Wednesday, November 6, 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO! - SYIMA SYAWAL




JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO! - SYIMA SYAWAL | Novel ni memang sangat berbeza dengan watak-watak novel pada umumnya, yang memang selalu memiliki heroin yang ayu atau cantik, sebab watak Mira Maira ni memang sangat sederhana orangnya. Sudahlah kurus, berkulit gelap, malah memiliki latar belakang yang tidak berapa baik. Kerana kekurangan yang sangat besar itu, ada saja yang sering memandang rendah padanya dan tak kurang ada saja yang melontarkan kata-kata tidak enak didengar padanya.

Kononnya atas sesuatu sebab, Mira Maira disatukan dengan seorang lelaki yang tidak pernah dikenalinya, bernama Alif Hazriq seorang CEO sebuah syarikat produk kecantikan uminya ketika Mira Maira akan menduduki peperiksaan STPM. Sungguh, perkahwinan itu dirahsiakan, tidak ada yang tahu. Malah Mira Maira sedar 'kedudukannya' dalam hati si suami. Sudahlah panggilannya pada Mira Maira adalah 'keding', sungguh kurang mesra. Akibat pujukan umi dan babah, Alif bersetuju mengambil Mira Maira dari kampung dan isterinya diberi kerja sebagai pembantu PA di pejabat, tanpa orang lain mengetahui hubungan mereka.


Dalam pada 'menjaga' hubungan mesra suami isteri di depan umi dan babah, dibelakang Alif masih ligat melayan kekasih hatinya Dyna tanpa memperdulikan perasaan Mira Maira yang sering dibiarkan kesunyian tinggal seorang diri di sebuah rumah. Bagi Mira Maira, mana mungkin dia dapat menandingi Dyna, satu-satunya kekasih hati suami sendiri, malah kesempurnaan Dyna terlihat daripada kedudukannya sebagai model dan duta kosmetik produk umi Alif sendiri.

Pun begitu, sedikit sebanyak hati Alif terusik, apabila melihat isteri sendiri dipuja lelaki lain, dan sahabat sendiri antaranya. Malah, sikap Dyna yang sering mendesak untuk berkahwin dengannya membuatkan Alif mula 'melihat' isteri sendiri dari perspektif yang berbeza. Isteri yang menyenangkan hati mertua, pandai masak, pandai jaga kehormatan diri dan paling penting isteri yang selalu meminta izin darinya untuk melakukan apa saja. Itulah Mira Maira. Mana mungkin Dyna akan menjadi seperti itu. Namun hakikatnya mampukah Alif membuang ego dan mengakui rasa cintanya buat isteri yang 'tak cantik' itu?

Marilah berkongsi rasa, membaca kisah dari tulisan penulis berbakat ini. Menyusuri kisah hidup Mira Maira yang akhirnya menemui kebahagiaan setelah menempuh pelbagai dugaan hidup, yang ternyata menjadikannya lebih kuat dan yakin..




Jangan Pandang Sebelah Mata, Bro!
Ingat orang cantik saja ke yang
boleh nikmati rasa cinta?





Tajuk : Jangan Pandang Sebelah Mata, Bro!
Penulis : Syima Syawal
Halaman : 564 muka surat
Harga : RM23/RM26






P/S - Recommended by Lulu Caldina





.

Punca Calon SPM rebah dan meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan



Punca Calon SPM rebah dan meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan | Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini. Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini. Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu. Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.

Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini. Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum ini.

"Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa. "Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya. Beliau berkata Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A. "Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - BERNAMA





.

Lelaki itu ditembak kerana di sangka seekor rusa


Lelaki itu ditembak kerana di sangka seekor rusa | Kerana disangka seekor rusa, seorang lelaki ditembak oleh pemburu di Shizuoka, Jepun. Polis berkata, lelaki berusia 63 tahun itu sedang mengumpulkan tanaman liar di dalam hutan Nagaizumi-cho ketika ditembak oleh pemburu sekitar pukul 10.30 pagi. Dia terus jatuh pengsan, ketika peluru mengenai kepalanya. Dia dilarikan ke hospital terdekat dalam keadaan kritikal. Sementara orang yang menembaknya merupakan seorang lelaki, anggota kelab memburu tempatan berusia 73 tahun. Menurut polis, dia bersama 10 orang anggota kelab lainnya sedang berburu rusa di dalam hutan tersebut. -AP




.

