Sunday, February 3, 2013

Pengukir berkarya guna tulang haiwan


Tulang-tulang haiwan tidak lebih daripada sampah yang mesti dibuang bagi sesetengah orang. Namun, tahukah anda masih ada unsur-unsur kesenian boleh digarap daripada tulang haiwan ini dan hasilnya kelihatan amat cantik sekali. Liputan6.com melaporkan, di kawasan tumpuan pelancong Tampak Siring di Gianyar dekat Bali, ramai pengukir yang berkarya dengan mengukir tulang haiwan. Bagi seorang pengukir yang mahu dikenali sebagai Nano, dia menjadikan tulang-tulang haiwan sebagai karya seninya. Tulang yang digunakan pula bermula daripada tulang ikan, tulang lembu, kerbau, tanduk hingga ke gading gajah.

Bagi pengukir ini, kualiti tulang haiwan lebih baik dibandingkan dengan kayu kerana ia mempunyai tahap kekerasan yang berbeza. Malah, antara kayu dan tulang turut mempunyai kerumitannya sendiri. Bagi Nano, sejak kecil lagi, dia telah 'bergelumang' dengan tulang, justeru ukiran tulang bukanlah asing baginya. Bagi Nano, dia memperolehi kepuasan mengukir tulang kerana tidak perlu khuatir karyanya akan mengalami kerosakan mahupun patah. Bagaimanapun pasaran ukiran tulang masih dikuasai pelancong daripada Amerika Syarikat dan Eropah. -utusan






.

Kreatif : Garaj jadi rumah sewa


Isu kekurangan rumah di Britain merupakan masalah yang sukar ditangani bagi memastikan setiap rakyat, terutamanya golongan belia di negara ini mempunyai tempat tinggal sendiri. Bagi mengatasi masalah itu, sekumpulan arkitek tampil dengan idea tersendiri untuk menjadikan garaj kereta awam yang tidak digunakan sebagai rumah sewa bersaiz kecil. Melalui projek yang dikenali sebagai Pop-up HAWSE kendalian firma arkitek Levitt Bernstein, masalah golongan profesional muda dan individu yang menghadapi kesukaran mencari rumah, mampu diatasi dengan menyewa 'rumah kecil' itu buat sementara waktu.

Seorang daripada arkitek projek berkenaan, Georgie Revell berkata, penyewa hanya perlu membayar hanya 11 pound (RM54) seminggu untuk menduduki rumah tersebut yang memerlukan kos pengubahsuaian sebanyak 13,000 pound (RM63,736). Jelasnya, idea menghasilkan rumah tersebut bertujuan memberi peluang kepada penyewa berteduh sehingga mereka mempunyai rumah sendiri.

"Setiap rumah kecil ini berukuran 11.5 meter persegi dan dilengkapi sebuah katil, dapur, bilik mandi, bilik kecil dengan sebuah meja kecil dan dua kerusi. "Setiap lima garaj yang ditukar kepada rumah kecil akan dilengkapi sebuah bilik basuh, barangan dapur tambahan dan ruang makan yang ditempatkan dalam rumah khas," katanya. Sekiranya projek terbabit berjaya, ia akan diperluaskan di seluruh London dan Britain, dengan mensasarkan kawasan yang didiami ramai gelandangan atau kawasan yang kekurangan rumah untuk golongan belia. - AGENSI






.

Blackberry keluarkan model menyerupai iphone


Pakar teknologi percaya Apple akan memfailkan saman ke atas Blackberry sekiranya jualan iPhone mengalami penurunan kerana model Blackberry Z10 mirip menyerupai model tersebut. Bagaimanapun, syarikat pengeluar telefon pintar dari Kanada itu enggan melayan sebarang pertanyaan berhubung Z10 yang menyerupai iPhone. Pengarah Urusan Blackberry Eropah, Stephen Bates dalam satu temu bual bersama Radio 5 telah ditanya soalan sebanyak lima kali sama ada syarikat itu telah belajar sesuatu daripada Apple, namun dia tidak memberi jawapan sepatutnya. "Blackberry merupakan salah satu pelabur dalam pasaran telefon pintar,'' jawapan sama yang diberikan Bates setiap kali penemu ramah bertanyakan soalan sehingga dia berputus asa.

