Thursday, September 12, 2013

Inilah Dua iPhone Terbaru Daripada Apple


 Inilah Dua iPhone Terbaru Daripada Apple | Buat pertama kali sejak memperkenalkan peranti yang membentuk semula teknologi dan budaya dalam era telekomunikasi, Apple akan menawarkan dua versi iPhone terbarunya. Satu ialah jenis lebih murah diperbuat daripada plastik berwarna-warni dan satu lagi yang disasarkan sebagai `telefon pintar bertahap emas' dengan perisian lebih pantas, kamera lebih istimewa dan pengimbas cap jari bagi tujuan keselamatan. Apple menyatakan iPhone generasi baru itu akan mula dijual pada 20 September ketika majlis pelancaran hari ini dengan berlatar belakang tiga lagu persembahan Elvis Costello pada majlis di ibu pejabat syarikat berkenaan di Cupertino, California.

Syarikat itu turut mengumumkan mereka akan meningkatkan kecekapan sistem operasi untuk iPhone dan iPad pada 18 September ini. Sistem iOS7 menambah stesen radio dalam iTunes, perkakasan pengurusan gambar dan lebih banyak cara untuk mengakses aplikasi. Ia boleh diperolehi secara percuma dan diserasikan dengan peranti Apple seperti iPhone 4 yang dilancarkan pada 2010 dan iPad 2 pada 2011. Sistem operasi itu sudah dimuatkan dalam keluaran iPhone terbaru terbabit. Selain itu, Apple berkata, pihaknya akan memberikan secara percumba aplikasi iPhoto, iMovie, Numbers, Pages dan Keynote sebagai sebahagian daripada iOS7. Sebelum ini, syarikat itu mengenakan bayaran sebanyak AS$4.99 (RM16.35) bagi setiap aplikasi berkenaan. -AP




.

Peniaga terkejut telur ayam belaannya bersaiz berbeza daripada normal


Peniaga terkejut telur ayam belaannya bersaiz berbeza daripada normal | Seorang peniaga di sini menerima kejutan apabila mendapati telur ayam serama belaannya mempunyai saiz lebih kecil dari kebiasaan dan kejadian ini merupakan kali kedua berlaku. Zainuddin Ismail, 42 memaklumkan, kali pertama ayam serama belaannya itu mengeluarkan telur bersaiz kecil adalah pada tahun lalu, namun dia tidak sempat menyimpan telur berkenaan untuk ditunjuk kepada sesiapa. Menurutnya, ukuran biasa telur ayam serama adalah empat sentimeter panjang, namun telur yang dijumpai kali ini hanya memiliki ukuran panjang tidak sampai dua sentimeter.

 "Saya bela ayam serama sebagai hobi dan akan menjual ayam serama jika ada yang berminat untuk membelinya. Mula-mula saya tengok telur ini pada minggu lepas semasa saya mahu memberi makan kepada ayam belaan saya. "Keesokannya, juga ketika hendak memberi makan kepada ayam serama belaan saya, saya jumpa satu lagi telur bersaiz kecil. Saya simpan kedua-duanya kerana takut pecah. Saya pasti ia telur ayam dan bukan telur burung," katanya.

Tambahnya, pada tahun lalu, ada salah seekor ayam serama belaannya mengeluarkan telur saiz kecil tetapi ketika itu dia tidak sempat mengambil gambar kerana ia pecah beberapa hari kemudian. Katanya, sepanjang 10 tahun membela ayam serama, ini merupakan kali pertama dia menemui telur sedemikian. "Yang tahun lepas lebih unik kerana ada bentuk seperti tanduk. Kalau tiada bukti memang orang kata saya tipu. Kali ini saya simpan dan ambil gambar untuk kongsi dengan rakan-rakan," katanya yang membela kira-kira 10 ekor ayam serama. -SH




.

Prihatin : Bayi hidapi penyakit misteri


Prihatin : Bayi hidapi penyakit misteri | Seorang bayi sembilan bulan, di Kampung Tersang menderita penyakit misteri, tiga bulan selepas dilahirkan. Ibunya, Marlina Ab Rahman, 33, berkata, anak bongsunya, Lia Nur Zahirah Osman dilahirkan normal, 1 Januari lalu namun berubah selepas menghidap batuk, muntah dan cirit-birit. Ketika mendapat pemeriksaan lanjut di Hospital Pasir Mas, Marlina berkata, doktor mengesahkan darah anaknya dijangkiti kuman seterusnya merebak ke bahagian paru-paru. “Selepas itu, susuk tubuh Lia semakin mengecil malah berat badannya menurun daripada 2.8 kilogram (kg) kepada 2.5 kg. “Kini tubuhnya semakin cengkung malah hanya tinggal kulit dan tulang,” katanya, semalam. Menurutnya, sebelum ini anak sulung dan anak ketiganya juga maut akibat penyakit yang sama.

