Friday, September 6, 2013

Keburukan telefon pintar


Keburukan telefon pintar | Gajet terkini, termasuk telefon pintar mungkin membantu generasi baharu supaya kekal selamat dan sentiasa berhubung dengan baik, namun ia juga membuatkan mereka bersikap kurang ajar. Kira-kira tiga daripada empat orang percaya, kelakuan generasi baharu kini telah dirosakkan oleh telefon pintar, komputer riba, tablet dan media sosial. Menurut tinjauan pendapat oleh konsultan panduan etika moden, Debrett ke atas 1,000 orang responden, kira-kira 70 peratus daripada mereka percaya, gajet telah menggalakkan sifat kurang ajar. Menurut tinjauan itu, kira-kira 77 peratus responden berpendapat, kemahiran sosial adalah lebih teruk jika dibandingkan dengan tempoh 20 tahun lalu, manakala 72 peratus lagi menyifatkan gajet menggalakkan kebiadaban.

Hampir dua pertiga atau 65 peratus responden berpendapat tentang kepentingan hubungan atas talian kepada belia telah memberi kesan negatif terhadap cara mereka berkelakuan bila bersemuka dengan rakan. Satu laporan memberi amaran bahawa eksekutif syarikat kini memantau pekerja muda mereka sekiranya mereka terlalu bergantung kepada telefon pintar dan gajet semasa berada di pejabat. Sesetengah daripada mereka didapati 'terlalu bergantung kepada komputer dan aplikasi pemeriksaan ayat hingga ada yang langsung tidak tahu bagaimana untuk menulis surat lagi.

Kebimbangan terhadap kesan kebergantungan kepada gajet ke atas generasi yang membesar dengan telefon pintar merupakan perkembangan terbaharu dalam penyebaran kelakuan buruk digital. Konsultan etika itu turut menjalankan kajian ke atas sebuah kumpulan terdiri daripada 58 peratus eksekutif kanan yang mendapati mereka lebih tertarik kepada kemahiran sosial berbanding pencapaian akademik calon untuk diberi peluang kenaikan pangkat. Mereka percaya, masalah besar dalam kalangan pekerja muda adalah penggunaan telefon pintar berterusan dan media sosial di pejabat. - AGENSI




P/S - Gambar sekadar hiasan





.

Walaupun baru berusia 7 tahun, dia sudah menjalani 76 pembedahan


Walaupun baru berusia 7 tahun, dia sudah menjalani 76 pembedahan | Meskipun baru berusia 7 tahun, Ellie Mae telah menjalani 76 kali pembedahan, untuk membolehkan dia berjalan. Gadis kecil itu sebelumnya juga harus merelakan lengan dan dua kakinya untuk dipotong. Kali ini, dia boleh berjalan kerana kaki buatan yang dipasangkan di tubuh. Sebelum usia satu tahun, Mae didiagnosis meningitis. Penyakit inilah yang membuatkan kanak-kanak itu kehilangan tiga anggota tubuhnya. Pemotongan tersebut dilakukan untuk mematikan virus dalam tubuhnya. Mae terus berjuang untuk hidup, walaupun doktor menegaskan bahawa umurnya memang tidak akan panjang.

Di usia muda itu, dia menjalani 76 pembedahan termasuk pemotongan dan kaki buatan. Semua perbelanjaan, ditanggung oleh Sekolah Gereja tempatan. kerana perbelanjaan yang besar  diperlukan untuk menyelamatkan gadis berambut perang itu. Menurut ibunya, Mae tidak pernah mengeluh atau mengomel atas penyakit yang dideritanya. Dia juga bercerita, tidak berfikir dua kali saat doktor meminta izin untuk memotong anggota tubuh anaknya. “Saya hanya ingin yang terbaik dan mereka menyelamatkan putri kecil ku.” -DM





.

