Saturday, September 21, 2013

Gambar pernikahan, Pelakon Faoziah Gous dan suami, Md Zhafran Md Yusof

 Gambar pernikahan, Pelakon Faoziah Gous dan suami, Md Zhafran Md Yusof  | Ikatan pertunangan selama tiga bulan antara pelakon kacukan Pakistan-Cina-Melayu, Fouziah Gous, 30, dan Md Zhafran Md Yusof akhirnya hubungan pasangan dua sejoli ini termetrai sebagai suami isteri yang sah apabila Fouziah selamat bergelar suri hati ahli perniagaan dan perunding keewangan ini, dengan hanya sekali lafaz sekitar jam 9.45 malam, tadi. Akad nikah disempurnakan oleh Pegawai Takbir Agama Daerah Petaling, Ustaz mohd Sujak Hj. Mohd Dasuki. Dan berwakil walikan abang pengantin perempuan, Abdul Wahab Mohd Gous dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. Zhafran (Zhaf), 30, memberikan mas kahwin sebanyak RM1,112. Manakala wang hantaran RM50,000.

 Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan. Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah sireh junjung, set barang kemas dan mas kahwin, set wangian, senaskah Al-Quran, cek hantaran, tas tangan dan kacamata, manisan dan coklat. Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula berupa sireh junjung, sebentuk cincin, seutas jam tangan, kaflin dan kacamata, tali pinggang, sebatang pen dan clutch, set wagian dan penjagaan kulit, manisan strawberi dan manisan kurma. Sejurus selepas akad nikah, diadakan upacara pembatalan air sembahyang. Zhaf menyerahkan mas kahwin serta menyarungkan cincin kepada isterinya. Kemudian Fouziah pula menyarungkan cincin kepada suaminya. Majlis yang berlangsung serba ringkas tapi meriah ini bertemakan ala Pakistan, sentuhan oleh perunding perkahwinan Naz Great Idea.

 Menyaksikan pasangan mempelai mengenakan busana tradisional Pakistan berona putih. Turut di hadiri seramai kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat dan para wakil media. Lebih istimewa tarikh keramat yang menyatukan pasangan ini adalah bersempena tarikh ulangtahun perkahwinan ibu bapa pengantin lelaki yang ke-40, iaitu Hj. Yusof Ismail dan Hjh. Normah Ali. Majlis persandingan Fouziah dan Zhaf yang juga bertemakan tradisi Pakistan akan diadakan pada minggu hadapan iaitu pada 29 September di Hotel J.W Marriot, Putrajaya. Disusuli pula dengan majlis menyambut menantu bertemakan Songket Tradisional akan diadakan pada 5 Oktober depan di kediaman keluarga pengantin lelaki di Bukit Jelutong, Shah Alam. Fouziah dan Zhaf telah mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu dan majlis diadakan di restoran Asmara Pencahala, Sungai Penchala. Hubungan cinta mereka terjalin selepas sama-sama mengusahakan perniagaan sarang burung, sejak enam bulan lalu. -MD





.

Gambar dan cerita terkini penyanyi lagu 'Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang', Tegar Septian


Gambar dan cerita terkini penyanyi lagu 'Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang', Tegar | Bintang cilik dari Subang, Indonesia yang mencetuskan fenomena menerusi lagu Aku Yang Dulu, Tegar berkata, dia tidak pernah melupakan saat-saat sukar yang pernah dilalui sepanjang menjadi pengamen (penyanyi) jalanan sebelum disunting menjadi artis rakaman. Dek kerana hidupnya yang serba kekurangan, dia terpaksa berhenti sekolah, tinggal dirumah yang hanya berukuran 4x6 meter bersama kedua orang tua serta tiga adiknya. Rutin hariannya, menyanyi dan meminta sedekah di kota Jakarta demi sesuap nasi untuk keluarga. "Saya jadi pengamen jalanan sejak umur 7 tahun. Kalau sekali ngamen, bisa (boleh) dapat hingga 100,000 rupiah. Tapi pernah juga balik dengan tangan kosong. Tapi kalau dapat wang ngamen, saya buat beli gam dan rokok. Dulu saya suka hidu gam. Saya suka ke siber kafe bersama teman-teman.

Hidup di jalanan memang bebas. "Tapi sekarang hidup saya sudah jauh berubah. Saya sudah dapat beli rumah dan beli motor. Tapi saya juga cadang mahu beli motor lagi. Saya sudah tidak hidu gam lagi. Sudah berhenti merokok. Saya juga rindu sama teman-teman. "Saya tidak pernah sangka nasib saya berubah begini dan saya jadi penyanyi. Capek (penat) juga ya, jadi orang kaya, tapi... ya, Alhamdulillah", petah Tegar berkata-kata saat diajak oleh pihak media berkongsikan tentang perubahan hidupnya kini. Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 12, ditemui sewaktu sesi Lepak Santai Tegar & Media, bertempat di Restoran Istana Bambu, petang semalam. Daripada seorang pengemis namun dengan bakat luarbiasa yang dimilikinya, ternyata tuah menyebelahi anak sulung dari empat beradik ini.


