Wednesday, December 22, 2010

Mayat 25 warga Thai dibawa pulang

WARIS mangsa kejadian nahas bas Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir untuk menuntut mayat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Mayat 25 warga Thailand yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lalu dibawa ke Pangkalan TUDM Subang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dihantar pulang ke Bangkok.
Menteri Penasihat di Kedutaan Thailand, Somphong Kang Thong, berkata persiapan untuk membawa kesemua mayat itu mendapat kerjasama pihak hospital, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan perjalanan yang lancar.

Perjalanan dari sini ke Subang dijangka mengambil masa dua jam tiga puluh minit sebelum mayat diterbangkan ke Thailand menggunakan buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand.
Somphong berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada waris dari Thailand yang tiba di Ipoh sejak dua hari lepas akan dibawa bersama.


Beliau berkata perbincangan sedang diadakan dengan pihak hospital bagi membolehkan lima daripada 10 pelancong Thai yang sedang dirawat di sini dibawa terus ke Hatyai, Thailand, menggunakan ambulans hospital itu.

Semalam, Setiausaha Pertama di Kedutaan Thailand, Suwit Mangkhala memberitahu Bernama pesawat akan berlepas ke Malaysia pada 8 pagi ini dari Terminal Tentera Udara Don Mueang dan dijangka tiba pada tengah hari.

Di hospital berkenaan, mayat disusun oleh pihak hospital, polis dan tentera di ruang legar Jabatan Forensik hospital itu.

Kedengaran suara tangisan waris-waris terbabit dan ada antara mereka dilihat berpelukan sesama sendiri. Dalam kejadian dua hari lalu, bas yang membawa pelancong warga Thailand terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan menuruni pusat pelancongan Cameron Highlands, mengorbankan 27 orang, termasuk dua rakyat Malaysia dan mencederakan 10 yang lain dalam kemalangan jalan raya paling buruk dalam sejarah negara.





.

BSN Cawangan Ampangan Terbakar, Tiga Pekerja Binaan Selamat


Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Ampangan yang sedang diubah suai, terbakar pagi Rabu mengakibatkan peralatan dan ruang pejabat di tingkat bawah dan tingkat satu bangunan tiga tingkat itu, musnah.

Dalam kejadian pada 6 pagi itu, tiga pekerja binaan yang terperangkap di tingkat satu diselamatkan oleh anggota bomba.

"Ketiga-tiga mereka yang berumur dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan," kata jurucakap bomba.
Seramai 20 anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa 15 minit.

Seorang pegawai bank itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata bank berkenaan sedang dalam proses pengubahsuaian.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran sedang disiasat.



.

Tikus yang boleh berkicau seperti burung


Saintis-saintis Jepun mengumumkan semalam mereka berjaya mencipta tikus yang boleh berkicau seperti burung dalam evolusi kejuruteraan genetik yang diharap dapat membantu merungkai asal usul bahasa manusia suatu hari nanti.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka menghasilkan haiwan tersebut menerusi kajian yang dinamakan 'Projek Evolusi Tikus' yang mana mereka menggunakan tikus modifikasi genetik yang cenderung bermutasi.
"Mutasi adalah pencetus evolusi. Kami telah membuat kacukan ke atas tikus modifikasi genetik selama beberapa generasi untuk melihat apa yang akan berlaku," kata ketua penyelidik berkenaan, Arikuni Uchimura.

"Kami memeriksa setiap anak tikus yang baru lahir dan pada suatu hari, kami mendapati seekor anak tikus tersebut boleh berkicau seperti burung," katanya.

Menurutnya, kelahiran tikus berkicau itu berlaku kerana hukum alam tetapi ciri-ciri berkenaan akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Makmal tempat penyelidikan itu dibuat dikendalikan oleh Profesor Takeshi Yagi dari Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun yang kini memiliki lebih 100 tikus berkicau untuk kajian lanjut.

Pasukan saintis itu berharap penemuan tersebut dapat memberi petunjuk berhubung bagaimana evolusi bahasa manusia berlaku.

Sebelum ini, saintis-saintis mendapati burung-burung yang berkicau menggunakan bunyi berbeza-beza dan menyusunnya seperti perkataan dalam bahasa manusia serta mempunyai tatabahasa tersendiri.




.

GIVEAWAY BY CIK PUAN NETTY


SALAM...Jom join GA...
Sila klik pada banner untuk lebih lanjut..
Simple jer GA ni, rugi kalau tak join..
Kita bagi sokongan buat penganjur ni...
Wah semoga GA yang dianjurkan berjaya..

