Friday, January 6, 2012

Tumor 90 kg di kaki


Seorang lelaki dilaporkan akan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pertumbuhan tumor seberat 90 kilogram pada kaki kanannya di sebuah hospital di Vietnam, hari ini.

Hospital France-Vietnam (FV) di Ho Chi Minh dalam satu kenyataan memaklumkan Nguyen Duy Hai akan dibedah oleh sekumpulan doktor dalam satu prosedur berisiko, selama 10 jam yang hanya mempunyai peluang 50 peratus berjaya.

Duy Hai, 31, yang mengalami gangguan genetik, telah hidup dengan ketumbuhan tumor itu sejak dia berumur empat tahun, jelas kenyataan itu.

Katanya, sebahagian kaki Duy Hai dipotong ketika dia berusia 17 tahun namun tumor itu yang tidak dijangkiti kanser, terus tumbuh dan menyukarkan Duy Hai untuk berjalan dan tidur.

Menurut media tempatan yang mengikuti keadaan Duy Hai selama bertahun-tahun, ketumbuhan itu adalah yang terbesar pernah dilaporkan di Vietnam.

"Ini adalah satu prosedur yang besar melibatkan banyak risiko termasuk kematian semasa pembedahan atau semasa rawatan selepas pembedahan," jelas hospital itu.


Pembedahan itu diketuai oleh seorang doktor dari Amerika, McKay McKinnon yang berjaya mengeluarkan tumor seberat 80 kilogram dari seorang wanita Romania pada tahun 2004.

Tambahnya, McKinnon mengetepikan yuran pembedahan serta kos lain yang dianggarkan sebanyak AS$12,000 (RM37,656) dan kos rawatan Duy Hai akan dibiayai melalui derma.









.

Remaja curi selipar


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didapati bersalah mencuri sepasang selipar seorang anggota polis, dalam satu kes yang mendapat bantahan ramai sehingga menyaksikan lebih 1,200 selipar diletakkan di balai-balai polis dan pejabat pendakwa raya.

Mahkamah Daerah Palu di Sulawesi tengah malam tadi dalam keputusannya bagaimanapun memutuskan, remaja itu yang berdepan hukuman penjara lima tahun dibenarkan pulang bersama ibu bapanya bagi tujuan menghadiri kaunseling.

"Berdasarkan bukti dan keterangan saksi, kami mendapati tertuduh bersalah kerana mencuri.

"Namun, mengambil kira umurnya, kami membenarkan dia pulang," kata Hakim Rommel Tampubolon.

Penduduk Indonesia bertindak meletakkan sejumlah selipar di balai polis dan pejabat pendakwa raya bagi melahirkan kekecewaan mereka berhubung cara pihak berkuasa menangkap dan mengendalikan proses perbicaraan membabitkan remaja itu.








.

Kejadian ngeri di zoo


Kegembiraan satu keluarga mengunjungi zoo bergerak di Blagoveshchensk, timur Russia bertukar tragedi yang hampir menyebabkan kematian apabila seorang daripada mereka diserang harimau, semalam.

Hanya dikenali sebagai Timofei, budak berusia tiga tahun itu sedang berdiri berhampiran pagar sementara yang menempatkan harimau Amur - spesies hidupan liar yang jarang ditemui.

Ketika Timofei bersedia dirakamkan gambar oleh ibu bapanya, harimau itu menjangkau kepala mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.

Saksi berkata, seorang pekerja zoo berjaya memukul haiwan liar itu dengan kayu sebelum ia melepaskan kepala Timofei.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kritikal selama dua jam Doktor berkata, Timofei mengalami kecederaan parah pada kepala dan otak.








.

Kenapa itu yang harus diterima..?


Kegembiraan seorang ibu tunggal menerima menantu baru, bertukar peristiwa pahit apabila mendapati wang hantaran belanja hangus yang diterimanya adalah kepingan wang kertas palsu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Juli berkata, dia tidak menyangka perkara ini boleh berlaku, apatah lagi urusan perkahwinan anak perempuannya dibuat secara teratur dan mengikut adat.

Katanya, majlis perkahwi nan anak perempuannya itu diadakan secara serentak dengan majlis menghantar tanda, tunang dan akad nikah pada 1 Januari, lalu.

Katanya, setelah menerima barang hantaran dan wang belanja sebelum akad nikah dilangsungkan, dia membawa barang itu ke dalam bilik untuk diperiksa.

Namun begitu, dia terkejut apabila membuka bingkai kayu tempat wang itu diletakkan, dan mendapati ia adalah wang palsu.

Juli segera memberitahu bekas suaminya yang hadir sebagai wali untuk anak perempuannya dan meminta menghentikan pernikahan itu. Bekas suaminya menolak kerana bimbang keputusan itu akan mengaibkan keluarga mereka.

Tetapi, Juli berkeras kerana wang hantaran adalah hak anaknya dan perkara itu menyalahi adat dan perjanjian kedua-dua keluarga.

Namun, upacara akad nikah diteruskan dan sebaik saja ia selesai, perkara itu diberitahu kepada suami anak perempuannya.

Suami anak perempuannya, yang dikenali sebagai Joe merasa terkilan dengan ibu bapanya yang menyediakan “wang palsu” untuk hantaran.

Setelah berbincang, keluarga Joe bersetuju untuk menggantikan wang palsu itu dengan wang pendahuluan B$1,000 (RM2,427) kepada pihak perempuan.


