Wednesday, July 31, 2013

Keracunan Kadmium Di China. Apa itu kadmium?



Keracunan Kadmium Di China. Apa itu kadmium?  | Sekurang-kurangnya 26 penduduk kampung yang tinggal dekat sebuah kilang yang tidak lagi digunakan dilaporkan maut akibat keracunan kadmium manakala beratus-ratus lagi jatuh sakit sejak 2009. Sampel tanah dari Shuangqiao di wilayah Hunan mengandungi 300 kali paras kadmium yang dibenarkan dan jumlah lebihan ditemui pada 500 daripada 3000 penduduk yang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sebuah kilang bahan kimia utama beroperasi di kampung tersebut sehingga 2009 dan longgokan sisa buangan industri di kilang itu masih belum dimusnahkan. Agensi berita tempatan menyifatkan situasi itu sebagai salah satu daripada 10 pencemaran terbesar di negara itu. Menurut Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS), kadmium mempunyai kandungan toksik yang tinggi dan penyebab kanser sekiranya terdedah kepada logam tersebut.  -AP


*Kadmium adalah salah satu logam berat yang terkandung dalam asap rokok, makanan dan persekitaran yang tercemar. Seperti halnya logam berat lainnya, kandungan yang diperbolehkan dalam tubuh manusia seharusnya hanya berupa trace element, jika berlebihan, ianya akan menjadi toksik.





.

Pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim dikatakan mencetuskan kontroversi baru


Pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim dikatakan mencetuskan kontroversi baru | JIKA sebelum ini, Rafidah Ibrahim, 27, atau lebih dikenali sebagai Fida, berdepan dengan isu dikatakan 'merampas' Zalif Sidek daripada teman wanita aktor itu, kini aktres cantik ini terpalit pula dengan kontroversi baru apabila menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Penyertaan Fida dalam AF musim baru itu bukan saja mengundang tidak puas hati di kalangan peminat, bahkan turut mendapat bantahan dari seorang juri AF, Syafizawati Sharif atau Cikgu Syafi. Menurut Cikgu Syafi, penyanyi yang popular dengan lagu Apa Kono Eh Jang itu sudah pun mempunyai nama dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, Fida tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan penyertaannya dalam program realiti popular itu. "Apa saja komen diberikan Cikgu Syafi, saya anggap sebagai semangat untuk meneruskan perjuangan dan tidak akan sesekali berundur setelah memutuskan menyertai program itu. "Saya sedar vokal saya tidak sehebat penyanyi lain. Itulah antara faktor saya memilih AF kerana ia sebagai medium untuk mempelajari teknik-teknik nyanyian," kata Fida apabila namanya berjaya di senarai pendek untuk menyertai program tersebut.


Tak kejar glamor 

Tegas Fida, bukan niatnya untuk mengejar sebarang populariti jika diterima menyertai AF, sebaliknya dia ingin mengutip ilmu dalam kelas nyanyian bagi memperkuatkan lagi vokalnya. "Inilah peluang untuk saya meneruskan karier nyanyian yang lebih baik untuk masa akan datang. "Walaupun dah bergelar penyanyi, namun saya sebenarnya masih belum mahir dan kurang pengalaman. "Maka dengan penyertaan ini, ia dapat menambah ilmu untuk saya menerokai bidang muzik," kata Fida yang minat menyanyi sejak kecil lagi. Menurutnya, kerjaya dalam dunia seni ada pasang surutnya dan jika dia tidak mempelajari perkara baru, berkemungkinan namanya akan tenggelam suatu hari nanti.

"Saya tak kisah apa jua komen-komen negatif yang saya terima sejak berkecimpung sebagai penyanyi. Saya anggap itu sebagai peniup semangat untuk lebih berjaya," katanya yang baru sahaja selesai merakamkan single terbaru bersama Datuk AC Mizal dan Qalam Band bagi projek terbaru mereka. Beralih mengenai kisah peribadinya, Fida menegaskan dia tidak pernah serik untuk bercinta lagi meskipun hubungan dengan Mamat Sepah dan Zalif Sidek pernah menemui kegagalan. "Buat masa ini, soal cinta saya tolak tepi dulu demi menumpukan perhatian kepada kerjaya. "Fokus utama saya adalah nyanyian selain daripada penggambaran drama dan filem," katanya yang turut menjayakan telemovie raya, Besan-besanku Gangster. -SH





.