Lulu, masa sekolah dulu, suka subjek agama..
ekeke...Takde lah sbb ustazah/ustad dia cantik'handsome ke apa..
Tapi lulu minat subjek ni sebab ianya berkaitan agama dan kehidupan kita...




...

Cemburu David Teo?


SENARIO perfileman tempatan terus mencatat perkembangan positif sepanjang tahun ini apabila menyaksikan sebanyak 29 filem Melayu ditayangkan.
Berbanding tahun lalu, hanya 27 filem menemui penonton di pawagam manakala 28 filem pada tahun sebelumnya. Perubahan pada jumlah filem ini dianggap peningkatan semakin baik dalam memeriahkan industri hiburan tempatan.

Bagi penggiat seni, persepsi filem tempatan kurang sambutan pada aspek kutipan kerana kebanjiran filem luar negara seperti Hollywood sepatutnya tidak lagi dijadikan isu besar atau alasan jika sesebuah filem itu gagal. Malah, alasan penonton kurang minat menonton filem di pawagam atas faktor adanya stesen TV satelit, kecanggihan Internet mahupun cakera video digital (DVD) cetak rompak, hakikatnya masih ada kelompok penonton digelar 'kaki wayang' berminat menyokong filem bangsa sendiri.
Mengambil contoh 29 filem tempatan menemui penonton pada tahun ini, boleh dikatakan 70 peratus filem berjaya mencapai kutipan box-office atau balik modal. Kejayaan ini didorong pelbagai faktor seperti plot dan penyampaian menarik yang menjurus pada kualiti filem itu berjaya memikat ramai penonton.

Begitu juga, tanggapan produser berebut masa tayangan pada hari perayaan seperti Aidilfitri atau cuti sekolah bukan lagi jaminan. Mengambil contoh, filem komedi aksi Adnan Sempit terbitan MIG Productions Sdn Bhd ditayangkan mulai 10 Januari lalu, berjaya meraih kutipan besar RM7.66 juta. Kejayaan ini membuktikan percaturan Produser MIG, David Teo yang gemar mempertaruhkan genre komedi masih membuahkan hasil.

Sambutan positif ini juga merujuk pada filem komedinya lain ditayangkan pada tahun ini seperti Semerah Cinta Stilleto mencatat kutipan RM2.13 juta, Zoo (RM2.17 juta), Senario Asam Garam (RM2.47 juta), Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (RM4.23 juta) dan Ngangkung (RM7.24 juta).

Filem Ngangkung bersama dua filem baru iaitu Aku Masih Dara masih ditayangkan manakala Damping Malam menunggu masa tayangan pada 30 Disember ini.

Tahun ini, David membawa 12 filem termasuk kutipan filem seram, Mantra meraih RM2.74 juta, Niyang Rapik (RM3.72 juta) manakala Cuti-Cuti Cinta (RM3.17 juta) dan kisah aksi, V3: Samseng Jalanan (RM3.88 juta). Setakat ini, Adnan Sempit dan Ngangkung mencatat kutipan tertinggi pada tahun ini mengikut maklumat yang dinyatakan dalam laman sesawang rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di www.finas.gov.my.
Adnan Sempit arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri menampilkan Shaheizy Sam bersama Intan Ladyana sebagai pelakon utama turut diangkat pemenang Anugerah Filem Box-Office pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) manakala Norliana Samsudin menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Di kalangan segelintir produser filem, sudah tentu kegigihan David menerbitkan banyak filem setahun sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemburu. Namun, perasaan ini sepatutnya memberi galakan pada produser lain bersaing menghasilkan filem baru yang berkualiti.

Bagi filem lain, pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof berbangga dengan pencapaian filem ketiganya, Evolusi KL Drift 2 ditayangkan pada 25 Mac lalu. Filem bercorak aksi ini bukan saja mengutip RM5.67 juta sebaliknya meraih tiga anugerah pada FFM23 lalu.

Shaheizy yang membintangi filem itu menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala Penyunting Terbaik dan Pengarah Terbaik juga menjadi milik produksi Skop Productions Sdn Bhd.

Nyata, kemenangan bermakna Syamsul pada FFM23 yang mengiktiraf kerja pengarahan dipersoal segelintir penggiat seni lain yang tidak berpuas hati dengan keputusan pada malam itu.

Anak bujang pada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini sebaliknya tidak mudah mengalah dalam perjuangan menghasilkan karya baru. Membawa kelainan, dia tampil menerusi filem baru genre seram, Khurafat, bergandingan bersama Liyana Jasmay akan ditayangkan pada 13 Januari ini.

Sebagaimana kejutan kemenangan Syamsul pada FFM23, filem Magika arahan Edry Abdul Halim juga mencipta sejarah pada pencapaian filem tanah air. Siapa sangka, juri FFM23 mengiktiraf filem genre fantasi dan muzikal sebagai Filem Terbaik.

