Saturday, March 3, 2012

Puasa elak otak mengecut


Kajian saintifik perubatan Barat mendapati berpuasa dua kali seminggu boleh mengelakkan otak individu daripada mengecut dengan pertambahan umur, selain manfaat kepada mereka yang menghidapi penyakit jantung, diabetes dan kanser.

Berpuasa pada masa dulu pernah digunakan dalam rawatan perubatan namun kajian terbaru menunjukkan ia perlu diterapkan semula.

Ini kerana ia mampu mencetuskan pelbagai hormon yang membantu meningkatkan kesihatan selain perubahan metabolisme badan.

Berpuasa selama beberapa hari hanya melibatkan pemakanan makanan antara 500 dan 800 kalori sehari sahaja berbanding hari biasa iaitu 2,000 kalori bagi wanita dan 2,500 kalori (lelaki).

Ia menurunkan tahap hormon yang dikaitkan dengan kanser dan diabetes selain kolestrol 'tidak baik' dan triglyceride dalam darah serta pengurangan radikal bebas, molekul yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit.

Ketua Neorosains Institut Penuaan Nasional Amerika Syarikat (AS), Profesor Mark Mattson berkata, faedahnya sama seperti anda bersenam. Ia boleh melindungi otak daripada penyakit kemerosotan otak seperti Alzheimer dan Parkinson.

Dalam satu kajian yang dilaporkan oleh Jurnal Obesiti Antarabangsa tahun lepas, sekumpulan wanita obes dan gemuk diberikan pemakanan melibatkan 1,500 kalori sehari untuk satu minggu.

Satu lagi kumpulan diberikan pemakanan 500 kalori untuk dua hari dan kemudian 2,000 kalori setiap hari pada lima hari seterusnya.

Pakar diet Universiti Manchester, Dr. Michele Harvie yang mengetuai kajian itu berkata, kedua-dua kumpulan menunjukkan penurunan berat badan yang sama selain pengurangan sama penanda biologi yang boleh meningkatkan risiko kanser.





.

Harga minyak naik lagi?


Harga minyak melonjak tinggi hari ini susulan ketegangan ke atas pengeksport minyak mentah utama dunia, Iran dan peningkatan positif data ekonomi China serta Amerika Syarikat (AS).

Kontrak utama New York bagi penghantaran minyak mentah jenis light sweet pada April depan ditutup AS108.84 setong meningkat AS$1.77, Rabu lalu.
Di London, minyak mentah jenama Brent North Sea bagi penghantaran April depan melonjak AS$3.54 kepada AS$126.20.

"Peningkatan harga minyak mentah digunakan bagi menjana keuntungan...dengan keadaan Iran sekali lagi dilihat sebagai pemacu pasaran utama dunia,” kata penganalisis di Institut Penyelidikan Kewangan Sucden, Jack Pollard. - AFP





.

Isteri Menteri Luar Australia Yang Baru Berasal Dari Perak


Terdapat sentuhan Malaysia dalam pelantikan Bob Carr sebagai Menteri Luar yang baru bagi Australia.
Isteri beliau, Helena, berasal dari Perak, sebuah negeri di utara Malaysia dan kampung halamannya pula ialah Taiping yang terkenal sebuah bandar yang aman, senyap dan tenang.

Pasangan ini kedua-duanya berusia 64 tahun bertemu jodoh pada tahun 1972 semasa bercuti di Tahiti, sebuah pulau terbesar dalam kelompok Polynesia Perancis, dan berkahwin tahun berikutnya di Sydney.

Helena, yang ibu bapanya berketurunan campuran India-Cina datang ke Sydney pada 1965 untuk melanjutkan pelajaran di Our Lady of Mercy College di Parramatta dan kemudian meneruskan pengajian utama di bidang ekonomi di University Sydney.

Anak bongsu daripada enam orang adik beradik ini adalah seorang yang berkedudukan berada sebagai ahli perniagaan wanita yang berjaya mengendalikan operasi percetakan komersial sebelum menjual perusahaan tersebut pada tahun 2004.

Helena menyertai Menteri Kewangan Senator Penny Wong, dari Sabah, sebagai bekas warganegara Malaysia yang kini berada di barisan hadapan arena politik di Australia.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini mengumumkan bahawa Carr, bekas Perdana Menteri New South Wales itu akan menyertai senat untuk dilantik sebagai menteri luar, semasa beliau menggariskan rombakan dalam kabinetnya.
Perlantikan Carr itu adalah sebahagian daripada rombakan kali kedua jawatan menteri dalam tempoh tiga bulan.


Ini berikutan perletakan jawatan bekas menteri luar Kevin Rudd, selepas beliau gagal dalam cubaan mengambil alih pucuk kepimpinan. Rudd kini menduduki kerusi di barisan belakang. Carr berkata beliau tidak dapat menolak tawaran untuk menyumbangkan lebih khidmat dalam perkhidmatan awam.

"Anda tidak memilih masa, seringkali masa yang memilih anda," katanya di satu sidang akhbar. -BERNAMA





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!