Friday, October 28, 2011

Dia berhutang ketika mereka telah melarikan diri


Seorang ibu tumpang dari Colorado terpaksa membayar bil kesihatan berjumlah AS217,000 (RM672,699) selepas melahirkan bayi kembar untuk pasangan dari Austria yang melarikan diri dari Amerika Syarikat bersama bayi kembar itu.
Carrie Mathews berkata, dia hampir mati ketika melahirkan anak Rudolf dan Teresa Bako Julai lalu kerana mengalami komplikasi teruk.
Walaupun kedua-dua keluarga itu sudah menandatangani kontrak, termasuk membayar bil kesihatan, Carrie berkata, pegawai kesihatan meminta bayaran tetapi pasangan Bako enggan berbuat demikian.

Carrie memberitahu 9News, dia bertemu pasangan Bako yang ‘sempurna’ itu selepas menemui sesawang Pusat Ibu Tumpang dan Anak Angkat Kebangsaan di internet.
 Katanya, pasangan itu dalam lingkungan 50-an sudah 20 tahun cuba mendapatkan anak.
 Pasangan itu bersetuju membayar AS25,000 (RM77,500) untuk mengandungkan seorang anak dan menandatangani kontrak 30 lebih halaman tentang perkara yang mungkin berlaku ketika kehamilan dan bayaran yang perlu diselesaikan.

“Pasangan itu akan membayar AS2,000 (RM6,200) setiap bulan (jumlah besar RM77,500), Mereka akan memasukkan wang ke dalam akaun di agensi,” kata Carrie.

Katanya mereka masih berhutang sebanyak AS$14,000 (RM43,400) kepadanya.

Menurut laporan, Carrie terbang ke Cyprus untuk proses pemindahan embrio.

Pasangan Bako membayar kos penerbangan dan tempat tinggal selama 17 hari ketika dia berada di sana.

Katanya dia hamil dengan bayi kembar dan tidak seperti kehamilannya yang dulu, kali ini dia mengalami masalah. Carrie mengalami pra-eklampsia, satu masalah kesihatan yang membawa kepada hipertensi kepada ibu mengandung dan boleh menyebabkan kematian.








.

Tidak lagi menggerunkan

sebelum kejadian

Seorang ibu yang muka dan tangannya terkoyak akibat diserang cimpanzi bersuara kepada umum buat kali pertama sejak melakukan pembedahan pemindahan wajah.
Charla Nash, 55, cuba untuk menangkap monyet milik majikannya, Travis yang lari apabila haiwan itu menyerangnya pada Februari 2009. Dalam serangan cimpanze seberat 90.7 kilogram itu menyebabkan mata Charla menjadi buta selain mencederakan hidung, telinga, bibir dan kedua-dua belah tangannya hingga ibu tunggal itu nyaris meninggal dunia.


Travis, 14, ditembak mati oleh polis ketika Charla dikejarkan ke hospital dekat kediamannya di Stamford, Connecticut.
Pembedahan kecemasan selama tujuh jam menyelamatkan nyawa Charla tetapi menyebabkan wajahnya cacat teruk.

Dua tahun kemudian, wajah Charla hampir pulih selepas menjalani pembedahan pemindahan wajah.

Orang kedua yang menjalani pembedahan sedemikian, Charla berkata mengenai muka barunya: “Ramai orang memberitahu saya, saya kelihatan cantik sekarang dan saya tidak pernah diberitahu seperti itu sebelum ini. Saya tahu saya kelihatan baik-baik saja.” “Saya tidak perlu bimbang muka saya akan menakutkan orang lain,” katanya.


Charla mengunjungi rakan dan majikannya, Sandra Herold apabila haiwan peliharaan keluarga itu merampas kunci kereta Sandra dan melarikan diri menerusi pintu yang terbuka.

Kedua-dua rakan itu mengejar Travis yang pernah muncul beberapa kali dalam pertunjukan dan iklan di televisyen Amerika tetapi Charla yang dapat menangkapnya.
Kecederaannya dikatakan sangat parah hingga kakitangan hospital terpaksa menerima kaunseling selepas merawatnya.

Bagaimanapun, Charla tidak pernah putus harapan. Charla berkata: “Saya rasa pada mulanya, saya sering berfikir mengapa saya yang menghadapi musibah ini? “Seluruh kehidupan saya tidak mudah tetapi saya tidak putus asa.” Charla menjalani pembedahan pemindahan muka pada Jun lalu. Pembedahan menyakitkan itu membabitkan puluhan doktor dan mengambil masa selama 20 jam.