Magika terbitan KRU Studios Sdn Bhd meraih tujuh anugerah lain termasuk Pengarah Harapan Terbaik dimenangi Edry, Skor Muzik Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Fimie Don), Pereka Kostum/ Busana Terbaik (Hasnan Yaacob) dan Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/ Johan Lucas). Meskipun pelbagai pandangan positif dan negatif dilemparkan penggiat seni, acara tahunan seperti FFM23 masih menjadi penanda aras (benchmarking) pada pencapaian filem tempatan. Mungkin ada benarnya, segelintir karyawan menyatakan filem yang mendapat sambutan hebat penonton tidak semestinya menang Filem Terbaik.

Namun, anugerah bukanlah matlamat semata-mata untuk produser menghasilkan filem baru. Anugerah menjadi perangsang agar terus berkarya lebih baik.

Menyingkap sepanjang tahun ini, masih ada filem yang mencatat kutipan rendah seperti 2 Hati 1 Jiwa hanya meraih RM400,000, Hooperz (RM290,000), Belukar (RM300,000), Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami (RM560,000), Kapoww!! (RM270,000), Estet (RM350,000), Crayon (RM53,000), 2 Alam (RM440,000) dan Aku Tak Bodoh (RM670,000) masih ditayangkan.

Di peringkat antarabangsa, kejayaan dikongsi apabila filem Mualaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad menang anugerah Pengarah Terbaik pada di Festival Filem Asia Pasifik ke-54 (FFAP54) yang berlangsung di Taipei, Taiwan pada 4 Disember lalu. Filem yang dibintangi Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Brian Yap sebagai pelakon utama, sekadar menang Anugerah Khas Juri pada FFM23 lalu. Malah mengejutkan kerana tidak disenaraikan dalam Top 5 untuk kategori utama.

Menutup tirai 2010, empat filem baru menemui penonton iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Aku Masih Dara ditayangkan sejak 9 Disember lalu, manakala Janin pada 23 Disember dan Damping Malam (30 Disember).
Ada yang menjangkakan, catatan tertinggi yang dipegang Adnan Sempit dirampas Ngangkung yang dikatakan mampu mencecah RM8 juta. Mungkin juga, filem genre komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang kini mendapat pujian ramai penonton dijangka mencipta kejutan, sekali gus memberi saingan kepada filem komedi MIG. Filem terbitan Tayangan Unggul ini mencatat kutipan lebih RM4 juta.



TAYANGAN FILEM 2010

1. Adnan Sempit (14 Januari) - RM7.8 juta
2. 2 Hati 1 Jiwa (28 Januari) - RM400,000
3. Lu Fikirlah Sendiri De Movie (11 Februari) -
4. Niyang Rapik (25 Februari) - RM3.72 juta
5. V3: Samseng Jalanan (11 Mac) - RM4 juta
6. Evolusi KL Drift 2 (25 Mac) - RM5.67 juta
7. Semerah Cinta Stilleto (8 April) - RM2.13 juta
8. Hooperz (22 April) - RM290,000
9. Belukar (6 Mei) - RM300,000
10. Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami (20 Mei) - RM560,000
11. Kecoh Betul (3 Jun) -
12. Lagenda Budak Setan (3 Jun) -
13. Kapoww (17 Jun) - RM270,000
14. Zoo (1 Julai) - RM2.17 juta
15. Mantra (15 Julai) - RM2.74 juta
16. 4 Madu (9 September) - RM2 juta
17. Senario Asam Garam (9 September) - RM2.6 juta
18. Magika (23 September) -
19. Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (7 Oktober) - RM4.23 juta
20. Cuti-cuti Cinta (21 Oktober) - RM3.17 juta
21. Estet (4 November) - RM350,000
22. Krayon (11 November) - RM53,000
23. 2 Alam (18 November) - RM440,000
24. Ngangkung (25 November) - masih ditayang
25. Aku tak Bodoh (2 Disember) - masih ditayang
26. Hantu Kak Limah Balik Rumah (9 Disember) - masih ditayang
27. Aku Masih Dara (16 Disember) - masih ditayang
28. Janin (23 Disember) -
29. Damping Malam (30 Disember) -




.

Pengantin bunuh isteri, pengapit

Lelaki umum ‘kejutan’ di majlis perkahwinan


RIO DE JANEIRO: Seorang pengantin lelaki menembak mati isteri yang baru dikahwini dan pengapit lelaki sebelum menembak dirinya selepas mengumumkan kepada tetamu bahawa beliau mempunyai satu ‘kejutan’ buat mereka.

