Wednesday, November 27, 2013

Stesen radio berbahasa Melayu terbaharu, Ultra.fm



Stesen radio berbahasa Melayu terbaharu, Ultra.fm | Sebuah stesen radio berbahasa Melayu terbaharu, Ultra.fm telah dilancarkan untuk para pendengar di kawasan Lembah Klang melalui frekuensi 101.3 fm. Jelas Pengurus Besar Copyright Laureate Sdn. Bhd., Hawa Abdul Hamid, stesen radio ini ditubuhkan atas tiga asas utama iaitu generasi muda, pembangunan modal insan dan kepelbagaian. "Setelah menjalankan percubaan selama beberapa bulan, Ultra.fm kini sedia untuk dilancarkan secara rasmi.

"Selain bertujuan hiburan dan menyiarkan lagu-lagu popular semasa, kami juga mahu menyuntik semangat positif dalam diri masyarakat khususnya warga Lembah Klang," ujarnya. Stesen radio yang dahulunya dikenali dengan nama U.fm ini membariskan nama-nama popular sebagai penyampai antaranya Sharifah Shahirah, Jimmy Shanley, Mamat Sepah dan Mon Ryanti. - Utusan




.

Nabil Zamanhuri (Mentor) bertunang dengan gadis kelahiran Surabaya, Adelia Citra Hapsari



Nabil Zamanhuri (Mentor) bertunang dengan gadis kelahiran Surabaya, Adelia Citra Hapsari | Sabtu lalu, penyanyi Nabil Zamanhuri, 26, selamat bertunang dengan Adelia Citra Hapsari, 25, anak kelahiran Surabaya, Indonesia di sebuah restoran terkemuka di ibu kota. Pun begitu dalam suasana kegembiraan meraikan hari penting buat naib juara rancangan realiti Mentor musim pertama itu sebenarnya ada perkara lain merunsing fikiran. Nabil resah memikirkan penerimaan orang sekiranya mahu membuat penampilan semula. Maklumlah selepas tamat pengajian dalam bidang animasi filem di Universiti Multimedia (MMU) tahun lalu, dia kurang muncul di media. Dengan kemunculan ramai pendatang baru, dia juga gelisah melihat keadaan dirinya yang agak ke belakang daripada publisiti. Namun begitu Nabil tetap bersikap optimis kerana biarpun sunyi daripada aktiviti seni, Nabil masih aktif dalam kerja-kerja pembikinan filem.

Minat utamanya kini lebih kepada kerja-kerja di bahagian imej janaan komputer (CGI). Malah Nabil pernah memenangi anugerah pilihan audiens menerusi filem berjudul Ganggu di pertandingan filem pendek 48 Hour Film Project 2012. “Saya tak duduk diam selepas tamat belajar di MMU. Saya pernah kerja di Studio Rythm & Hues selama enam bulan sebelum berhenti dan bekerja sambilan sebagai pembikin grafik CGI. “Kalau ada masa lapang, saya cuba isi dengan kerja-kerja membuat lagu pula. Saya merancang untuk mengeluarkan single terbaharu pada tahun awal tahun depan. “Kalau boleh saya nak pastikan penampilan semula dalam bidang seni ini benar-benar bermakna. “Kalau ada impak dan semua orang terima barulah saya puas hati," kata penyanyi lagu Halimunan ini yang ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor.


Jodoh sudah tiba 

Bermula sebagai teman biasa di MMU, Nabil dan tunangnya yang mesra dipanggil Adel menganggap usia perkenalan selama tiga tahun cukup untuk membawa mereka ke peringkat serius. Pun begitu Nabil menafikan urusan pertunangan bakal mengganggu perjalanan karier seninya. “Soal jodoh memang tak boleh dijangka. Umpama rezeki, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa depan. Saya tak jadikan urusan pertunangan saya sebagai satu masalah besar. “Rugilah kalau saya lepaskan peluang bila berjumpa dengan orang yang betul-betul memahami saya. Sanggup susah senang bersama," katanya penuh makna. Nabil menambah dia tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama untuk melangsungkan perkahwinannya selepas mengikat pertunangan dengan Adel.

