Thursday, December 30, 2010

Langgar Pantang


Pelakon Rosyam Nor, 43, sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia tidak akan mendedahkan keluarganya kepada umum walaupun sebaliknya pelakon itu dilihat muncul bersama dua anak gadisnya pada majlis Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 24 Disember lalu.

Kata Rosyam, kehadiran dua anaknya iaitu Arniesha Azureen, 21, dan Nur Anis, 17, pada majlis itu bukan kerana dia tidak tegas dengan pendiriannya tetapi kedua-dua anaknya itu memujuknya untuk merasai kehangatan majlis tersebut.

"Sebenarnya saya tak terfikir pun untuk membawa mereka tapi pada saat-saat akhir mereka pujuk saya sebab teringin nak rasa kehangatan ASK2010 bersama saya. Selain itu mereka merupakan peminat Anuar Zain.

"Lagipun bila anak-anak dah besar, mereka pandai pujuk ayah mereka sampai saya pun kesian. Selalunya bila saya bawa keluarga, mereka akan duduk di bahagian penonton, bukan bersama saya.

"Bagaimanapun, saya masih dengan pendirian untuk tidak mahu menonjolkan keluarga saya kepada umum," katanya.
Tambah Rosyam, sehingga kini dia masih tegas dalam mendidik anak-anaknya untuk memberi didikan yang terbaik.


Pada majlis ASK2010, kemunculan Rosyam bersama dua gadis jelita mengundang persoalan di kalangan tetamu yang hadir.
Malah, kedua-dua anak gadis itu turut menjadi perhatian pelakon-pelakon lelaki di majlis tersebut.

Sementara itu, Rosyam baru sahaja habis menerbitkan drama bersiri Trilogi Cinta yang akan ditayangkan di RTM1, bermula pada 2 Januari 2011.
Drama yang turut membabitkannya sebagai pelakon utama, turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Fouziah Gous, Raisuddin Hamzah, Siti Fazurina, Aida Khalida, Amyza Aznan serta tiga artis Pilih Kasih, Ray Redzuan, Reza Hasbi dan Zulin Aziz.

Trilogi Cinta merupakan drama bersiri pertama terpanjang yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.
Ia juga merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada tiga novel Sharifah Abu Salem iaitu Tak seindah mimpi, Tak semanis Impian dan Tiada lagi Mimpi iaitu terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.




.

Mandi dalam ais


Pemegang sembilan rekod dunia mandi dalam ais, Wim Hof dari Belanda membuat promosi di sini semalam.

Hof yang berusia 51 tahun menunjukkan kemahirannya dengan mandi dalam ais dengan tujuan untuk membangkitkan kesedaran mengenai pemanasan global.


Dalam aksinya itu, dia berendam di dalam tangki kaca yang dipenuhi dengan ais.



.

Kayak jatuh dari air terjun


Legenda pendayung kayak, Rafa Ortiz hanya mengalami luka selepas kayaknya terjunam dari ketinggian 39.01 meter di Air Terjun Big Banana di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia memerlukan tiga jahitan pada lukanya tetapi dia merupakan orang pertama di dunia yang berjaya membuat aksi tersebut di air terjun itu.

Seorang jurugambar dari Denver, Amerika Syarikat, Lucas Gilman merakamkan aksi Ortiz itu, baru-baru ini.

Ortiz dikenali kerana kehebatannya dalam sukan ekstrem.

Dalam aksi itu, kayak Ortiz muncul di permukaan selepas ia berada di dalam air kerana impak jatuh dari tempat tinggi.

 

.

Tuntut Nafkah Anak


Produser dan dramatis 90-an, A. Aida memfailkan permohonan bagi menuntut tunggakan nafkah dua orang anak bernilai RM85,000 daripada bekas suaminya, Ameng yang merupakan vokalis kumpulan Spring.

A. Aida atau nama sebenarnya Zaida Awang, 40, mendakwa Ameng gagal menjelaskan nafkah anak selama 85 bulan, iaitu sejak mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 17 Disember 2003.
Pasangan tersebut berkahwin pada 1994 di Terengganu.

Semasa bercerai, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, bersetuju untuk membayar RM1,000 sebulan sebagai nafkah anak, Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu dijelaskan pada minggu pertama setiap bulan.

Produser drama Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tersebut pada 21 Disember lalu menerusi peguam-peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli.

Kes disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bertanyakan mengapa permohonan itu lewat difailkan, iaitu telah melebihi tempoh enam tahun.
“Plaintif (Aida) cuba untuk memberi peluang kepada defendan (Ameng). Bagaimanapun, nafkah tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata Nor Azmi.