Pembedahan pemindahan wajah itu berjaya walaupun usaha untuk menyambungkan semula tangan ke lengannya yang cedera tidak berjaya kerana tubuhnya menolak anggota baru.







.

Penemuan menakjubkan....


Ahli arkeologi marin percaya bangkai sebuah kapal purba yang ditemui di dasar kawasan perairan Nagasaki, Jepun adalah sebahagian daripada armada purba milik Raja Mongolia kurun ke-13, Kublai Khan yang hilang, lapor stesen CNN.

Bangkai tersebut ditemui kira-kira 25 meter dari pantai Nagasaki, menggunakan peralatan ultrabunyi.
Ahli arkeologi percaya kapal purba itu digunakan pada 1281 dan merupakan sebahagian daripada 4,400 armada Raja Mongolia yang ditugaskan sebagai pasukan penjajah ketika pemerintahan Dinasti Yuan.
‘‘Penemuan bangkai kapal dengan lunas sepanjang 12 meter dan masih dalam keadaan baik itu akan membantu pengkaji mengenal pasti ciri dan sifat kapal perang sepanjang 20 meter tersebut,’’ ujar CNN yang memetik ketua pasukan penyelidik yang menemui kapal itu, Yoshifumi Ikeda.


Ikeda berkata, pihaknya merancang memperluaskan usaha-usaha penerokaan kawasan itu dan mencari lebih banyak maklumat bagi membantu mengembalikan kapal purba itu ke bentuk asal.
CNN melaporkan berdasarkan legenda Jepun, dua taufan dikenali sebagai Kamikaze menyelamat Jepun sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun daripada dua penjajahan armada Mongolia dengan memusnahkan kapal-kapal berkenaan.
China bagaimanapun tidak terselamat apabila diperintah Dinasti Yuan Mongolia antara 1271 hingga 1368.

‘‘Menurut buku bertajuk Lost Fleet: In Search of a Legendary Armada oleh ahli arkeologi, James P. Delgado mengenai Kublai Khan, kemusnahan 4,000 kapal penjajahan Dinasti Yuan yang mewujudkan kuantiti besar serpihan bangkai, membolehkan seseorang berjalan dari satu lokasi di darat ke lokasi kemusnahan itu,’’ ujar CNN.


CNN melaporkan, kapal purba itu diperbuat dari papan kayu dan dipercayai dicat dengan warna kelabu cerah merupakan antara lebih 4,000 artifak termasuk serpihan seramik, bata, peluru meriam dan sauh diperbuat daripada batu, ditemui di lokasi berkenaan.
‘‘Penemuan artifak itu menimbulkan kaitannya kepada armada penjajahan Dinasti Yuan,’’ kata CNN.









.

Gosip itu tidak benar

DUNIA artis memang tidak boleh dipisahkan daripada gosip yang sentiasa mengekori mereka dalam setiap langkah yang diambil, tidak kira artis baru ataupun yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni.

Gosip kadangkala boleh menjurus kepada kebaikan seseorang artis itu sama ada ia mampu menambah lagi populariti mereka atau sebaliknya.
Adakala gosip juga boleh menjatuhkan maruah dan karier seseorang artis itu jika mereka tidak tahu selok-belok untuk kembali bangkit setelah nama tercemar.
Terpulang kepada bagaimana seseorang artis itu meletakkan diri mereka selepas dilanda gosip dan mengorak langkah seterusnya dalam meneruskan karier seni mereka.

Itulah yang dialami Ning Baizura, 37, baru-baru ini apabila timbul gosip mendakwa suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton (Omar) menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya, seorang wanita berketurunan Cina.
Gosip itu bukan sahaja memeranjatkan Ning, malah apa yang nyata ia lebih menguatkan rasa cinta Ning terhadap Omar.

Penyanyi itu yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran muzik video terbarunya berjudul Bila mengakui agak terkejut dengan gosip itu sambil berkata;
“Mana mungkin Omar menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya kerana Omar sudah berhenti kerja sejak beberapa bulan lalu untuk menguruskan kerjaya seni saya sepenuh masa.
“Itu semua gosip liar dan saya tidak perlu risau atau curiga terhadap Omar kerana saya tahu dan kenal siapa suami saya.
“Lagipun saya bersetuju untuk diuruskan oleh suami sendiri kerana dia mempunyai perancangan dan strategi untuk masa hadapan saya dalam meneruskan langkah dalam bidang seni.

