Wednesday, November 16, 2011

Angkara tandas


Seorang lelaki warga Russia ditahan selepas menembak mati seorang jirannya ketika berkelahi mengenai giliran untuk menggunakan tandas yang dikongsi bersama, kata sumber polis kepada agensi berita Interfax, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu yang pernah menjalani hukuman penjara setahun kerana membunuh, mengakui menembak jirannya berusia 49 tahun di sebuah flat di timur Moscow selepas bertengkar mengenai giliran untuk menggunakan tandas.

Pembunuh itu ditahan polis trafik kira-kira 100 kilometer dari Moscow ketika cuba melarikan diri.

Moscow masih mempunyai 50,000 bangunan flat di mana tetangga berkongsi dapur dan bilik air.









.

Dipenjara kerana tembak anak tiri


Bapa tiri petinju wanita Jerman, Rola El-Halabi dipenjara enam tahun kerana berulang kali menembak petinju berkenaan di bilik persalinan ketika dia bersiap sedia untuk perlawanan merebut kejuaraan.
Rola ditembak di tangan, lutut dan kaki oleh bapa tirinya itu, Hicham El-Halabi, 44, yang juga pengurusnya ketika dia menunggu untuk menentang Irma Balijagic Adler dari Bosnia bagi merebut gelaran juara lightweight Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF).

Kelmarin, sebuah mahkamah di sini menyatakan bahawa Hicham El-Halabi sengaja menembak petinju berusia 25 tahun itu pada 1 April lalu untuk menghalangnya daripada meneruskan kerjaya tinjunya.
Namun, wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.

Turut ditembak ialah dua pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian.
Mahkamah yang sama menyatakan Hicham sebelum ini pernah menyerang tunang Rola pada Disember 2010.
Rola merupakan juara dunia Persekutuan Tinju Antarabangsa Wanita (WIBF) dan Persatuan Tinju Wanita Antarabangsa (WIBA) pada 2009.










.

Apa yang ganjil


Satelit milik Google Maps mengesan beberapa struktur ganjil ketika memantau gurun Gobi di China, menggemparkan pengguna Internet dengan kemungkinan ia digunakan untuk tujuan jahat.
Pelbagai teori mengenai tujuan pembinaan bangunan struktur tersebut turut tersebar di Internet termasuk sasaran untuk satelit tentera.

Lebih menjadi misteri, struktur tersebut berada di sempadan wilayah Gansu dan Xinjiang, kawasan yang digunakan oleh China untuk peralatan tentera, nuklear dan angkasa lepas.
Ia juga terletak kira-kira 160 kilometer dari Jiuquan di mana ibu pejabat program angkasa lepas China dan tempat pelancaran kapal angkasa lepas.

Beberapa pengguna Internet cuba membandingkan satu daripada struktur tersebut dengan beberapa peta bandar Amerika Syarikat (AS) ekoran kebimbangan ia mungkin digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Namun, beberapa pengguna Internet lain menyatakan jika China ingin menyerang bandar AS, negara ini tidak perlu peta untuk latihan di gurun berkenaan.
Apa yang menjadikan struktur itu lebih misteri, ia sukar untuk memastikan sama ada struktur tersebut dilukis atau dibina di kawasan tersebut.


Bagaimanapun, jika imej itu dibesarkan, kapal terbang dan trak terbakar dapat dilihat yang memberi petunjuk struktur tersebut adalah sasaran untuk tujuan tertentu.
Penerbitan imej mengenai kemungkinan kemudahan rahsia itu merupakan kali kedua oleh Google Map dalam beberapa hari ini.
Enjin pencari itu pada minggu lepas menyiarkan beberapa kemudahan di Iran yang didakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), digunakan untuk membina senjata nuklear.










.

WORDLESS WEDNESDAY

Tuntutan nafkah anak artis ditangguh


Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa, menangguhkan prosiding perbicaraan tuntutan nafkah dua anak penyanyi popular, Zainal Abidin kepada 14 Disember depan ekoran hakim yang mendengar kes tersebut sedang bercuti.