Berbekal kemerduan suaranya, keupayaan bermain piano selain ukelele dan boleh buat magis lantas Tegar sekarang diangkat oleh rakyat Indonesia sebagai seorang penghibur muda yang memiliki masa depan cerah. Malah namanya juga cukup popular di Malaysia. Sementara itu menurut pengurus Tegar iaitu Alfas Hermasyah, dalam ramai-ramai kanak-kanak yang bergelar penyanyi jalanan, dia tertarik dengan Tegar bukan saja kerana bakat serba boleh kanak-kanak itu. Tetapi kerana Tegar juga seorang yang senang menerima kritikan dan mempunyai kesungguhan untuk memajukan diri. "Sewaktu saya jumpa dia, dia berusia 9 tahun. Waktu itu hidupnya memang sangat bebas. Tapi mujur dia belum terus terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang lebih buruk seperti menghisap dadah.

Selepas membawanya tinggal bersama saya, Tegar diberikan rawatan bagi membuang tabiat menghidu gam dan merokok. "Kebetulan saya memang belajar dalam jurusan psikologi jadi saya gunakan pendekatan tersebut untuk membantunya berubah. Selama tiga bulan, Allhamdulillah dia berubah. Sekarang dia sudah bersih sepenuhnya. Tidak lagi hidu gam dan merokok. Malah kalau dia lihat saya merokok, dia pula yang akan menasihati saya.


 "Selepas memperbaiki imejnya, saya bawa dia ke label muzik. Selain bakatnya, Tegar seorang budak yang baik, boleh menerima kritikan dan ada kesungguhan untuk memajukan diri", kata Alfas yang juga merangkap sebagai bapa angkat Tegar. Tegar sekarang bernaung di bawah label Harpa Records di Indonesia. Sementara di Malaysia dia bernaung di bawah syarikat Rusa Music. Album sulung Tegar berjudul Tegar and Sahabat sudah pun berada di pasaran Malaysia pada pertengahan bulan Ogos. Selain itu, wakil Harpa Records, Donald Dewa Kusumo yang turut hadir memberitahu, pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah novel juga filem tentang Tegar. Penggambaran filem tersebut dijangka akan dimulakan pada bulan hadapan.-MD





.

Hebat, diusia 65 tahun, wanita ini bergelar graduan


Hebat, diusia 65 tahun, wanita ini bergelar graduan | Mempratikkan pembelajaran sepanjang hayat, Maimunah Ibrahim berbangga kerana bergelar graduan Sarjana Instruksi Multimedia pada usia 65 tahun. Lebih manis pencapaian itu menyusul setahun setengah selepas beliau menerima ijazah Sarjana Muda Komunikasi. "Mungkin selepas ini saya akan sambung ke peringkat lebih tinggi atau belajar dalam bidang lain pula kerana bagi saya tiada yang lebih bernilai daripada ilmu pengetahuan," katanya kepada pemberita di sini. Beliau antara graduan Universiti Sains Malaysia yang menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung Jumaat.

Katanya, keinginan melanjutkan pelajaran itu membara selepas beliau bersara sebagai setiausaha pejabat pentadbiran di sebuah institusi pengajian tinggi awam empat tahun lepas. "Masa muda terlalu sibuk dengan komitmen kerja sehingga tidak ada masa untuk saya menyambung pengajian," katanya. Menurut Maimunah, beliau tidak mempunyai masalah bergaul dengan penuntut lain yang rata-rata jauh lebih muda daripadanya.

"Maklumlah kursus ini kebanyakan diceburi orang muda tapi secara tidak langsung saya juga merasa bertenaga dan sentiasa buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberi. "Terima kasih saya ucapkan kepada rakan sekuliah dan para pensyarah yang tidak jemu memberi galakan," katanya sambil menambah golongan warga emas yang berhasrat menyambung pengajian tidak perlu takut atau malu untuk merealisasikan impian mereka. - BERNAMA




P/S - Gambar sekadar hiasan



.

Tindakan pengurusan asrama sebuah sekolah agama yang didakwa hukuman dan denda terhadap pelajar, dikecam!



Tindakan pengurusan asrama sebuah sekolah agama yang didakwa hukuman dan denda terhadap pelajar, dikecam! | Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah. Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka. Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar. Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu. "Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

"Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar," katanya kepada Sinar Harian. Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar. “Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu. “Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?. "Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak. Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka. Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar. “Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini,” katanya. Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN. -SH




.

Gambar nahas bas di lebuh raya dekat Slim River


Gambar nahas bas di lebuh raya dekat Slim River | Seramai 17 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki itu terjunam ke dalam gaung sedalam hampir enam meter setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 308.1 (arah Utara), Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, semua penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sebelum bas berkenaan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta jenis Mazda yang terbabas. Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Selatan ke Utara itu hilang kawalan ketika cuba untuk memotong bas berkenaan.

Menurutnya, kegagalan cubaan memotong itu menyebabkan kereta melanggar besi pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali di hadapan bas. “Bas cuba untuk mengelak dari merempuh kereta itu, tetapi tidak berjaya menyebabkan kedua-dua kenderaan jatuh ke tebing lebuh raya. “Buat masa ini, tiada kematian dilaporkan, semua penumpang selamat apabila hanya mengalami cedera ringan. “Kesemua mereka dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut, buat masa ini, semua mangsa termasuk pemandu bas dilaporkan stabil.

“Pemandu kereta dilaporkan parah dan patah tangan,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, bomba yang menerima panggilan pada jam 5.33 petang bergegas ke lokasi, berjaya mengeluarkan lapan mangsa yang cedera. Katanya, kebanyakan mangsa lain diselamatkan orang awam. “Kita terpaksa melakukan kerja pembersihan di tempat kejadian berikutan tumpahan minyak berlaku semasa pelanggaran. “Operasi menyelamat yang disertai tujuh anggota tamat pada jam 6.34 petang tadi,” katanya. -MD





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!