Wednesday, August 7, 2013

Lelaki yang panik kerana isteri akan bersalin


Lelaki yang panik kerana isteri akan bersalin | Seorang lelaki Sweden panik apabila isterinya yang sedang sarat mengandung anak ketiga mereka bersalin di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital, kata lelaki berkenaan kelmarin. Mokhles Raheema memberitahu, situasi cemas itu menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di sebatang jalan raya. Menurutnya, insiden itu berlaku pada Ahad lalu apabila isterinya berada di tempat duduk belakang semasa mereka dalam perjalanan menuju ke sebuah hospital di bandar Gavle, timur Sweden. Namun, sebelum tiba di hospital itu isteri Raheema bersalin di dalam kereta mereka.


"Dia berkata, bayi kita hendak keluar," kata Raheema kepada sebuah stesen televisyen tempatan. "Saya dapat melihat anak saya keluar dan terjatuh di lantai kereta," tambahnya. Jelas Raheema, ketika itu matanya tidak tertumpu pada pemanduan, menyebabkan keretanya yang terbabas ke dalam sebuah parit dan terbalik. Bagaimanapun, semua ahli keluarga Raheema terselamat dengan bayi itu ditemui terselit di bawah kerusi. Mereka kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. - AFP





.

Lihat, susahnya dalam keadaan badan yang obes


Lihat, susahnya dalam keadaan badan yang obes | Seorang lelaki obes di Jerman yang mempunyai berat 412.7 kilogram, terpaksa diselamatkan menggunakan jentera pengorek selepas dia mengalami masalah jantung di rumahnya. Kejadian tersebut berlaku apabila mangsa, Michael Lehberger menghubungi talian kecemasan selepas dia mula mengalami simptom penyakit tersebut. Bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba di rumahnya di Riegelsberg tidak boleh membawa Lehberger keluar kerana badannya yang terlalu besar. Sepasukan bomba yang dipanggil kemudiannya terpaksa memecahkan dinding satu daripada tingkap rumahnya untuk membolehkan lelaki berusia 29 tahun berkenaan keluar.

Lehberger dibawa turun menggunakan jentera pengorek dan dikejarkan ke hospital menaiki sebuah ambulans yang dikhaskan untuk membawa empat orang pesakit. Misi menyelamatkan Lehberger mengambil masa selama enam jam. Ketua operasi menyelamat, Volker Klien berkata, beliau tidak pernah berdepan dengan situasi cemas sebegitu. "Lelaki tersebut terlalu berat untuk dibawa menggunakan kereta. "Malah jirannya mendakwa, mereka tidak pernah melihatnya melangkah keluar daripada rumah selama kira-kira dua tahun," katanya. - AGENSI





.

Kisah tragis yang menimpa adik beradik


Kisah tragis yang menimpa adik beradik  | Seekor ular sawa yang terlepas daripada tempat kurungannya di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di Kanada memasuki sistem pengudaraan sebelum masuk ke sebuah apartmen dan membelit hingga mati dua budak lelaki yang sedang tidur. Adik beradik berusia lima dan tujuh tahun, Connor dan Noah Barthe melawat rakan mereka di apartmen di atas sebuah kedai peliharaan haiwan eksotik, Reptile Ocean Inc. di Campbellton, New Brunswick, kata Konstabel Julie Rogers-Marsh.

Saya rasa mereka masih tidur sehingga saya ternampak lubang pada siling. Saya hidupkan lampu dan melihat suatu yang mengerikan” Jean-Claude Savoie, Pemilik Reptile Ocean

Anggota polis tiba di apartmen berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan dan menemui dua beradik itu sudah mati. Rakan dua beradik terbabit selamat kerana tidur di bilik berasingan, kata Rogers-Marsh. Katanya, pemilik kedai haiwan peliharaan terbabit, Jean-Claude Savoie. juga tinggal di apartmen itu. Savoie mengakui anaknya adalah rakan rapat dua mangsa berkenaan. Rogers-Marsh berkata, ular berkenaan terlepas kurungannya pada waktu malam dan dipercayai memasuki apartmen melalui sistem pengudaraan.