“Gosip-gosip seperti ini adalah normal dan setelah 18 tahun menceburi bidang seni saya sudah lali dengan pelbagai gosip.
“Kalau nak tahu, sewaktu gosip liar itu bertebaran, suami saya sendiri lebih terkejut berbanding saya kerana sebelum dia menguruskan kerjaya saya, dunia kami terlalu berbeza,” kata Ning dalam nada tenang.
Menyentuh siapakah wanita Cina yang dikatakan menjalin hubungan dengan suaminya, Ning secara jujur mengatakan bahawa dia tidak tahu siapa wanita tersebut dan dia berharap agar gosip liar ini dihentikan segera.

Menurut Ning, setelah Omar menjadi pengurusnya sepenuh masa dia merasakan perjalanan seni dan kehidupan rumahtangganya semakin bahagia kerana Omar sudah mula memahami akan dunia seni dan tugasnya.
“Saya gembira kerana suami saya terlibat secara langsung dengan perjalanan seni saya dan ini membantu meningkatkan lagi komunikasi dan persefahaman serta kasih sayang antara kami,” cerita Ning sambil memandang mesra Omar di sisinya. Omar pernah bekerja dengan sebuah syarikat cari gali minyak yang terkenal di ibu kota.


I love my wife, the one and only - Omar
Omar yang ditemui ketika menemani isterinya, Ning Baizura di majlis itu menzahirkan bahawa rumah tangga mereka sedang bahagia dan tiada masalah orang ketiga seperti dikhabarkan baru-baru ini.
Ketika ditanya berhubung gosip tersebut, pantas Omar menegaskan bahawa tiada insan istimewa dalam hidupnya selain daripada Ning Baizura.
“Saya sendiri tidak tahu siapakah wanita berketurunan Cina yang digosipkan dengan saya.
“Saya terkejut apabila mendengar gosip tersebut tetapi saya tahu perkara seperti ini adalah sesuatu yang biasa bagi seorang artis,” katanya.
Berfikiran positif

“Saya tiada ramuan tertentu untuk terus bertahan dalam industri ini tetapi saya sentiasa berfikiran positif bahawa setiap tindakan saya akan mendatangkan hasil pada kemudian hari.
“Sejujurnya pada awal penglibatan saya dalam bidang ini, saya tidak pernah terfikir akan dapat bertahan selama ini,” kata Ning apabila ditanya rahsia beliau terus bertahan dalam industri ini.
Ning Baizura yang bakal menyambut ulangtahun ke-20 sebagai anak seni dalam masa dua tahun lagi, tidak menafikan sepanjang kariernya pernah terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang mampu memadamkan terus namanya dalam industri muzik tempatan.

“Peminatlah yang banyak memberikan saya inspirasi untuk terus mencipta nama dan segala yang saya lakukan adalah untuk membalas jasa dan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya.
“Selain itu, saya juga banyak mengambil contoh yang baik dari artis yang lebih dahulu mencipta nama seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam mempertingkatkan cara saya berkomunikasi dengan peminat,” katanya.








.

Air longkang masuk rumah


Setiap kali hujan lebat melanda ibu kota, penghuni Blok 1, 3 dan 5 Rumah Panjang Sri Johor di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini akan diburu keresahan.
Ini berikutan air hujan itu akan memenuhi longkang berhampiran rumah panjang itu dan kemudiannya melimpah keluar sehingga memasuki kediaman mereka.

Penduduk mendakwa kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan masalah perparitan di kawasan perumahan itu sejak dahulu adalah punca masalah itu terus menghantui mereka.
Dakwa penduduk, walaupun kawasan perumahan mereka terlibat dalam pembangunan semula kawasan itu tetapi adalah tidak wajar mereka dibiarkan terus menanggung sengsara sepanjang tempoh pembangunan itu.

Seorang penghuni, Chan Kian Fah, 43, berkata, setiap kali banjir kilat berlaku, bukan sahaja keselamatan mereka terancam tetapi juga terpaksa menanggung kerugian harta-benda.
“Air yang memasuki rumah akan merosakkan peralatan dan banyak yang tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui semasa Pengerusi Bahagian MCA Bandar Tun Razak, Chiew Lian Keng mengadakan lawatan ke lokasi itu baru-baru ini.

Chan Kwai Yean, 44, pula berkata, masalah sistem peparitan yang tidak betul juga menyebabkan longgokan sampah berlaku setiap kali selepas hujan.
Katanya, keadaan itu mengundang kehadiran binatang seperti anjing dan ular di kawasan longgokan sampah itu.
Sementara itu, Lian Keng berkata, walaupun kerja-kerja membaiki sistem perparitan di situ akan mengambil masa, pihak bertanggungjawab perlu memikirkan cara terbaik bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni.







.