Malah, penemu ramah itu turut menyindir Bates dengan menyifatkan jawapan 'bos' Blackberry tersebut hanya seolah-olah beliau sedang membaca kenyataan akhbar. Dalam pada itu, ramai pakar mendakwa gajet terbaharu Blackberry itu 'meminjam' sistem operasi daripada beberapa syarikat telefon pintar termasuk Apple. ''Ia seolah-olah satu penggabungan daripada pelbagai sistem,'' kata Stuart Miles pengasas laman web Pocket-Lint.

''Kekunci skrin Blackberry mirip telefon milik Windows, paparan aplikasi pula menyerupai iPhone manakala halaman aplikasi pula hampir menyerupai Android. ''Saya tidak fikir pengguna akan keliru dengan telefon Blackberry yang lebih kelihatan berbentuk segi empat tepat,'' kata Miles. Sementara itu, pakar undang-undang berkata, Apple mungkin berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Blackberry ekoran pertikaian berpanjangan antara syarikat dengan Samsung. - AGENSI







.

Peritnya kehidupan pengantin kanak-kanak ini


KETIKA kanak-kanak seusianya sedang berseronok bermain dan menelaah pelajaran, dia terpaksa menamatkan zaman itu untuk bergelar isteri. Kini, selepas tiga tahun melayari kehidupan berumah tangga, nasibnya kian parah kerana dibelenggu kemiskinan berpanjangan. Itulah nasib menimpa Krishna, 14, dari sebuah perkampungan di Rajasthan, India. Pada usianya 11 tahun, dia dipaksa berkahwin dengan remaja bernama Kishan Gopal berusia 13 tahun.


Kini, setelah bergelar ibu kepada seorang cahaya mata kehidupannya menjadi lebih tertekan kerana suaminya diberhentikan kerja akibat masalah ketagihan arak. Krishna berkata, sejak suaminya menjadi kaki botol, dia berasa tidak selamat setiap kali suaminya memegang anak mereka yang kini berusia empat bulan bernama Alok. “Tidak mustahil suatu hari nanti dia sanggup memukul bayi kesayangan saya ini ketika dalam keadaan mabuk,” katanya.


Menurutnya, kini suaminya tidak lekang dari memegang botol arak dan merokok bersama rakan-rakannya di hujung kampung. “Saya mahu meninggalkan kampung ini dan berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan kami sekeluarga. Kehidupan Alok adalah masa depan saya,” katanya.


Mungkinkah kehidupan pasangan ini akan berubah atau bakal mewarisi tradisi ibu bapa mereka yang menjodohkan anak ketika usia kanak-kanak? Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pernah mencatatkan, kira-kira 40 peratus perkahwinan di India bermula pada usia tersebut. - DM






.

Gempar : Daging Babi Ditemui Dalam Makanan Halal Di Penjara


Kementerian Keadilan Britain menggantungkan khidmat pembekal daging halal kepada penjara pada Jumaat selepas mengesan terdapat daging babi di dalam pai dan karipap daging. Semua penjara telah dimaklumkan mengenainya dan semua produk berlabel halal dikeluarkan serta-merta, kata jurucakap kementerian itu. “Ini merupakan situasi yang tidak boleh diterima langsung dan kami amat kesal mengenainya,” kata Menteri Keadilan, Jeremy Wright.

“Secara jelas perkara ini menimbulkan kebimbangan bagi mereka yang mengalaminya dan mereka akan ditenangkan dengan kami melakukan apa sahaja yang boleh untuk menangani situasi itu. Khidmat Penjara sedang menyiasat perkara ini sebagai sesuatu yang mustahak.” Islam mengharamkan penggunaan daging babi. Pendedahan itu berikutan daging kuda dijumpai dalam burger daging lembu yang dibekalkan oleh rangkaian pasar raya Britain, dengan satu jenama burger mengandungi 29 peratus daging kuda.

Seorang jurucakap bagi Agensi Standard Makanan (FSA) berkata, insiden terbaru melibatkan daging babi. “FSA telah dimaklumkan bahawa sejumlah pai dan karipap daging telah dibekalkan kepada penjara-penjara di UK (United Kingdom) di mana ia dilabel dan dijual sebagai halal, dikesan mengandungi DNA daging babi,” katanya. “Pihak berkuasa (di mana pangkalan bagi pembekal) sedang menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku dan sama ada produk-produk berkenaan telah diedarkan ke seluruh UK,” katanya. - AFP






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!