Monday, July 4, 2011

"Curang bukan bermakna saya syaitan"


Jesse James telah memaafkan dirinya sendiri diatas kecurangan yang menyakitkan hati bekas isterinya, Sandra Bulock. Dia telah mengakui kesalahannya dan merasakan bukan orang jahat.

"Saya tidak pernah mendapat komen negatif, tidak dari sesiapa pun. Satu-satunya orang yang berkata negatif tentang saya adalah paparazzi, dan tentu saja mereka dibayar," kata James, seperti dipetik dari laman Showbizspy.

Dia yakin media berperanan membangun pandangan negatif tentang dirinya. Tapi, dia tidak peduli kerana merasa memiliki banyak sokongan dari orang disekelilingnya. "Saya memang telah mengkhianati isteri saya, tapi itu juga dilakukan oleh ramai orang," katanya.

Dia sedar telah menyakiti isterinya. Tapi, itu bukan lalu membuatkannya menjadi seorang penjahat atau syaitan. Dia memaafkan dirinya sendiri kerana merasa sudah meminta maaf kepada mantan isterinya. "Saya sudah berbuat salah, dan saya minta maaf," ujarnya.

Walaupun sedar curang itu salah, lelaki yang kini bertunang dengan seniman tatoo Kat Von D itu tidak tergerak berbual dengan Bullock demi mempertahankan hubungan rumah tangganya ketika itu. "Pasti sangat menyakitkan jika kalimah yang muncul hanya akan membuatkan hidupnya tidak tenang," ujarnya.

Bullock mengetahui skandal kecurangan suaminya dengan sejumlah wanita penggoda melalui media. Khabar pertama yang heboh adalah kecurangan suaminya dengan seorang model bertatoo Michelle 'Bombshell' McGee, sekitar Mac tahun lalu.

Menyusul berita itu, James dikhabarkan curang dengan tujuh wanita selama menjadi suami Bullock.




.

Sebuah kisah buat renungan..


Hari ini, tidak seperti hari-hari yang biasa...
Isteri dan anak-anakku, ku pandang sayu...
Entah kenapa, hari ni hatiku terasa sayu...
Kakiku terasa berat melangkah..
Namun, kewajipan harian harus tetap berjalan...
Anak-anak perlu dihantar kesekolah..
Dan aku harus tetap ketempat kerja, bagi melunaskan semua kerja dipejabat...


Pagi itu, nafas ku terasa tidak seperti selalunya...
Terasa tersekat-sekat disitu...
Kurasa melayang tika berjalan...
Namun, aku sampai juga ke pejabat...
Panggilan telefon aku buat demi isteri yang tersayang...
Sayang, abang sudah tiba dipejabat...
Masak sedap yer tengah hari nanti...
Insya-Allah abang akan pulang...
Isteri ku mengiyakan sambil ketawa kecil melalui corong telefon itu...
Ahh, betapa bahagianya aku memilikinya sebagai isteri berbelas tahun lamanya..
Sudah tentu tidak pernah terlintas dihati untuk menduakan cintaku padanya..
Dialah wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak kami, dari dulu dan selamanya...
Semoga kami bahagia selama-lamanya..


Seperti selalu, sebelum memulakan tugas pejabat, aku akan ke tandas...
Buang air kecil dan merapikan diri..
Maklumlah, selalunya, hari-hari di pejabat memang sukar...
Memerlukan aku untuk kekal rapi dan berkarisma, sesuai buat jawatan ku sebagai ketua..


Namun ketika tiba di tandas...
Owh, tiba-tiba kepala ku pitam...
Aku tidak sempat berpaut, dan terus rebah ke lantai tandas..
Syukur suaraku sempat keluar meminta tolong dan didengari oleh salah seorang staff pejabat.
Aku tahu ketika itu aku sudah tidak sedar..


Anehnya, aku dapat melihat rama pekerja pejabat yang sibuk meluru ke arah jasadku..
Dan segera mengangkatku, menghantar aku ke bahagian emergency..
(nasib baik aku bekerja di hospital... hanya dengan masa yang singkat, aku sudah berada ditangan doktor yang pakar dan, aku pasti akan diselamatkan..)
Mereka meletakkan aku diatas katil, dan melakukan pelbagai ujian, demi menyelamatkan aku..
Ya Allah, kenapa mereka ku lihat panik?
Kenapa dadaku diperlakukan sebegitu..
Aku masih hidup... Aku sedang melihat kamu....


Selang sejam, jasad ku diusung, dan telingaku segera mendengar suara tangisan...
Ramai yang menangis disitu...
Eh, kat hospital mana boleh bising..
Nanti menganggu pesakit lain...
Tiba-tiba ku terpandang susuk tubuh yang sangat aku kenal..
"Sayang......."
Aku panggil isteriku yang membelakangkan aku...
berkali-kali kupanggil, dia masih tidak menoleh....
Apa yang terjadi???