Kes itu sepatutnya didengar pada hari ini di hadapan Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain dan bekas isteri Zainal Abidin, Natasya Gabriel Abdullah selaku plaintif dijadualkan menyambung kembali keterangannya.
Pihak media dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut oleh peguam syarie Norhusniah Husin yang mewakili Natasya manakala Zainal Abidin diwakili oleh peguam syarie Abdul Halim Bahari.
Natasya, 52, yang merupakan bekas model memfailkan permohonan pada tahun lalu bagi menuntut hutang nafkah dua orang anak daripada tahun 2002 berjumlah RM167,102.04 terhadap Zainal Abidin.

Wanita bertubuh tinggi lampau itu berkahwin dengan Zainal Abidin atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mohamed, 51, pada 24 Mac 1987 dan pasangan itu disahkan bercerai pada 12 Disember 2000.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, Mikhail, 18, yang merupakan seorang autisme dan seorang anak perempuan, Timur yang kini berusia 16 tahun.
Selain itu, Zainal Abidin yang merupakan bekas vokalis kumpulan Headwind juga menghadapi tuntutan Natasya untuk mengubah perintah nafkah bulanan anak yang berjumlah RM200 dinaikkan menjadi RM1,200 sebulan untuk seorang anak.

Natasya pada permohonan itu turut memohon agar nafkah perbelanjaan hari raya berjumlah RM150 diubah menjadi RM300 seorang manakala belanja persekolahan Mikhail ditetapkan pada jumlah RM3,500 sebulan dan RM2,000 bagi pendidikan Timur.




P/S - Jom baca ni..




.

Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang


Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Pulau Panjang dekat sini, hangus dalam kebakaran tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.15 tengah malam itu turut memusnahkan sebuah kereta dan tiga motosikal kerana tidak sempat dialihkan mangsa, Zulkifli Abd. Ghani, 39, yang bekerja sebagai mekanik.

Turut rosak adalah 25 buah basikal antik milik ahli Kelab Basikal Lama (Kebal) Kampung Pulau Panjang yang diletakkan di tepi rumah Zulkifli.
Zulkifli memberitahu, semasa kejadian, dia bersama isterinya, Fatimah Jaafat, 26, dan dua anak mereka berusia dua dan empat tahun sedang tidur di dalam bilik.
Katanya, dia bagaimanapun terjaga apabila merasa bahang api yang menyambar dinding rumahnya lalu segera mengejutkan dan membawa keluar ahli keluarganya.

“Saya masuk semula ke dalam rumah untuk memadam kebakaran tetapi gagal kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh yang diketuai oleh Ketua Operasi Wahid Jusoh bersama tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan.
Tindakan pantas pasukan itu menyelamatkan sebuah rumah berhampiran daripada turut musnah.
Difahamkan, kerugian dianggarkan RM70,000 manakala punca kebakaran itu masih dalam siasatan.





P/S - Jom baca ni..




.

Kenali Chandra Wisnu


Kulit lelaki ini dipenuhi dengan ketumbuhan hingga dia dikenali sebagai Lelaki Buih.
Chandra Wisnu, 57, mungkin satu-satunya lelaki di dunia ini yang menghidap penyakit kulit yang jarang berlaku apabila tubuhnya ditumbuhi dengan benjolan besar seperti buih. Bapa empat anak dari Indonesia itu jarang sekali meninggalkan kediamannya dan apabila dia berbuat demikian, dia terpaksa menutup mukanya dan memakai cermin mata hitam kerana bimbang diejek atau menakutkan orang lain. Jangkitan ketumbuhan mula tumbuh di wajah Chandra ketika dia berusia 19 tahun.

Apabila meningkat usia 24 tahun, jangkitan itu sudah merebak ke belakang badannya dan ketika dia berusia 32 tahun, ia sudah menutupi seluruh tubuhnya. Pada peringkat awal jangkitan, ibu bapa Chandra membawanya berjumpa beberapa doktor dan pakar sakit kulit yang bingung dengan keadaan penyakitnya yang teruk itu. Dia diberitahu keadaan itu berpunca daripada pengaruh genetik dan mungkin disebabkan oleh sistem saraf yang tidak normal hingga membawa kepada tumor yang tidak berbahaya pada kulit atau tulang.
Dia diberikan pelbagai jenis krim tetapi tidak dapat menghentikan penyakit itu daripada terus merebak.

Berikutan gagal mendapatkan penawar dan tidak mampu lagi menanggung rawatan perubatan, Chandra terpaksa hidup dengan keadaan yang aneh.