Saksi melaporkan, Rogerio Damascena, 29, seorang pengurus jualan di Camaragibe, di luar bandar raya Recife di Brazil, tidak menunjukkan sebarang tanda tertentu awalnya hingga boleh menyebabkan keadaan akan bertukar buruk pada majlis jamuan perkahwinannya, kata penyiasat polis, Joao Brito.

Brito juga tidak membuat spekulasi terhadap kemungkinan motif kejadian, hanya mengatakan ahli keluarga terkejut dan beliau masih belum dapat menemubual mereka untuk mendapat butiran terperinci kejadian.

Brito juga berkata, pembunuhan itu dipercayai sudah dirancang kerana pengantin lelaki membuat pengumuman berkenaan dan dia juga menyembunyikan senjata api dalam trak pikap bapanya.

Pengantin wanita, Renata Alexandre Costa Coelho, 25, dan pengapit lelaki, Marcelo Guimaraes terbunuh dalam kejadian terbabit. Seorang abang kepada pengantin wanita juga dirawat di sebuah hospital tetapi dibenarkan keluar.


Laman web Globo memetik seorang adik kepada pengantin yang meninggalkan tempat kejadian sebelum tembakan berkata beliau percayakan ia adalah satu jenayah cinta.
“Kakak saya adalah seorang yang baik yang mahu dan ingin dicintai,” kata Lucia Helena Coelho yang dipetik berkata.

“Suaminya gembira, beliau juga gembira, majlis berkenaan amat indah. Keluarga lelaki sukakan beliau dan tidak memahami semua ini,” katanya Coelho kepada Globo.




.

Gambar Abby kena curi!


HUBUNGAN pelakon popular Arbaiyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 33, dengan Zulkifli Ariffin, atau Zul, 24, bukan lagi rahsia.
Malah, mereka kini lebih bersikap terbuka mengenainya dan sering muncul di khalayak bersama. Bagaimanapun, apa yang kurang menyenangkan mengenai hubungan pasangan ini ialah apabila kebelakangan ini beberapa keping gambar peribadi mereka mula tersebar dan dijadikan bahan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan mahu menimbulkan kontroversi.

Lebih mengelirukan apabila gambar peribadi itu dikatakan diperoleh daripada peminat atau orang perseorangan yang rapat dengan pasangan ini. Sedangkan, ia sebenarnya dicuri dari laman sesawang dan Facebook yang diwujudkan Abby sendiri untuk tatapan peminat setia.

Mengelakkan perkara itu berterusan, Abby yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas sewaktu dihubungi berkata, sekarang dia lebih berhati-hati dengan menandakan setiap gambar yang dimuatkan untuk tatapan peminat menerusi lawan sesawang yang dibangunkan dengan pengenalan 'it's mine Abby Abadi' (milik Abby Abadi).


"Sedangkan gambar yang saya letakkan adalah gambar saya berdua dalam keadaan biasa seperti juga apabila saya bergambar dengan rakan artis lain. "Namun apabila diletakkan penerangan gambar yang bukan-bukan, ia boleh mengundang cakap belakang dan boleh memalukan kami berdua," katanya.

Terbaru, gambar Abby meraikan ulang tahun kelahiran Zul di rumahnya turut dicuri sedangkan jelas pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Drama Wanita Popular di Anugerah Bintang Berita Harian (ABPBH) empat tahun berturut-turut bermula 2000, ia sudah lama dimuatkan sejak Oktober lalu.


"Bagi mengekang masalah ini agar tidak berpanjangan, rakan meminta saya menandakan setiap gambar yang mahu dimuatkan di laman web khas untuk peminat. Diharapkan apabila ada yang mengambilnya dan memberi penerangan bukan-bukan, peminat yang membaca tahu ia dimuatkan kembali di blog mereka dengan niat tidak baik," katanya.

Ibu tiga anak ini mengakui perkembangan itu mengecewakannya kerana niat asal memuat turun gambar diambil ke laman khas untuk peminat adalah baik bagi berkongsi perkembangan dirinya secara peribadi mahupun membabitkan kerjaya. "Untuk pengetahuan semua, setiap gambar yang dimuatkan di dalam laman web khas itu turut mendapat kebenaran Zul. Ini kerana Zul tidak mempunyai laman web sendiri," katanya.

Abby turut menafikan dia sengaja meletakkan gambarnya bersama Zul dengan niat untuk menghangatkan lagi keadaan atau membiarkan hubungannya dengan Zul diperkatakan. Niatnya, hanya satu iaitu hendak berkongsi mengenai perkembangan peribadi dan kerjaya dengan peminat di laman sesawang khas untuk peminat.


