Monday, May 7, 2012

Wanita Islam terima pampasan


Mahkamah Daerah Jackson, di sini, Khamis lalu mengarahkan sebuah syarikat membayar ganti rugi berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) kepada seorang pekerja wanita beragama Islam yang mendakwa syarikat tersebut melakukan diskriminasi terhadapnya. Ganti rugi tersebut termasuk sebanyak AS$120,000 (RM360,000) bagi kehilangan sumber pendapatan dan kerosakan-kerosakan lain.

Susann Bashir, yang memeluk Islam pada 2005 mendakwa, syarikat telekomunikasi AT&T memalukannya dengan memaksa dia menanggalkan tudung kepala dan mendedahkan rambutnya. Akhbar The Kansas City, semalam melaporkan, ia merupakan keputusan terbesar dalam sejarah di Missouri membabitkan kes diskriminasi di tempat kerja. Susann dalam dokumen mahkamah mendakwa, persekitaran tempat kerjanya berubah seakan-akan memusuhinya setelah dia memeluk Islam, dengan rakan sekerjanya sering mempersendakan tindakannya serta agama yang dianutinya.

"Saya terperanjat apabila mereka mempersendakan tudung kepala yang saya pakai. Sebelum ini tiada sesiapa yang pertikai agama yang saya anuti, tiada siapa yang mempersoalkan pakaian saya?" katanya kepada akhbar tersebut. Susann bekerja di syarikat tersebut selama 10 tahun sebagai pembina rangkaian fiber optik sebelum dipecat daripada jawatannya dengan menerima pendapatan sebanyak AS$70,000 (AS$210,000) setahun.

Dia juga mendakwa berdepan diskriminasi agama hampir setiap hari selama tiga tahun terakhir bekerja di situ, dengan ada pekerja yang menggelarnya sebagai pengganas. Sementara itu, jurucakap syarikat AT&T kelmarin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bercadang untuk mengemukakan rayuan. - AGENSI




.

Video Pertama Youtube


Mungkin sudah ada puluhan juta video yang di upload ke Youtube. Namun dari puluhan juta video tersebut manakah video yang pertama kali di upload ke Youtube?? Ternyata video yang pertama kali di upload di Youtube adalah video berjudul 'Me at the Zoo' dari pemegang akaun bernama Jawed (yang mana merupakan co-founder YouTube, Jawed Karim).

Video Me at the Zoo di upload pada 23 April 2005, dan dirakam Yakov Lapitsky (pegawal awal YouTube) di Zoo San Diego, California, Amerika Syarikat (AS). Video itu kini sudah 7,968,514 kali ditonton, serta mendapat 46,541 likes dan 3,923 dislikes.




.

Tulis al-Quran sepanjang 6 kilometer


Seorang pemuda Iraq bercadang mencipta nama sebagai penulis ayat al-Quran paling panjang di dunia, lapor media semalam. Hussein al-Kharsan, 25, berkata dia menjangkakan tulisannya itu sepanjang antara 5,500 dan 6,000 meter. Jika usahanya berjaya, nama Hussein bakal tercatat dalam buku Rekod Dunia Guinness.

Naskhah itu sepatutnya dipamerkan tahun ini, sempena perisytiharan Najaf sebagai Ibu Negara Kebudayaan Islam, tetapi projek berkenaan ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan ekoran pelbagai isu, termasuk dakwaan rasuah. Sejak memulakan tugasnya sebulan lalu, Hussein berjaya menyiapkan 13 halaman al-Quran.

Walaupun mengalami kesakitan tengkuk dan belakang, graduan lepasan Universiti Baghdad itu terus tekun menyiapkan naskhah berkenaan selama beberapa jam sehari. Katanya, dia sepatutnya menyiapkan naskhah itu dalam tempoh enam bulan dengan menulis tiga daripada 503 halaman sehari. “Pada awalnya saya berjaya dan menulis selama 16 jam sehari sehingalah saya mula rasa sakit pada minggu kedua,” katanya.

Kini Hussein mengabaikan nasihat doktor supaya berehat, sebaliknya dia memakan pil penahan sakit dan menulis lima jam sehari. - AFP




.

