Friday, October 25, 2013

Gambar pernikahan pelakon Diana Amir dan suami Mohd Habibbullah A Rahman


Gambar pernikahan pelakon Diana Amir dan suami Mohd Habibbullah A Rahman | Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat. Akad nikah telah disempurnakan oleh Imam Besar berkenaan iaitu Hazaruddin Baharuddin. Pengantin perempuan diwalikan oleh bapa sendiri, iaitu Amir Hashim Mohd Kassim. Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin. Kedua-dua belah pihak tidak menyediakan sebarang hantaran pada majlis tersebut.

Pasangan tersebut sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon berkenaan. Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin, rakan artis dan wakil media. Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo dan beberapa rakan artis seperti Irma Hasmie, Heliza, Adam Corrie, Anita Baharom dan Yatt Hamzah.


Satu majlis doa selamat, khatam Al-Quran dan berinai telah berlangsung secara tertutup di Wisma Metrowealth pada Khamis lalu yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat andai. Dalam pada itu, Diana yang anggun dengan busana rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail berkata, dia bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar seperti dirancang. "Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang dalam suasana cukup sederhana dan seperti pasangan lain kami berharap perkahwinan ini akan dilimpahi berkat dan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya. Diana dan suaminya belum menetapkan lokasi bulan madu mereka ekoran kesibukan jadual kerja masing-masing. -Mstar




.

TEKS UCAPAN BAJET 2014


Teks Ucapan Bajet 2014 boleh dimuat turun melalui Laman Rasmi Bajet 2014 www.treasury.gov.my pada 25 Oktober 2013 sejurus selepas YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membentangkan ucapan. Teks ini juga boleh dimuat turun melalui laman web agensi-agensi Kementerian Kewangan seperti berikut:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia www.customs.gov.my 
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia www.hasil.gov.my 
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia www.sc.com.my 
Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my 








P/S - Sumber dari  http://www.treasury.gov.my/






.

Misteri lelaki mati gantung diri selama 8 tahun


Misteri lelaki mati gantung diri selama 8 tahun | Pemilik baru sebuah apartmen terkejut selepas menemui mayat lelaki tergantung di kediamannya di sini, minggu lalu. Sumber polis memberitahu, siasatan awal mendapati, mayat reput tersebut adalah bekas pemilik rumah terbabit yang berumur lingkungan 40-an dan dipercayai menggantung diri kira-kira lapan tahun lalu. Menurut jiran, mereka menyangka lelaki tersebut yang juga seorang pengawal keselamatan telah pulang semula ke Kemboja kerana didakwa menghilangkan diri selepas memfailkan aduan berhubung pemecatannya kepada jabatan buruh pada 2005, dipetik dari laporan AFP.




.

Terkini Kes Tembak Pegawai Ambank


Terkini Kes Tembak Pegawai Ambank | Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin. Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an. Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam kejadian.

Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemukan wang tunai RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi bank berkenaan. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga yang ditahan. Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan. - Utusan




.

Gambar kesan buruk kerana pengambilan steroid


Gambar kesan buruk kerana pengambilan steroid | Kebiasaannya artis lelaki Hollywood dan ahli bina badan akan menggunakan steroid untuk menjadikan tubuh mereka kelihatan sasa. Namun, pengambilan bahan tersebut secara berlebihan boleh memberi kesan sampingan yang serius kepada kesihatan badan seseorang, rambut dan boleh menyebabkan kerosakan hati. Itu yang terjadi di Britain apabila seorang wanita yang dahulunya cantik dan berbadan langsing, kini bertukar menjadi ‘lelaki’ dengan memiliki tubuh yang sasa selepas mengambil steroid untuk membesarkan tubuhnya. Candice Armstrong, 28, berasal dari Walthamstow berkata, dia tidak berniat untuk menjadi seperti lelaki apabila mula mengambil steroid, tetapi semuanya terlewat untuk dia berhenti menggunakan dadah itu.


Armstrong berkata, pengambilan steroid itu memberi kesan terhadap otot badan, muka, rambut serta alat sulitnya. Bekas pelayan bar itu berkata, dia tidak merancang untuk menjadi sedemikian dengan memiliki tangan yang besar, bahu luas dan pinggul yang kecil. “Tubuh badan saya kini tidak berubah seperti seorang lelaki," katanya. Menurut Armstrong, penggunaan steroid lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan selepas apa yang terjadi kepada dirinya. - AGENSI




.

Bukti Uqasha Senrose ada hubungan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad?



Bukti Uqasha Senrose ada hubungan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad? | Pelakon Pekin Ibrahim sebelum ini nekad mendakwa kekasihnya, Uqasha Senrose curang kerana menjalin hubungan sulit dengan seorang pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad. Dengan nada sedih bercampur kecewa, luah pelakon filem Paku Pontianak itu, dia tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan Sharnaaz. Malah, dia tidak sangka Pekin sanggup memburukkannya dengan keadaan sedemikian rupa. Atas tindakannya itu, ulas Uqasha, orang ramai akan menuding jari mengatakan dia gadis yang jahat lalu mengaitkan kembali kontroversi lalunya dengan pelawak Nabil Ahmad selepas foto kononnya mereka bercium tersebar di internet.