Mengenai hubungannya dengan Zul, akui Abby, mereka kini semakin akrab, tetapi menafikan akan mengakhiri hubungan terbabit dengan ikatan perkahwinan.

"Kami berkawan rapat dan perkara itu peminat sendiri tahu. Saya mahupun Zul tidak pernah merahsiakannya namun kami tidak pernah memikirkannya lebih jauh seperti bernikah dan berumah tangga. "Setakat cakap gurau-gurau itu adalah, tetapi tidaklah serius sehingga memikirkan akan berkahwin dalam waktu terdekat. "Pertemuan dan jodoh saya serahkan kepada Tuhan, biarlah Dia yang menentukan. Tambahan pula kami sekarang sama-sama sibuk dan kerjaya seni Zul sedang meningkat naik. Biarlah dia menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya dulu. "Saya sendiri pun begitu. Sekarang ini terlalu sibuk di lokasi dan tidak banyak masa hendak memikirkan soal teman hidup atau mengakhiri zaman solo," katanya.

Pelakon utama drama bersiri Manjalara dan Habil Qabil itu bagaimanapun tidak menafikan sejak kemunculan Zul dalam hidupnya, dia menjadi lebih bersemangat. Zul yang turut membintangi drama bersiri Gerak Khas itu banyak memberikannya perangsang untuk terus berjaya dalam bidang lakonan.




.

Terima Yusry........


SEJAK kebelakangan ini nama Maya Karin dan Yusry Abd. Halim digosipkan sedang bercinta gara-gara mereka berdua dilihat secara terbuka menonton wayang di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya baru-baru ini.

Menguatkan lagi dakwaan itu, mereka berdua juga tanpa segan datang berdua ke majlis tayangan perdana filem Khurafat di GSC, Mid Valley pada malam Isnin lalu, meskipun sedar pada majlis tersebut ramai pihak media yang hadir.

Maya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta terbaru produk minuman kesihatan InnerShine Prune Plus di Hotel Carcosa Seri Negara beberapa jam sebelum majlis tayangan perdana itu berlangsung mengakui yang dia pernah menonton wayang sebanyak dua kali bersama Yusry.


“Kalau tidak silap saya ada menonton wayang dengan Yusry dua bulan lepas dan terbaru dalam dua minggu lepas, kami menonton filem (terbaru) Narnia di Alamanda. Kami menonton di sana sebab dekat dengan pejabat Yusry, daripada dia datang ke Kuala Lumpur baik saya yang pergi sana, lagi pun saya senang masa itu,” ujar Maya tanpa berselindung.

Justeru, filem Khurafat menjadi filem ketiga Maya menonton bersama Yusry!
Status Maya sebagai janda dan Yusry sebagai duda pastinya menimbulkan gosip apabila keluar berdua, tetapi tegas Maya mereka juga manusia biasa dan harus menjalani kehidupan seperti orang lain.


“Saya bukannya jenis orang yang minta pengurus belikan tiket wayang dan masuk wayang ikut pintu belakang. Susahlah hidup kalau begitu.

“Orang nampak kami sebab kami beli tiket wayang sendiri, bagi saya buat apa kami nak keluar sembunyi-sembunyi, kami juga manusia biasa dan ingin menonton wayang macam orang lain juga,” ujar Maya.

Disoal mungkinkah wujud hubungan istimewa antaranya dan Yusry, dalam tawa yang panjang, Maya menjelaskan bahawa hubungan dirinya dan Yusry tidak lebih daripada seorang teman.

“Kami kenal sudah lama, seingat saya pertama kali kami bertemu apabila digandingkan sebagai penghias muka depan majalah Media Hiburan sekitar tahun 2001. Tetapi kami jarang berjumpa sebab kesibukan dan selepas itu masing-masing sudah berkahwin.

“Sekarang kami berdua sudah tidak terikat dengan sesiapa, jadi saya tidak lihat keluar menonton wayang berdua adalah satu kesalahan.

“Persahabatan kami ikhlas tidak lebih daripada itu dan kami saling menyokong kerjaya antara satu sama lain,” luahnya yang tidak mahu hubungan persahabatannya itu disalah ertikan.


Remy Ishak dan Bront Palarae

Bagaimanapun, Maya tidak menolak andai Yusry merupakan jodohnya pada masa depan kerana dia mengakui, Yusry mempunyai ciri-ciri lelaki yang sesuai untuk dijadikan calon suami.

“Ya, Yusry ada ciri-ciri lelaki dan suami yang saya idamkan dan saya tidak menolak andai dia jodoh saya. Tetapi saya baru sahaja bercerai, rasanya kalau mahu berkahwin lagi, perkara itu tidak akan berlaku dalam tempoh setahun akan datang.
“Selepas kegagalan rumah tangga, saya lebih berhati-hati. Kalau bertemu dengan seorang lelaki, saya tidak akan terus berkahwin sebaliknya akan ambil masa yang panjang sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” jelas wanita berusia 31 tahun itu lagi.