Pencapaian menakjubkan dari bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal


Pencapaian menakjubkan dari bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal | Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengakui, kejayaan merampas kembali takhta No. 1 dunia setelah terpaksa berehat selama tujuh bulan akibat kecederaan lutut kiri adalah satu tempoh yang menakjubkan. Nadal, yang tiba di London semalam untuk beraksi pada Jelajah Dunia Akhir mengakui, pemulihan kecederaannya itu amat luar biasa. Bintang Sepanyol itu melakar pencapaian terbaik dalam kariernya apabila merangkul dua gelaran Grand Slam musim ini iaitu Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat. Selain menambah koleksi Grand Slam ke-13, pemain berusia 27 itu turut menjuarai Masters Indian Wells, Madrid, Rome, Montreal dan Cincinnati sebelum merampas semula gelaran No. 1 dunia, bulan lalu.

"Ini antara perkara yang paling sukar dilakukan sepanjang kerjaya saya. Saya yakin 100 peratus. "Selepas tujuh bulan tidak berlatih tenis, saya kembali dan menang dalam peringkat awal, serta tidak lama lagi saya pasti menjuarai dalam perlawanan menarik menentang pemain-pemain hebat. "Yang pastinya, saya masih ragu untuk kembali ke jalan ini. Keraguan itu biasa. Ia merupakan sebahagian daripada hidup. "Saya rasa ragu setiap kali perlawanan dan bertambah ragu ketika saya mengalami kecederaan sepanjang tempoh tujuh bulan pemulihan.

"Saya hairan bagaimana kecederaan itu pulih dalam waktu yang singkat dan seya berharap dapat kembali semula dalam siri jelajah," ujarnya, yang hampir berputus asa kerana terlalu kerap dibelenggu kecederaan sepanjang kariernya. Nadal kini perlu mengatasi dua daripada tiga pemain dalam perlawanan Kumpulan A menentang David Ferrer, Tomas Berdych dan Stanislas Wawrinka bagi menjaminkannya sentiasa di hadapan pemain No. 2 dunia, Novak Djokovic. Djokovic mampu merampas kembali takhta No. 1 andai cemerlang di London. - AFP





.

Dia jadi mangsa setelah 13 orang doktor gagal mengesan penyakitnya



Dia jadi mangsa setelah 13 orang doktor gagal mengesan penyakitnya | Satu inkues di sebuah mahkamah, di sini, dimaklumkan bahawa seorang remaja berusia 16 tahun, Natasha Simmonds meninggal dunia akibat tumor, selepas 13 doktor yang merawat beliau gagal mengesan penyakit yang dihidapinya. Laporan media menyatakan Natasha dari Radstock di Somerset dirawat 13 doktor, namun tiada seorang pun daripada mereka mencadangkan supaya remaja itu menjalani imbasan MRI sehingga keadaan sudah terlambat. Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Natasha sudah mendapatkan rawatan sejak 2008 dan keadaannya semakin buruk menjelang 2010. Remaja itu turut dirujuk kepada pakar pedieatrik Colin Downie di Hospital Bath’s Royal United pada Februari 2012, yang menyatakan Natasha menghidap migrain.



Keadaan semakin baik 


Pakar berkenaan berkata, keadaan Natasha yang kelihatan semakin baik mendorong beliau untuk tidak mencadangkan imbasan MRI ke atasnya. “Saya kesal kerana tidak mencadangkan imbasan MRI ke atas Natasha,” katanya. Dalam tempoh 11 bulan selepas itu, Natasha menemui empat doktor pediatrik, enam doktor biasa dan tiga doktor pakar, namun semuanya gagal mengesan penyakit yang dihidapinya. Ibu Simmonds, Sarah, mendakwa tiga bulan sebelum anaknya meninggal dunia, seorang doktor menuduh beliau ‘sengaja menunjukkan simptom’ dan menolak untuk melakukan imbasan berikutan rasa curiga dengan keadaan anaknya. “Natasha sedang belajar untuk bekerja kerjaya di pusat asuhan kanak-kanak, kerap mengadu sakit kepala, kebas badan, sakit belakang dan kabur pandangan tetapi doktor yang memeriksanya hanya mendakwa ia adalah tanda migrain,” katanya. Natasha dimasukkan ke hospital Frenchay di Bristol, namun meninggal dunia pada 24 Januari. - AGENSI




.