Disebabkan sibuk menguruskan anak bongsu, Marlina tidak mempunyai masa untuk ke pejabat Jabatan Kebajikan dekat Pasir Mas. Lebih merisaukan katanya, anak keduanya, Mohd Khairul Ikhwan Osman, 11, merupakan pesakit autisme sejak lahir. Menurutnya, jika dihubungi oleh guru, suaminya, Osman Kamar, 35, terpaksa ke sekolah untuk membersihkan kotoran setiap kali buang air besar. Dalam masa sehari katanya, Khairul menggunakan tiga lampin pakai buang termasuklah ketika berada di sekolah. Disebabkan perkara itu, suaminya diberhentikan kerja kerana sering meminta cuti daripada majikan. “Ia menyebabkan pendapatan keluarga semakin berkurangan, maka saya memohon agar bantuan dipanjangkan, demi keperluan kami sekeluarga. “Buat masa ini, keperluan kami dibantu oleh orang tua malah terpaksa menumpang di rumah bersama 10 lagi adik-beradik yang lain,” katanya. -SH




.

Isteri kantoi khalwat dengan rakan suami..


Isteri kantoi khalwat dengan rakan suami.. | Kepulangan isteri ke kampung halaman memberi peluang si suami melakukan adegan 'mesra' bersama kekasih yang juga rakan kepada isterinya. Malangnya, perbuatan tidak senonoh itu berjaya dihidu orang ramai yang bertindak menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa Pejabat Agama Kuala Muda, sebelum serbuan dijalankan jam 2 pagi baru-baru ini. Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah, Zaiferi Zainul Abidin berkata, seorang wanita berusia 20-an warganegara Indonesia ditahan bersama seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai suami kepada rakannya sendiri dalam operasi banteras maksiat itu. Menurutnya, ketika serbuan, lelaki itu dipercayai sedang leka menghabiskan masa dengan kekasih gelapnya melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel.

“Anggota penguatkuasa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka oleh lelaki ini setelah diketuk beberapa kali. “Kita juga menemui tilam dan beberapa bantal yang sedia diletakkan di hadapan televisyen dipercayai digunakan pasangan tersebut,” katanya. Zaiferi berkata, wanita terbabit cuba bersembunyi di sebalik pintu dengan hanya memakai pakaian dalam serta berseluar pendek manakala lelaki tersebut hanya memakai seluar paras lutut. Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, isteri lelaki terbabit yang juga rakan kepada kekasihnya turut berasal dari Indonesia dipercayai sudah beberapa hari pulang ke kampung halaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988," katanya. Sementara itu, Pegawai Agama Daerah, Sheikh Radzi Abd Mutlib mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang berkongsi maklumat bagi membantu membanteras kegiatan maksiat di kawasan masing-masing. Beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan sebarang kegiatan mencurigakan supaya menghubungi imam, pejabat agama atau agensi berkaitan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian. -SH






.

Inilah cerita sebenar, mengenai bayi 6 bulan yang kini koma di dera pengasuh


Inilah cerita sebenar, mengenai bayi 6 bulan yang kini koma di dera pengasuh | Seorang bayi perempuan berusia enam bulan kini koma akibat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat didera pengasuhnya. Mangsa yang merupakan anak tunggal sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an kini kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini. Berdasarkan pemeriksaan awal doktor, mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada tengkorak kiri, pendarahan di tengah otak, lebam di dahi dan kedua-dua lutut. Polis yang menjalankan siasatan selepas bapa mangsa membuat laporan telah menahan seorang wanita berusia 28 tahun yang merupakan pengasuh bayi itu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita terbabit mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di rumahnya di Telok Gadong Kecil di sini pukul 2.30 petang ini. "Siasatan mendapati suspek tidak menjaga bayi atau kanak-kanak lain selain mangsa," katanya. Difahamkan, suspek mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan enam tahun. Mengulas laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, Mohamad berkata, lelaki itu telah dihubungi oleh suspek pada pukul 4.30 petang semalam dan diberitahu yang bayinya telah dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami sesak nafas.

Beliau berkata, pengadu kemudian menghubungi isterinya dan memintanya menjenguk anak mereka terlebih dahulu kerana dia sedang bertugas di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Pengadu kemudian menyusul ke hospital. "Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan retak di tengkorak kiri, pendarahan di tengah otak serta lebam di dahi dan terpaksa dipindahkan ke HTAR kerana tidak sedarkan diri. "Pengadu kemudian membuat laporan polis pada pukul 10 malam tadi," kata beliau. Tambah Mohamad, berdasarkan rakaman percakapan pengadu, bayinya itu telah dihantar ke rumah suspek sejak berusia dua bulan dengan bayaran bulanan RM300.

Kata beliau, pengadu memberitahu sepanjang empat bulan dijaga oleh pengasuh itu, anaknya pernah luka melecet di dahi sebelah kiri akibat bergesel dengan karpet semasa cuba meniarap dan lebam pada Khamis lepas dengan alasan botol susu terjatuh di atas dahi. Sementara itu, cubaan pemberita untuk mendapatkan kenyataan ibu bapa mangsa di HTAR tidak berjaya. Bagaimanapun, nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Umi, 61 tahun berkata, dia mendapat berita kejadian yang menimpa cucunya semalam dan bergegas ke HTAR dari rumahnya di Kuala Kangsar, Perak. "Ketika saya melihat keadaan cucu saya, badannya sudah sejuk dan tidak bermaya. Saya harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas agar kejadian sama tidak berulang," katanya. -Utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!