Thursday, January 3, 2013

Penyanyi Dafi mengakui berat badannya naik


Penyanyi Dafi mengakui berasa bimbang dengan berat badannya yang naik secara mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga sering ditegur oleh banyak pihak. Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 24, berkata, sebagai seorang selebriti dia sedar penampilannya itu tidak menarik terutamanya jika membuat kemunculan di televisyen. "Saya akui kebelakangan ini berat badan saya memang cepat naik dan saya perlu melakukan sesuatu sebelum ia tidak dapat dikawal," jelasnya. Dalam pada itu, Dafi berkata, ekoran teguran itu juga dia mengambil keputusan untuk menurunkan berat badannya ke paras ideal supaya penampilannya lebih menarik sebagai seorang selebriti.

Kata Dafi, sebelum ini berat badannya pernah mencapai hampir 80 kilogram dan menjanjikan untuk menurunkan sebanyak 10 kilogram."Sejak tiga bulan lalu saya sudah mengamalkan diet dan senaman secara teratur selain mencuba sukan Muay Thai bagi mengurangkan berat badan dan mula menampakkan hasil. "Saya mahu untuk turunkan berat badan saya sebanyak 10 kilogram supaya dapat kembali ke bentuk asal seperti sebelum ini," katanya. Sementara itu, Dafi berkata, penglibatannya dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia sebelum ini yang memerlukan stamina tinggi telah memaksanya untuk lebih bergiat aktif bersenam.

"Salah satu sebab saya masuk program itu adalah kerana ingin menguruskan badan kerana sedar segala aktiviti lasak dapat membantu usaha saya itu selain ketahanan mental peserta," jelasnya. Dafi berpasangan dengan pengacara Zoey Rahman disamping 30 peserta yang lain. Program itu disiarkan pada setiap Sabtu pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134). -Mstar






.

Aizat ganti Yuna nyanyi lagu Terukir di Bintang


Spekulasi mengenai pengganti Yuna untuk membawakan lagu ‘Terukir Di Bintang’ dalam Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27), Ahad ini terjawab apabila pemenang AJL24, Aizat diumumkan sebagai penyanyi pilihan. Aizat akan mempersembahkan lagu tersebut diiringi barisan ahli muzik Yuna sendiri terdiri daripada Efry Arwis (bass), Farhan Fadzlishah (gitar) dan Adil Ali (drum). Mereka kini giat menjalani persiapan saat akhir dalam tempoh tiga hari ini. Keputusan dicapai selepas perbincangan bersama antara pihak pengurusan Yuna (Yuna Room Records) dan sidang produksi AJL27. ‘Terukir Di Bintang’ hasil ciptaan sepenuhnya Yunalis Zarai, 27, merupakan lagu kesembilan yang akan dipersembahkan pada pertandingan itu. - UTUSAN






.

Koperasi khas untuk barang-barang terpakai


Kehidupan pengutip barang-barang terpakai di Thailand kini berubah ekoran penubuhan koperasi yang mampu menjamin kehidupan serta kebajikan golongan itu di bandar raya ini. Idea penubuhan koperasi barang-barang terpakai itu dicetuskan bekas pengutip sampah, Peerathorn Seniwong dan isterinya, Buarin. Ia merupakan usaha mereka dalam membantu ratusan ribu golongan miskin yang hanya memperolehi pendapatan kira-kira RM30 sehari dengan hanya mengutip sampah di Thailand. Hal ini kerana, dengan menjual barang terpakai secara pukal kepada pengilang kitar semula, koperasi akan mendapat kadar yang lebih baik berbanding pemungut sampah individu. Keuntungan kemudiannya dibayar balik kepada ahli-ahli koperasi dalam bentuk dividen dan faedah-faedah lain seperti insurans nyawa, kadar faedah dari 'bank sampah' koperasi dan bantuan pembayaran bil perubatan.


