Saturday, November 19, 2011

Merokok dalam kereta persendirian?


Persatuan Perubatan Britain menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya amalan merokok dalam kereta, semalam.
Langkah itu dianggap larangan pertama seumpamanya pernah diadakan di dunia.

Melalui maklumat penyelidikan diterbitkan semalam, persatuan itu berkata, persekitaran terkepung dalam kereta mendedahkan pemandu serta penumpang kepada toksin sehingga 23 kali lebih tinggi berbanding dalam bar.
Persatuan mewakili seluruh doktor di United Kingdom itu berkata, kanak-kanak paling terdedah dengan bahaya asap rokok kerana mereka lebih mudah menyerap pencemaran.

“Asap rokok boleh bertahan lama selepas perokok memadamkan rokok mereka,” kata persatuan itu.

Di beberapa negara, termasuk Australia, Kanada dan sebahagian AS, amalan merokok dilarang jika ada kanak-kanak dalam kenderaan.








.

Spesies maging mengganas di Brazil


Beribu-ribu ikan piranha daripada spesies maging memenuhi pantai popular di barat Brazil dan menggigit sehingga putus ibu jari kaki sekurang-kurangnya 15 perenang.

Pihak berkuasa di bandar Caceres di Mato Grosso berkata ini adalah kali pertama mereka berdepan masalah piranha di pantai Daveron di sungai Paraguay, selepas ikan agresif itu berkumpul sejak dua minggu lalu.

“Penduduk perlu berhati-hati. Jika digigit, mereka perlu keluar segera dari air bagi mengelakkan darah tersebar,” kata anggota bomba Raul Castro de Oliveira, kepada laman web G1 Globo TV.

Antara mangsa yang digigit pada Ahad lalu ialah Elson de Campos Pinto, 22.

“Saya menyelam dalam sungai dan tiba-tiba saya merasa sakit pada kaki.
Saya berlari keluar dari sungai sebaik menyedari kehilangan hujung ibu jari kaki. Saya bimbang akan diserang lagi kerana kaki berdarah,” katanya.
Pihak berkuasa bandar berkata pantai itu akan dibuka kerana ia adalah tarikan penting pelancong di rantau Pantanal Brazil, terkenal kerana pelancongan ekologi.

Setiap September, Caceres menganjurkan pesta perikanan terbesar, acara seminggu yang menarik 200,000 pelancong untuk memancing dan menikmati konsert.

Pegawai keselamatan sudah memasang tanda amaran kepada orang ramai supaya berwaspada jika berenang.








.

Banjir besar dijangka landa Jakarta Januari ini


Kota Jakarta diramal akan dilanda banjir besar pada Januari depan kerana hujan dijangka turun dengan lebih lebat lagi akibat kerosakan sistem ekologi.
Bagaimanapun, banjir besar itu dijangka tidak seteruk yang menimpa Bangkok di Thailand sekarang, lapor akhbar Kompas hari ini.

Bahkan, banjir besar di Jakarta pada Januari 2012 juga dijangkakan akan lebih cepat surut.
Pada masa sama, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan kesediaan untuk menghadapi bencana tersebut.

Sementara itu, Ketua Badan Koordinasi Kajian dan Pemetaan Nasional, Asep Karsidi mengingatkan, kerajaan turut sama bersedia mengambil langkah mengatasi ancaman banjir untuk jangka masa panjang.
Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dilakukan, permukaan tanah di Jakarta semakin menurun sedangkan permukaan air laut pula meningkat.










.

Artis ini Mengandung?


JUARA American Idol musim ke empat, Carrie Underwood dilaporkan sedang hamil anak sulung.
Majalah OK! melaporkan Carrie dan suaminya, Mike Fisher sedang menanti kelahiran anak sulung mereka menurut sumber terdekat pasangan tersebut.

"Petanda paling jelas adalah Carrie sudah tidak lagi minum minuman berakohol dan kebiasaannya di majlis yang dihadiri dia tentu akan minum Champagne.
"Malah selepas mengacarakan Anugerah CMA, dia langsung tidak menyentuh minuman itu," ujar sumber itu kepada majalah OK!.







.

Pulangkan Wang Bantuan Jika Tak Dituntut

Pihak sekolah diarahkan mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar di sekolah anak-anak mereka.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau tidak atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah.

