Thursday, January 19, 2012

Kepala manusia ditemui di bawah papan tanda Hollywood


Satu kepala manusia ditemui di laluan pendaki menuju ke papan tanda Hollywood yang menjadi simbol ikon berjuta-juta pelancong setiap tahun, kata polis semalam.
Setakat ini polis masih cuba mengesan identiti kepala berkenaan yang ditemui dua wanita dalam satu beg lewat kelmarin.

Menurut sumber, wanita terbabit membawa anjing mereka bersiar-siar ketika terjumpa kepala berkenaan. Katanya, wanita itu melihat anjing mereka bermain-main dengan satu objek yang mencurigakan.

“Apabila diperiksa, mereka mendapati objek itu adalah kepala manusia,” katanya.

Stesen televisyen ABC7 melaporkan, kepala itu “agak baru.” Sementara itu, akhbar LA Times melaporkan, kepala berkenaan adalah milik seorang lelaki Amerika keturunan Armenia berusia 40-an.

Polis mengawal ketat kawasan berkenaan dan akan meneruskan usaha mencari anggota tubuh lain. Kawasan pinggir gunung di sekitar papan tanda Hollywood berselirat dengan laluan pendaki, penunggang kuda dan pelancong yang cuba menjejaki simbol Tinsel Town berkenaan.

Ia boleh dilihat beberapa kilometer dari utara Los Angeles.










.

Kemudi kapal seperti memandu Ferrari?


Kapten kapal persiaran Costa Concordia, yang karam di perairan pantai barat Itali, dibebaskan daripada tahanan reman semalam, tetapi dikenakan perintah tahanan di rumah.

Francesco Schettino, 52, yang menjadi kapten kapal sejak 2006 berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan membunuh, menyebabkan nahas kapal dan meninggalkan kapalnya sebelum semua penumpang diselamatkan.

Dalam sebutan kes semalam, majistret mengarahkan beliau dibebaskan, walaupun pendakwa raya yang menuduh Schettino mengemudi kapal persiaran mewah itu seperti memandu Ferrari, berkeras mahu dia terus ditahan.

Menurut isterinya, Fabiola, tuduhan ke atas suaminya itu 'masih belum dibuktikan' dan dia turut mempertahankan Schettino dengan menyifatkannya sebagai seorang yang 'sangat berdedikasi dan profesional'.

Angka korban akibat nahas itu meningkat sekali ganda hari ini kepada 11 orang selepas penyelam menemui lima lagi mayat di bahagian belakang kapal berhampiran pusat pemindahan kecemasan, menurut Komander Pengawal Pantai Itali, Cosimo Nicastro.

Nicastro berkata, mangsa yang kesemuanya memakai jaket keselamatan itu dipercayai penumpang kapal.

Pendakwa raya berkata, Schettino cuba menunjuk-nunjuk dengan belayar melalui pulau Tuscan, Giglio, tempat ketua pelayannya tinggal, ketika dia mengemudi kapal persiaran itu hanya kira-kira 150 meter dari pantai.

Semalam pihak berkuasa turut mengarahkan ujian alkohol dijalankan walaupun ketua eksekutif Costa Cruises memberitahu The Times, kapten Schettino tidak pernah minum alkohol.

Namun seorang penumpang yang terselamat mendakwa dia melihat kapten itu meminum arak bersama seorang wanita di bar kapal.

Schettino mendakwa dia telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa dan laporan media tempatan turut mengesahkan beliau berada di jambatan ketika kapal itu melanggar batu dan membawa kapal menghampiri pantai bagi memudahkan usaha menyelamat.

Dia turut bertegas tidak meninggalkan kapal itu.











.

Wanita lahirkan anak dalam kereta api


Seorang wanita New Jersey mendapat kejutan seumur hidup, apabila melahirkan anak pertamanya dalam kereta api komuter Pihak Berkuasa Pengangkutan Hudson (PATH) ke bandar raya ini.