Abdul Walid kemudiannya bertanyakan kerja defendan (yang tidak dinyatakan pada dokumen) dan Nor Azmi memaklumkan Ameng adalah seorang artis.

Selepas meneliti dokumen yang berkaitan, Abdul Walid membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Ameng mengenai kegagalannya membayar nafkah.
Prosiding kes tersebut akan berjalan di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan tarikhnya akan dimaklumkan pada masa akan datang.

Aida yang mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman hadir berseorangan di mahkamah.

“Saya dah banyak kali minta (nafkah anak) daripada Ameng, tapi dia suruh saya minta dengan lelaki lain,” katanya kepada media di luar mahkamah.

Pada 1 November lalu, Ameng dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.

Dia semasa membela diri atas tuduhan itu mendakwa pertuduhan tersebut adalah konspirasi antara Aida dan Suffian untuk memalukan dirinya.

Ameng telah berkahwin lain pada 2004 dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal yang kini bersusia tiga tahun.




.

Esok holiday dan apa program?

Selamat Petang...Salam...
Psstt....Korang, esok cuti,kan?
Lamanya cuti kali ni kan...
dari tahun 2010 (31-12.2010) sampai tahun 2011 (2-1-2011)
baru kerja balik...ngee...
Ada program tak sempena cuti ni?


Eheh...+ semua ada 3 hari cuti..
Tapi kalau nak lebih, kena tambah/ambik annual leave sendiri...
so, nak buat apa eh?
Blog still kena update walaupun cuti..
Sebab still ada org yang baca..(Betul tak?)
EHmmm...nak kemana eh?
Nak pergi shopping?
Eh poket tak sporting..
Nipis jer memanjang...

Er...berjemur di tepi pantai?
Hari tu dah pegi Pulau Mataking..(Tengok entry lepas..)
Best sangat kat situ..

Nak round KL?
Bosan...Ramai orang..
Pastu jalan sakit kaki...

Hah....ada satu tempat yang best...
Best sangat................MySpace




.

AFF Suzuki 2010 - Malaysia Juara


Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.
Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.
Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina

PM, TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara



Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.
Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.
“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.
Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.
“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Ferdinand ucap tahniah



KEJAYAAN skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat bukan hanya mendapat pujian peminat tempatan dan pemimpin tertinggi negara, malah pemain bek tengah Manchester United, Rio Ferdinand turut mengucap tahniah dan memuji pasukan negara.

“Saya pernah menentang skuad bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lalu, mereka sebuah pasukan yang bagus. Tahniah kepada Malaysia,” kata pemain itu di laman sosial twitter.com peribadinya.

Penyokong geram



Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia menonton dalam protes final kedua Piala Suzuki AFF di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor, Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong negara yang tidak ramai jumlahnya sudah menempah tiket di tempat duduk VIP, tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu II.

Mereka juga diletakkan di tengah-tengah penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

“Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami dianak tiri, disisih dan tidak diberikan keadilan sewajarnya. Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan anggota rombongan, kami mengambil keputusan menonton perlawanan itu dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia.

Mohd Nasir berkata rombongan itu membabitkan kira-kira 60 penyokong yang datang dari Malaysia dan protes mereka itu turut disertai penyokong negara yang berada di Jakarta.

“Kumpulan kami tidak ramai, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP,” katanya.


Apa lagi alasan Indonesia?


APA lagi alasan Indonesia? Sudah mahu mengaku kalah atau masih terus nak bersandiwara?

Tolonglah sedar semua penyokong Indonesia, jangan putar-belit- kan kelemahan diri.
Harus belajar untuk menerima hakikat bahawa dalam apa juga acara sukan, yang terbaik akan muncul pemenang.

Tidak perlu membuat 1,001 macam tuduhan, dan tidak perlu juga mengadakan tunjuk perasaan.
Tindakan seperti itu membuktikan betapa kurangnya semangat kesukanan dalam diri.
Negara akan jadi malu dengan sikap seperti itu.

Tolong jangan jadikan sukan sebagai medan untuk mencetuskan ketegangan.

Satu Indonesia seharusnya berasa malu dengan tindakan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di hadapan hotel penginapan skuad Malaysia di Jakarta kelmarin, yang berhimpun sambil membawa kain rentang dengan pelbagai tuli- san berbentuk sindiran.

Pernahkah penyokong Indonesia bertanya pada diri mereka sendiri - adakah mereka dilayan sebegitu rupa ketika skuad mereka beraksi di Kuala Lumpur, Ahad lalu?

