Sunday, February 26, 2012

Justin Timberlake nak kahwin..


Penyanyi dan pelakon, Justin Timberlake serta kekasihnya, Jessica Biel dilapor bakal berkahwin dalam satu majlis tertutup di sebuah estet mewah persendirian pada akhir tahun ini.
Pasangan itu yang bercinta selama lima tahun mengikat tali pertunangan pada Disember lalu.

"Perkahwinan mereka akan diadakan pada musim panas ini. Biel memilih untuk memakai gaun perkahwinan rekaan Monique Lhuillier," kata satu sumber kepada USmagazine.com.
Walaupun enggan mengesahkan pertunangan mereka secara rasmi, Biel tampil menunjukkan cincin pertunangannya dalam satu majlis di New York pada awal bulan ini.

"Cincin pertunangan Biel kelihatan vintaj dan tidak begitu besar, ia mungkin ditempah khas," kata sumber itu.

Timberlake melamar Biel semasa cuti perayaan Krismas pada tahun lalu di Jackson, Wyoming selepas menyambung kembali hubungan cinta mereka yang terputus selama tiga bulan.






.

Brunei kelima terkaya


Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).

Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.

Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.

"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.

Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.

Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.

Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.

Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629).






.

Dia bukti cinta kami..


CERITA-CERITA yang keluar daripada mulut pasangan suami isteri, Shuib (Sepahtu) dan Siti Sarah Raisuddin sekarang bertemakan Uwais Alqarni. Putera yang baru berusia 85 hari tapi sudah pandai 'bersembang'. Si comel itu juga membuatkan jadual tidur dan rehat pasangan yang bernikah pada 26 Februari 2011 itu kelam-kabut.

Namun dialah jiwa raga buat Shuib dan Sarah. Rancak bercerita tentang Uwais yang duduk elok di sebelah Shuib, Sarah membuka cerita bahawa Uwais pernah terdiam daripada menangis ketika mendengarkan lagu Bruno Mars ketika mereka menaiki kereta. Menurut Sarah, Uwais yang lahir pada 4 Disember lalu pasti menendang ketika mendengar petikan gitar.

Baru pulang daripada penggambaran filem Amir dan Lukman Pergi ke Laut arahan Mamat Khalid, rindu seakan-akan berombak-ombak di dada Shuib. Dikelek anak ke sana sini, anak yang sudah pandai mengengsot itu juga sebenarnya tidak tahan panas.

"Dia anak yang baik. Jujurnya, saya tidak pandai dengan bayi sebab saya anak tunggal. Tapi selepas mendapat Uwais, secara automatik semuanya berjalan secara semula jadi. Saya mandikan dia dan berani mendukung Uwais. Saya berbeza dengan Sarah yang sebelum ini memang serasi dengan bayi," ujar Shuib yang mengaku sudah pandai berdisiplin di tempat tidur kerana takut tertindih anaknya.

"Sewaktu berjauhan, saya selalu suruh isteri saya kirim mesej bergambar melalui telefon Blackberry. Sengaja kadangkala saya suruh Sarah nangiskan dia agar saya dapat dengar suara Uwais," akui Shuib yang sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Mamat Khalid, sutradara yang memang sudah lama menjadi idamannya.

Uwais yang duduk di sebelah mengangguk-angguk seakan-akan faham. Sambung Sarah, hidupnya kini berbeza selepas mendapat cahayamata. Kini kalau perlu bekerja di luar, dibawanya Uwais sekali kerana dia tidak mahu berjauhan dengan anaknya.
Bercerita tentang topik kerja, pasangan ini sudah keluar dengan sebuah single duet yang bertajuk Cinta Itu Nyawa nukilan Aidit Alfian yang dilancarkan pada bulan Februari.

"Lagu ini sebenarnya dicipta sebelum kahwin. Waktu itu Sarah memang sedang mencari single untuk dirinya. Saya terdengar lagu ini dan saya sukakan liriknya yang seperti cerita tentang kami berdua. Waktu mahu nikah, saya cakap dengan Aidit yang saya nak pinjam lagu itu untuk pasang masa majlis pernikahan kami. Kami rakamkan lagu itu, Aidit main gitar dan saya nyanyi tetapi tidak jadi dipasang. Bila Mujahid Universal dengar, dia rasa lagu itu sesuai jadi lagu duet saya dan Sarah," terang Shuib yang mengambil masa lama untuk merakamkan lagu tersebut kerana terkena 'sawan studio'.