Kesucian bulan ramadan dicemari dengan penemuan bayi yang ditinggalkan dalam bakul


Kesucian bulan ramadan dicemari dengan penemuan bayi yang ditinggalkan dalam bakul | Seorang bayi perempuan dipercayai berusia seminggu, ditemui ditinggalkan dalam bakul yang diletakkan hadapan rumah seorang lelaki di Jalan Camar, Taman Perling, di sini, pagi semalam. Bayi itu ditemui kira-kira jam 5.30 pagi oleh Lee Nyang Puang, 59, yang terjaga dari tidur selepas terdengar pintu rumahnya diketuk beberapa kali sebelum melaporkan penemuan bayi terbabit kepada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

“Bayi terbabit dibawa ke balai polis oleh lelaki yang menemuinya dan hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui sekeping nota bersama bayi berkenaan dipercayai ditulis oleh ibu bayi terbabit. “Nota itu antaranya tertulis nama ibu bayi terbabit, tarikh lahir bayi itu selain meminta jasa baik lelaki berkenaan supaya menjaga bayi terbabit seperti anaknya sendiri,” katanya, di sini, semalam. Eng Lai berkata, selain nota, pihaknya turut menemui bekas susu berjenama Novalac, botol susu dan dua termos air di sebalik selimut yang menyelimuti bayi berkenaan.

“Berdasarkan nota itu lagi, wanita yang melahirkan bayi itu berasal dari Sabah dan mendakwa ditinggalkan teman lelakinya yang juga ayah kepada bayi itu. “Oleh itu, kita akan siasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan,” katanya. Justeru, Eng Lai memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes terbabit supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. -MD





.

Penyanyi Hattan mendedahkan kisah sebenar kenapa dia menikahi semula bekas isterinya, Arianie



Penyanyi Hattan mendedahkan kisah sebenar kenapa dia menikahi semula bekas isterinya, Arianie | TIDAK ramai yang tahu akan cerita ini. Peristiwa yang berlaku dalam hidupnya pada satu malam, kira-kira tujuh tahun lalu menjadikan penyanyi Memburu Rindu terus-terusan dilanda kasmaran kepada wanita bernama Arianie Mohd. Abidin. "Selepas dua atau tiga tahun bercerai, aku didatangi mimpi. Mimpi yang indah sekali dan berlaku pada satu malam Jumaat. Aku bermimpi dengan disaksikan oleh arwah ayah aku sendiri. Dalam mimpi itu, aku dan Arianie kembali bernikah. Kami kembali menjadi suami isteri dalam mimpi yang sangat mendamaikan jiwa itu," beritahu Hattan kepada Mega dalam perbualan eksklusif, selepas empat hari kembali bergelar suami. Lalu, mimpi itulah yang memberi kekuatan kepada lelaki yang dilahirkan dengan nama Mohd. Shukri Sahabuddin ini. Mimpi itu kejap dan berbekas di jiwa, menaburkan bunga-bunga semangat untuk kembali memburu cinta wanita itu.

Meskipun mereka telah dipisahkan oleh satu talak pada 2005 (Hattan mengaku lafaz cerai dibuat kerana sifat 'baran' sendiri), Arianie masih ada untuknya. Arinie lah isteri yang akan menjaga makan minum pada hari tuanya dan Arianie juga adalah tulang rusuk yang akan kembali kepada dirinya sebagai tuan pemilik. "Aku pegang pada mimpi itu sebagai petunjuk Allah. Sebab itu, selepas tiga tahun kami bercerai, aku lebih banyak bertaubat, tinggalkan dunia-dunia kelab malam, kehidupan buruk. Satu persatu aku tinggalkan sebab aku tahu, hal-hal itu antara perkara yang buat Arianie tidak suka," katanya. Kepada penulis sendiri, Hattan pernah katakan bahawa walau dengan apa cara sekalipun, dia yakin wanita itu akan kembali menjadi miliknya, dengan izin Yang Maha Esa.