Lelaki Ini Diusir Isteri Kerana Komen Keterlaluan Terhadap Seorang Model Lingerie


Lelaki Ini Diusir Isteri Kerana Komen Keterlaluan Terhadap Seorang Model Lingerie | Kebebasan melayari jaringan sosial tidak selamanya memberikan impak positif. Seperti yang dialami oleh seorang lelaki bernama Tom. Gara-gara dia membuat komen foto seksi Kelly Brook, seorang model lingerie di sebuah laman akhbar, Tom mengundang rasa tidak senang beberapa pembaca laman akhbar itu. Dan, malangnya, secara tidak sengaja si isteri membaca komen Tom, yang menurutnya tidak mencerminkan seorang suami dan ayah. Kerana terkesima akibat terlalu lama melihat foto Brook yang sensual, telah membuatkan Tom jadi ghairah. Lalu, tanpa berfikir panjang dia pun menuliskan komen, "Perempuan ini luar biasa seksi, saya rela meninggalkan isteri dan anak demi semalaman bersamanya," tulis Tom.

Pembaca lain akhbar itu merasakan apa yang ditulis Tom sangat cabul. Dan membuatkan ianya didebatkan dalam ruangan komen akhbar itu. Malang benar nasib lelaki yang berasal dari Manchester ini, ternyata dia lupa bahawa semua akaun media sosial miliknya saling terhubung satu sama lain dengan si isteri. Dengan perasaan malu dan sakit hati, akhirnya isteri Tom mengunjungi laman akhbar itu untuk membalas komen Tom dalam entri yang sama. "Suamiku benar-benar bodoh, komennya ini muncul di laman Facebook! Kamu tidak memiliki hak apa pun terhadap anak-anak kita, dan saya harap kamu segera keluar dari rumah. Semoga kakakmu memiliki tempat untuk menampung adiknya yang cabul seperti kamu," tulis isteri Tom. -DM





.

Misteri ibu tunggal terima ugutan rogol dari lelaki tidak dikenali


Misteri ibu tunggal terima ugutan rogol dari lelaki tidak dikenali | Seorang ibu tunggal kini hidup dalam ketakutan selepas seorang lelaki yang pernah dikenali lima tahun lalu mengugut untuk merogol dan mencederakannya tanpa diketahui sebabnya. Mangsa yang enggan namanya disiarkan mendakwa, lelaki itu mula menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepadanya sejak tiga minggu lalu. "Saya mengenali lelaki itu lima tahun lalu ketika menemani anak saudara berurusan dengannya yang ketika itu bertugas di sebuah syarikat swasta di Sungai Petani, Kedah. "Hubungan kami putus beberapa minggu kemudian selepas saya mengetahui dia telah berkeluarga, tetapi tiga minggu lalu dia kembali menghubungi saya menerusi SMS mengajak saya menjalinkan semula hubungan dengannya," katanya ketika ditemui hari ini.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan mempunyai dua anak itu mendakwa, dia juga hairan lelaki berkenaan tiba-tiba mengaku memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya dengan niat ingin membantunya. "Saya membuat semakan dan mendapati tiada wang yang dimasukkan seperti yang didakwanya. Saya kemudian menghantar SMS meminta dia berhenti mengganggu dan membohongi saya. "Sejak itu dia mula menghantar SMS berbaur ugutan mengatakan saya cuba menipu sehingga merimaskan saya," dakwanya. Menurut peniaga buah-buahan itu, kehidupannya juga tidak tenang terutamanya selepas dia mendapati lelaki berkenaan sering mundar-mandir di kawasan rumahnya di sini beberapa kali minggu lalu.

 "Selain hairan dengan tindakannya itu, saya juga bimbang terhadap keselamatan diri dan anak-anak menyebabkan saya membuat laporan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Seberang Perai Utara malam tadi. "Saya tak tahu motif sebenar dia mengugut untuk merogol dan mencederakan saya kerana selama ini saya tidak pernah berhutang atau mempunyai masalah dengannya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu tunggal berkenaan. Bagaimanapun, katanya, polis enggan mengulas lanjut kes itu kerana kes ini masih dalam siasatan. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!