Sunday, January 29, 2012

Hujan bunga di hati Ana Raffali

HATI penyanyi dan komposer muda ini sedang berbunga riang tatkala mengenangkan hari bersejarah yang akan menyatukan cinta sejati dengan belahan jiwanya sejak enam tahun dahulu. Momen terindah yang bakal menyaksikan perubahan status hubungan daripada teman rapat kepada suami isteri yang sah.

Jujurnya, dia teruja menanti detik penyatuan yang dijangka berlangsung pada masa terdekat ini. Lantaran itu, dada wanita ini sentiasa berkocak kencang mengenangkan anjakan yang akan mengubah seluruh episod hidupnya itu.

“Berdebar...,” ringkas Ana Raffali, 26, bernada ceria saat ditanya tentang perasaannya tatkala ini.

Mengajukan persoalan tentang butiran identiti lelaki yang berjaya menambat hati Ana sebab Ana tidak pernah berbicara tentang perihal itu sebelum ini, disambut ketawa kecil.

“Dia adalah kawan karib yang sudi berkongsi suka dan duka terutama bila saya mula-mula main muzik dulu. Boleh dikatakan juga tulang belakang kerjaya seni saya,” singkat bicara Ana mengenai kekasih yang berpangkal huruf A itu.

Anak kesembilan daripada 11 beradik itu berpendapat bahawa siapa sebenarnya pasangan hidupnya itu tak penting, asalkan mereka bahagia sehingga ke akhir hayat.

Pada masa yang sama, wanita yang lahir pada 4 November ini juga menyatakan kesediaan berkongsi perihal perkahwinan secara terbuka dalam masa terdekat.

“Soal kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main-main sebab melibatkan air muka dua pihak keluarga. Saya tak nak ulas perkara ini panjang-panjang, takut tak jadi.

“Bila saya senyap, keluar pula cerita tak tepat tentang perkahwinan saya, kononnya tak jemput media sebab majlis saya kecil. Perkara tu tak betul sebab saya tak kan membelakangkan pihak yang bersusah payah mengangkat nama saya.

“Begitu juga dengan tarikh sebenar perkahwinan yang disebarkan pada 25 Februari ini, saya tak boleh nak sahkan benda itu lagi sebab tak ada maklumat.

“Untuk menjernihkan situasi, saya berhajat nak buat pengumuman perkahwinan dalam satu sidang akhbar, nak jelaskan perkara sebenar dan berkongsi tentang hari terpenting saya kepada semua,” hujah Ana panjang lebar.

Adakah penyebaran gosip perkahwinan Ana itu bertitik tolak daripada sikapnya yang gemar berteka teki tentang perihal peribadi? Jawapan Ana: “Saya hanya selesa bercerita tentang kerjaya berbanding peribadi. Salah ke?”


Bukan pilihan media

DITANYA pandangan pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali tentang publisiti yang diraih sepanjang lima tahun bergelar anak seni menukar sedikit nada suara penyanyi ini.

“Saya bersyukur sebab hasil karya saya berterusan mendapat sokongan walaupun tak berapa popular di bibir media. Biarlah populariti itu datang sendiri melalui penilaian orang terhadap hasil kerja saya.

“Proses karya seni ini sepanjang masa, bila saya tidak diketengahkan, bermaksud saya memberi ruang kepada artis lain untuk berkongsi cerita seni mereka.

“Itu lebih baik daripada saya diangkat tinggi ke langit dan tiba-tiba saya jatuh tersembam ke bumi, mesti sakitnya tak terkata bukan?” sangkal penyanyi lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur ini berhubung isu popular.

Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Selangor ini juga tidak melenting jika ada di kalangan media yang tidak mahu memberikannya publisiti.

“Soal rezeki adalah kerja Tuhan, manusia tak berhak mempertikaikan. Saya tak ada kuasa dalam bab itu sebab semuanya akan dinilai menerusi karya-karya yang diperjuangkan.

“Orang sekarang pun dah semakin bijak, tahu membezakan kualiti yang ada pada setiap artis itu. Mereka juga berhak pilih nak ambil tahu pasal gosip atau kisah kerjaya seseorang artis itu.

“Saya pula lebih suka berdiam diri kalau diminta respons tentang benda tak elok atau berbau kontroversi, sebab tak nak jadi macam tin kosong,” kias Ana berhemah.