"Lagu Cinta Itu Nyawa dirakamkan waktu saya hamil tujuh bulan. Besar pengertian lagu ini buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menyanyikan lagu yang ada kena mengena dengan diri sendiri. Lagu ini benar dan memang kisah hidup Sara," ujar Sarah tentang lagu itu yang kini sudah diputarkan di radio Hot FM dan Suria FM.

Kata Sarah, selepas dua bulan lebih melahirkan Uwais, dia masih belum memiliki keberanian untuk muncul di atas pentas. Dakwa Sarah, fizikalnya kini merimaskan.

"Juan (PR Universal) yang pujuk dan bagi semangat agar saya berani berhadapan dengan media," ujar Sara sambil disambut tawa Shuib yang berasakan fizikal isterinya okey dan tidak gemuk.

Mengaku sangat senang dan suka bekerjasama dengan suaminya, akui Sarah, mereka berdua perlu mencabangkan kerjaya seni seperti sediakala.

"Sekarang kami memang sibuk mempromosikan single duet ini. Selain itu kami juga turut berlakon dalam filem Man Sewel Datang KL. Sarah akan keluar dengan single solo selepas ini. Shuib juga akan keluar dengan dua buah lagu bersama Sepahtu bertajuk Siapa Dapat Lisa dan Tak Tipu," ujar Shuib.






.

Latif Ibrahim, damailah kau di sana...


ISNIN lalu kira-kira pukul 6.10 petang, penyanyi dan pelakon terkenal era 70-an dan 80-an, Latif Ibrahim, 61, telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) akibat sakit jantung di samping komplikasi paru-paru setelah seminggu dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan.

Pemergian Allahyarham di hadapan isteri tercinta Masriah Mahdan, 58, dua anak tersayang Mohd. Hazriqk, 34, dan Haznally, 33, bukan sahaja diratapi saudara mara terdekat malah rakan artis dan juga para peminatnya.

Allahyarham pergi bukan sahaja membawa hajatnya untuk menunaikan umrah yang tidak kesampaian, malah pemergiannya juga membawa segala penderitaan sakit yang dihidapi.
Siapa sangka, Allahyarham yang terkenal dengan sifat murah dengan senyuman serta ramah dengan sesiapa sahaja yang ditemui, sebenarnya menyembunyikan segala penyakitnya daripada pengetahuan orang luar.

Anak seni yang mula mewarnai dunia seni dengan album pertamanya Mengenang Dikau Kembali pada tahun 1977 ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 1993.

Enam belas tahun kemudian, beliau pernah disahkan mengidap paru-paru berair dan tahun 2010 pula, Allahyarham menjalani pembedahan meletakkan stand di injap jantungnya untuk memudahkan perjalanan darah.

Biarpun kehidupannya tidak semewah artis lain, tetapi kekayaan anak seni berjiwa kental ini sebenarnya terletak pada budi bahasa, keramahan serta senyuman manisnya yang tidak pernah lekang dari bibir.

Tidak kira yang muda mahupun yang sebaya dengannya, dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya.
Mungkin kerana Allahyarham lebih selesa dengan panggilan untuk dirinya `abang’ dan `adik’ bagi mereka yang muda daripadanya membuatkan beliau mudah didekati.

Biarpun kelihatan ceria dan gembira pada luarannya, Allahyarham tidak pernah menzahirkan apa juga derita sakitnya kerana tidak mahu orang lain sedih dengan keadaan dirinya.
Bagi pelakon yang menempa kemasyhuran menerusi filem Hapuslah Airmatamu bersama Datuk Sharifah Aini ini, sebagai seniman, hasrat dan impiannya hanyalah untuk menggembirakan para peminat dan teman yang dikenali biarpun menanggung kesakitan.

Masih segar dalam ingatan penulis sewaktu bertemu dengannya pada bulan Ramadan dua tahun lalu untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri bersama kakaknya, seniwati Sophia dan adinda tersayang, Datuk Khadijah.
Meskipun kesihatannya kurang mengizinkan ketika itu, dia menggagahkan dirinya untuk menghadirkan diri bagi sesi fotografi itu kerana tidak mahu menghampakan permintaan orang.

Ditemani isteri tersayang, Masriah yang turut bertindak sebagai pengurusnya, arwah masih kekal dengan personalitinya seperti mana penulis mengenalinya bertahun-tahun sebelum itu.