Dia berkata: Tidak ada rawatan khusus untuk penyakit saya. Saya hanya diberitahu supaya berjumpa dengan pakar kulit seorang demi seorang kerana mereka tidak tahu cara untuk merawat saya.

“Selepas itu, bapa tidak lagi percaya untuk membawa saya ke hospital dan sejak itu, saya tidak pernah lagi berjumpa doktor.

“Penyakit ini memberi kesan besar dalam hidup saya, benjolan ini sangat sakit dan gatal ketika cuaca panas. “Orang lain takut, mereka takut dengan wajah saya yang buruk ini dan bimbang mereka akan terkena jangkitan penyakit ini.

“Jadi, saya mengelak daripada orang ramai. Saya jarang sekali keluar rumah kecuali untuk menjemput anak perempuan saya, Hasunns dari sekolah. Dan bila saya berbuat demikian, saya menutup kepala dan wajah saya kerana saya tidak mahu anak perempuan saya dibuli rakannya kerana mempunyai bapa yang berwajah buruk,” katanya.

Chandra kini memutuskan untuk mendedahkan wajahnya kepada dunia dalam usaha mendapatkan rawatan pemulihan untuk penyakitnya selepas mendapat tahu anak lelaki sulungnya, Martin Ananda, 32 dan anak perempuannya, Lis Chandra, 26 juga mula menghidap penyakit yang sama.








.

Doktor HRPB didakwa punca anak cacat


Sepasang suami isteri mendakwa anak perempuan mereka, Nur Sofiera Natasha, 2, mengalami kecacatan dipercayai berpunca kecuaian doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini yang tersilap memberi suntikan kepada anak mereka ketika dirawat kerana demam panas, dua tahun lalu.

Lebih azab, Muhamad Shahrim Ishak, 33, dan Husdalia Hussin, 31, terpaksa bergilir-gilir mengendong atau meriba anak mereka itu kerana kanak-kanak itu akan menangis jika diletakkan di atas lantai atau dipangku orang lain.
Apa yang menyedihkan mereka, pihak hospital menolak kes itu berpunca kecuaian doktor dan sekadar memohon maaf kepada mereka, manakala kes yang mereka cuba ketengahkan melalui saluran perundangan pula tidak sampai ke mana.

Tidak tahan lagi dengan situasi itu, pasangan itu semalam mengadu masalah mereka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika sesi Hari Bertemu Pelanggan di sini. Zambry kemudian mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir menyedia dan mengemukakan laporan lengkap masalah itu kepadanya untuk tindakan lanjut.

Husdalia yang bertugas di Jabatan Pelajaran Perak mendakwa, anaknya yang dilahirkan normal, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB ketika berusia dua bulan pada April 2009 kerana demam panas dan muntah.

Katanya, doktor ketika itu tidak memberitahu rawatan apa yang diberikan kepada anaknya sehingga keesokannya dia menyedari bahagian bawah jari sehingga ke pergelangan tangan Nur Sofiera Natasha bengkak dan kehitam-hitaman selepas diberikan satu suntikan.
“Apabila saya bertanya, seorang doktor memaklumkan kesan kehitam-hitaman itu akibat tumpahan ubat di atas kulit, tetapi doktor lain pula memberitahu jarum suntikan yang dicucuk di tangan anak saya itu tidak masuk ke urat menyebabkan ubat keluar semula hingga jadi begitu.

“Selain itu, ada laporan dikeluarkan pihak hospital menyatakan tangan anak saya boleh dipusingkan tetapi sebenarnya tidak. Laporan juga mengesahkan anak kami mengalami ‘Cerebral Palsy’ dan kami yakin masalah itu berpunca kecuaian pihak hospital.

“Kini anak kami terpaksa bergilir-gilir memangku atau meribanya sepanjang masa, kecuali ketika dia tidur lena. Makan pula, Nur Sofiera Natasha hanya minum susu dan nestum menggunakan botol susu,” katanya ketika ditemui selepas bertemu Zambry.

Husdalia berkata, dia dan suaminya yang bekerja sebagai buruh mahu siasatan terperinci dibuat bagi mengetahui apa sebenarnya berlaku ke atas anak mereka selain berhak mendapat pampasan jika benar berlaku kecuaian.