Fobia AJL?

RAMAI yang menjangkakan Ana pasti trauma ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) menerusi lagu Kalau Berpacaran bersama Shuhaimi Meor Hassan dan Altimet buat kali kedua.

Pasti Ana tidak dapat melupakan saat lagu ciptaannya, Tolong Ingatkan Aku dipertikaikan selepas diangkat sebagai pemenang AJL25.

“Saya tak trauma atau fobia sampai saya tak nak sertai AJL. Tak nak taruh jangkaan tinggi dengan lagu Uncle Suhaimi walaupun liriknya ditulis bersama.

“Sebab itu saya anggap AJL kali ini sebagai pentas persembahan berbanding pertandingan. Maknanya, tiada tekanan, fikiran tenang sebab saya dah bersedia nak buat persembahan malam ini,” katanya bersemangat.

Mengenai bentuk persembahan, Ana menggunakan pendekatan humor dan tarian seperti mana disepakati dalam klip video lagu tersebut sebelum ini.

Walaupun masih belum ada kesempatan untuk membuat rakaman tapi persembahan Kalau Berpacaran di AJL26 adalah pengubat buat peminat yang menantikannya selama ini.

“Saya berdoa supaya sihat dan boleh menyanyi dengan baik, tidak seperti tahun lepas, demam masa buat persembahan di anugerah berprestij itu. Sudah pasti Kalau Berpacaran memberi persaingan kepada pencalonan lain.

“Sama-sama kita saksikan pertarungan lagu terbaik sepanjang tahun pada malam ini. Moga-moga ada keajaiban berlaku,” harapan Ana sewaktu menamatkan perbualan malam Khamis lalu.







.

Pasangan suami isteri terlantar


Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Itulah situasi yang berlaku kepada seorang peneroka, Kamarudin Muhammad, 67, dari Felda Kota Gelanggi Satu, dekat sini.

Selepas dia terlantar akibat terjatuh dari bumbung rumahnya ketika menukar zink 23 November lalu, isterinya, Umbi Kelasom Hussin, 56, pula hampir lumpuh akibat diserang angin ahmar.

Ini membuatkan Kamarudin yang sepatutnya bergantung harap kepada isterinya untuk menguruskan kehidupan seharian pasrah dan berharap penyakitnya segera pulih.

Jiran pasangan tersebut, Baharom Omar, 59, berkata, Umbi Kelasom diserang angin ahmar selepas terkejut dengan insiden yang menimpa Kamarudin.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumah dan terus bergegas ke rumah Kamarudin sebaik sahaja mendengar bunyi yang kuat dan ketika tiba didapati mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Kamarudin dipercayai jatuh dari bumbung ketika sedang menukar zink dan saya terkejut melihat kepala mangsa yang seakan-akan terbelah di bahagian tengah akibat terkena besi ampaian namun hanya sedikit darah mengalir.

"Isterinya yang terkejut pula tidak dapat berbuat apa-apa dan saya terus membawa kedua-duanya ke Hospital Jengka (HJ) untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh (HT)," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri tersebut hanya tinggal bersama anak bongsunya, Muhammad Maulana, 12, manakala lima lagi anak mereka bekerja di ibu negara.

Sementara itu, salah seorang anak pasangan tersebut, Siti Norhuda, 26, memberitahu, dia bersama adik-beradiknya yang berada di ibu kota terus bergegas pulang ke kampung sebaik sahaja mengetahui musibah yang menimpa kedua ibu bapa mereka.

"Ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sehari kemudian manakala ibu yang terkejut melihat keadaan ayah pula dimasukkan Unit Rawatan Koronari (CCU) selepas itu apabila jantungnya gagal berfungsi," ujarnya yang belum mendapat pekerjaan tetap.

Siti Norhuda menjelaskan, bapanya berada di ICU selama 17 hari manakala ibunya di CCU selama 13 hari sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah.

"Keadaan ayah semakin baik dan memerlukan rawatan fisioterapi namun ibu masih dalam keadaan seolah-olah tidak sedarkan diri dan besar kemungkinan akan lumpuh dengan kedua-dua mereka hanya minum susu menggunakan tiub," ujarnya.