“Yang buat saya terkejut, kenapa beri wang palsu dan perkara itu tidak dibincang dulu,” kata Juli.

Kata Juli, setelah ditanya kepada menantunya, Joe memberitahu, ibu bapanya berbuat demikian “kerana mereka tidak mempunyai wang.”








.

Padanlah dengan harga


Seorang pemilik restoran sanggup membayar lebih 50 juta yen bagi membeli seekor tuna biru gergasi di pasar ikan Tsujiki, Jepun, sekali gus menandingi harga jualan ikan sama sebelum ini.

Ikan seberat 269 kilogram yang ditangkap di perairan wilayah Aomori, utara Jepun itu dijual pada harga 56.49 juta yen (RM2.2 juta) dalam satu acara lelongan pertama tahun ini.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding lelongan ikan jenis sama tahun lalu yang dijual pada harga 32.49 juta yen (RM1.3 juta) di Tsujiki, sebuah pasar besar yang turut menjadi lokasi tarikan pelancong.

Pembida yang membeli ikan tersebut ialah presiden syarikat yang memiliki rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.

Media tempatan melaporkan, restoran itu akan menjual sushi yang dihiasi satu hirisan tuna hanya dengan harga 418 yen (RM17).

Ia adalah jauh lebih rendah berbanding harga sepatutnya iaitu 5,000 yen (RM204) bagi setiap sushi, mengambil kira nilai ikan itu pada 210,000 yen (RM8,857) bagi setiap kilogram.

"Saya mahu membeli tuna terbaik supaya pelanggan Jepun boleh menikmatinya dan bukan pelanggan luar negara," katanya merujuk kepada pemilik restoran sushi dari Hong Kong yang membeli ikan jenis sama tahun lalu.


Aktiviti menangkap ikan tidak terkawal selama berdekad-dekad menyebabkan bekalan tuna dunia semakin merosot, satu keadaan yang memaksa negara-negara Barat mengharamkan penangkapan spesies tuna biru yang terancam di Atlantik.

Tiga suku daripada tangkapan ikan tuna biru di seluruh dunia dimakan penduduk Jepun. Ia merupakan bahan paling mahal dalam pembuatan sushi yang dikenali sebagai 'kuro maguro' (tuna hitam) dan digelar 'berlian hitam' kerana sukar diperolehi.









.

Nyaris maut kerana tv


Seorang budak lelaki berusia empat tahun nyaris maut selepas sebuah televisyen seberat lebih 45 kilogram terjatuh dari almari pakaian dan menghempap mukanya, lapor media, semalam.

Sarah Durham berkata, anaknya, Cole, menonton televisyen dalam bilik tidur pada 22 Disember lalu.

Menurut Sarah, disebabkan Cole mengalami autisme dan sawan, dia dan suaminya, Travis, sentiasa memerhatikan budak terbabit.

“Ketika berada di tandas, saya ternampak Cole bermain dengan laci almari itu.

“Melihat keadaan itu, saya cuba mendapatkannya apabila televisyen 41 inci itu terjatuh dan menimpa mukanya,” katanya.


Cole dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan dan diletakkan di unit kawalan rapi.

Doktor berkata, hampir semua tulang mula Cole patah.








.

Angkara hutang, putus hubungan dengan anak

Seorang bapa nekad memutuskan hubungan dengan anak lelakinya selepas tertekan dan hidup dalam ketakutan akibat diganggu ah long sejak empat bulan lalu.
Mangsa, Go Heong Kwee, 43, mendakwa, hampir setiap hari dia berdepan dengan pelbagai gangguan daripada ah long terlibat termasuk yang datang ke rumah dan kilangnya di Bercham di sini untuk meminta wang.

Lebih malang, anak keduanya, Goh Kim Sing, 23, yang berhutang dengan ah long tersebut kini melarikan diri bersama isterinya sejak sebulan lalu.

''Saya telah mengesyaki anak 'buat hal' apabila mendapati duit perniagaan hasil kilang arang kami susut dan kerugian sejak setahun lalu. Ternyata telahan saya benar apabila saya mula diganggu ah long empat bulan lalu.

''Saya telah menjual rumah, kereta dan meminjam daripada kawan untuk melunaskan hampir RM800,000 hutang anak kepada ah long. Bagaimanapun, saya amat terkejut kerana bukan seorang ah long dia berhutang tetapi juga dengan 27 ah long yang lain,'' katanya pada sidang akhbar bersama dengan Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin.

Menurut Heong Kwee, dia tidak tahan lagi dengan gangguan yang dibuat ah long berkenaan manakala anaknya pula gagal dihubungi sehingga ke hari ini.

''Cukuplah! Selama empat bulan saya dan isteri hidup sengsara. Saya tidak mahu ada apa-apa lagi hubungan dengan anak saya. Hubungan kami putus.

''Kepada ah long yang mahu menuntut hutang, pergilah cari dia, jangan ganggu saya dan isteri. Kalau dapat tangkap Kim Sing, buatlah apa saja kamu mahu," katanya yang turut membuat laporan polis supaya tidak terus diganggu ah long terlibat.

Katanya, kereta Mercedes-Benz anaknya juga dipercayai telah dirampas oleh salah seorang ah long berkenaan.

''Saya tidak tahu berapa jumlah hutangnya dengan ah long. Apa yang saya harap, mereka tidak lagi mengganggu hidup saya," katanya.

Sementara itu, Kon Yin berkata, pihaknya amat berharap polis akan mengambil tindakan tegas terhadap ah long yang terus mengganggu mangsa.









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!