Saturday, June 8, 2013

Berikutan insiden bunuh diri anak Michael Jackson.. Paris Jackson hanya inginkan perhatian?


Pelbagai persoalan timbul apakah yang menyebabkan anak mendiang Raja Pop Michael Jackson, Paris Jackson cuba membunuh diri pada awal pagi Rabu lepas. Ada yang mengatakan gadis berusia 15 tahun itu tertekan kerana berhadapan masalah teman lelaki, bergaduh dengan ibunya, Debbie Rowe, yang tidak membenarkannya ke konsert penyanyi rock Marilyn Manson serta dakwaan Michael Jackson bukanlah bapanya yang sebenar.

Kini muncul khabar angin terbaru mengatakan Paris telah berselisihan faham dengan abangnya, Prince Michael yang dikatakan tidak bersetuju dengan hubungannya bersama Rowe yang semakin rapat selepas kematian bapa mereka itu. "Mereka (Paris dan Prince) sangat rapat sehinggalah Debbie kembali. Paris ingin rapat dan mengenalinya. "Paris mahukan ibu kembali dalam hidupnya, tetapi Prince masih mengingati apa yang pernah dikatakan oleh Michael tentang Debbie. Prince merasakan Paris mengecewakan bapa mereka apabila mula rapat dengan Debbie," ujar satu sumber seperti dipetik dari Us Weekly.

Paris dilihat sering melawat Rowe, 54, di ladang kudanya di Palmdale, California. Rowe pernah mengahwini bapanya dari tahun 1996 sehingga 1999. Prince, 16, dan Paris dilaporkan seringkali bergaduh disebabkan perkara itu dan ia membuatkan Paris sedih dan tertekan kerana mereka sangat rapat sebelum ini. Sementara itu pihak polis Los Angeles percaya Paris tidak berniat untuk membunuh diri, sebaliknya inginkan perhatian. Dipetik dari TMZ, satu sumber memberitahu, "Dia sememangnya ingin diselamatkan, lebih-lebih lagi selepas dia membuat panggilan panggilan ke talian bantuan bunuh diri.

"Ianya tidak masuk akal. Jika anda ingin membunuh diri tetapi menghubungi talian bantuan, sudah pasti pihak di sana akan mendapatkan bantuan ambulans ke rumah anda." Sumber itu turut memberitahu Paris telah mengelar pergelangan tangannya menggunakan pisau pemotong daging dan dalam keadaan sedar apabila bantuan tiba. Tidak kira apa masalah yang dihadapi olehnya, kami berharap Paris dapat bersabar dan melaluinya dengan tenang. -TMZ






.

Kontroversi melibatkan Ariel tidak dimasukkan dalam filem mengenai Peterpan/Noah



Selepas kontroversi video seks yang melibatkan vokalis Ariel, Peterpan bertindak menukar nama kumpulan mereka kepada Noah pada Ogos 2012 bagi memberi permulaan baru. Semangat perjuangan, setia dan tidak mudah mengalah yang ada pada kumpulan ini berjaya menarik minat penerbit dan pengarah filem "Catatan Harian Si Boy", Putratama Tuta yang ingin mengangkat kisah mereka ke layar perak. Walaubagaimanapun kisah kontroversi Ariel tidak akan dimasukkan dalam filem yang mengetengahkan genre muzikal ini.

Dipetik dari Kapan Lagi, Ariel memberitahu, filem ini menyaksikan kisah muzik dirinya dan ahli kumpulan lain serta peluang kedua mereka dalam industri muzik. "Pastinya ia menjadi tanda tanya. Namun ada perkara yang boleh ditunjuk, ada yang tidak perlu. Filem ini tentang muzik. "Tentang video itu, tak perlu terlalu dibicarakan. Selalunya kita hanya mendapat satu saja peluang. Kami sangat bertuah kerana mendapat peluang kedua," ujarnya. Filem tentang Noah yang dianggotai oleh Ariel, Lukman, Reza, David dan Uki ini dijadualkan siap pada November tahun ini. -AP




.

Kerana di tegur matikan telefon bimbit, penumpang pukul pramugari


Seorang pegawai kerajaan di Badan Nasional Penyelarasan Penanaman Modal negeri Bangka Belitung dijadikan suspek oleh polis setelah beliau dilaporkan memukul seorang pramugari yang menegurnya supaya mematikan telefon bimbit ketika di dalam pesawat. Lelaki itu bukan sahaja memukul pramugari bernama Febriani dari syarikat penerbangan Sriwijaya Air itu, malah beliau turut memaki hamun Febriani dalam kejadian ketika pesawat itu mendarat di lapangan terbang di Pangkalpinang, Bangka Belitung, pada Khamis, media tempatan melaporkan. Berikutan kejadian itu Febriani membuat laporan polis.