Wanita berusia 31 tahun itu, Rabita Sarkar dari Harrison, New Jersey, berkata dia mula berasa sakit hendak bersalin namun, tidak terfikir sudah sampai masanya untuk melahirkan anak kerana belum cukup tempoh.
Beliau dan suaminya, Aditya Saurabh yang berusia 30 tahun memutuskan untuk pergi ke bandar raya ini bagi membuat pemeriksaan, kelmarin.
Mereka tidak mahu memandu dan membuat keputusan menaiki kereta api dari Harrison ke bandar, memikirkan mereka boleh mengambil teksi ke Hospital Roosevelt di Manhattan.

“Ia disebabkan anak saya tidak sabar-sabar untuk lahir ke dunia,” kata Sarkar ketika memeluk erat bayi lelakinya di hospital. Pasangan itu enggan mendedahkan nama bayi mereka atau tarikh sebenar kelahiran.

Ketika menaiki kereta api itu, Sarkar mula berasa sakit hendak bersalin dan dia memberitahu Saurabh untuk memeriksa apa yang berlaku kepadanya. Beliau melihat kepala anaknya sudah keluar.

Dengan bantuan seorang wanita lain dalam kereta api itu dan suaminya, Sarkar akhirnya menyambut kelahiran bayi itu jam 10 pagi waktu tempatan.
Penumpang lain turut memberi galakan dan pasangan itu berkata, seorang gadis menawarkan jaketnya bagi memastikan bayi mereka dalam keadaan selesa.

Pihak berkuasa PATH menukar kereta api kepada ekspres, melepasi kebanyakan hentian supaya pasangan sampai ke destinasi akhirnya di 33rd Street di tengah Manhattan secepat mungkin.

Kakitangan perkhidmatan kecemasan membawa keluarga berkenaan ke hospital.

Pegawai polis yang memberi maklum balas berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang wanita melahirkan anak dalam kemudahan yang dikendalikan pihak berkuasa.

Isu terbesar adalah suhu musim sejuk, kira-kira -1 darjah celcius di luar dan kami perlu memastikan bayi dalam keadaan panas, kata Sarjan Mike Barry.










.

Wanita dengan pinggang langsing.. terlalu langsing


Manusia unik ini bernama Cathie Jung, pemegang rekod Guinness Book untuk pinggang terkecil di dunia. Ukuran pinggangnya hanya 15 inci saja! Walaupun begitu Cathie tetap hidup normal dan sudah memiliki tiga orang anak. Pinggangnya yang super langsing ini adalah kerana dia mengenakan korset sejak tahun 1983. Dia melepaskan korsetnya hanya pada ketika mandi. Dia memiliki 100 koleksi korset dengan pelbagai model dan bahan. Kebanyakan koleksinya terbuat dari bahan katun Brocade dan sutra Cina.

Walaupun sudah mengenakan korset selama 29 tahun, Cathie mengaku tidak pernah menderita penyakit apapun yang diakibatkan oleh pilihan busananya itu. Satu-satunya akibat yang dialami Cathie adalah kulit perutnya menjadi kering, namun itu dapat diatasi dengan menggunakan bedak dan pelembab. Cathie mengatakan bahwa dua tulang rusuk bahagian bawahnya sudah berubah bentuk mengikuti bentuk korset. Dua tulang rusuk paling bawah (yang biasa disebut dengan tulang melayang) memang bersifat elastis dan akibat tekanan korset selama 29 tahun akhirnya berubah bentuk.


Cathie mengaku tidak pernah melakukan pembedahan apapun untuk mencapai ukuran pinggangnya saat ini. Pinggangnya yang kecil ini berhasil mencatatkan namanya dalam daftar manusia unik sejagat.

Anda yang sedang diet ketat mungkin perlu mempertimbangkan untuk memakai korset mulai hari ini.;)










.