Polis tahan suspek curi bagasi


Polis berjaya membongkar kes kecurian bagasi yang berlaku sejak awal tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah menahan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an di Ampang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, tangkapan itu hasil siasatan polis terhadap aduan seorang penumpang di KLIA apabila sebuah beg yang dibawa bersamanya hilang disyaki dicuri.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Sepang menyerbu sebuah kondominium di Ampang dan berjaya merampas 16 unit beg pelbagai jenis, sebuah komputer riba, lima utas jam tangan dan tiga cermin mata.

"Polis mendapat laporan pada Sabtu lepas seorang penumpang yang akan ke Kota Kinabalu kehilangan beg yang mengandungi sebuah Ipad, satu cermin mata, sebatang pen dan dokumen ketika diletakkan di atas troli semasa hendak mendaftar masuk.
"Kemudian pada Selasa lalu sekitar pukul 6 petang polis menyerbu kondominium yang dijadikan tempat penginapan mereka dan menahan dua lelaki warga Peru dan seorang warga Sepanyol.

"Melalui siasatan yang kita jalankan, suspek turut mencuri di beberapa kawasan tumpuan orang ramai seperti KLCC, hotel dan restoran dengan seorang suspek berlagak bertanyakan sesuatu manakala yang lain bertindak menarik perhatian orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.
Imran memberitahu, ketiga-tiga lelaki yang ditangkap kini ditahan reman hingga 7 November ini untuk siasatan lanjut.

"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek-suspek ini kita berjaya membendung dan menyelesaikan 12 kes kecurian barang yang dilaporkan menggunakan modus operandi yang sama di KLIA.
"Justeru, kepada mangsa-mangsa yang kehilangan beg di KLIA dan pernah bersemuka dengan suspek diminta datang ke balai polis untuk pengecaman," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Imran memberitahu, sepanjang tahun ini polis berjaya membuat tangkapan tujuh kes terhadap pemilikan senjata tiruan merupai senjata api di KLIA.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membeli senjata tiruan tersebut kerana ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh didakwa di bawah peruntukan 36 akta senjata 1960.

"Hasil siasatan mendapati terdapat tiga modus operandi yang diguna pakai untuk menyeludup senjata ini iaitu dengan membeli di luar negara dan membawa masuk sebagai barang permainan, beli di luar negara dan kemudian pos dalam bentuk bungkusan serta pos senjata tersebut dalam bentuk bungkusan ke pelbagai destinasi dalam Malaysia.
"Kepada sesiapa yang memiliki senjata tiruan walaupun untuk tujuan perhiasan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.









.

Rentas hutan bertukar tragedi


Aktiviti merentas hutan oleh lima pelancong asing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung setelah tersesat di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chris Birchill, 45, dari Australia manakala mereka yang diselamatkan ialah Jonathan, 54 dan Alan Chadwich, 33, yang merupakan rakan senegara mangsa.

Dua lagi ialah Marc Linneger, 35, dari Afrika Selatan dan James Fraser, 45, dari Britain.
Pelancong-pelancong terbabit yang mula masuk ke hutan itu kira-kira pukul 8 pagi semalam gagal keluar dan terpaksa menelefon rakan mereka di Singapura untuk meminta bantuan.
Operasi mencari dan menyelamat kesemua pelancong itu dilakukan mulai pukul 3 petang hingga 12.30 tengah malam semalam, namun mereka gagal ditemui.

Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi di lokasi berhampiran tebing sungai yang terletak pada ketinggian 365 meter dan tujuh kilometer dari pintu masuk hutan lipur berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelancong asing terbabit kira-kira pukul 3 petang semalam dan telah menggerakkan operasi mencari mereka.

"Kesemua pelancong warga asing itu masuk ke hutan lipur tersebut pada pukul 8 pagi semalam dan setelah berjalan selama tujuh jam mereka tersesat sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, setelah berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 2.30 petang, kesemua pelancong terbabit diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Segamat bersama-sama mayat Birchill.
Beliau berkata, kumpulan pelancong berkenaan difahamkan selalu melakukan aktiviti merentas hutan di sekitar negara ini, Thailand dan Indonesia.

Operasi mencari dan menyelamat pelancong warga asing terbabit melibatkan seramai 114 anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta orang awam.
Sementara itu, menurut seorang Renjer Jabatan Perhutanan negeri, Husin Abdul Latif, 38, dia berjaya menemui kumpulan pelancong asing yang sesat itu selepas mengikuti satu jejak ranting-ranting pokok yang telah dipatahkan.