Apabila ditanya apakah yang menyebabkan Maya bersahabat dengan Yusry, jawabnya: “Saya suka dia dan rasa selesa, tidak mungkin saya akan berkawan dengan orang yang saya tidak suka.

“Dia juga seorang yang serius dan kami sering bercerita mengenai filem, mungkin itu yang menyebabkan saya senang berkawan dengannya.”

Selain Yusry, menurut Maya lagi, dia juga mempunyai ramai sahabat lelaki yang cukup rapat dengannya antaranya aktor Remy Ishak dan Bront Palarae.

Justeru, untuk membuat kesimpulan bahawa Yusry merupakan lelaki yang paling dekat dengan dirinya buat masa ini adalah tidak tepat.

“Saya ramai kawan lelaki dan akan keluar dengan mereka jika saya ada masa. Begitu juga dengan Yusry, kami tidak ada satu ketetapan bila mahu berjumpa sebaliknya mengikut jadual kami, kalau ada masa terluang kami akan berjumpa,” tutur pelakon teater Natrah itu lagi.

Bercakap tentang perkembangan kerjayanya, Maya akui perasaannya bercampur baur antara seronok dan sedih apabila meninggalkan tanggungjawab sebagai pengacara Nona yang diterajuinya selama setahun.


“Tahun 2010 memang tahun yang agak berat untuk saya, selain terlibat dalam teater, saya juga terlibat dengan dua filem. Jadi, ada masanya saya terasa terlalu penat untuk menjalani penggambaran Nona.

“Setelah setahun bersama Nona, saya rasa sekarang saya sudah serasi dengan produksi itu. Tetapi tidak adil untuk mereka jika saya datang ke penggambaran dalam keadaan penat.
“Apabila pihak Nona mengatakan tempat saya akan diganti, saya tidak rasa terlalu berat hati kerana keputusan itu yang terbaik,” ujarnya.




.

Anggota TUDM parah terlibat kemalangan tiga kenderaan


Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) parah setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Anak Ikan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian ketika hujan lebat kira-kira pukul 5.45 pagi itu, Firdaus Kusairi, 31, dikatakan memandu berseorangan dari arah Kuala Terengganu menuju Kota Bharu.

Setiba di tempat kejadian, mangsa yang berasal dari Ijok, Selangor dikatakan gagal mengawal kereta Proton Wira Aeroback yang dipandunya sebelum terbabas lalu memasuki lorong bertentangan.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, kenderaan mangsa kemudian merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas yang dalam perjalanan dari arah Jerteh menuju Kuala Terengganu.
Berikutan pertembungan itu, treler terbabit terbabas dan terbalik di kiri jalan dengan tong gas kosong bertaburan di tengah jalan manakala Firdaus tersepit di dalam keretanya.

"Tidak lama kemudian, datang sebuah lori tangki minyak dari Jerteh yang kemudian merempuh tong- tong gas yang berselerak di atas jalan raya," katanya.


Bagaimanapun pemandu lori tangki itu tidak mengalami kecederaan manakala pemandu treler, Amir Abdullah, 33, hanya cedera ringan dan dia dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut.

Berikutan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di sini bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan Firdaus yang tersepit di dalam keretanya yang remuk sebelum dibawa ke Hospital Besut.

Mangsa yang mengalami patah tangan dan kecederaan di kepala kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan beliau menambah, punca sebenar nahas masih dalam siasatan.




.

Lagi berita mengenai kemalangan bas persiaran 21.12.2010

Permit 19 bawa 35


Syarikat bas nahas korban 27 nyawa langgar syarat

Bas persiaran dua tingkat yang terbabit dalam nahas mengorbankan 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Ipoh, kelmarin, dipercayai membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Mangsa dakwa bas dipandu laju