Larang sut renang muslimah

Seorang pengendali sebuah sekolah tahfiz kesal dengan tindakan Persatuan Renang Amatur Selangor yang didakwa tidak membenarkan 10 peserta termasuk empat pelajarnya menyertai hari terakhir pertandingan renang sempena Sukan Selangor (Sukses) atas alasan pakaian mereka tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Pengendali Sekolah Anak-Anak Yatim dan Tahfiz Al-Ijabah, Muhamad Abdullah mendakwa ketika pertandingan itu berlangsung di Pusat Akuatik bermula Sabtu lalu, kesemua peserta terlibat memakai pakaian renang muslim dan muslimah.

“Pada hari Sabtu, para peserta termasuk empat pelajar saya yang menyertai pertandingan yang dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) atas nama Kelab Anak Air dan Kelab Ombak, dibenarkan berenang.

“Tetapi pada hari Ahad, mereka yang berjaya mara ke peringkat seterusnya tidak dibenarkan meneruskan pertandingan atas alasan pakaian renang tidak mematuhi syarat.

“Saya kesal dengan pihak penganjur kerana bersikap berat sebelah sedangkan peserta terlibat termasuk pelajar saya bukan tidak memakai pakaian renang, tetapi pakaian mereka menutup aurat,” kata beliau.

Muhamad memberitahu, insiden tersebut dimaklumkan oleh guru renang sekolahnya, Mohd. Bukhari Ibrahima yang berada bersama pelajar di Pusat Akuatik.

“Saya juga kesal kerana ada ibu bapa peserta renang bawah 12 tahun terpaksa membelikan anak masing-masing pakaian renang biasa yang tidak menutup aurat kerana kasihan mendengar tangisan mereka yang telah bersungguh-sungguh berlatih untuk pertandingan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak penganjur dan kerajaan negeri termasuk pemimpin beragama Islam bersikap sensitif dan terbuka berhubung tatacara berpakaian untuk pertandingan renang lebih-lebih lagi melibatkan peserta beragama Islam.

Katanya, sebagai negara Islam, umat Islam sewajarnya diberi kebebasan untuk berpakaian menutup aurat tetapi sesuai dalam menyertai pertandingan dan acara sukan.

“Saya berharap agar peserta yang berpakaian renang muslim dan muslimah tidak dianaktirikan selepas ini kerana sebagai negara Islam, umat Islam perlu diberikan kebebasan untuk mengekalkan dan mempertahankan lunas-lunas agama dalam cara berpakaian,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MSNS, Rohaya Yahya ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan Muhamad dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas memperolehi maklumat mengenai kejadian itu.











.

Bangunan 33 tingkat terbakar


Sebuah bangunan komersial setinggi 33 tingkat yang sedang dalam pembinaan dan bakal menempatkan pejabat syarikat petroleum terkemuka di KL Sentral, Jalan Tun Sambanthan di sini, terbakar awal pagi ini. Kebakaran berlaku pukul 3.50 pagi dipercayai bermula di tingkat 30 sebelum api yang membakar kayu yang digunakan dalam pembinaan itu marak ke tingkat 26,27,28,29 dan 31.

Kebakaran di tingkat atas bangunan tersebut itu turut dapat dilihat penduduk di sekitar Petaling Jaya dan Cheras. Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 3.53 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.

Menurutnya, bomba mengambil masa lebih satu jam untuk memadam api yang marak kerana tangga sementara yang dibina ke tingkat 26 dan di atasnya telah hangus.

“Namun, kita berjaya memanjat ke setiap tingkat yang terbakar untuk memadam api tersebut, anggota juga mendapat bantuan daripada kondominium bersebelahan yang membenarkan pancutan air dibuat daripada bangunan kediaman berkenaan.

“Bomba menggunakan air kolam renang kondominium tersebut untuk memadam api kebakaran selain daripada pili bomba di bangunan itu.

“Sepatutnya operasi memadam api ini mudah jika pembinaan dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan menyiapkan pili bomba di tingkat 27 hingga 28 ketika pembinaan di tingkat 30 sedang dibuat, tetapi saluran air kecemasan hanya siap hingga tingkat 25 sahaja,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Tambahnya, berikutan itu usaha untuk memadam api berpanjangan sehingga pukul 9.30 pagi termasuk menggunakan bantuan kren pencakar langit yang digunakan untuk pembinaan.