Menurutnya, dia dan abangnya yang terpaksa berhenti kerja kini nekad untuk menjaga kedua ibu bapa mereka kerana bimbang keadaan akan bertambah teruk terutama ibunya.





.

20 tahun derita penyakit buah pinggang


Tiada siapa tahu rintihan Mohd. Adhariza Mohd., 24, yang menderita penyakit buah pinggang sejak berusia tiga tahun lagi.

Kini sudah lebih 20 tahun pemuda itu mengharungi kepayahan hidup dan akibat tekanan tersebut, dia amat mendambakan ihsan mereka yang sudi mendermakan organ buah pinggang bagi membolehkannya meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Ketika ini, anak bongsu daripada tiga beradik dari Kampung Alur Tembesu di sini itu terpaksa bergantung pada mesin pencuci darah selain tiub yang dipasang pada perutnya.

Baginya, biarpun menyedari impian memiliki 'organ baharu' itu mungkin sukar menjadi kenyataan, dia tetap berdoa agar nasibnya berubah apabila ada penderma organ itu suatu masa kelak.

"Saya tak akan putus asa malah akan terus berdoa agar ada insan yang sudi menderma buah pinggang kepada saya memandangkan kedua-dua buah pinggang saya sudah tidak lagi berfungsi.

"Akibat penyakit ini, saya tak berdaya lakukan apa-apa kerja. Saya sangat tertekan, namun tetap reda dengan ketentuan Allah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun dan Pemuda UMNO Terengganu di rumahnya, di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun, Azhar Jambol turut menyumbangkan alat pernafasan kepada Mohd. Adhariza bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami.

Mohd. Adhariza berkata, dia gembira dan terharu dengan sumbangan alat pernafasan tersebut memandangkan dia sering sesak nafas dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan bantuan pernafasan.

"Sejak saya menghidap penyakit ini, saya tak tidur seperti orang lain. Saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk kerana jika saya baring, saya akan sesak nafas dan tidak selesa," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun atas sumbangan itu.





.

Tak layak BR1M? Boleh buat rayuan..


Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan mereka walaupun layak, dibenarkan membuat rayuan atau memohon semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang tidak berpuas hati boleh berjumpa pegawai daerah atau pemimpin setempat bagi mengemukakan permohonan semula.

"Bagi yang ditolak permohonan tersebut ada sebab-sebab tertentu, mungkin mereka tidak memahami syarat kelayakan atau pun borang maklumat tidak lengkap.

"Kalau ada yang tidak puas hati boleh jumpa pegawai daerah atau pemimpin tempatan, mereka boleh bantu buat rayuan dan akan dipertimbangkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Orang Ramai di rumah pegawai khasnya, Lim Pey Heng di Kampung Kebun Baru di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang layak tetapi belum memohon BR1M diminta berbuat demikian sebelum tarikh tutup pada bulan depan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diharap mempercepatkan proses permohonan itu.

Menurut beliau, bagi pemohon yang menghantar borang BR1M melepasi tarikh tutup, kerajaan sedia menimbang permohonan itu sekiranya memenuhi syarat atau menyatakan alasan munasabah berbuat demikian.

Terdahulu, beliau menyampaikan baucar BR1M kepada kira-kira 100 penerima dari zon Bukit Kepong dan Lenga di Balai Serba Guna Lenga dekat sini.

Muhyiddin berkata, kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menikmati BR1M dan penerima perlu berterima kasih serta bersyukur dengan keprihatinan kerajaan meringankan bebanan hidup rakyat.

Pada satu majlis lain, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada 118 peserta Felcra Paya Kepar dan merasmikan Balai Raya Kampung Kechik, Bukit Kepong dekat sini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berharap tanah berkenaan akan terus diusahakan seperti sebelum ini dengan kerjasama Felcra melalui kaedah pertanian moden yang mampu menjana pendapatan tinggi.

"Harap skim pembangunan tanah sebelum ini dapat diuruskan Felcra kerana kalau tidak, akan ada tanah terbiar. Kalau masih dengan Felcra, kita boleh bantu bina tali air, beri benih ikan dan sebagainya," katanya.

Mengenai permintaan peserta tersebut supaya menaikkan elaun sara hidup kepada RM800 sebulan daripada RM240 sekarang sementara fasa penanaman semula mengeluarkan hasil, beliau berkata, Felcra sedia menimbangkannya.






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!