"Kami mula menemui dua daripada pelancong itu di satu kawasan tebing sungai dan mereka melompat kegembiraan dan melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat," katanya.
Katanya, menerusi penemuan dua pelancong itu, pasukan mencari dan penyelamat telah dibawa ke tapak perkhemahan kumpulan pelancong tersebut dan turut menemui dua lagi pelancong serta mayat rakan mereka.
Jelas beliau, usaha untuk membawa keluar kumpulan pelancong itu mengambil masa hampir empat jam kerana hujan dan laluan hutan yang licin.







.

Dua dalam satu


Dua sindiket perjudian Internet dikesan berselindung di sebalik perniagaan refleksologi untuk menjalankan kegiatan mereka di Pandan Indah dan Ampang Avenue, di sini, sejak sebulan lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar hasil serbuan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Isnin lalu.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Penguat kuasa MPAJ, Rosli Jaafar bersama 12 anggota itu menemui premis kedua-dua sindiket terbabit yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan membuka pusat siber haram. Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, dalam serbuan pertama di Pandan Indah, pihaknya menemui sebuah bilik berkeluasan 10X10 meter yang terletak berasingan dari pusat urut itu.
Katanya, ketika ditanya, penjaga premis terbabit mendakwa bilik itu stor menyimpan barang, tetapi sebaik membuat pemeriksaan, pihaknya menemui enam komputer serta terdapat dua pelanggan yang leka melayari Internet disyaki berjudi secara atas talian.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti kafe siber di pusat urut itu beroperasi sejak sebulan lalu. Premis terbabit juga didapati tidak menjalankan perkhidmatan urut kaki seperti diiklankan berdasarkan bilik dalam premis itu.

“Ketika serbuan juga terdapat seorang pelanggan diurut seorang tukang urut dari Thailand. Berikutan itu, pihaknya mengambil tindakan ke atas pemilik premis terbabit kerana menjalankan perniagaan pusat siber dan melanggar syarat lesen bagi aktiviti rumah urut,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di sebuah premis di Ampang Avenue, pihaknya menyita lapan komputer dan menahan dua pelanggan yang disyaki terbabit aktiviti perjudian atas talian.

Selain itu, ketika operasi penyitaan, anggota penguat kuasa menemui beberapa kondom serta gel yang disorok di bawah tilam. Tindakan penyitaan sudah diambil ke atas semua aktiviti di premis terbabit dan MPAJ memohon kerjasama orang ramai supaya memaklumkan perkara yang diragui kepada pihaknya bagi tindakan segera.







.

Maut dalam kemalangan


Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.


Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.
Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.
"Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.


Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
"Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci," jelasnya.









.

Dihalau isteri kerana miskin

Hanya kerana tidak mampu memberi kemewahan selepas enam tahun berkahwin, seorang isteri menghalau suaminya dari rumah mereka di Taman Seri Gombak, di sini dua hari sebelum sambutan Deepavali lalu.
Lebih menyedihkan, teksi yang menjadi sumber rezeki suaminya turut dirampas.

Sebaik dihalau, mangsa yang berusia 40 tahun terpaksa menumpang tidur di perhentian bas di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, lelaki itu pulang semula ke rumahnya untuk berbincang dengan isterinya secara baik namun dia dipukul adik iparnya yang berang sebaik mendapati mangsa pulang ke rumah itu, kelmarin.

Mangsa yang sedih dan buntu dengan insiden itu terpaksa memberitahu ibunya sendiri untuk meminta bantuan.

Sumber berkata, mangsa dipujuk pulang ke rumah ibunya di Selayang, namun dia sekali lagi diserang keluarga isterinya di depan rumah keluarganya itu dan diminta menceraikan isterinya kerana tidak mampu memberi kemewahan.

“Dalam kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu, mangsa dikejutkan dengan kehadiran isteri, ibu mentua dan adik ipar yang menjerit dari luar rumah meminta mangsa menceraikan isterinya.

“Ibu mangsa dikatakan mententeramkan ketiga-tiga mereka namun dimaki-hamun selain diugut akan dicederakan dengan kayu dan cangkul yang dipegang adik ipar mangsa,” katanya.

Difahamkan, mangsa tidak mahu berbuat demikian kerana mereka mempunyai seorang anak lelaki yang masih kecil walaupun sering dihalau isterinya beberapa kali.

Menurutnya, beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu mententeramkan keadaan dan menasihati keluarga isterinya beredar.

“Isteri dan adik ipar mangsa dikatakan turut merampas telefon bimbit mangsa.

“Adik ipar mangsa dikatakan turut mengugut mahu mencederakan mangsa sekiranya masih berdegil tidak mahu menceraikan kakaknya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.








.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!