Tanpa memberitahu secara spesifik tarikh perkahwinannya yang dijangka awal tahun depan, Nabil mengakui sudah bersedia dengan tanggungjawab dan komitmen rumah tangga. Dalam pada itu ketika ditanya tentang kriteria yang membuatkan Adel terpikat dengan Nabil, dalam tersipu-sipu malu dia memberitahu tertawan dengan sikap selamba, baik dan sabar tunangnya itu. “Saya tak tahu pun Nabil adalah artis. Tapi saya tak kisah pun tentang latar belakangnya kerana saya menilai keikhlasan hati Nabil yang menerima saya seadanya," kata Adel yang kini bekerja sebagai ketua bahagian pasca penerbitan di sebuah studio di ibu kota. -Utusan




.

Seorang pendakwah bebas tegur kos kahwin Zain, Che Ta


Seorang pendakwah bebas tegur kos kahwin Zain, Che Ta | KETIKA negara heboh memperkatakan tentang "Wedding of The Year" pasangan Zain Saidin dan Rozita Che Wan yang menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM13 juta, seorang pendakwah bebas memberikan peringatan ini. “Di mana keberkatannya sesebuah perkahwinan itu kalau sebelum kahwin, kita sudah membuat perkara yang dilarang ALLAH termasuk dalam hal membabitkan pembaziran dan bermegah-megah ketika mengadakan majlis," ujar Ustazah Zawiyah Hassan. Nasihat itu dilontarkan Ustazah Zawiyah menerusi Harian Metro. “Itu belum lagi dalam perkara yang seolah-olah menjadi trend sekarang bagi pasangan sebelum berkahwin untuk kononnya bergambar pra-perkahwinan sambil berpelukan dan berpegangan tangan,” katanya lagi.

 Tegasnya, perkahwinan merupakan suatu ibadat, namun jika majlis meraikannya dibuat secara besar-besaran sehingga berlaku pembaziran, bagaimana hendak mendapatkan keberkatan ALLAH. “Kalau nak kata buat majlis besar sebab kepuasan diri, memang manusia ini selalunya tidak pernah puas, cuma kalau boleh dielak, elaklah. Kita berkahwin sebab nak dapat reda ALLAH, bukan pandangan orang sekeliling terhadap majlis yang akan dilaksanakan,” katanya. Jelas Ustazah Zawiyah, hukum sebenar kenduri kahwin hanya sunat sebagaimana sabda Rasulullah iaitu mengadakan kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing. Namun apa yang membimbangkan kini katanya, majlis perkahwinan secara besar-besaran sehingga berlaku pembaziran seolah-oleh sudah menjadi trend walaupun pada masa yang sama terdapat ramai orang memerlukan.

Zawiyah yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sebaik-baik perkahwinan itu sederhana belanjanya supaya mendapat rahmat dan keberkatan. Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta pada hari bahagianya akan menggayakan set barangan kemas tajaan Habib Jewel bernilai RM10 juta. Pada majlis pernikahan yang akan berlangsung di Gazebo Pusat Konvensyen Bandar Setia, Setia Alam, itu nanti, Che Ta bakal menerima wang hantaran RM23,200, mas kahwin bernilai RM9,300 serta sebentuk cincin perkahwinan dianggarkan berharga RM93,000. Majlis berinai Che Ta akan diadakan pada 10 Disember ini dan seterusnya, majlis resepsi pasangan pengantin berlangsung pada 13 Disember 2013 di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Bandar Setia, Setia Alam, jam 8.30 malam. -SH





.

