Wednesday, December 11, 2013

Apa dah jadi dengan perutnya?


Apa dah jadi dengan perutnya? | Seorang lelaki mendakwa pembedahan yang cuai menyebabkan dia menanggung kesukaran apabila wujud benjolan pada perutnya. Yves Rivest, 36, berkata masalah itu bermula pada 2003 apabila sebuah lori sampah melanggarnya ketika dia bekerja. Insiden itu menyebabkan dia terbaring di bawah lori dan tayar depan kenderaan itu menggilis di antara kedua-dua pahanya sehingga ke perut. Bekas pekerja pembersihan dari Montreal itu berkata, dia koma selama tiga minggu dan mendapati bahagian dalam perutnya membonjol keluar. “Doktor kemudian menjalankan pembedahan untuk menutup bukaan pada perut tetapi gagal menyebabkan mereka melakukan pemindahan kulit untuk menutup bonjolan berkenaan,” katanya kepada media semalam.

Rivest berkata selepas kemalangan itu doktor ada bertemu dengannya dan menjelaskan keadaan itu mungkin hanya berlanjutan sekurang-kurangnya setahun. “Sebaik saja perut saya sembuh, mereka akan membedah saya sekali lagi untuk memulihkan keadaan,” katanya. Mereka memang melakukan pembedahan itu tetapi malangnya ia tidak bertahan lama. Kata Rivest, berlaku tekanan kuat pada perutnya menyebabkan kantung itu terkeluar semula. Keadaan itu, kata Rivest, memaksa doktor mengambil kulit pada kakinya untuk menutup benjolan berkenaan pada 2004. Kini, kata Rivest, benjolan itu membesar sehingga 70 sentimeter dan seberat hampir 13 kilogram. Masalahnya, kata Rivest, doktor enggan membedah untuk membetulkan keadaan kecuali dia berjaya menurunkan berat badannya. - Agensi





.

Alhamdulillah.. Rebecca derma duit saman untuk mangsa banjir


Alhamdulillah.. Rebecca derma duit saman untuk mangsa banjir | Pelakon Rebecca Nur Al-Islam akan mendermakan keseluruhan wang berjumlah RM11,200 yang diterima hasil memenangi saman terhadap pengarah dan penerbit, Erma Fatima kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang dan pihak lain yang memerlukan. Ujar Rebecca, pihak peguamnya memberitahu, pihak Erma telah pun membayar baki bayaran lakonan seperti yang diperintahkan pihak mahkamah sebelum ini, semalam. Erma sekali lagi mencetuskan rasa kecewa Rebecca apabila menjelaskan saman berkenaan dengan wang bernilai RM1. "Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian, mungkin ini membuktikan dia masih tidak ikhlas mahu melakukan pembayaran mengikut arahan mahkamah. Bagaimanapun untuk tidak memanjangkan lagi kes ini, saya terima.

"Kini saya dalam perjalanan ke Kuantan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi banjir di sana dengan menggunakan duit tersebut," ujarnya yang telah membeli barang-barang seperti makanan dan keperluan harian asas. Pada 8 November lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan Erma membayar sebanyak RM11,200 sebagai baki bayaran lakonan Rebecca dalam drama arahan pengarah itu, Dejavu di Kinabalu. Terdahulu, Erma telah membuat bayaran tersebut dengan wang syiling lima sen yang disertakan dengan senaskhah al-Quran tetapi ditolak Rebecca setelah mendapatkan nasihat daripada pihak peguamnya. - Utusan




.

Malang buat si pencuri, apabila jatuh cinta dengan mangsa



Malang buat si pencuri, apabila jatuh cinta dengan mangsa | Seorang pencuri jatuh cinta dengan pemilik laptop yang dicurinya tetapi hasratnya keluar bersama mangsa tidak kesampaian selepas ditahan polis. Suspek itu yang bernama Yang, 20, mungkin tidak menyangka anggota polis hadir bersama wanita berkenaan di tempat pertemuan mereka.


Tidak percaya 

Mangsa tidak mempercayai Yang meskipun lelaki itu berjanji memulangkan laptopnya. Yang didakwa mencuri laptop itu yang berharga 2,300 yuan (RM1,150) pada September lalu selepas masuk ke dalam pangsapuri mangsa menerusi tingkap yang tidak bertutup di daerah ini. Yang kemudian jatuh hati dengan mangsa selepas menatap banyak gambar wanita itu dalam laptopnya dan menghubungi mangsa menerusi program bual bicara online.


Janji temu 

Dia kemudian berjanji kepada wanita itu untuk memulangkan laptopnya jika dia setuju keluar bersamanya. Bagaimanapun, mangsa segera menghubungi polis dan memberitahu tempat dan masa pertemuan itu membolehkan polis menahan Yang yang membawa laptop itu. -AGENSI




.

Hujan meteor Geminids di Malaysia jumaat ini



Hujan meteor Geminids di Malaysia jumaat ini | Langit Malaysia diterangi juraian hujan meteor Geminids mulai Jumaat ini hingga 17 Disember, menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) semalam. Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 Disember hingga 14 Disember ini. “Titik meteor Geminids adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September lepas hingga April tahun depan.

“Pada tahun ini, kenampakannya tidak begitu baik kerana waktu kemunculannya sama dengan fasa bulan hampir purnama (91 peratus penuh),” demikian menurut kenyataan itu. Mereka yang berminat menyaksikan hujan meteor boleh berbuat demikian dengan memandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam hingga subuh di kawasan lapang dan gelap. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734303 atau 03-22734301. - BERNAMA




.