Kejadian tragik 

“Kedua-dua mangsa dipercayai dibelit ular berkenaan,” katanya. Savoie berkata, ular yang dibelinya pada tahun 2000, jatuh dari atas siling sistem pengudaraan ke dalam bilik tamu. Ular itu sudah ditangkap dan diletak dalam tahanan polis, kata Rogers-Marsh. Panggilan ke kedai haiwan peliharaan terbabit tidak dijawab. Bedah siasat dijalankan terhadap kedua-dua mangsa, semalam. “Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan amat tragik serta menyedihkan kepada semua yang terbabit,” kata Rogers-Marsh. Timbalan Datuk Bandar, Ian Comeau, berkata Reptile Ocean mempunyai lesen untuk beroperasi dan semuanya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Kematian kedua-dua budak berkenaan sesuatu yang mengejutkan dan sukar dipercayai, kata Comeau. - AP/AGENSI





.

Waris Dhia Amanda dicari.


Waris Dhia Amanda dicari. | Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris seorang bayi berusia sebulan yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah di sini, 1 Julai lalu. Bayi diberi nama Dhia Amanda itu ditinggalkan ibu kandungnya di wad hospital. Pegawainya, Manayi Ibrahim berkata, pihaknya mengesan seorang wanita berusia 18 tahun dikenali sebagai Nor Nurul Aishah Omar bagi membantu siasatan mencari waris bayi perempuan itu. “Jabatan ini sedang mengesan ibu kandung bayi yang alamat terakhir merupakan sebuah rumah kedai yang tidak berpenghuni.

“Siasatan awal mendapati ibu kandung bayi ini anak tunggal dan telah kematian ibu bapa dikatakan telah bernikah di sebuah masjid di Pasir Gudang bagaimanapun pernikahan itu tidak sah dan sijil dikemukakan adalah palsu. Usaha mengesan sehingga kini masih gagal,” katanya. Beliau berharap orang ramai yang mengenali atau mengetahui asal usul kanak-kanak ini menghubungi JKM. Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan ditempatkan di bawah perlindungan JKM di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 mengikut peruntukan di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001. -SH




.

Kisah sedih seorang peniaga pasar malam


Kisah sedih seorang peniaga pasar malam | Seorang peniaga pasar malam menjadi mangsa tindakan kejam sekumpulan tiga penjenayah yang bukan sahaja menyamunnya malah menggilis dan mengheretnya beberapa meter ketika cuba melarikan van milik wanita itu malam tadi. Berikutan itu, mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian dada. Kejadian berlaku ketika mangsa, Rohani Harun, 50, baru pulang dari berniaga di bazar Ramadan di kawasan Perindustrian Bukit Serdang, dekat Taman Serdang Raya, dekat sini pukul 9.30 malam tadi. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, mangsa memandu van itu yang membawa muatan barangan berniaga sambil mengekori suaminya yang memandu kereta selang beberapa buah kenderaan di hadapannya. "Mangsa dan suaminya sebelum itu berniaga di bazar Ramadan. Selepas selesai berniaga, suaminya memandu kereta dan diekori mangsa yang memandu van dipenuhi barangan berniaga. "Namun sebaik sahaja tiba di Jalan 6/3, Taman Serdang Raya, van dipandu mangsa dihalang sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dinaiki tiga lelaki. Seorang lelaki bersenjata parang turun dan menyamun mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah Abd Razak, suspek merampas van berkenaan namun mangsa dipercayai cuba menghalang tindakan itu menyebabkannya dilanggar, digilis dan diseret beberapa meter. "Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah manakala suspek melarikan diri bersama van mangsa. Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. "Penduduk di kawasan itu yang mengenali mangsa yang dalam keadaan parah memaklumkan kepada suaminya yang tidak menyedari insiden tersebut berlaku," katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian termasuk meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa premis berhampiran lokasi kejadian itu.

Sementara itu, suami mangsa, Yahaya Ishak, 62, berkata, biasanya dia yang akan memandu van tersebut dan mengekori mangsa yang memandu kereta. "Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma dia pernah berpesan semasa berniaga malam tadi agar menjaga anak-anak kami ketika dia sudah tiada nanti. "Arwah juga begitu teruja untuk mencari jubah putih untuk hari raya pada hari ini dan bersungguh-sungguh mengajak saya menunaikan umrah pada tahun depan," jelasnya. Menurut Yahaya, jenazah isterinya akan dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM). -utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!