Namun, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ibu bapa perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan di sekolah anak-anak mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah.
"Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita dah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan akan masuk balik dalam tabung kerajaan, itu duit kerajaan.

"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan...ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Unesco Malaysia di sini Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata pengagihan wang bantuan itu diharap dapat diselesaikan dalam bulan ini dan sekiranya masih belum dituntut oleh ibu bapa atas sebab-sebab tertentu, pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan boleh membuat keputusan mengenai perkara terbabit.
"Kalau masih ada ibu bapa yang jauh atau ke luar negara, itu tidak menjadi masalah kerana duit itu kita akan simpan dulu.

"Kalau ada yang tidak disampaikan lagi oleh sebab tertentu, guru besar atau pengetua boleh buat keputusan. Kalau ada sampai hujung tahun (tidak dituntut), mereka kena serahkan baliklah," katanya.
Wang bantuan persekolahan RM100 telah mula diagihkan kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 sejak 15 November lepas.
Pengumuman bantuan itu telah dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012, Oktober lepas bertujuan membantu untuk membeli kelengkapan persekolahan bagi sesi 2012.

Ia diagihkan lebih awal untuk memudahkan urusan pengagihan dibuat dengan lancar.
Sementara itu ditanya mengenai isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.
Katanya, kerajaan tidak akan termakan dengan cerita-cerita yang dibuat oleh pembangkang kerana sudah mengetahui fakta yang sebenar mengenai isu berkenaan.
"Itu terserah kepada rakyat untuk menerimanya. NFC telah menjelaskan dan menjawab satu persatu perkara berbangkit dan penjelasan juga telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya," katanya.

Ditanya mengenai siasatan yang dijalankan ke atas NFC oleh pihak berkuasa, beliau berkata: "Terserah kepada pihak berkuasa kalau ada yang perlu disiasat."







.

Awas borang palsu


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, hari ini mendedahkan wujud golongan tertentu yang mengedarkan borang palsu bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan lebih awal, terutama di kampung.

Beliau menegaskan hanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sahaja berhak mengedarkan borang berkenaan bermula 1 Disember.

Awang Adek berkata, sebarang borang yang diedarkan sekarang tidak boleh digunakan kerana ia bukan borang sahih.

"Pihak yang berbuat demikian perlu menghentikannya segera kerana ia boleh mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata LHDN kini di peringkat akhir penyediaan borang dan akan mengedarkannya mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya sendiri pun belum melihat borang berkenaan," katanya.







.

Digi & GoogleTawarkan SMS Gmail


DiGi Telecommunications Sdn Bhd mengumumkan perkongsian strategik dengan Google bagi menawarkan Perkhidmatan Pesanan Ringkas Gmail (SMS) berkuat kuasa hari ini.
DiGi adalah syarikat telekomunikasi (telco) pertama di Malaysia yang akan menawarkan SMS Gmail dan perkongsian itu adalah salah satu daripada banyak cara inovatif yang disandarkan DiGi bagi menyampaikan janjinya "Internet Untuk Semua" yang memudahkan rakyat Malaysia mengakses kuasa Internet.

Ketua Internet Mudah Alih dan Pengiklanan Digi, Praveen Rajan berkata, perkongsian itu memperkasakan syarikat itu untuk menawarkan opsyen SMS kepada jutaan pengguna Gmail di nagara ini.
Ia akan turut mengembangkan dengan meluas komuniti sembang (chat)masing-masing, melalui sembang masa sebenar melalui SMS, tanpa mengira sebarang jenis peranti mudah alih, katanya di dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, SMS telah menjadi cara biasa komunikasi mudah alih di Malaysia dan ramai rakyat negara ini masih bergantung kepada bukan telefon pintar masing-masing.

SMS Gmail menjadikan komunikasi segera antara Gmail dan telefon mudah alih melalui SMS, katanya, sambil menyatakan ia membawa perkhidmatan Gmail kepada bukan telefon pintar seperti SMS Gmail Google dan orang ramai boleh menghantar pesanan teks percuma secara langsung dari akaun Gmail masing-masing untuk menjawab dan respons akan muncul seperti jawapan bersembang.

Bagi pelanggan DiGi, perkhidmatan itu disediakan percuma tanpa memerlukan langganan, manakala pesanan sembang melalui SMS dari telefon mudah alih masing-masing dikenakan bayaran RM0.10 bagi setiap SMS.








.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!