Thursday, October 17, 2013

Pengarah Transformer cedera di Hong Kong


Pengarah Transformer cedera di Hong Kong | Pengarah filem Transformers, Michael Bay mengalami kecederaan selepas dia diserang ketika sedang dalam proses penggambaran filem terbaru siri tersebut - Transformers: Age of Extinction di sini. Polis Hong Kong bagaimanapun mengesahkan yang mereka berjaya menahan dua lelaki pada awal Khamis untuk membantu siasatan. Menurut laporan agensi berita antarabangsa AFP, Bay, 48, mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelah kanannya.

Dua suspek yang ditahan itu dipercayai mengganggu Bay dan krewnya ketika mereka di set penggambaran berhampiran daerah Quarry Bay. Mereka menuntut Bay menjelaskan HK$100,000 (RM38,700) kerana membuat penggambaran di kawasan berkenaan. Polis mengesyaki kedua-dua lelaki itu adalah anggota kongsi gelap di kawasan Quarry Bay.

"Apabila Bay dan krewnya sedang membuat penggambaran di kawasan itu, salah seorang daripada suspek datang menuntut HK$100,000 daripadanya yang kemudiannya membawa kepada pergelutan antara mereka. “Kemudian seorang lagi suspek datang menyerang Bay lalu lalu mencederakannya,"kata polis dalam satu kenyataan sepertimana yang dilaporkan oleh AFP. Filem Transformers yang keempat itu dibintangi oleh Mark Wahlberg dan Nicola Peltz dijadualkan untuk memasuki pawagam Jun tahun depan. -Mstar




.

(Gambar) Berita terkini mengenai nahas pesawat di Laos dimana wanita Malaysia disahkan maut



(Gambar) Berita terkini mengenai nahas pesawat di Laos dimana wanita Malaysia disahkan maut  | Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Khamis mengesahkan seorang wanita Malaysia, Angelin Teh, terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, sebuah bandar di selatan Laos, pada Rabu. Beliau berkata Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk.


"Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan di sini. Anifah berkata keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu.


"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Angelin Teh dan keluarga lain yang terlibat dalam nahas itu. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat yang memilukan ini," katanya. Sementara itu, agensi berita AP melaporkan nahas berkenaan melibatkan 49 orang dari 11 negara. - BERNAMA





.

Inilah rahsia bagaimana penjenayah berjaya larikan kenderaan mewah



Inilah rahsia bagaimana penjenayah berjaya larikan kenderaan mewah | Polis menahan tiga penjenayah yang mencuri kereta mewah di beberapa buah negeri dengan menggunakan kayu panjang khas untuk mengait kunci rumah dan kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan tersebut, baru-baru ini. Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam serbuan di Port Dickson serta Bahau dekat sini pada 9 dan 12 Oktober lalu. Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Md. Hasan berkata, polis merampas 12 buah kenderaan curi dan beberapa barangan yang dipercayai hasil pecah rumah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Menurutnya, suspek pertama yang berusia 48 tahun ditahan di Port Dickson pada 9 Oktober lalu dan hasil soal siasat pihaknya menemukan tiga buah kereta jenis Mercedes-Benz, Toyota Estima dan BMW yang disorokkan di beberapa lokasi. "Susulan tangkapan itu polis menahan sepasang kekasih berusia 32 dan 23 tahun di sebuah hotel di Bahau pada 12 Oktober lalu dan merampas dua buah Mercedes-Benz serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Volkswagen Golf GTI, Mitsubishi Triton dan Kia Optima. "Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan mewah di negeri ini, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan penangkapan ketiga-tiga suspek," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - Utusan




P/S - Gambar sekadar hiasan




.