Dalam kerancakan berbual sepanjang sesi fotografi itu, masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Allahyarham sewaktu berbicara tentang penyakitnya.

"Insya-Allah dik. Selagi abang sihat, abang akan datang. Kesediaan adik mengundang abang adik-beradik untuk sesi fotografi ini sudah cukup membuatkan abang berbesar hati di atas ingatan itu," kata Allahyarham sambil melemparkan sekuntum senyum yang menampakkan keluhuran dan keikhlasannya.

Dalam keadaannya menanggung penderitaan, namun yang membuatkan sesi fotografi yang berlangsung hampir dua jam itu, adalah gurau senda dan tawa riang yang sentiasa mewarnai sesi itu yang pastinya akan terus kekal dalam kotak ingatan penulis.
Apatah lagi mereka adik-beradik memang terkenal dengan keakraban dan menjalinkan ukhuwah yang rapat sepanjang hidup mereka.

Itulah Latif Ibrahim, penyanyi yang pernah digelar oleh komposer tersohor, Datuk Dr. Ahmad Nawab sebagai penyanyi yang memiliki suara jantan.
Namun, semuanya kini tinggal kenangan apabila beliau telah meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Apa yang dapat dikenang tentang beliau adalah bakatnya sebagai seorang penyanyi dan pelakon yang berada dalam liga tersendiri.
Sudah pasti, peminatnya tidak akan melupakan aksi romantisnya bersama Sharifah Aini dalam dua buah filem lain yang menggandingkan mereka, Sumber Ilhamku dan Bintang Pujaan yang melabelkan mereka sebagai bintang layar perak paling ideal pada era itu.

Untuk mengubat rindu peminatnya, lagu-lagu merdu nyanyiannya seperti Nora, Mengenang Dikau Kembali, Joget Manis Kata Di Bibir Saja dan Pertama Kali Ku Jatuh Cinta sudah pasti menjadi peneman di kala duka.
Lebih tiga dekad mengharungi dunia seni, Latif Ibrahim boleh dianggap antara artis yang paling bersih daripada segala gosip terutama yang berkaitan dengan cinta.

Ini kerana sewaktu menjejakkan kaki ke dunia seni, beliau sudah pun mendirikan rumah tangga dan sekali gus Allahyarham membuktikan statusnya ketika itu bukan satu masalah mahupun halangan untuk mencipta nama sebagai bintang.
Sudah pasti yang paling merasai kehilangan Allahyarham adalah isterinya yang mengakui arjuna hatinya itu merupakan seorang suami dan ayah yang paling baik.

Malah katanya, sepanjang 38 tahun hidup berumah tangga, arwah seorang yang penyayang dan Masriah bersyukur kerana arwah telah memberikannya kebahagiaan yang tiada galang gantinya.
Bukan hanya kehilangan seorang suami, tetapi juga seorang sahabat yang setia dan sentiasa bersama Masriah walau ke mana sekali pun.

Mengimbau nostalgia sepanjang hidupnya bersama arwah, Masriah memberitahu suaminya itu akan sentiasa memandu kereta untuk menghantar ke mana-mana sahaja walaupun ke pasar raya untuk membeli keperluan dapur.

"Meskipun kini arwah sudah tiada tetapi segala kenangan dan cintanya akan tetap mekar di hati saya.

"Saya reda dengan pemergiannya. Cuma apa yang saya sedih dan kesalkan, sehingga ke hari-hari terakhirnya, beliau masih ralat apabila 50 peratus daripada bayarannya untuk teater muzikal Terima Kasih Cinta masih belum dilunaskan oleh penerbit teater itu.

"Sehinggakan, dua hari sebelum dimasukkan ke IJN, arwah suami ada menghubungi penerbit tersebut yang masih lagi berhutang dengannya.

"Apa yang menyedihkan, panggilan arwah bagaikan tidak dilayan dan penerbit memberikan pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada terus berbicara tentang bayaran itu," kata Masriah dalam nada sebak.
Sayang seribu kali sayang apabila seorang seniman diperlakukan sedemikian sedangkan untuk bintang setaraf Latif, dia sewajarnya diletakkan di tempat selayak dengan statusnya.

Namun, apakan daya. Itulah nasib yang harus dihadapi oleh seniman dan seniwati veteran kita yang bakat serta jasa mereka tidak dihargai oleh pihak tertentu.