Haiwan secomel arnab dizalimi dengan kejam



Haiwan secomel arnab dizalimi dengan kejam | Penternak arnab di China sanggup bertindak zalim menyiat bulu haiwan itu demi keuntungan berganda. Dalam keadaan kaki dan tangan diikat, bulu arnab disiat dua hingga tiga bulan sekali. Selepas itu, arnab dibiarkan pulih dalam sangkar kotor hingga ada yang terkena jangkitan. Pengarah hak asasi haiwan Peta Britain Mimi Bekhechi berkata, arnab berusia dua dan lima tahun dibunuh jika bulunya tidak tumbuh. "Kami memboikot baju sejuk atau selendang tertulis angora," katanya. - Mail Online




.

Bapa Mengaku Tidak Bersalah Dalam Kes Sumbang Mahram



Bapa Mengaku Tidak Bersalah Dalam Kes Sumbang Mahram | Seorang peniaga didakwa melakukan hubungan seks dengan anak perempuannya yang berusia 21 tahun. Peniaga berusia 46 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan seks dengan anak perempuannya di rumah mereka di Taman Cheras Perdana pada pukul 3 pagi, 23 Oktober lalu. Ketika ditanya berhubung pengakuannya dalam bahasa Mandarin, peniaga itu dilihat teragak-agak sebelum dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Tertuduh yang memakai baju-T berwarna kuning air dan berseluar coklat dilihat mendiamkan diri dan merenung ke lantai sepanjang prosiding.

Dia boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah di bawah Seksyen 376B Kanun Kesesakan kerana melakukan sumbang mahram. Di bawah Seksyen 376A, seseorang yang melakukan perbuatan sumbang mahram dengan mengadakan hubungan seks dengan individu yang mempunyai pertalian darah yang tidak membolehkan mereka berkahwin dengannya mengikut undang-undang, agama dan adat. Timbalan Pendakwa Raya, Siaw Chooi Chin meminta mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin. Peguam Douglas Yee tidak membantah kerana anak guamnya tidak mampu membayar ikat jamin itu. Hakim Nor Hazani Hamzah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk sebutan semula kes.

The Star melaporkan pada Khamis lalu bahawa lelaki tersebut didakwa melakukan hubungan seks dengan anak perempuannya di rumah mereka di Kajang apabila isterinya tiada di rumah. Seorang pakcik, yang mengusahakan kedai gunting rambut, tempat mangsa bekerja, mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila terbaca satu khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah di antara mereka. Anak perempuannya mengaku melakukan hubungan seks dengan bapanya sejak berusia 18 tahun. -Mstar





.

Rakyat Malaysia disyor menukar MyKad baru yang lebih berkualiti



Rakyat Malaysia disyor menukar MyKad baru yang lebih berkualiti | Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesyorkan rakyat Malaysia menukar MyKad baru yang lebih berkualiti dan mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk mengelak ia dipalsukan. MyKad baru dibuat menggunakan teknologi terkini dan memiliki ciri-ciri keselamatan dikatakan mudah untuk dikesan jika dipalsukan. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin MyKad baru itu dapat melumpuhkan sindiket pemalsuan kad pengenalan Malaysia. Saya mahu dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) ini, seluruh rakyat Malaysia sudah memiliki kad pengenalan berciri baru ini, katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Inovasi KDN 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.


Teliti kaedah lain 

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga sedang meneliti kaedah lain yang boleh membantu mengesan perbezaan MyKad tulen dengan MyKad palsu tanpa perlu ke ibu pejabatnya. Katanya, KDN turut bercadang mengintegrasikan semua agensi di bawah seliaannya untuk membantu melaksanakan penguatkuasaan dalam membanteras sindiket pemalsuan MyKad. Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia turut membantu dalam menangani masalah MyKad palsu di seluruh negara dan ia akan dijalankan secara berterusan, katanya. Semalam, BH melaporkan KDN akan meminda Akta Fi 1951 supaya kadar denda lebih tinggi dikenakan untuk kehilangan MyKad. Arahan itu dibuat Ahmad Zahid berikutan kehilangan lebih 500,000 MyKad seperti yang dilaporkan JPN baru-baru ini. Zahid Hamidi menyifatkan jumlah kehilangan MyKad amat serius dan tidak boleh berkompromi. -BH




.