Alangkah terkejutnya aku, isteriku juga turut menangis...
Kenapa????
Aku terpinga-pinga... Namun ku turuti isteriku yang menyusuli jasadku...
Jasadku sudah berada disebuah bilik yang sangat sejuk..
Eh, aku kenal bilik ini....
bilik ini..............................Ya Allah... Bilik ni bilik mayat..................
Kenapa aku disini????


Al-Fatihah... Buat seluruh keluarga kenalan keluarga lulu, yang telah kehilangan suami tercinta seminggu yang lalu... Meninggal mengejut, iaitu jatuh dalam tandas pejabat, akibat sakit jantung.. Sesungguhnya, kehilangannya amat dirasai kerana segala-galanya mengejut... Betapa ironinya kehidupan.. Benarlah, jodoh, ajal ditangan Allah.. Bila-bila sahaja kita akan kembali padanya...




.

Giginya melekat dikaki..


Seorang budak perempuan hampir hilang sebelah kakinya selepas dia dibaham jerung dalam perairan cetek, semalam.
Jerung itu dilaporkan menyerang Cassidy Cartwright, 10, walaupun ketika itu mangsa berada di air sedalam satu meter.

Disebabkan gigitan itu, doktor terpaksa membuang satu daripada gigi jerung berkenaan dari kaki Cassidy.
Insiden itu berlaku sehari selepas Cassidy dan keluarganya tiba dari Pennsylvania untuk bercuti.

Cassidy berkata, dia sedang bermain dengan papan luncur apabila tiba-tiba terasa ada sesuatu menarik kakinya.
Dia menyangka ada sesiapa yang cuba bergurau dengannya.

“Saya tidak sakit pada awalnya.


“Apabila tarikan itu semakin kuat, barulah saya berasa sakit,” katanya.

Ketika itu, kata Cassidy, dia terkejut melihat jerung yang menyerangnya.

Selepas menyerang kali pertama, ikan itu melepaskan kaki Cassidy seketika sebelum kembali lagi.
Ketika itu ibu Cassidy, Carolyn, ternampak air bertukar menjadi merah.
Dengan bantuan seorang rakan, Carolyn bergegas ke air dan menarik anaknya ke darat.
“Luka pada kaki Cassidy sangat besar dan darah keluar membuak-buak,” katanya.





.

Sukar Menjadi Mukmin Sejati Dalam Dunia Artis


Pelakon Azmil Mustafa mendakwa sukar bagi seseorang itu untuk menjadi mukmin sejati sekiranya mereka bergelar artis.
Dia berkata selama bergelar artis dia mengakui banyak dosa yang telah dilakukan.
"Saya rasa agak susah untuk menjadi seorang mukmin apabila hidup sebagai seorang artis kerana seperti yang kita tahu kehidupan artis lebih terdedah kepada keseronokan.

"Saya akui pelbagai dosa yang telah saya lakui sepanjang menjadi artis. Sehingga sekarang, ada yang masih menganggap saya sebagai artis dan mengenali saya dengan nama Ali Setan," ujarnya dalam satu temubual di Hotel De Palma, Ampang ketika meraikan mangsa Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat.
Tambahnya: "Saya menganggap situasi ini sebagai lumrah hidup. Jadi, saya perlu berhati-hati dalam menjaga tingkah laku.

"Saya juga gemar bergaul dengan rakan artis yang suka berkongsi tentang kehebatan Rasulullah seperti kumpulan Rabbani."
Bagaimanapun, Azmil belum bersedia untuk berdakwah kepada rakan artis lain kerana bimbang sekiranya timbul konflik pada masa hadapan.

"Saya sudah faham dan lalui pengalaman menjadi artis, jadi saya takut untuk berdakwah di kalangan mereka.
"Lagipun saya belum cukup kuat untuk bergaul dengan mereka semula. Saya rasa halangannya terlalu berat dan bimbang andai saya gagal untuk berdakwah kepada mereka," ujarnya lagi.
Sejak berubah, dia membawa diri ke Syria dan menetap di sana bersama-sama keluarga selama lima tahun.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, Azmil yang kembali ke negara ini sejak lima bulan lalu memilih untuk menetap di sini selama-lamanya.
"Saya akan melakukan kerja yang menjurus ke arah kebaikan dan terlibat dengan pertubuhan yang bergerak secara bebas.

"Saya merancang untuk melakukan sebuah majlis dengan media untuk menceritakan tentang pengalaman saya selama berada di Syria," ujarnya yang turut mengakui hilang punca pendapatan sepanjang lima bulan kembali ke negara ini.