Gambar ikan ganjil ditemui di perairan California



Gambar ikan ganjil ditemui di perairan California | Seekor ikan laut raksasa mirip ular sepanjang lima meter (m) ditemui di luar pantai California Selatan di sini pada Ahad lalu. Bangkai haiwan berwarna cerah itu ditemui oleh seorang pengajar aktiviti menyelam dari Institut Marin Pulau Catalina, Jasmine Santana. Ia yang kelihatan seperti ikan dayung dilaporkan mati atas faktor semula jadi. Santana mengesan satu objek yang berkilauan pada kedalaman kira-kira 9m semasa dia menyertai lawatan menyelam di Teluk Toyon, Pulau Santa Catalina.


Dia kemudian mendapati terdapat bangkai ikan ganjil tersebut. Lebih 15 orang membantu menaikkan makhluk tersebut ke pantai selepas ia ditemui. Ikan spesies laut dalam itu jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman lebih 914m. Spesies berkenaan boleh membesar sehingga 15m sekali gus dianggap sebagai ikan bertulang yang terpanjang di dunia. Sampel dan rakaman video ikan ganjil itu telah dihantar ke Universiti California di Santa Barbara untuk dikaji. - AP





.

Misteri kehilangan model dan ratu cantik dari Singapura di Pakistan kini terjawab


Misteri kehilangan model dan ratu cantik dari Singapura di Pakistan kini terjawab | Seorang model dan ratu cantik dari Singapura yang hilang di Pakistan ditemui maut dalam sebuah parit di pinggir bandar ini, kata polis kelmarin. Fehmina Chaudhry, 27, seorang model di Singapura yang berasal dari bandar pelabuhan Pakistan di Karachi, hilang Khamis lalu ketika melawat bandar ini untuk membeli hartanah, kata polis.

“Polis menahan broker hartanah dan selepas disoal siasat, dia memberitahu pegawai dia membunuh model itu dan membuang mayatnya ke dalam sebatang anak sungai di pinggir bandar ini,” kata jurucakap polis Islamabad, Muhammad Naeem kepada AFP. Promoternya di Pakistan, Asif Hashmi mengesahkan kematian Chaudhry dan berkata mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan. “Beliau adalah seorang dermawan yang dedikasi dan merancang menubuhkan sebuah sekolah fesyen di Pakistan,” kata Hashmi menambah bahawa mangsa memenangi beberapa pertandingan ratu cantik. -AFP




.

Hospital gempar pesakit yang menyamar jadi doktor cuba bunuh diri


Hospital gempar pesakit yang menyamar jadi doktor cuba bunuh diri  | Sebuah hospital swasta di sini mengalami detik-detik cemas buat seketika apabila seorang pesakit lelaki yang menyamar sebagai doktor cuba membunuh diri. Bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat berjaya memujuk lelaki terbabit daripada cubaan itu. Mereka mengambil masa hampir dua jam dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Siow Wee Lang, 25, bertindak memecahkan cermin tingkap wad berkenaan dan duduk di atas tembok tingkat 17 hospital itu dalam keadaan sebelah kakinya di luar tingkap tersebut. Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 1.04 tengah hari bersama 15 anggota dan dua jentera bomba.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya pada mulanya pihaknya berdepan kesukaran untuk menarik mangsa keluar dari tingkap itu berikutan sikapnya yang terlalu agresif. "Tindakan lelaki itu disedari kakitangan hospital apabila melihat sebelah kaki kiri mangsa berada di luar tingkap, malah mangsa menjerit serta membaling bekas air ke bawah. "Keadaan menjadi cemas seketika apabila dia bertindak di luar kawalan sebaik melihat anggota bomba di dalam bilik itu.

"Selepas hampir dua jam, akhirnya kita berjaya menenangkannya dengan kami menyamar sebagai doktor. "Kita juga dibantu oleh beberapa kawannya dengan memberi minuman, roti dan buah epal," kata Ismail. Katanya lelaki terbabit telah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak kelmarin oleh keluarganya selepas dia mengadu sakit kepala dan cirit-birit. "Mengikut laporan doktor di sini, mangsa dimasukkan hospital kerana sakit biasa sebab itu dia ditempatkan seorang diri di wad. "Mangsa akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya. Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!