Kisah seram berlaku di Kelantan dan Terengganu


Kisah seram berlaku di Kelantan dan Terengganu | Cerita langsuir mengganggu penduduk yang sebelum ini hanya diketahui penduduk di beberapa kampung di sini dan Jerteh, Terengganu akhir-akhir ini menjadi perbualan hangat apabila isu itu tersebar melalui laman sosial. Cerita itu menarik perhatian penduduk dari luar kawasan yang memasuki kampung terlibat seperti Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh) secara berkumpulan. Tinjauan mendapati ada penduduk mengakui terserempak dengan lembaga berambut panjang yang berterbangan sambil mengilai dengan suara mengerikan tapi ada sesetengah penduduk menafikannya. Rujuk mereka yang layak Pegawai Agama Jajahan, Ahmad Talhah Ab Rahman berkata, beliau tidak jelas mengenai perkara itu kerana hanya mengetahui cerita mengenai langsuir itu melalui Facebook. “Susah nak cakap sebenarnya.

Tak nak percaya tak boleh juga kerana kita kena ingat Islam juga mengajar umatnya mempercayai perkara ghaib seperti wujudnya jin dan syaitan. “Cuma jangan kita panik dan terlalu takut kerana ia boleh menjejaskan iman. Kena sama-sama jaga akidah dengan sentiasa merujuk kepada pakar atau orang yang layak membicarakannya,” katanya. Beliau tidak menafikan ada mendengar cerita mengenai bomoh yang berjaya ‘menangkap hantu’ namun katanya, perlu berhati-hati kerana jin juga mungkin menipu dengan berpura- pura terperangkap. Ahmad Talhah berkata, sekali pun langsuir didakwa penduduk itu betul, makhluk itu tidak memudaratkan kerana ia mungkin jin yang mahu mengganggu manusia.


Suara mengerikan

Penduduk Kampung Penaga Putar, Tuan Muda Tuan Mat, 48, berkata, dia melihat kelibat lembaga yang berterbangan sambil mengilai panjang ketika pulang ke rumah dengan menunggang motosikal jam 12 tengah malam, minggu lalu. Katanya, walaupun tidak nampak dengan jelas ketika dia memberhentikan motosikal, suara lembaga itu menyebabkan bulu romanya meremang dan memaksanya bergegas pulang. Perasaan takut datang lagi ketika saya tersedar dari tidur pada malam itu. Sebelum ini saya ada dengar orang kampung cerita pasal langsuir tetapi saya tidak percaya sehinggalah saya berdepan dengannya. Saya pernah beberapa kali terserempak dengan hantu. Suara langsuir menyeramkan tapi saya tak endahkan,’ katanya.



Sudah dipasung 

Seorang bomoh dari Kampung Gong Manak, Ramli Yusof, 41, ketika ditemui mendakwa telah menangkap kesemua empat langsuir yang mengganggu penduduk iaitu dua di Gong Pasir, satu di Gong Tinggi dan satu di Gong Lapang. Katanya, lembaga dengan ketinggian paras pinggangnya itu ditangkap dengan bantuan seorang rakan tidak sampai 10 minit dengan menggunakan ayat al-Quran. “Saya ‘memasungkannya’ di satu tempat khusus dan akan ‘menghantarnya balik ke tempat asal’ selepas 40 hari ditangkap. Saya tidak tahu dari mana ia datang kerana inilah kali pertama saya menangkap langsuir. “Sebelum menangkap, saya membaca jampi di rumah dan ketika itu, penduduk memberitahu terdengar langsuir berteriak seperti kesakitan, bukan lagi mengilai,” katanya yang terlibat dengan aktiviti seperti itu sejak empat tahun lalu. -SH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!