Akhirnya, lelaki dengan berat 380kg itu, meninggal dunia



 Akhirnya, lelaki dengan berat 380kg itu, meninggal dunia  | Seorang lelaki Arab Saudi yang mempunyai berat badan 380 kilogram, Majed al-Dousari, 26, meninggal dunia semalam, selepas dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan selama dua tahun untuk mengurangkan berat badan, lapor media. Akhbar al-Arabiya melaporkan, Dousari meninggal dunia akibat radang paru-paru, manakala doktor berkata, pemuda itu tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan dan menghadapi masalah pernafasan teruk. “Beliau meninggal dunia akibat radang paru-paru akut, sehingga mengakibatkan komplikasi termasuk kesukaran bernafas dan kegagalan fungsi jantung. Majed dipindah ke unit rawatan rapi tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” kata jabatan kesihatan dalam satu kenyataan.

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, sebelum itu mengarahkan supaya Dousari yang terpaksa berada di atas katil hampir sepanjang masa di rumahnya di Pelabuhan Damam, di timur negara itu. Bulan lalu, Raja Abdullah juga mengarahkan supaya rawatan dilakukan ke atas seorang remaja berusia 16 tahun, dengan berat badan 610 kilogram, dipercayai remaja paling gemuk di dunia. Khaled Mohsen Shaeri, menjalani pembedahan di sebuah hospital di Riyadh untuk membuang 80 kilogram lemak dari bahagian perutnya selepas dia tidak lagi mampu berjalan. -AGENSI





.

Diskriminasi kerana mengenakan hijab


Diskriminasi kerana mengenakan hijab | Seorang wanita Iran yang berenang 20km mengenakan hijab telah ditolak catatan rasminya kerana pakaiannya menunjukkan dia 'terlalu feminin dan tertutup'. Elham Asghari mengenakan pakaian khusus baju renang muslim yang telah menambahkan 6kg berat sehingga dia diizinkan untuk cuba berenang jarak jauh di Laut Kaspia pada bulan Jun yang lalu. Tapi pakaian itu nampaknya tidak sesuai untuk acara itu, dan penganjur menolak catatan rasmi yang telah dicatatkannya. Wanita berusia 32-tahun itu mencatat sembilan jam untuk berenang 20km, dari kota Nowshahr ke perairan beku Laut Kaspia. -AP





.

Lelaki hebat ini menang anugerah pekebun bunga terbaik beberapa kali walaupun dia buta



Lelaki hebat ini menang anugerah pekebun bunga terbaik beberapa kali walaupun dia buta | Seorang lelaki buta di England menunjukkan kemampuannya menghasilkan seni taman kebun bunga yang berwarna-warni di rumahnya untuk memenangi anugerah pekebun terbaik di kawasannya sebanyak beberapa kali. Joe Robinson, 74, menjadi buta sejak 20 tahun lalu, namun masih mampu menghasilkan seni taman yang cantik sehingga menarik perhatian jiran, kawan serta orang yang melintasi rumahnya di kampung Crook, Durham, timur laut England. Bekas pekerja kilang itu berkata, sejak menjadi buta, dia tidak pernah berputus asa untuk membuktikan kemampuan dirinya kerana masih boleh berbuat sesuatu dengan menggunakan deria sentuhan dan bau.

"Pada mulanya, saya bimbang tidak dapat menanam pokok bunga dengan baik, namun tidak sangka semuanya tumbuh subur, malah turut mendapat perhatian daripada sepasang kekasih dari New Zealand untuk melihat hasil kerja saya. "Saya sangat sukakan semua jenis bunga tetapi tidak dapat menanam bunga ros dengan banyak kerana pokok itu mempunyai duri," jelasnya.


Robinson berkata, kebiasaannya dia mula menyemai benih dari bulan Mac hingga April dengan melakukan kerja secara berhati-hati agar bunganya tumbuh dengan subur. Jelas pesara itu, isterinya, Heather tidak dapat membantu kerana alah terhadap bunga, namun cucu lelakinya, Jamie sering menolong dengan menggantungkan bakul bunga dan membersihkan taman. Bekas pesara tersebut sebelum ini memenangi beberapa kali trofi pertunjukan bunga di kawasannya sejak beberapa tahun lalu, tetapi pertandingan tersebut dibatalkan pada tahun ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. Isterinya, Heather berbangga dengan kemampuan suaminya itu yang boleh menghasilkan taman bunga yang cantik dan indah walaupun buta. - AGENSI






.