Febriani hari ini banyak mendapat sokongan masyarakat di dunia maya dan laman sosial, termasuk melalui twitter dan para penyokongnya mengutuk perbuatan pegawai negeri itu yang mereka anggap sangat sombong selain boleh membahayakan keselamatan penerbangan itu.

Dalam kejadian itu, Febriani dilaporkan dipukul di pipi kiri dan bahagian belakang kiri kepalanya oleh penumpang berkenaan dengan menggunakan gulungan surat khabar. Ketika itu lelaki berkenaan ditegur supaya mematikan telefon bimbitnya ketika pesawat itu hendak mendarat. Sementara itu pegawai negeri berkenaan mendakwa beliau hanya 'menempelkan' gulungan surat khabar yang sedang beliau baca itu ke pipi Febriani kerana tidak suka diberitahu secara kasar oleh pramugari itu. - Bernama





.

Keterlaluan.. Kepala babi panggang diletak di hadapan tangga masjid


Rutin harian jemaah Masjid Nurul Iman untuk menunaikan solat subuh terganggu selepas dikejutkan dengan penemuan kepala babi panggang, yang diletakkan betul-betul di hadapan tangga pintu utama masjid. Menurut Siak Masjid, Nadzlan Ambak, dia yang tiba jam 5.15 pagi untuk membuat persiapan solat terkejut apabila kepala babi diletakkan elok di pintu masjid seperti barang perhiasan untuk tontonan tetamu. Nadzlan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun disitu berkata, insiden ini adalah pertama kali berlaku di masjid itu. Dia yang tinggal dalam kawasan masjid berkata, pada malam kejadian iaitu selepas selesai solat isyak, dia telah mengunci pintu pagar masjid seperti kebiasaan. “Individu tidak bertanggungjawab itu masuk ke kawasan masjid jam 2 ke 3 pagi dengan memanjat pintu pagar tanpa tidak disedari oleh sesiapa. Sebelum ini memang kerap berlakunya kecurian tetapi meletakkan kepala babi adalah yang pertama dan mencabar sensitiviti orang Islam," katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecurian dilaporkan dan penceroboh juga tidak masuk dalam ruangan solat sebaliknya hanya meletakkan kepala babi di hadapan pintu utama masjid. Sementara itu, Setiausaha Masjid, Sulaiman Abu Samah berkata, dia tiba ke tempat kejadian selepas dimaklumkan siak dan terus membuat laporan polis. Polis tiba di tempat kejadian 6.40 pagi. “Kelewatan polis datang menyebabkan penemuan itu tergempar selepas kesemua jemaah menyaksikan insiden itu. “Bagaimanapun, kita tidak menuduh mana-mana pihak, namun berharap mereka yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan masjid atau mana-mana isu supaya tampil untuk berbincang," katanya lagi.

Katanya, tindakan tersebut bukan hanya menggugat sensitiviti umat Islam tetapi turut menimbulkan provokasi masyarakat setempat yang boleh memburukkan keharmonian yang terjalin. Sebagai langkah pengawasan dan mengelakkan kejadian berulang, katanya, pihak masjid akan menggiatkan aspek pengawasan dan keselamtan termasuk cadangan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Hadir sama melawat tapak ialah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun), Soong Beng Khoon. Beng Khoon berkata, insiden tersebut pertama kali berlaku di Rawang dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan. Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya meminta polis menyiasat pihak tidak bertanggungjawab dan mengenakan tindakan tegas kerana sejak kebelakangan kerap berlaku insiden membabitkan mencabar kesucian tempat ibadah.

“Tiada sebarang tangkapan sebelum ini dilaporkan berkenaan pembakaran gereja atau kes baling kepala babi di Selangor menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab semakin berani dan bertindak keterlaluan. “Kita juga minta individu tidak bertanggungjawab untuk menghentikan provokasi membabitkan rumah ibadah dan tidak mencampuradukkan politik dengan sensitiviti kaum serta agama. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei berkata, "saya selaku Adun Rawang mengutuk keras tindakan pihak yang sengaja membuat provokasi membabitkan isu agama dan mencabar tampil membuat perbincangan rasa tidak puas hati secara terbuka." “Masjid yang telah 30 tahun ini tidak menghadapi sebarang masalah sebelum ini kerana memegang prinsip memahami dan menghormati antara satu sama lain dan tindakan membuat provokasi itu mencabar institusi sedia ada," katanya. -SH






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!