Angkara kekasih tidak boleh berhenti membeli belah, dia bunuh diri


Angkara kekasih tidak boleh berhenti membeli belah, dia bunuh diri | Seorang lelaki maut apabila terjun di sebuah Pusat Membeli-belah gara-gara berang dengan teman wanitanya yang mendesak mangsa untuk memasuki pelbagai kedai pakaian disana. Rakaman CCTV menunjukkan Tao Hsiao, 38, mengekori teman wanitanya di sekitar pusat membeli-belah yang terletak di Xuzhou, Jiangsu, wilayah Timur China. Selepas lima jam menemani teman wanitanya membeli-belah, Tao akhirnya merasa sudah cukup dan mengajak pulang ke rumah. Menurut saksi kejadian, lelaki tersebut berkata, mereka sudah membawa banyak beg (selepas membeli-belah), namun teman wanitanya mendesak untuk berkunjung ke sebuah kedai kasut kerana terdapat tawaran harga istimewa.

Seorang saksi berkata: Dia (Tao) memberitahu kepada teman wanitanya bahawa koleksi kasut yang dimilikinya sudah terlalu banyak untuk dipakai, dan membazir sekiranya masih ingin membeli lagi. 'Dia (teman wanita) mula menjerit kepada kekasihnya dengan menuduh teman lelakinya sebagai seorang yang kedekut dan telah merosakkan kegembiraan menyambut Krismas, dan ianya suatu pertengkaran yang sangat panas' Pertengkaran berakhir apabila lelaki itu mencampak beg ke lantai dan melompak dari atas balkoni.

Tindakan itu menyebabkan hiasan Krismas hancur sebelum mangsa jatuh ke lantai dan mengakibatkan pembeli lari berkeliaran ekoran terkejut. Pihak Kecemasan tiba di tempat kejadian tnamun mendapati Tao meninggal dunia serta-merta sejurus kejadian akibat kesan terjatuh daripada balkoni tersebut. Jurucakap pusat membeli-belah berkata, mayat mangsa telah dialihkan dengan segera. 'Mangsa telah menghempap salah sebuah gerai sebelum terjatuh ke lantai mengakibatkan kerosakan kepada gerai tersebut. Namun, tidak mengakibatkan kecederaan orang awam. 'Ini merupakan satu insiden yang tragis, tetapi tahun ini (musim Krismas) telah memberi tekanan kepada orang ramai.' -DM




.

Berita baik buat pemohon pasport warga Malaysia



Berita baik buat pemohon pasport warga Malaysia | Mulai 1 Mac depan, warga Malaysia yang memohon pasport baharu, penggantian pasport atau penyambungan pasport gantian tidak perlu membawa foto untuk dilekatkan di borang permohonan mereka. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemohon hanya perlu datang ke pejabat imigresen untuk mengambil gambar mereka. "Tiada caj dikenakan untuk pengambilan foto itu dan tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan pengambilan gambar berkenaan kerana ia adalah arahan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus kepada beliau dan Jabatan Imigresen baru-baru ini," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Hari Imigresen 2013 di ibu pejabat Jabatan di sini semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mod Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad. Dalam pada itu, Alias berkata bagi 2012, Jabatan Imigresen menerima sebanyak 2.3 juta pemohon pasport Malaysia. Justeru itu, jabatan menjangkakan tahun ini (2013) pemohon meningkat kepada 2.6 juta. -Bernama




.

10 Gambar malam berinai Rozita Che Wan dan Zain Saidin


10 Gambar malam berinai Rozita Che Wan dan Zain Saidin | Pelakon Rozita Che Wan tampil menawan apabila menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta sempena malam berinai yang berlangsung di Dewan N'Dah Shah Alam di sini, malam Selasa. Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 40, memasuki dewan kira-kira pukul 9 sambil menggayakan kebaya moden berwarna ungu gelap rekaan Rizman Ruzaini ditemani bakal suaminya aktor Zain Saidin, 29.


Pelakon drama Kiah Pekasam itu menggayakan barangan kemas pertama delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta.


Duduk di atas pelamin yang dihiasi bunga putih, Rozita dan Zain turut memakai inai tajaan My Beautiful Henna. Selepas selesai majlis berinai, pasangan tersebut menukar persalinan kedua dari rona putih rekaan Bianco Mimosa.



 Pada sesi kedua itu Rozita turut menggayakan set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar bernilai RM5 juta.


Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet.


Sementara itu, anak sulung kepada Rozita, Ammar Effendy, 17, gembira ibunya bakal mengakhiri zaman jandanya dan berharap kebahagiaan tersebut kekal ke akhir hayat. "Tiada apa yang lebih penting dari melihat ibu gembira dan Uncle Zain juga saya lihat seorang yang bertanggungjawab dan baik hati," katanya.


Pasangan itu akan dinikahkan pada malam Rabu di Pusat Konvensyen Setia City di sini selepas solat Maghrib.




.

Penemuan mayat lelaki bogel dalam selimut ditemui di tepi jalan



Penemuan mayat lelaki bogel dalam selimut ditemui di tepi jalan | Mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangannya terikat ditemui orang ramai di dalam semak di tepi jalan berdekatan Kuari Weng Lee, Berapit di sini. Mayat yang ditemui pada pukul 10.35 pagi itu dibaluti selimut berwarna putih dan dalam keadaan kembung, menggelupas serta berbau busuk. Beberapa orang awam yang menemukan bungkusan tersebut membukanya tetapi terkejut apabila mendapati ada mayat yang masih terikat kaki dan tangannya. Mereka kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Azman Abd. Lah ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di kawasan berkenaan. Menurutnya, polis tidak dapat mengesahkan identiti mangsa kerana tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya.

"Kita sedang menyiasat dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti motif kejadian dan bagaimana mayat dibuang di sini," katanya di sini hari ini. Mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. - Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!