Selain itu, ahli-ahli koperasi juga boleh membeli barang-barang keperluan harian di kedai koperasi tanpa perlu merasa rendah diri terhadap status mereka. Skim koperasi itu kini mempunyai kira-kira 800 ahli termasuk 35 keluarga pengutip barang-barang terpakai serta penduduk tempatan yang terdengar kewujudan kedai itu di kawasan timur Bangkok. Kejayaan skim itu kini 'membuka mata' banyak pihak di Thailand dengan turut membuka kedai dengan menggunakan konsep koperasi yang sama. Malah, beberapa negara seperti Singapura, Jepun dan Mexico telah datang ke Thailand bagi melihat kejayaan skim itu. - AFP





.

Ada Majalah Perancis hina Islam


Majalah satira Charlie Hebdo hari ini menyiarkan isu khas berserta karikatur Nabi Muhammad SAW, sekali gus dikhuatiri bakal mencetuskan satu lagi tunjuk perasaan di kalangan masyarakat Islam. Sebelum ini, majalah tersebut pernah menyiarkan karikatur Nabi Muhammad pada September lalu, mencetuskan tunjuk perasaan ganas di kebanyakan negara Islam, sehingga memaksa institusi dan kedutaan Perancis di luar negara ditutup buat sementara waktu. Menyiarkan sebarang imej Nabi Muhammad dianggap sebagai menghina agama Islam.

Jurucakap kerajaan Perancis, Najat Vallaud-Belkacem berkata, negara ini mengamalkan kebebasan bersuara, namun ia perlu diselaraskan mengikut garis panduan bagi menjaga kepentingan bersama. Editor majalah tersebut, Stephane Charbonnier menyifatkan karikatur terbaharu itu sebagai 'halal' berserta barisan perkataan Arab yang menggambarkan perkara-perkara yang dibenarkan di dalam Islam. Pihak penerbitan mencetak kira-kira 80,000 salinan majalah yang mengandungi 64 muka surat itu dan dijual pada harga AS$8 (RM24.80) senaskhah. - dpa






.

Paparazi Maut Selepas Ambil Gambar Kereta Ferrari Justin Bieber


Seorang paparazi maut apabila dilanggar sebuah kereta selepas mengambil gambar kereta Ferrari berwarna putih milik penyanyi remaja, Justin Bieber di sini. Pegawai polis Los Angeles, James Stoughton berkata, jurugambar yang identitinya belum dikenal pasti itu meninggal dunia di sebuah hospital selepas insiden yang berlaku pada petang Selasa. Menurut Stoughton, Bieber tidak berada dalam keretanya pada waktu itu. Kereta Ferrari itu diletakkan di luar Sepulveda Boulevard dekat Getty Center Drive. Jurugambar itu dilanggar ketika cuba menyeberangi jalan ke Sepulveda Boulevard selepas selesai mengambil gambar. Stoughton berkata pemandu yang melanggar lelaki tersebut tidak akan didakwa. -LAnews






.

Wanita ditegah bonceng motorsikal seperti lelaki


Aceh bakal mengeluarkan undang-undang yang melarang golongan wanita membonceng motosikal bersama lelaki secara bercelapak atas alasan ia 'tidak sopan'. Langkah itu diambil selepas para pemimpin di wilayah yang satu-satunya mengamalkan undang-undang Syariah mengemukakan satu draf siri undang-undang baharu termasuk melarang wanita memakai seluar ketat, merejam pasangan berzina dan sebatan ke atas golongan homoseksual. Di bawah undang-undang baharu tersebut, golongan wanita di bandar Lhokseumawe di bahagian utara pulau Sumatera perlu duduk secara mengiring dan merapatkan kaki apabila menaiki motosikal dengan lelaki. "Wanita yang menunggang motosikal tidak perlu duduk secara bercelapak kerana ia seperti provokasi kepada lelaki.

"Ia juga membantu golongan wanita daripada sebarang gangguan seksual, selain kelihatan lebih sopan. "Wanita hanya dibenarkan duduk seperti biasa jika mereka sendiri yang menunggang motosikal," kata Datuk Bandar Aceh, Suaidi Yahya hari ini. Undang-undang tersebut bakal berkuat kuasa dalam tempoh seminggu akan datang selepas mengadakan perbincangan dengan ahli ulama wilayah ini. Indonesia merupakan negara yang paling ramai penganut agama Islam, tetapi kebanyakannya mengamalkan pendekatan Islam secara sederhana. - AFP






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!