Thursday, April 12, 2012

Apa cerita balu-balu Osama Bin Laden


Sejak ketua kumpulan pengganas al-Qaeda dibunuh oleh komando elit Amerika Syarikat (AS) pada Mei tahun lepas, kehidupan balu, anak dan cucu Osama bin Laden dikawal ketat ketika Pakistan menentukan masa depan mereka.

Kini, stesen televisyen Al Arabiya mendedahkan kehidupan mereka dalam sebuah 'rumah tetamu' di Islamabad.

Rumah itu didiami oleh tiga balu Osama bersama sekurang-kurangnya lima anak mereka serta beberapa cucunya yang dipercayai masih hidup.

Dalam rakaman video tersebut, beberapa kanak-kanak dapat dilihat sedang bermain dengan patung anak beruang dan kayu pemukul kriket, manakala tiga balu Osama melihat gelagat mereka.


Balu-balu Osama juga dilihat sedang membaca al-Quran.

Bagaimanapun, tingkap rumah itu ditutup dengan papan lapis dan kehadiran anggota bersenjata di luar rumah tersebut menunjukkan ia bukan sahaja menjadi tempat kediaman tetapi juga sebagai tempat tahanan mereka.





.

Marc Anthony fail penceraian dengan Jennifer Lopez


Marc Anthony mengesahkan perpisahannya secara rasmi dengan Jennifer Lopez dengan memfailkan perceraian di Los Angeles. Penyanyi itu memfailkan petisyen berkenaan, kelmarin bagi mengakhiri perkahwinan itu dengan alasan tiada persefahaman.

Sebelum ini, pasangan selebriti popular itu mengumumkan akan menamatkan perkahwinan mereka Jun ini selepas meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak kembar dan Anthony sudah memfailkan tuntutan bagi hak penjagaan bersama.
Perkahwinan itu adalah yang kedua bagi Anthony manakala Jennifer sudah berkahwin dua kali sebelum pasangan itu berkahwin pada 2004.


Kes penceraian selebriti itu pertama kali dilaporkan semalam oleh laman web selebriti, TMZ. - AP






.

Facebook Beli Instagram


Facebook membelanjakan $1 bilion untuk membeli syarikat perkongsian gambar, Instagram yang merupakan pengambilalihan rangkaian sosial terbesar pernah dilakukan.

Walaupun tidak membawa pulangan lumayan dalam tempoh singkat, Instagram mula menjadi kegilaan segelintir individu yang obses terhadap teknologi perkongsian gambar pada hari ini.

Seperti Facebook, ia mampu menjana pendapatan tanpa iklan pada awalnya.
Instagram membolehkan orang ramai berkongsi gambar yang diambil menggunakan peranti mudah alih.

Aplikasi itu mempunyai filter yang boleh menjadikan gambar kelihatan seperti diambil pada 1970 atau menggunakan kamera Polaroid.

Dalam beberapa tahun lagi, Instagram dijangka mampu menarik 30 juta pengguna.






.

Doktor disahkan meninggal dunia akibat pengambilan ubat berlebihan

Kehilangan seorang doktor pelatih yang sepatutnya bertugas syif malam di Wad Pediatrik, Hospital Kajang, kelmarin, terjawab apabila dia ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas wad itu pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia.

Kehilangan Dr Danny Lee, 29, hanya disedari kira-kira jam 5 pagi semalam, sebelum dikejutkan dengan penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan setugasnya yang mahu menggunakan tandas di wad berkenaan dua jam kemudian.
Mangsa kemudian dikejarkan ke unit kecemasan, namun, gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia jam 7 pagi.

Sumber memberitahu Berita Harian, punca kematiannya masih dalam siasatan, namun, siasatan awal polis menolak wujud unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Mangsa disifatkan rakan setugasnya sebagai seorang yang periang dan sentiasa bersemangat menjalankan tugas.

“Mangsa tidak pernah menunjukkan dia menghadapi sebarang masalah kecuali sejak kebelakangan ini kelihatan sedikit murung, tidak banyak bercakap dan lebih banyak menyendiri.
“Mangsa kelihatan agak tertekan minggu lalu tetapi kami tidak pasti sama ada ia akibat beban kerja atau masalah peribadi. Dia jarang bercerita masalahnya kepada kami tetapi suka membantu rakan setugasnya, termasuk jururawat di sini yang dalam kesusahan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun bertugas di Hospital Kajang, mangsa menunjukkan prestasi cemerlang dan cukup komited terhadap tugasnya.

“Mengikut perancangan, mangsa sepatutnya menamatkan latihan pegawai perubatan siswazah tidak lama lagi,” katanya mengesahkan mangsa berkahwin tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa dan kes itu kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Berdasarkan laporan diterima, mangsa didapati menyuntik sejenis cecair ke dalam tubuhnya sebelum ditemui mati. Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat pengambilan berlebihan ubat yang sedang dikenal pasti jenisnya.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai SDR, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian. Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui jarum suntikan dipercayai digunakan mangsa untuk menyuntik dirinya.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!