Thursday, August 8, 2013

Wanita ini melahirkan anak selepas 2 hari meninggal dunia


Wanita ini melahirkan anak selepas 2 hari meninggal dunia | Kejadian luar biasa menggemparkan dunia perubatan. Seorang ibu yang disahkan telah meninggal dunia, ternyata masih boleh melahirkan bayi kecil dengan sempurna. Berita ini mendadak tersiar ke mana-mana dan menjadi bahan perbincangan perubatan. Mahmoud Soliman sebagai suami yang berumur 29 tahun tak pernah membayangkan dapat menghadapi kesedihan dan kebahagiaan menjadi satu. Isteri yang dicintainya Jayne Soliman 41 tahun, pergi untuk selamanya. Dan sebagai gantinya, dia mendapat seorang bayi perempuan cantik yang dilahirkan dari rahim isterinya. Yang mengharukan, Aya Jayne demikian nama bayi tersebut, dilahirkan dua hari setelah Jayne dinyatakan meninggal akibat otaknya tidak boleh berfungsi lagi.

Berkat bantuan perubatan, Aya dapat dilahirkan dengan selamat. Sebenarnya kehamilan Jayne tidak bermasalah. Namun di usia kehamilannya yang mencapai 25 minggu, tiba-tiba dia pengsan setelah mengeluh sakit kepala. Segera saja Mahmoud melarikannya ke hospital John Radcliffe Hospital di Oxford. Namun beberapa jam kemudian, doktor menyatakan otak mantan atlet ski ais nasional England ini sudah mati. Doktor cuba membantu jantung Jayne agar tetap berdenyut dengan pelbagai peralatan. Usaha ini dilakukan agar bayi yang berada di perut Jayne dapat diselamatkan.

Jayne diberi dua dos besar steroid, sehingga jantung bayinya dapat berkembang. Dan akhirnya, aya Jayne pun lahir dengan selamat melalui pembedahan cesar. Sebaik keluar dari rahim Jayne, Aya sempat diletakkan di sisi ibunya untuk memberi sedikit waktu bagi keduanya untuk bertemu. Setelah itu Aya langsung dilarikan ke unit perawatan intensif ICU. Sedangkan Mahmoud diberi kesempatan untuk mengucapkan selamat jalan kepada isterinya, sebelum akhirnya doktor mematikan peralatan bantuan hidupnya. Kata "Aya" berasal dari bahasa Arab yang bererti "KEAJAIBAN". Itu merupakan nama yang dipilih Jayne ketika dia masih hidup.-AP





.

Info : Hospital Selayang cari waris mayat seorang lelaki


Info : Hospital Selayang cari waris mayat seorang lelaki | Hospital Selayang sedang mencari waris kepada seorang lelaki yang meninggal dunia semalam, dan mayatnya masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik. Ketua Penolong Pengarah Kanan hospital itu, Dr Supathiratheavy Rasiah, berkata pihaknya sedang mencari waris si mati yang dikenali Hermizan Abdul Rahim, 33, di alamat terakhir, No.10, Jalan Tenaga 4 Taman Sungai Chua, Kajang dekat sini, tetapi gagal.

Dalam satu kenyataan, Dr Supathiratheavy berkata, waris si mati atau orang ramai yang mengenalinya boleh datang ke jabatan itu untuk menuntut mayat lelaki itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai si mati boleh menghubungi Ketua Jururawat atas panggilan (sister on call), Penyelia Hospital di talian 03-6126 3333 atau 03-6120 3233. -BH




.

Awas : Budaya kutip duit raya boleh undang bahaya


Awas : Budaya kutip duit raya boleh undang bahaya | Menjelang Aidilfitri, bagi dewasa terbayang-bayang kampung halaman, rendang dan ketupat, namun bagi si cilik kanak-kanak, dihitung-hitung hasil pendapatan duit raya yang bakal dikumpul buat tandingan. Aktiviti mengumpul duit raya dalam kalangan kanak-kanak sudah menjadi budaya setiap kali tibanya Aidilfitri. “Namun, budaya itu yang semakin sebati dan menyeronokkan buat kanak-kanak sebenarnya harus dikekang kerana ia boleh mencetus pelbagai unsur negatif,” kata Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor kepada BERNAMA. Beliau berkata, kanak-kanak terutama yang berada di bangku sekolah nalurinya tidak dapat lari dari diburu keterujaan terutama dalam menerima hadiah sama ada berbentuk wang tunai atau kebendaan.

"Kanak-kanak memang suka ganjaran wang, suka hadiah... malahan ada juga sampul duit raya yang tidak diisi duit sebaliknya diisi gula-gula... tetapi kanak-kanak tetap menerimanya kerana mereka suka. "Namun apa yang menjadi masalahnya apabila ibu bapa terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak sehingga menjadi galakan untuk mereka ini mengumpul duit raya dengan apa cara sekalipun termasuk mengenepikan budaya hormat menghormati dan keselamatan diri," katanya. Dr Mariani berkata, kehadiran Aidilfitri menjadikan kebanyakan ibu bapa leka dengan aktiviti sendiri termasuk melayan tetamu sehingga membiarkan anak masing-masing keluar bersama kawan-kawan.

Katanya, ibu bapa tanpa sedar membiarkan anak mereka dengan budaya kurang sopan apabila sanggup mengunjungi kediaman yang tidak dikenali hanya semata-mata untuk mengumpul duit raya. Lebih membimbangkan, katanya, kanak-kanak yang keluar bersendirian dan berkumpulan dengan rakan sebaya juga terdedah dengan ancaman bahaya dan jenayah seperti kemalangan, penculikan dan sebagainya. Katanya, membiarkan anak-anak yang masih di bangku sekolah rendah keluar bersama kawan-kawan tanpa pengawasan ibu bapa ibarat sengaja mengundang padah kerana setiap kemalangan yang berlaku tidak berbau.

"Bukan itu saja, ada ibu bapa yang turut sama teruja dan bertanya anak mereka berapa duit raya yang dapat dikumpul, sehinggakan konsep hari raya yang sebenar iaitu untuk kunjung mengunjungi sudah disalahgunakan," katanya. Justeru Dr Mariani menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu alpa dengan kehadiran Aidilfitri sehingga anak dibiar bebas dengan aktiviti yang akhirnya membawa kerugian kepada diri sendiri. "Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Semarakkan Aidilfitri dengan silaturrahim... berbalik pada budaya Aidilfitri sekitar tahun 60-an, bawalah anak-anak bersama-sama ziarah menziarahi, ia dapat memupuk sifat mengenali saudara mara dan bukannya sekadar mengutip duit raya," katanya. - Bernama




P/S - Gambar sekadar hiasan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!