Achala

"Bas dipandu laju". Itulah satu-satunya gambaran yang dapat difahami menerusi bahasa isyarat oleh seorang penumpang yang terselamat dalam tragedi bas persiaran mengorbankan 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands semalam.
Chirarot Bunthichinwiwatn, 43, ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini cuba menceritakan detik-detik cemas itu namun tidak dapat difahami kerana dia hanya boleh bertutur dalam bahasa Thai.
Chirarot mengalami kecederaan pada badan dan kedua-dua tapak kakinya akibat kejadian tersebut.
Bapa kepada Areena Songserm, 19, iaitu Nasir Ismail, 51, berkata, dia mengetahui bahawa anaknya terselamat dan dirawat di HRPB selepas mendapat panggilan telefon pada pukul 3 petang semalam.
Nasir yang merupakan seorang pengusaha restoran berkata, ketika kejadian, anaknya yang juga penuntut tahun ketiga jurusan Undang-Undang Walailak University di Sala, Thailand sedang bercuti.
Menceritakan tentang pengalaman anaknya dalam nahas tersebut, dia berkata, anaknya memberitahu, dia ternampak asap di bahagian tepi bas ketika menuruni bukit.
"Anak saya kemudian menceritakan, dia sedar bas itu melanggar pembahagi jalan sebelum melambung dan masuk ke longkang.
"Anak saya terpaksa merangkak keluar daripada bas yang musnah dengan luka di kaki dan kepala," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Thanvarat Poolsaeng, 36, tidak mampu bertutur lama dan sebutannya juga tidak jelas kerana kepalanya masih terasa sakit.
Namun, dia sempat bercerita kepada Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong yang mewakili minoriti Siam di negara ini bahawa dia kehilangan suami, Poonporn Poolsaeng, 41, dan anak perempuannya, Natkritta Poolsaeng, 6, dalam tragedi itu.
Somchai Polanan, 62, pula tidak mampu bertutur kerana kepalanya masih berbalut dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Seorang lagi penumpang, Rungnapa Klungsuwan juga sukar ditemu bual kerana hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Thai.
Rungnapa yang mengalami kecederaan pada bahagian mukanya dilihat termenung dan masih trauma dengan kejadian menyayat hati itu.
Achara Wiwat, 36, pula dilihat terbaring sahaja dengan kecederaan pada kedua-dua belah matanya.


Arwah Omar luah rasa tak sedap hati 


Pemandu maut nahas pernah terbabas ketika guna jalan Cameron Highlands

IPOH: “Saya memang rapat dengan abah. Abah selalu bawa saya jalan-jalan menaiki bas dan Jumaat lalu abah sempat bawa kami ke Hatyai, Thailand dan beli peralatan sekolah untuk saya,” kata Muhammad Nizam, anak bongsu kepada Omar Shahidan, 48, pemandu bas rakyat tempatan yang maut bersama 26 lain dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang di sini, kelmarin.

Muhammad Nizam, 14, berkata dia tidak menyangka perjalanan bersama ayahnya itu adalah kali terakhir mereka dapat bersama sekeluarga kerana sebelum ini ayahnya sering sibuk bekerja.

“Saya reda dengan pemergian ayah walaupun terasa amat sedih,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam kelmarin.

Omar meninggalkan seorang balu, Puspalela Ramli, 40, dan tiga anak iaitu Siti Nazirah, 20, Hajaratul Syahmimi, 18 dan Muhammad Nizam.

Saudara terdekatnya, Aswadi Baharuddin, 31, yang juga pengusaha dan pemandu bas, berkata sebelum kejadian arwah pernah memberitahunya bahawa percutiannya bersama keluarga ke Hatyai, Thailand mungkin percutian kali terakhir buatnya, namun dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

"Beberapa minggu lalu, arwah pernah bersungut berhubung kebimbangannya melalui jalan menghala ke Cameron Highlands kerana arwah pernah terbabas di laluan itu dan turut meluahkan rasa tidak sedap hati sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak menyangka bahawa perasaan tidak sedap hati yang diluahkan oleh arwah akan berakhir dengan tragedi.

“Saya cukup mengenali arwah. Arwah bukan seorang yang suka memandu laju dan arwah amat cermat ketika memandu bas. Ada kemungkinan kemalangan ini berlaku mungkin berpunca daripada laluan berkenaan seperti didakwa arwah,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada arwah Omar, Sabariah Abdullah, 72, berkata sudah dua bulan arwah tidak menghubunginya kerana anaknya itu terlalu sibuk dengan kerjanya sebagai pemandu bas, terutama ketika musim cuti sekolah sekarang.

Difahamkan arwah adalah anak keempat daripada lima beradik dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Air Manis, Kangar, Perlis.


Thailand sedia pesawat khas

Kedutaan Thailand berusaha mendapatkan pesawat khas untuk membawa pulang semua 25 jenazah warga negara itu ke Bangkok secepat mungkin.

Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana, berkata pihaknya bercadang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini untuk penerbangan terus ke Bangkok.

"Kami akan membawa pulang (jenazah) secepat yang mungkin," katanya ketika melawat mangsa yang cedera dan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, semalam.

Seramai 10 mangsa masih dirawat di beberapa wad termasuk Duranee Songserm, 59, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan Kedutaan Thailand membawa waris mangsa dari Bangkok menerusi penerbangan komersial pagi ini untuk pengecaman di Ipoh.

