramai pelajar dari seluruh dunia. Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan berkata, kementerian akan menyiasat dakwaan-dakwaan itu terhadap institusi tersebut. "Kami tidak akan membiarkan amalan (penipuan) tersebut. "Tindakan akan diambil terhadap kolej sekiranya dakwaan itu benar," kata beliau sambil menambah bahawa kementerian memandang serius berhubung isu itu kerana ia boleh menjejaskan imej negara ini sebagai hab pendidikan antarabangsa.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!