"Aku dapat rasa, tidak akan ada perempuan lain yang boleh jaga aku, sama macam Arianie jaga aku. Hanya dia yang faham tentang aku," itu yang diucapkan kira-kira empat atau lima tahun lalu. Ketika itu dia telah kehilangan Arianie hampir lima tahun dan selepas perceraian, Hattan mengakui sukar untuk dia meneruskan hidup tanpa wanita itu di sisi. "Aku memang hendak kahwin dengan dia balik, aku tak boleh kahwin dengan orang lain. Bila aku hilang dia, baru aku tahu dia sangat bernilai pada hidup aku," katanya lagi dalam perjalanan pulang kami selepas terlibat dalam penganjuran Konsert Pancaindera di Johor Bharu ketika itu. Sebenarnya hasrat Hattan untuk kembali memiliki Arianie tidak pernah padam. Hari pertama dia melafazkan cerai, detik itu juga dia berpaling daripada rasa amarah dan mahu kembali bersatu dengan Arianie.

Lalu, ketika buat kali keduanya menzahirkan lafaz kembali bernikah dengan wanita yang sama, ada air mata yang deras mengalir di pipi lelaki ini. Semuanya kerana terkenangkan kembali kepada mimpi yang memberikan kekuatan kepada dirinya untuk mendapatkan semula Arianienya yang telah pergi. "Ketika mahu berjabat tangan dengan tok kadi, aku teringat kepada mimpi malam Jumaat itu, itulah keajaiban, benda tu yang buat aku menangis. Tak tahu nak cakap apa lagi. Ya Allah, ini dia, inilah dia. Aku tak boleh hendak terang kepada semua orang kenapa aku menangis. Aku menjadi sangat insaf. Tuhan itu satu, Dia Maha Agung dan aku sebak sendirian. "Melalui mimpi itu, aku tahu, aku sangat sayang dan kasih kepada dia. Tiada tempat untuk orang lain di hati ini, selain dia sebenarnya," katanya yang dalam perbualan kami, turut beberapa kali menjadi sebak tidak keruan.

Hattan dan Arianie kembali bergelar suami isteri pada 15 Ramadan 1434 dengan mas kahwin RM300 tanpa sebarang hantaran lain, di Putrajaya, Rabu lalu. Bukan tidak ada perempuan lain yang singgah di hatinya sebelum ini. Ada. Malah, Hattan pernah bernikah seketika dengan seorang wanita lain tidak lama dahulu tetapi bercerai hanya selepas dua bulan menjadi suami isteri. Untuk Arianie pula, pernah bertunang, tetapi terputus di tengah jalan, maka hari ini dia kembali kepada Hattan, lelaki yang telah memberikannya seorang zuriat sebelum ini.

"Masa Arianie bertunang, aku cakap sendiri kepada dia, "Kau takkan bernikah dengan dia, kau akan bernikah dengan aku balik." Arianie marah kepada aku ketika itu, tetapi itu adalah keyakinan aku. Aku pun tidak boleh jadi suami kepada perempuan lain sebab dalam otak aku, tak pernah padam nama Arianie. Asyik teringat kepada Arianie, macam mana aku nak bahagia dengan perempuan lain?" demikian ceritanya dengan nada paling berterus terang.