Adakah pemain mereka dibawa menggunakan kereta perisai untuk datang ke stadium?
Kalau saya seorang warganegara Indonesia, saya akan berasa malu melihat sikap seperti itu.
Ia membuktikan betapa biadapnya sikap kita terhadap tetamu yang tidak bersalah.

Bila kalah, pelbagai alasan dilemparkan. Penyokong Malaysia dituduh mengguna laser yang mereka dakwa mengganggu penjaga gol, Markus Harison.
Nak menuduh biarlah berasas. Sedarlah bahawa dalam sukan, yang terbaik pasti menang dan sinaran laser bukan punca.

Untuk pengetahuan penyokong Indonesia - Malaysia memang hebat dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Walaupun tewas 1-2 pada final kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam tadi tetapi Malaysia tetap bergelar juara dengan agregat 4-2 hasil kemenangan 3-0 pada final pertama, Ahad lalu.

Kelebihan jaringan di tempat lawan juga memihak kepada Malaysia selepas Mohd. Safee Mohd. Sali berjaya menggegar gawang Indonesia pada separuh masa kedua untuk mendahului 1-0 sebelum lawan mereka bangkit menjaringkan dua gol.

Adakah penjaga gol Indonesia, Markus diganggu sinaran laser dengan jaringan Mohd. Safee itu?
Markus memang bijak berlakon. Lakonan yang telah memusnahkan harapan pasukan mereka.

Jika dia tidak berlakon pada final pertama di Bukit Jalil, Ahad lalu, saya yakin keadaan akan berbeza.
Gara-gara kerenah Markus itu, rentak permainan mereka tempang dan ia dipergunakan sepenuhnya oleh Malaysia untuk menghasilkan tiga gol.


Pada aksi kedua semalam, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat turut diganggu pancaran laser oleh penyokong Indonesia tetapi dia tetap berjaya menyelamat sepakan penalti yang diperoleh Indonesia pada separuh masa pertama.
Apa pun, kejohanan sudah berakhir dan Malaysia sudah sah bergelar juara, sekali gus mengakhiri penantian selama 14 tahun.

Tahniah kepada Indonesia kerana mencatat kemenangan pada final kedua ini tetapi sayang ia tidak cukup bagi membolehkan mereka bergelar juara.

Bila dah 'sayur', memang 'sayur' dan memang betul pun apa yang diperkatakan oleh kapten Malaysia, Safiq Rahim kelmarin sebelum berlangsungnya final di Geloran Bung Karno itu.
Peringatan kepada skuad kendalian K. Rajagobal ini - jangan mudah berasa selesa dan terus berusaha meningkatkan reputasi pasukan.


Tahniah Malaysia!


Aksi penyokong Indonesia


Seorang penyokong Indonesia duduk di atas palang besi pada bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini untuk menonton pusingan kedua perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia, lapor akhbar KOMPAS.com semalam.

Penyokong yang tidak diketahui identitinya itu beraksi seperti adi wira Spiderman apabila dia berjalan dari satu tiang ke tiang lain di atas bumbung stadium itu.

Sekilas pandang, dia dilihat membawa bendera Merah Putih Indonesia yang tertera nombor 4-0 yang bermaksud kemenangan skuad Indonesia.

Ketika perlawanan itu berlangsung semalam, Spiderman tersebut berkali-kali mengibarkan benderanya sebagai sokongan kepada pasukan bola sepak tanah airnya.

Aksi beraninya menarik perhatian orang ramai termasuk kumpulan kakitangan media kerana Spiderman itu duduk dekat ruang wartawan membuat liputan.


.

 

 

Lima sekeluarga diserang api misteri


Sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini dihantui dengan 'serangan' api misteri sejak empat hari lalu.

Lebih menyeramkan, gangguan tersebut bukan setakat kemunculan api tetapi keluarga terbabit turut menghadapi beberapa lagi gangguan aneh lain.

Antara kejadian aneh itu ialah duit hilang tetapi dipulangkan semula, tilam dipenuhi telur pecah dan hirisan bawang goreng bertaburan serta tong beras dituang sirap dan budu.

Penghuni rumah itu, Zainab Sulaiman, 73, memberitahu, beliau tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu tetapi api misteri tersebut hanya muncul sejak Isnin lalu dan telah membakar lebih seratus pasang baju miliknya serta menantu dan cucu beliau selain beberapa dua buah tilam dan langsir juga turut terbakar secara tiba-tiba.