Chelsea yang terbaik


John Terry membidas semua pengkritik yang menyifatkan Chelsea sebagai pasukan tua, sejurus selepas menyaksikan sumbangan orang lama Blues membawa mereka merangkul kejuaraan Piala FA buat kali keempat dalam tempoh enam musim dengan menundukkan Liverpool 2-1 di Wembley, sabtu lalu. Sebelum ini, ramai yang menggesa mereka menyingkirkan pemain tua seperti Frank Lampard, Didier Drogba dan John Terry, malah pengurus terdahulu mereka, Andre Villas-Boas juga pernah bercadang untuk melupuskan semua pemain ini daripada pasukan, sebelum dia sendiri disingkirkan, Mac lalu.

Namun begitu, pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo tetap memberikan keyakinan kepada semua orang lama yang sudah menjangkau usia 30an itu, dan mereka membalas kepercayaan itu dengan menghadiahkan gelaran sulung musim ini. Jaringan Drogba dan Ramires kelmarin membantu Chelsea menjulang Piala FA, kejayaan yang pasti tidak diduga andai melihat kepada kedudukan kelab London itu yang agak terumbang-ambing pada pertengahan musim, sebelum Villas Boasn disingkir dan Di Matteo mengisi kekosongan buat sementara waktu.


“Kami mengharungi saingan yang sukar dalam Piala FA musim ini dan kami berjaya memenanginya. Ia adalah persembahan yang hebat. “Pada suatu ketika, ramai orang yang menggelar kami sebagai terlalu tua, sudah melepasi zaman kegemilangan dan tidak lagi bersatu, namun hari ini kami membuktikan semua kritikan itu adalah salah. Sebagai sebuah pasukan, kami amat bersatu, kami bersama-sama mempertahankan benteng apabila diasak, kami bermain baik dalam 16 atau 17 perlawanan terakhir yang cemerlang. “Kami masih berada di landasan untuk memburu kejuaraan paling besar - Liga Juara-Juara, itu adalah sasaran pemilik kelab yang masih belum dilaksanakan,’’ kata Terry.

Terry juga berharap, semua pemain mahu membalas kepercayaan Di Matteo dan berharap apa yang telah dipersembahkan oleh pasukan setakat ini mampu membantu jurulatih itu untuk dilantik sebagai jurulatih tetap. Sejak mengambil alih kelab, pengendali dari Itali itu berjaya mempamer sentuhan ajaib. Malah, kemenangan kelmarin juga melakar sejarah buat tiga pemain senior Blues - Drogba, Terry dan Ashley Cole. Drogba muncul pemain pertama berjaya menjaringkan gol dalam empat perlawanan akhir Piala FA selepas rembatan rendahnya menewaskan penjaga gol Reds, Jose Reina di awal separuh masa kedua.


Terry pula memahat sejarah sebagai pemain pertama menjadi kapten sebuah kelab merangkul empat kejuaraan Piala FA, manakala tonggak pertahanan, Cole mencipta rekod menjulang tujuh Piala FA bersama dua kelab berbeza. Di Matteo sendiri turut memahat rekod, menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat Chelsea sebagai pengurus dan pemain. “Saya tidak fikir ramai orang yang mempunyai peluang seperti ini. Saya cukup bertuah kerana berpeluang menghadiahkan kejuaraan buat pasukan ketika bergelar pemain dan kemudian pengurus. Ia amat istimewa kerana perkara begini tidak selalunya terjadi,’’ ujar Di Matteo. Walaupun telah membawa transformasi kepada Chelsea sejak menggantikan Villas-Boas, Mac lalu, namun Di Matteo enggan mengulas mengenai mengenai masa depannya di Stamford Bridge, sama ada akan dilantik sebagai pengurus tetap atau sebaliknya.

“Ia sama sekali tidak relevan untuk bercakap mengenai perkara ini sekarang. Saya gembira dengan kedudukan serta pencapaian saya sehingga penghujung musim, namun apa yang akan berlaku selepas itu adalah keputusan pihak tertinggi kelab dan kami semua harus menghormati apa yang mereka fikirkan terbaik buat kelab. “Begitu juga dengan kedudukan pemain, siapa yang akan kekal atau pergi musim depan bukan suatu isu ketika ini. Saya gembira dengan pemain-pemain kami sekarang. Chelsea telah mengharungi musim yang sukar dan menjadi sasaran kritikan banyak pihak, jadi saya rasa hari ini, pemain kami menunjukkan respons terhadap segala kritikan yang dilempar kepada mereka,’’ kata Di Matteo.


Di Matteo turut mengakui, kemenangan ini memberi suntikan moral buat pemain-pemainnya untuk memburu kejuaraan lebih besar apabila menentang gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Munich, 19 Mei ini. - AGENSI




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!