Hikmah tangguh tunai haji 

Hari pertama setelah kembali bergelar isteri, melihat Arianie masuk ke rumah kelamin mereka di Putrajaya, hati lelakinya begitu terkesan. "Dio masuk rumah den, dio susun balik baju-baju den, hati den pun cair," ketawanya dalam bahasa Negeri Sembilan yang lepas bebas. Perbualan kami berlangsung selepas empat hari Hattan kembali bergelar suami Arianie. Apa yang mahu dikongsi? "Aku boleh cakap, hidup aku lebih bermakna. Kami jadi macam dulu-dulu semula, macam baru kahwin. Tetapi kali ini lebih romantik dan cinta kami lagi matang. Semalam kami pergi pasar malam Putrajaya, beli samping aku. Boleh pegang-pegang tangan, peluk-peluk pinggang lagi," katanya. Hattan juga mengaku, dia pernah membuat keputusan untuk membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji pada 2012 meskipun sudah membuat banyak persiapan untuk itu.

"Pada tahun 2012, memang sudah daftar, tetapi tiba-tiba aku tidak jadi pergi. Hati aku kuat mengatakan, aku nak tunggu Arianie untuk pergi buat ibadah Haji bersama-sama sebagai suami isteri. "Insya Allah, kalau semuanya berjalan lancar, aku akan bawa Arianie dan ibu mertua sekali mengerjakan ibadah haji bila rezeki kami sampai nanti," kata bapa kepada Adam Eiman, 15. Majlis pernikahan ringkas yang turut disertai dengan majlis berbuka puasa itu dihadiri oleh kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat serta petugas media. Selain daripada beberapa rakan artis dan pemain bola sepak yang hadir, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama keluarganya. Pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan dua kali lafaz pada pukul 6 petang di hadapan Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Abdul Halim Mohd. Isa. -Utusan





.

Biadap, wanita ini cetuskan kontroversi dan kemarahan umat islam



Biadap, wanita ini cetuskan kontroversi dan kemarahan umat islam | Satu rakaman video yang menular dalam internet memaparkan seorang individu yang menyambut Aidilfitri bersama anjing mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam. Video itu yang menggunakan latar bunyi takbir raya menunjukkan individu terbabit menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya. Babak sensitif dan menghina Islam dalam video berkenaan bermula dengan aksi individu berkenaan memakai baju Melayu hitam membasuh kaki seekor anjingnya dan kakinya sendiri seolah-olah berwuduk. Individu terbabit kemudian meletakkan biskut raya di atas meja untuk dimakan tiga anjingnya. Video berkenaan yang diakhiri dengan pesanan ‘Raikanlah Aidilfitri Bersama-sama Tanpa Mengira Spesies, Warna dan Asal-Usul’ yang merujuk kepada manusia dan anjing. Tinjauan di laman sosial Facebook mendapati video itu disebarkan secara meluas dan mendapat pelbagai reaksi rakyat Malaysia.


Tindakan tegas 

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Nakhaie Ahmad, berkata perbuatan itu perlu dikenakan tindakan tegas. “Tindakan beliau memaparkan sambutan Aidilfitri bersama anjing boleh mengelirukan umat Islam, walaupun ada mazhab membenar umat Islam membela anjing, namun dalam konteks negara kita, ia tidak sepatutnya berlaku. “Kita perlu ada fatwa yang jelas tidak boleh buat sesuka hati, perbuatan ini jelas biadap,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. -BH





.

Pemain Lagenda Argentina, Diego Maradona buat hal lagi



Pemain Lagenda Argentina, Diego Maradona buat hal lagi | Seorang jurugambar sebuah majalah selebriti membuat laporan polis mendakwa dia ditendang oleh pemain legenda Argentina, Diego Maradona. Jurugambar majalah `Gente' itu, Enrique Medina mendakwa kejadian itu berlaku di luar rumah bapa kepada legenda terbabit pada malam Ahad lalu. Medina memberitahu, Maradona meluru ke arahnya dan menendangnya seolah-olah seperti sedang mengambil sepakan bebas. Sepakannya Maradona itu telah mengenai pangkal paha jurugambar terbabit. Maradona sebelum ini selalu merungut pihak media sering mengekorinya terlalu rapat dan menimbulkan rasa tidak senang. - Agensi






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!