Dia yang baru menjalani pembedahan jantung akui sering menghadapi masalah kesihatan.
"Saya tetap bersyukur dengan kurniaan Allah dan setelah menjalani pembedahan jantung, doktor menasihatkan saya agar tidak terlalu aktif dan banyak berehat di rumah.
"Bagaimanapun, saya akan meluangkan masa jika dijemput memberikan usrah dan berkongsi pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya akan cuba bawakan perspektif yang kontemporari seiring dengan dunia sekarang," jelasnya.




.

Cinta monyet PLKN membawa ke jenjang pelamin


Ramai orang menganggap cinta monyet yang berputik di zaman awal remaja tidak akan berkekalan sehingga ke jenjang pelamin.

Namun, Mohd. Afifie Azri Jusoh, 24, dan pasangannya Siti Hajar Harun, 24, membuktikan sebaliknya apabila percintaan mereka berkekalan sehingga ke alam perkahwinan.
Perkenalan dan percintaan mereka bermula ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Seri Perkasa Mantin di Seremban pada 2005.
Percintaan selama enam tahun itu akhirnya termeterai dengan ikatan perkahwinan apabila mereka berdua selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu.

Siti Hajar yang berasal dari Felda Lui Muda dekat sini amat gembira dan bersyukur apabila selamat disatukan dengan pasangannya setelah bertunang pada September lalu.
"Suami saya merupakan seorang Inspektor Kesihatan di Jasin, Melaka tetapi berasal dari Dungun, Terengganu. Kami gembira kerana dapat membuktikan cinta monyet boleh bertahan ke peringkat yang lebih serius iaitu sebuah perkahwinan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik percintaan mereka, Siti Hajar yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting dekat sini berkata, cinta mereka berputik apabila kerap bekerjasama sebagai ketua kompeni di PLKN.
"Saya amat mengagumi kejujuran, sifat menghormati orang tua dan sikap suami yang amat mengambil berat tentang saya dan keluarga," katanya.

Sebagai simbolik perkahwinan mereka, dia turut mengundang para pelatih dan kakitangan PLKN Kem D'Bana dekat sini pada majlis persandingan mereka.
"Kalau hendak bawa pelatih PLKN Mantin amat jauh. Jadi saya mengundang Kem PLKN D'Bana yang hampir dengan rumah saya. Terima kasih kepada pihak PLKN kerana membawa 30 orang pelatih hadir memeriahkan majlis ini," katanya.

Walaupun begitu, kira-kira 20 orang bekas pelatih PLKN Mantin yang sama-sama mengikuti latihan bersama pasangan itu turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.




.

Cinta sejatiku...


PERTEMUAN di sebuah kedai makan dan bertukar-tukar nombor telefon ketika menjalani penggambaran sebuah telefilem kira-kira lapan tahun lalu, akhirnya membawa penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok dengan wanita pilihan hatinya, Siti Rahayu Abas ke jenjang pelamin.
Penyanyi yang merupakan bekas juara rancangan realiti One In A Million (OIAM) itu meluahkan rasa syukurnya apabila impian untuk menikahi wanita yang sangat dicintainya itu terlaksana.

“Hubungan kami sebagai pasangan kekasih berlanjutan selama lapan tahun. Memang tidak dinafikan pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi sepanjang kami bersama.
“Namun, apa yang diimpikan selama ini iaitu untuk menjadikan Ayu sebagai isteri telah pun menjadi realiti dan tentunya saya sangat berharap agar ikatan ini akan kekal sampai bila-bila,” ujarnya selepas selesai upacara pernikahan.

Ditanya tentang tempoh yang cukup lama diambil oleh mereka berdua untuk mendirikan rumah tangga, Tomok menjelaskan semuanya bergantung kepada jodoh yang telah ditentukan.
Jelasnya lagi, kesibukan mengurus kerjaya masing-masing juga adalah salah satu sebab mereka jarang membicarakan soal perkahwinan, di samping mahu mencari keserasian bersama.
“Sebenarnya kami menjalinkan hubungan sebagai kawan biasa dalam tempoh setahun sahaja. Selepas itu, saya ambil keputusan untuk menjadikannya sebagai kekasih dan tidak sangka Ayu menerimanya.
“Kemudian saya telah melamarnya untuk dijadikan isteri kira-kira dua tahun lalu selepas saya menjuarai OIAM. Malah, kami berdua telah sepakat untuk terus berkahwin tanpa mengikat tali pertunangan,” ujarnya.