 “Saya tidak sangka seorang pelakon yang sudah 16 tahun dalam industri tergamak memberi kenyataan melulu kepada media tanpa berbincang dahulu dengan saya. “Saya tiada hubungan langsung dengan Sharnaaz,” tegasnya yang terkejut dengan berita mengenai keburukannya dari mulut Pekin. Menjawab mengenai hubungan dia dan Pekin kini telah putus, Uqasha berkata, kalau boleh dia tidak mahu mengaibkan Pekin, namun dia terpaksa memberi kenyataan kerana tindakan bekas kekasihnya itu. “Kami bergaduh dan kemudiannya putus bukan disebabkan orang ketiga. Ia berpunca daripada sikap kasar dan panas barannya.

“Walaupun dia tidak pernah memukul saya tetapi dia sering memarahi dan memutus hubungan kami. Selang lima minit kemudian dia akan memujuk saya semula,” ungkapnya masih menerima Pekin atas rasa cinta yang masih menebal. Tegas pelakon berusia 21 tahun itu, jika benar Pekin mempunyai bukti mengatakan dia curang sila tunjukkan. Uqasha juga mengakui berasa sangat sedih kerana ketika dia masih bersama Pekin, pelakon filem Bunohan itu selalu menaburkan pujian terhadapnya di media. Sebaliknya, bila sudah putus Pekin sanggup mencanangkan keburukan bekas kekasihnya itu.

“Biarpun usianya sudah 32 tahun, sebenarnya pemikirannya sangat cetek dan perangai dia sangat kebudak-budakan. Saya mengakui masih muda dan banyak buat silap. “Disebabkan itu saya perlukan seseorang yang matang untuk membimbing tetapi tidak sangka pula dia bukan seperti yang saya harapkan,” ungkapnya. Disoal sama ada dia akan menerima kembali Pekin selepas ini, kata Uqasha dalam nada sedih, dia tidak tahu apa yang terjadi selepas ini. Luahnya, “Perasaan sayang saya terhadapnya masih ada. Saya percaya masih ada sikap baik dalam dirinya itu. Saya tidak akan membencinya.”-MD





.

Inilah pertanyaan terakhir arwah Norazita Abu Talib kepada suaminya


Inilah pertanyaan terakhir arwah Norazita Abu Talib kepada suaminya | "Awak sayangkan saya tak?" Itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, pegawai operasi AmBank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri dalam rompakan di Jalan USJ Sentral 2, semalam, kepada suaminya, Irwan Kamarudin, 37. Menurut Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi, ungkapan itu diluahkan Norazita ketika menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbitnya kira-kira sejam sebelum kejadian. "Saya terima panggilan telefon itu pukul 5.15 petang yang semata-mata mahu bertanyakan soalan sama ada saya menyayangi dia. "Selepas saya menjawab bahawa saya sayangkan arwah, dia terus memberitahu dia sedang sibuk dan terus mematikan talian telefon," katanya dalam nada sebak tetapi tenang ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Serdang semalam.

Irwan berkata, dia kemudian menghubungi semula isterinya itu kira-kira pukul 6.30 petang kerana bimbangkan keselamatan arwah yang akan memandu pulang dalam keadaan hujan lebat. Bagaimanapun, katanya, panggilan itu tidak dijawab dan dia cuba menghubunginya sekali lagi sebelum dijawab oleh majikannya. "Ketika majikan isteri saya menjawab panggilan tersebut, dia hanya meminta saya datang segera ke bank tetapi tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya sehinggalah saya sendiri mengetahuinya sejurus tiba di situ. Lemah kaki dan menggigil badan saya apabila mengetahui wanita yang mati ditembak di dalam bank tersebut adalah isteri saya," katanya lagi. Selama 13 tahun mendirikan rumahtangga, Irwan menyifatkan Norazita seorang yang baik dan taat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. 

Anak arwah, Nurnisa Nabilah, 12, pula berkata, semalam pertama kali ibunya tidak menghantar dia dan adiknya, Mohd. Hazimy ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari kerana kesuntukan masa. Nurnisa menyifatkan ibunya seorang yang penyayang walaupun tegas dan garang dalam mendidik anak-anak. "Walaupun mama garang, saya sangat rapat dengannya. Saya sayangkan mama," katanya sambil menitiskan air mata. Sementara itu, jenazah arwah Norazita selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Air Hitam Labu di Kampar, Perak kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, pemimpin setempat serta pegawai AmBank hadir dalam majlis pengebumian itu. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!