Inilah luahan hati isteri pelakon Adi Putra mengenai skandal suaminya dengan wanita lain


Inilah luahan hati isteri pelakon Adi Putra mengenai skandal suaminya dengan wanita lain | Biarpun suaminya yang juga pelakon terkenal, Adi Putra, dikaitkan mempunyai skandal dengan wanita lain, namun Aida Yusof menegaskan, kontroversi terbabit tidak akan sesekali menggugat keharmonian rumah tangga mereka. Malah tegas wanita itu, dia akan tetap berdiri teguh di belakang suaminya walau apapun yang terjadi. Orang boleh berkata apa saja mengenai suami saya, tetapi saya lebih mempercayainya kerana saya tahu apa yang sebenarnya berlaku. Kontroversi ini juga tidak akan menggugat rumah tangga kami, malah saya tidak pernah meragui dirinya, kata Aida ketika dihubungi HIP, petang semalam.


Enggan ganggu siasatan polis 

Sebagai isteri merangkap pengurus kepada aktor terbabit, tindakan Adi mendiamkan diri sebaik saja berita mengenai dirinya disiasat polis kerana bertukar-tukar gambar dan mesej lucah dengan peminatnya, yang juga isteri orang, seperti disiarkan dalam akhbar ini semalam, bukanlah kerana dia mahu melarikan diri. Sebaliknya tegas Aida, pelakon KL Gangster 2 itu berbuat demikian kerana tidak mahu mengganggu kes yang kini sedang dalam siasatan polis. Adi tidak melarikan diri ke mana-mana. Dia dalam keadaan baik-baik saja dan langsung tidak tertekan dengan cerita sebegitu. Dia berdiam diri pun kerana tidak mahu mengganggu kerja polis. Lagipun, kes ini masih dalam siasatan. -BH




.

Peraturan baru sekolah ini membuatkan ibu bapa terkejut


Peraturan baru sekolah ini membuatkan ibu bapa terkejut | Ibu bapa pelajar sebuah sekolah di Aceh terkejut apabila anak-anak mereka yang baru memasuki sebuah sekolah menengah rendah di Sabang, Aceh, perlu menjawab soalan berhubung ukuran alat kelamin dan payudara dalam borang data kesihatan pelajar. Seorang ibu kepada seorang pelajar itu berkata beliau terkejut apabila borang itu ditunjukkan anaknya yang kurang faham untuk mengisi borang soal selidik itu. Menurutnya borang yang mengandungi enam halaman itu bertajuk "Soal Selidik Penjaringan Kesihatan Peserta Didik Sekolah Lanjutan" adalah bersifat "Rahsia" dan ada tulisan Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di sudut kiri bahagian atas. Di satu satu halaman borang yang bergambar contoh payudara, alat kelamin perempuan, dan alat kelamin lelaki, masing-masing ada empat nombor dari ukuran terkecil hingga ukuran terbesar dan pelajar diminta membulatkan salah satu nombor sesuai dengan bentuk tubuhnya.

"Sangat tidak beretika kalau sampai menanyakan ukuran alat sulit, untuk apa itu," kata ibu itu. Semakan pihak media mendapati di bahagian empat borang itu ialah soalan mengenai data kesihatan reproduksi di mana pelajar perempuan disoal tentang haid dan keputihan berserta gambar ukuran payudara dan alat kelamin perempuan. Untuk pelajar lelaki pula mereka ditanya sama ada pernah bermimpi basah dan sama ada pernah mengalami gatal-gatal di sekitar kemaluan.

Ketua Jabatan Pendidikan Sabang, Aceh, Misman mengesahkan borang soal selidik diedarkan kepada para pelajar sekolah menengah rendah di daerah itu setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan. "Soal selidik itu dibuat atas cadangan Pusat Kesihatan Masyarakat yang bertujuan mendapatkan maklumat mengenai rekod kesihatan pelajar," katanya. Borang soal selidik yang sama pernah diedarkan tahun lalu namun tidak ada sebarang bantahan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak kerana tiada imej alat sulit perempuan dan lelaki yang dicetak pada borang itu, katanya. - BERNAMA





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!