"Kira-kira pukul 11 pagi tiga hari lalu, saya terbau hangit seperti ada benda terbakar dan sebaik memasuki bilik, saya terkejut apabila bilik tersebut berasap dan beberapa pakaian di dalam almari terbakar sebelum mengeluarkannya dan memadamkan api.

"Sejak dari itu api tersebut banyak kali muncul dan membakar pakaian termasuklah hari ini (semalam) sahaja, sudah lebih lima kali ia muncul dan kami terpaksa berjaga-jaga sehingga tidak tidur pada waktu malam kerana bimbang berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.



.

Tercampak di pintu kubur


TUMPAT: “Berhenti cik! tolonglah hantar abang saya ke hospital,” rintih seorang remaja, Rosman Sani Abdul Manaf, 21, meminta pertolongan sejurus abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) parah selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian dekat Chabang Tiga Geting, Pengkalan Kubor, di sini, kelmarin, Rosman yang tercampak di bahu jalan menggagahkan diri untuk melihat keadaan abangnya yang cedera parah selepas tercampak di hadapan pintu masuk tanah perkuburan di situ.

Kasihnya terhadap abang kandung, menyebabkan Rosman memangku Muhamad Izrul Hafizi Abdul Manaf, 23, untuk dibawa ke sebuah pondok sebelum melambai-lambaikan tangan meminta pertolongan dengan keadaan abangnya itu berlumuran darah.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat (HT) untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, namun disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang membonceng motosikal bersama adik bongsunya mahu pulang ke rumah selepas mengeluarkan duit dari sebuah bank kira-kira empat kilometer dari rumahnya.

Ketika itu, sebuah motosikal yang berada di hadapan kenderaan mangsa tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ mengakibatkan berlaku pelanggaran antara mereka sebelum pembonceng tercampak di jalan raya, manakala adik mangsa terjatuh di bahu jalan.

Ibu mangsa, Esah Sulaiman, 63, berkata kemalangan itu diketahuinya ketika mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur sebelum didatangi anaknya, Azmi, 42, kira-kira jam 2 petang menyebabkan dia terus bergegas ke hospital.

“Mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 12 tengah hari untuk mengeluarkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berjumlah RM150 yang mahu digunakan membeli ubatnya.

“Saya dimaklumkan adiknya, ketika berada di bank arwah mengamuk dan memaksa adiknya pulang ke rumah selepas mengeluarkan duit sedangkan ketika itu hujan lebat yang menghalang mereka pulang,” katanya ditemui di rumahnya dekat Simpang Tiga, Kampung Geting, semalam.

Katanya, adik arwah terpaksa menahan sebuah kereta meminta bantuan daripada pengguna jalan raya kerana abangnya berlumuran darah selepas tercampak daripada motosikal dinaikinya memandangkan ketika kejadian jalan itu lengang dan hujan lebat.

“Selepas kedua-dua tercampak, adiknya memangku arwah yang diletakkan di atas wakaf depan kubur sambil tangannya melambai menahan kenderaan yang lalu di situ sebelum sebuah kereta berhenti dan menghantar mereka ke HT,” katanya.

Esah berkata, arwah yang juga anak ke-11 daripada 13 beradik itu juga berperangai ganjil kerana tiga hari sebelum kejadian beria-ia memintanya membeli cat dan penyapu baru kerana mahu mencantikkan biliknya.

“Saya terkilan kerana permintaan arwah mahu mengecat bilik tidak kesampaian, namun saya sempat membelikannya penyapu baru dan dia begitu gembira sehingga tidur pun memeluk penyapu itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Khalid Munap mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu mangsa meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam di HUSM akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Neting, di sini, semalam.




.

Urat tak putus


Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) semalam memberi amaran kepada pusat sembelihan ayam di sini agar mematuhi peraturan yang ditetapkan jika tidak mahu sijil halal mereka ditarik balik.

Yang Dipertuanya, Datuk Putit Matzen berkata, setakat ini pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah menggantung sijil halal sebuah pusat sembelihan ayam kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Jangan pandang ringan soal halal ini dan kita di MAIS dan JAIS akan sentiasa memastikan setiap pusat sembelihan ayam mematuhi piawaian yang telah digariskan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau sebelum itu mengetuai pemeriksaan mengejut ke atas tiga pusat sembelihan ayam di sini dari 12 tengah malam hingga 3 pagi semalam.




.

Piala Suzuki AFF: PM isytihar Jumaat cuti umum


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan Jumaat ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2010. - BERNAMA
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!