Katanya, akibat kebakaran berkenaan, Jalan Tun Sambanthan ditutup sehingga pukul 12 tengah hari bagi memastikan keadaan sekeliling selamat.
Pada akhir operasi, keadaan sedikit cemas apabila kayu yang terbakar di dinding bangunan itu mula melayang jatuh di kawasan anggota bomba melakukan tugas bantuan.


Azizan memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu manakala kerja pembinaan diarahkan berhenti sehingga siasatan daripada semua agensi kerajaan selesai dilakukan.
Sementara itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pemilik bangunan dalam satu kenyataan kesal dengan kebakaran yang turut mengganggu aliran trafik di Jalan Tun Sambanthan itu.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak MRCB mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus memadam api dan semua pihak yang terlibat membantu dalam kejadian berkenaan.










.

Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan


Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam. Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.

"Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.

"Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.

Dalam laporan semalam, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam. Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.

Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.

"Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.

"Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah," katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini. Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.

"Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.










.

Aksi rempit cabar polis


Penyalahgunaan laman video sosial, YouTube untuk mempromosikan budaya merempit sudah lama berleluasa malah ia kini sudah ke tahap cuba memperlekehkan pihak polis.
Bukan isu lama atau baru yang menjadi persoalan, tetapi amalan itu berterusan hingga kini dan cuba mencabar pihak berkuasa sehingga perlu diberi perhatian serius.

Aksi yang dipaparkan dalam YouTube itu dilihat cuba merendah-rendahkan martabat pihak berkuasa apabila klip video itu dimulakan dengan tayangan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkataan Parit Raja Supported (menyokong) sebelum aksi rempit ditayangkan.

Klip video itu antara lain menayangkan aksi mat rempit melakukan tindakan berbahaya menunggang motosikal sambil tayar hadapan tidak menyentuh tanah atau 'pacak'.
Sebuah kereta peronda polis turut ditayangkan dipandu dari arah bertentangan dengan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya itu.

Klip video bertajuk, Aksi Rempit Parit Raja berdurasi tiga minit 13 saat itu boleh dilayari di http://www.youtube.com/watch?v>CV10l4ezrl0.

Selain aksi tersebut, pelbagai klip video aksi rempit dari seluruh negara dimuat naik di laman YouTube, antaranya Vespa Rados Kelantan, Pacak Lepas Tangan, Bike Stunt Crazy, Pacak Ipoh dan Rempit Muor.
Klip Vespa Rados Kelantan misalnya, memaparkan aksi 'pacak' menggunakan motosikal jenis Vespa yang ditayangkan dalam warna hitam putih serta diiringi lagu 60-an, Oh Fatimah.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan tindakan itu sebagai penyalahgunaan laman sosial di internet untuk bermegah-megah dalam kalangan golongan mat rempit.

"Generasi muda kini dibimbangi menjadikan laman seperti ini untuk bermegah-megah dan mencabar mat rempit di kawasan lain bagi menunjukkan siapa atau kumpulan mana lebih handal," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pengamal undang-undang dan pembuat polisi memikirkan mekanisme sesuai bagi membolehkan pendakwaan dilakukan berdasarkan klip video itu.

"Orang ramai juga boleh klik pada butang flag di bahagian bawah klip video YouTube itu menandakan kandungan video sebagai tidak sesuai.

"Jika ramai klik pada butang flag itu, semakin tinggi kemungkinan pengendali YouTube akan menarik balik klip video daripada dipaparkan," katanya.











.

Empat maut dalam satu kemalangan ngeri


Empat maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini petang ini.
Tiga daripada mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk menyebabkan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mereka.