Apa pun, Allahyarham Latif sudah pun pergi menemui Pencipta-Nya. Biarpun kadang-kala, sebagai insan, kita bagaikan amat sukar menerima takdir dan ketentuan Ilahi. Namun, apa yang terbaik adalah untuk terus berdoa agar Allahyarham damai dan tenang selain ditempatkan di dalam golongan orang beramal soleh dan beriman. Al-Fatihah. -UM






.

AWAS, susu tiruan

Terkejut! Itulah situasi yang dialami seorang bapa apabila susu tepung yang dibeli untuk anaknya di sebuah pasar raya besar di Bayan Baru di sini dipercayai tiruan kerana ia seakan-akan tepung sahaja.
Mohd. Faisal Mohd. Kassim, 30, berkata, dia membeli dua kotak susu tepung itu pada 16 Februari lalu untuk anaknya, Muhammad Afiq Hafizuddin yang baru berusia dua tahun pada harga diskaun iaitu RM16.99 bagi setiap kotak seberat 700 gram.

“Saya terkejut sebaik sahaja membuka kotak susu berjenama terkemuka itu kerana bungkusannya menggunakan plastik lutsinar dan kandungan pula berwarna putih seakan-akan tepung.

“Ia berbeza berbanding dengan susu tepung asli yang dibungkus dengan plastik aluminium malah susu tepung itu tidak mempunyai bau dan rasa.

“Nasib baik saya dapat mengesan lebih awal dan tidak sempat memberi susu itu kepada anak sulung saya, jika tidak mungkin ada kesan sampingan terhadap kesihatannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faisal, dia kesal dengan sikap pengeluar produk susu berkenaan yang sehingga kini gagal memberi penjelasan berkaitan dengan kejadian itu.

“Saya bimbang sekiranya terdapat produk tiruan yang dijual di pasar raya berkenaan ia mungkin boleh membahayakan kanak-kanak selain mengelirukan pengguna,” ujarnya.

Tambah Faisal, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak pasar raya terbabit pada 18 Februari lalu malah mereka turut mengesan beberapa bungkusan susu tepung dalam keadaan mencurigakan daripada jenama yang sama di atas rak pasar raya berkenaan.

“Pegawai terbabit memberitahu akan mengambil tindakan termasuk menghubungi syarikat pembekal susu terbabit untuk memaklumkan isu tersebut malah saya telah memaklumkan juga pada Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut pada 21 Februari dan masih menunggu jawapan siasatan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai terutamanya ibu bapa agar lebih berhati-hati dan memastikan susu tepung yang dibeli bukan susu tiruan.






.

Kemenangan yang ditunggu-tunggu


Chelsea akhirnya menghasilkan sesuatu yang positif ketika menghadapi Bolton Wanderers dalam perlawanan Premier League di Stadium Stamford Bridge sebentar tadi. The Blues menang dengan jaringan yang menyakinkan, 3-0.

Ini adalah kemenangan pertama Chelsea dalam bulan ini. Sebelumnya, Chelsea selalu meraih hasil kurang memuaskan dalam empat perlawanan terakhir sepanjang Februari 2012.
Menghadapi Bolton di tempat sendiri, Chelsea yang pada mulanya sukar membolos gol pelawat. Usaha beberapa pemain Chelsea selalu kandas.

Akhirnya Chelsea, berjaya menjaringkan gol pertama di masa kedua. David Luiz membawa Chelsea unggul 1-0 pada minit ke 48 berkat gol cantiknya di dalam kotak penalti. Tendangan spektakuler Luiz tidak mampu dijangkau oleh penjaga gol, Bogdan.

Unggul 1-0, terus memacu semangat anak didik Andre Villas-Boas. Pada minit 61, Chelsea sukses menggandakan keunggulan menjadi 2-0. Gol kedua Chelsea dijaringkan oleh striker Didier Drogba lewat tandukan kepalanya setelah memanfaatkan umpanan dari Frank Lampard.

Chelsea rupanya belum puas dengan dua gol. Memasuki minit 79, Chelsea kembali memperbesar keunggulan menjadi 3-0 melalui gol kapten, Lampard. Gol ini terjadi setelah memanfaatkan umpan cantik dari Juan Mata. Dengan tenang, Lampard langsung menjaringkan bola dengan kaki kanannya ke gawang Bolton.

Chelsea akhirnya mempertahankan jaringan 3-0 sehingga tamat perlawanan.






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!