Thursday, November 14, 2013

Kenali iPad Mini baru yang sudah mula memasuki pasaran


Kenali iPad Mini baru yang sudah mula memasuki pasaran | Versi terbaharu iPad Mini keluaran Apple mula memasuki pasaran kelmarin. Gajet mini itu merupakan versi iPad lebih kecil yang pertama menampilkan paparan resolusi tinggi yang dikenali sebagai retina. Ia turut dilengkapi cip jimat tenaga A7 dengan fungsi wayarles lebih pantas. Komputer tablet itu didatangkan dalam dua warna iaitu perak atau kelabu. Versi wayarles akan dijual pada harga bermula AS$399 (RM1,281) untuk model berkapasiti 16 gigabit manakala harga permulaan untuk model selular 16 gigabit pula ialah AS$529 (RM1,699). - AP




.

Info mengenai WTC baru iaitu menara tertinggi di Amerika sebaik siap dibina


Info mengenai WTC baru iaitu menara tertinggi di Amerika sebaik siap dibina | Pusat Dagangan Dunia (WTC) baharu yang dibina di tapak runtuhan menara berkembar dalam kejadian 11 September 2001, di sini, diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat (AS) sebaik-baik ia siap dibina, sekali gus mengenepikan Sea Towers di Chicago. Arkitek di Majlis Bangunan-Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH) bersetuju bahawa antena berukuran 124.4 meter pada bangunan itu merupakan senibina tetap dan perlu dikira dalam menentukan ketinggiannya. "Reka bentuk WTC itu sebagaimana diterangkan kepada kami, mengukuhkan peranannya sebagai simbol kebangkitan semula di tapak yang penting ini.

"Secara khususnya, puncak menara yang menempatkan lampu keselamatan, memancarkan simbolik ketinggian bangunan setinggi 1,776 kaki atau 541.3 meter itu,'' kata Pengarah Eksekutif CTBUH, Antony Wood. Menurut CTBUH, ukuran ketinggian WTC yang mengambil kira tahun kemerdekaan AS dipilih bagi menegaskan prinsip-prinsip di sebalik penubuhan negara dalam menghadapi serangan yang memusnahkan bangunan asalnya sebelum ini.

Pencakar langit baharu itu dibangunkan di tapak asal WTC yang menjadi ikon menara berkembar sebelum runtuh dalam kejadian pada 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa. Tanpa antena itu, WTC hanya berketinggian 417 meter, lebih rendah berbanding Sears Tower di Chicago yang kini dinamakan sebagai Willis Tower dengan ketinggian 442 meter. Setelah siap awal tahun depan, WTC baharu New York akan muncul sebagai bangunan ketiga tertinggi di dunia selepas bangunan pencakar langit Burj Khalifa di Dubai dan Menara Jam Diraja Mekah. - AFP





.

Akhirnya dia pulang ke pangkuan ibunya..


Akhirnya dia pulang ke pangkuan ibunya.. | Seorang lelaki kelahiran Amerika Syarikat yang diculik ketika kanak-kanak dan dibawa ke Mexico sejak 1979 berjaya pulang dan menghubungi ibunya di Wisconsin. David Amaya Barrick, 37, ditahan Pengawal Sempadan Amerika bulan lalu tetapi dibebaskan selepas meyakinkan pihak berkuasa mengenai kewarganegaraannya dan menghubungi ibunya buat kali pertama sejak diculik. Dia kemudian didapati hilang sekali lagi selama beberapa hari. Ibunya, Kathy Amaya, 60, terlalu sedih dengan kehilangannya sehingga menelefon polis San Diego minggu lalu untuk membuat laporan.

David mendapat perlindungan di Iglesia de Cristo Minesterios Llamada Final dan pegawai gereja sedang cuba menguruskan pertemuan dengan ibunya yang tinggal di Eau Claire, Wisconsin. “Kami akan cuba menemukannya semula dengan keluarganya,” kata paderi Freddy Rivas. David diculik dari Chicago oleh bapanya dan dibawa ke Mexico sebelum ditinggalkan bersama datuk dan nenek sebelah bapanya. Dia membesar di wilayah utara tengah Mexico, San Luis Potosi, berjumpa bapanya beberapa kali, kemudian membuat perjalanan ke bandar timur laut Monterrey untuk belajar muzik.


Masuk secara haram

Minggu lalu, dia melintas masuk California secara haram dari Mexico tanpa dokumen dan ditahan Pengawal Sempadan 1.6 kilometer di timur Lautan Pasifik. Ketika ditahan, David memberitahu anggota keselamatan bahawa dia warga Amerika kerana dilahirkan di sebuah hospital Chicago. Dia juga memberitahu, dia dipukul dan wang, telefon bimbit serta pengenalan Mexico dirompak sebelum memasuki Amerika. Anggota keselamatan yang memeriksa kisahnya berjaya mengenal pasti sijil kelahiran dan ibunya sebelum membenarkan mereka berbual di telefon dalam panggilan penuh emosi. REUTERS




.

Lelaki ini nekad bunuh diri dengan kejam


Lelaki ini nekad bunuh diri dengan kejam | Mayat seorang lelaki 50-an ditemui dalam keadaan berbogel dengan seluruh badan rentung di sisi sebuah tong berisi petrol berhampiran sebuah pondok taman permainan di Taman Sayang, Gopeng, di sini, tengah hari semalam. Mayat mangsa dengan ketinggian 160 sentimeter ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dengan kesan melecur teruk di badan dan bahagian muka di tepi satu nota tertulis ‘saya bunuh diri dengan kejam’ (bahasa Mandarin).


Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam mengenai penemuan mayat mangsa di taman berkenaan pada jam 12.50 tengah hari. Beliau berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi menjalankan siasatan. “Pemeriksaan oleh Unit Forensik serta pakar patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati tiada unsur jenayah ditemui. -HM




.

Mayat lelaki dalam keadaan ngeri atas kereta proton waja



Mayat lelaki dalam keadaan ngeri atas kereta proton waja | Seorang lelaki pengsan apabila mendapati satu mayat lelaki terlentang di atas bumbung keretanya yang diparkir di Pangsapuri Sri Saujana, Lebuh Macallum di sini Rabu. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 petang mengatakan terdapat pemandu tersepit dalam kereta jenis Proton Waja itu. "Apabila tiba di lokasi kejadian, kita dapati ada mayat lelaki di atas bumbung kenderaan yang remuk teruk manakala pemiliknya pengsan di hadapan kereta itu," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Liew Kam Ming, 49, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kaki kanannya hampir putus dipercayai akibat terjatuh daripada tingkat 24 pangsapuri berkenaan. Beliau berkata mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.. "Kita sedang mengesan ahli keluarga Liew untuk tampil membantu siasatan dan menuntut mayatnya," katanya. - BERNAMA




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!