Seorang lagi mangsa dikatakan tercampak keluar dalam nahas yang berlaku pukul 6.15 petang itu. Empat yang maut itu ialah Nor Azmi Mat Jusoh, 21; Mohd. Zaini Abdul Razak, 43; Mohamad Faris Shaimi, 26 dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda yang dinaiki Mohamad Faris dan Mohd. Rizal terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Kancil dinaiki Nor Azmi dan Mohd. Zaini.

Berikutan itu, tiga daripada mereka tersepit, manakala Mohd. Rizal pula tercampak lebih lima meter ke dalam semak di tepi jalan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan ketiga iaitu Noraini Mohamad, 32, tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta jenis Proton Persona dipandunya hanya remuk di bahagian hadapan. Noraini ketika ditemui berkata, dia sedang memandu di belakang kereta Kancil sebelum ternampak sebuah kereta Honda yang dipandu laju dari arah bertentangan.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Terengganu ke rumah di Wakaf Tengah. Tiba-tiba saya nampak kereta Honda itu terbabas lalu 'terbang' dan merempuh kereta di depan dan kereta saya.

"Saya tergamam dan tak sempat buat apa-apa," katanya yang tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Abdullah Zawawi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.26 petang dan tiba tujuh minit kemudian dengan sebuah jentera yang disertai enam anggota.

Berdasarkan keterangan polis, Nor Azmi berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu manakala rakannya, Mohd. Zaini pula berasal dari Ayer Keroh, Melaka.

Mohd. Rizal pula difahamkan berasal dari Baling, Kedah manakala rakannya Mohd. Faris berasal dari Perak dan kedua-duanya dipercayai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak di sini.











.

Roslin Hashim kahwin lagi : Buat kali ketiga


Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah dikaitkan atas dakwaan khalwat dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, mengaku berkahwin buat kali ketiga pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Roslin enggan memberitahu siapa wanita yang menjadi isterinya itu walaupun berulang kali diasak dengan soalan tersebut oleh wartawan yang menemu ramah beliau di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Ketika ditanya mengapakah Roslin, 36, bertindak merahsiakan identiti isterinya, beliau hanya menjawab:

"Minta maaf, saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai wanita itu bagi menghormati beliau dan keluarganya."

Pemain badminton itu berkata demikian selepas perbicaraan secara tertutup tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan beliau terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamed, 35.
Selain Faizah yang dinikahi pada 30 Januari 2007, Roslin pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 41, 9 Julai 2010.

Perceraian Roslin dan Faizah pernah mengejutkan banyak pihak bukan sahaja kerana ia berlaku dalam masa 12 hari selepas pernikahan tetapi lelaki itu ketika prosiding pengesahan perceraiannya bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh tersebut.

Hubungan suami isteri antara Roslin dan Nurhayati juga bertahan dalam tempoh tidak sampai sebulan sebelum mereka disahkan bercerai dengan lafaz talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, dua tahun lalu.

Nurhayati dalam keterangannya ketika prosiding untuk mengesahkan lafaz cerai itu, mendakwa Roslin mengucapkan, 'I cerai u lah' terhadapnya di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang di sini pada pukul 8.32 malam, 7 Ogos 2010.

Pegawai Finas itu turut mendakwa dia bersama-sama ibu dan dua adik lelakinya telah pergi ke hotel berkenaan selepas mengetahui bahawa Roslin dan Raja Azmi berada di bilik hotel tersebut.
Pada Ogos tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebaliknya mendapati Roslin dan Raja Azmi bebas daripada dakwaan khalwat setelah mereka didapati tidak bersama dalam satu bilik dalam satu serbuan dibuat oleh Nurhayati selaku pengadu dalam kes berkenaan.

Sementara itu, peguam syarie Ruslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku plaintif memberitahu pemberita, perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan tersebut akan disambung semula di hadapan Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan pada 22 Mac ini.

Menurut Ruslizam, pada prosiding akan datang, pihaknya akan memanggil tiga saksi termasuk Raja Azmi.

Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan terhadap defendan, Faizah yang merangkumi perbelanjaan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Faizah turut hadir ke prosiding dengan ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Amir Nazli Hussin.











.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!