Mengenai ciri-ciri yang membuatkannya tertarik dengan Ayu, beritahu Tomok, isterinya itu adalah seorang wanita yang sangat penyabar dan pandai memasak makanan kegemarannya itu masakan asam pedas.
Tentang lokasi bulan madu pula, setakat ini mereka masih belum membuat keputusan yang muktamad memandangkan pada 18 Julai ini, Tomok akan mula menjalani sebuah penggambaran telefilem berjudul Diari Kampus Biru di Bandung, Indonesia.

“Memang jadual saya begitu padat dan isteri pula sangat memahami. Insya-Allah, kalau masing-masing ada masa terluang, kami akan tetap berbulan madu di pulau yang menarik memandangkan isteri suka dengan lokasi sebegitu,” ujarnya.


Sementara itu, Ayu pula menjelaskan walaupun terdapat perbezaan umur yang ketara di antara mereka berdua, namun ia bukanlah satu penghalang besar untuk menjadi pasangan yang serasi.
“Mulanya memang agak sukar kerana usia suami yang lima tahun lebih muda, tetapi saya sangat bersyukur kerana memiliki seorang lelaki yang mempunyai sifat penyabar dan sering mengambil berat terhadap diri saya.
“Malah, kini saya juga sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada seorang selebriti dan yang lebih menggembirakan lagi apabila suami tidak menghalang saya meneruskan kerjaya sebagai seorang pramugari,” jelasnya.

Menariknya, usia Tomok baru 27 tahun, manakala isterinya pula yang merupakan seorang pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sudah berusia 32 tahun.
Kedua-duanya selamat menjadi pasangan suami isteri setelah dinikahkan dalam satu majlis yang cukup meriah bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu.
Dilihat cukup segak dan anggun dengan sepersalinan berwarna kuning keemasan, Tomok dan Ayu telah dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama/Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam daerah Gombak, Abas Mohd. Saidon.

Pada majlis tersebut, pengantin perempuan menerima wang hantaran RM12,697.11 serta sembilan dulang hantaran, antaranya telekung, beg, minyak wangi, cincin, jam, al-Quran, kek dan sirih junjung.
Ia dibalas pula dengan 11 dulang kepada pengantin lelaki seperti jam, coklat, minyak wangi, kasut, al-Quran, baju Melayu, sejadah dan beg duit.

Selain majlis resepsi pihak perempuan yang diadakan di tempat yang sama pada Sabtu lalu, Tomok dan Ayu juga akan diraikan dalam satu majlis istimewa bersama peminat dan pihak media pada 6 Julai ini di Saloma Bistro.
Majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki pula akan berlangsung pada 9 Julai di rumah pengantin lelaki di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.


Tomok, sempat berkongsi pemilihan jumlah wang hantaran yang memperkenankan angka cukup unik, RM12, 697.11.
“1a adalah simbolik kepada tarikh pernikahan kami iaitu 1 Julai, 2 atau 2 Julai persandingan sebelah isteri (Ayu), 6 (6 Julai) majlis persandingan tertutup di Saloma Bistro khas untuk rakan artis dan media.
“Manakala 9 (9 Julai) majlis resepsi keluarga saya akan dilangsungkan pada 9 Julai di rumah ibu bapa saya di Alam Damai, Cheras. 7 pula adalah simbolik kepada bulan Julai sementara 11 membawa maksud 2011,” katanya.





.

Debaran ibu menanti kelahiran anak kembar berakhir tragedi



Debaran menantikan kelahiran anak kembar bertukar tragedi apabila wanita yang sarat mengandung itu maut apabila ambulans yang membawanya terbabas ketika cuba mengelak anjing dan melanggar pokok, semalam.

Kejadian jam 1.50 pagi di Batu 9, Penrissen itu mengakibatkan mangsa, Mura anak Rungor dari Kemantin, Sri Aman meninggal dunia di tempat kejadian.
Mura, 33 yang dibawa dari Hospital Sri Aman untuk di rujuk ke Hospital Umum Sarawak mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

Kejadian itu menyebabkan bayi kembar dalam kandungan wanita berkenaan tidak dapat diselamatkan.

Pemandu ambulans terbabit, Sapuan Ain, 37 dilaporkan kritikal akibat tulang rusuknya patah dan terkena organ dalaman.

Selain itu, jururawat yang mengiringi mangsa, Sunny anak Ngadei, 40 pula cedera di bahu dan patah kaki kanan, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang berkata, sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 2 pagi, anggotanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan pemandu ambulans yang tersepit di tempat duduk.


“Laluan berkenaan tidak berbahaya, malah ketika kejadian, jalan itu lenggang tetapi anjing liar yang berkeliaran di situ menyebabkan pemandu ambulans gagal mengelak lalu terbabas,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat, manakala Sapuan dan Sunny, turut mendapat rawatan di hospital sama.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!