“Kami juga bertemu Menteri Besar kerana suami saya sukar mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi merawat anak kami kerana masalah mengemukakan beberapa dokumen. Sebelum ini juga kami sudah gunakan dua khidmat peguam tetapi kes anak kami itu tidak ke mana,” katanya.




P/S - Jom baca ni..




.

Akibat salah sangka


“Tiada apa yang mampu diucapkan selain bersyukur kerana nyawa saya masih panjang,” kata Mohd Fitri Md Wazir, 21, yang cedera selepas terkena tembakan peluru penabur dilepaskan seorang warga emas kerana menyangka dia adalah beruk yang mencuri buah kundang.

Kejadian berlaku di Kampung Gamin Hilir, Tanjung Ipoh, di sini, semalam, di kebun milik saudara warga emas berusia 70-an berkenaan.
Mohd Fitri ditemui wartawan Harian Metro ketika dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar berikutan kecederaan di kepala.

Mangsa berada di atas pokok berkenaan bersama rakannya, Mohd Mahathir Abd Aziz, 33, dan anaknya, Mohd Adam Naqli, 4, untuk memetik buah kundang milik bapa mentua Mohd Mahathir.

Kejadian itu cukup mengejutkan Mohd Mahathir yang masih lagi tidak dapat melupakan apabila melihat sendiri kepala rakannya itu berlumuran darah selepas terkena tembakan senapang patah terbabit.




P/S - Jom baca ni..




.

Maut dilanggar kenderaan


Mohd. Amirul Hakim Khairuddin, 11, yang meninggal dunia di hospital akibat cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Simpang Bunga Cengkih di sini kelmarin tidak pernah menunggang basikal seorang diri keluar dari kawasan rumahnya.

Namun, menurut bapa kanak-kanak itu, Khairuddin Sabtu, 44, tengah hari kelmarin anaknya menunggang basikal seorang diri untuk ke rumah rakannya yang tinggal di Bukit Istana kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Sebelum ini arwah tidak pernah pergi jauh dan hanya bermain di kawasan kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, tempat saya bekerja.

“Selalunya, saya hantar dia ke rumah kawannya di Bukit Istana tetapi semalam (kelmarin) dia sendiri mengayuh basikal ke rumah rakannya tanpa pengetahuan saya,” ceritanya sedih ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, apabila pulang ke kuarters selepas habis kerja kelmarin, dia dapati Amirul tiada di rumah menyebabkan dia keluar mencari mangsa di Bukit Istana.

Semasa itu, isterinya, Rohaida Ishak, 36, berada di Temerloh kerana ada kerja.
“Sampai di rumah rakan Amirul, rakan arwah beritahu Amirul telah pulang pukul 4.30 petang pada hari kejadian,” ceritanya.
Bimbang dengan keselamatan Amirul, Khairuddin kemudian mencari anaknya sebelum menemui mangsa pada pukul 8 malam yang sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas ditemui di tepi jalan.





P/S - Jom baca ni..




.

Memang sudah jodoh


“Jika boleh, saya mahukan anak ramai yang boleh mewarisi segala harta saya. Pada perkahwinan lalu, saya tidak memperoleh zuriat sebab itu saya membuat keputusan berkahwin lagi,” kata warga emas, Mat Ibrahim, 64, yang bertemu jodoh dengan gadis berusia 26 tahun.

Perkahwinan Mat boleh diibaratkan seperti perkahwinan selebriti apabila dia bernikah dengan wanita pilihan hatinya, Noor Mahayu Samsudin pada tarikh istimewa iaitu 11 November lalu atau bersamaan 11.11.11.
Mat yang juga Imam Masjid Mukim Bechah Laut, di sini, dinikahkan jam 11 malam pada tarikh berkenaan di Batu 11, di sini, dan memberi hantaran berjumlah RM5,011 kepada isterinya.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan mempelai itu diadakan semalam dengan diiringi 11 das tembakan senapang patah oleh penduduk kampung, diarak dengan 60 kereta dan 40 motosikal, malah meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.

Mat berkata, dia menjadi duda apabila isterinya meninggal dunia empat hari selepas Aidilfitri, Ogos lalu.




P/S - Jom baca ni..




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!