Jenazah pemandu bas, Omar Shahidan dan pemandu pelancong, Soonkorn a/l Kian sudah dituntut keluarga masing-masing malam kelmarin.

Sebanyak 11 mayat ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, enam di Hospital Batu Gajah dan masing-masing empat mayat di Hospital Sungai Siput dan Hospital Hulu Kinta.


'Tumpahan minyak bukan punca'

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyampaikan ucapan takziah kepada Sabariah Abdullah, ibu Allahyarham Omar Shahidan di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.

Polis menolak dakwaan bahawa tumpahan minyak hitam menjadi punca nahas ngeri bas persiaran yang meragut 27 nyawa di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sebaliknya berkata, beliau percaya nahas tersebut berpunca daripada sama ada kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal.
Namun, katanya, terpulang kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom Sdn. Bhd. untuk menentukan hasil siasatan mereka.
"Polis dan bomba sampai awal lebih kurang 10 minit selepas menerima panggilan telefon daripada orang ramai.
"Tempat tersebut adalah kering dan minyak itu hanya muncul selepas kita mengangkat bas tersebut. Tiada sebarang tumpahan minyak yang berlaku semalam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias.
Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan membabitkan bas ekspres negara itu mengakibatkan 27 maut dan 10 lagi cedera parah berlaku di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
Kemalangan yang meragut nyawa 15 wanita dan 12 lelaki yang rata-ratanya pelancong warga Thailand itu turut mengorbankan dua rakyat tempatan.
Menurut Zakaria, pengecaman mayat akan dibuat oleh waris-waris mangsa dari Thailand yang dijangka tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tengah hari esok.
"Apa yang saya tahu, pihak Tentera Udara Thailand dengan kerjasama Pejabat Kedutaan negara itu akan terbang ke Subang dan dijangka tiba di Ipoh melalui jalan darat.
"Pengurusan mangsa-mangsa ini sama ada melalui jalan darat mahupun udara masih belum ditentukan lagi," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pemandu bas terbabit memiliki rekod saman, beliau berkata, perkara itu masih belum dipastikan.
Selain itu, katanya, sehingga sekarang, pihak polis masih belum berjumpa dengan pihak pengurusan agensi pelancongan yang terbabit.
"Kita sudah mengarahkan mereka tampil untuk berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Ipoh bagi memastikan sama ada pihak San Express Holiday atau SK Murni Travel and Tours yang terlibat," katanya.




.

Serbuk koko tiruan dicampur dalam Milo


GEORGE TOWN - Terdapat peniaga minuman di negeri ini yang memperdaya pelanggan mereka dengan mengisi semula serbuk koko tiruan ke dalam tin Milo asal bagi mengaut keuntungan mudah.
Penggunaan serbuk koko tiruan itu dipercayai dapat menjimatkan kos pembelian sebanyak 30 peratus berbanding harga Milo asal.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, M. Guna Selan berkata, perkara itu dimaklumkan orang awam selepas menyedari ada peniaga menggunakan serbuk koko tiruan bagi pesanan minuman Milo.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di beberapa kedai minuman di sekitar Bukit Minyak, Taman Ciku di Bukit Mertajam serta di Seberang Jaya mendapati, serbuk koko yang dijual di dalam bungkusan plastik tanpa jenama itu diisi ke dalam tin Milo seberat dua kilogram (kg).




.

Filem Ngangkung Pecah Rekod, Kutip RM8 juta


Syarikat produksi Metrowealth (MiG) sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian kutipan pecah panggung filem Malaysia apabila Ngangkung berjaya mengutip sebanyak RM8 juta selepas empat minggu ditayangkan.

Kutipan tersebut sekali gus menjadikan Ngangkung sebagai filem Melayu yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi setakat ini.
Filem komedi seram yang mula ditayangkan pada 25 November lalu itu turut mengatasi rekod filem Adnan Sempit yang mengutip sebanyak RM7.8 juta.

Lebih membanggakan, jumlah ini berjaya dikutip dalam tempoh sebulan berbanding tempoh 6 minggu bagi filem Adnan Sempit. Jumlah tersebut termasuk kutipan daripada pawagam bebas.
Selepas empat minggu di pawagam, Ngangkung masih menerima sokongan berterusan daripada penonton. Sokongan ini amat dialu-alukan bagi mencapai sasaran 1 juta penonton yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Terdahulu, filem arahan Ismail Hasim atau Bob ini melakarkan sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan minggu pertama tertinggi dalam sejarah filem Melayu iaitu RM3.7 juta.

Dalam kerancakan filem Malaysia ditayangkan setiap minggu sempena musim cuti sekolah, Ngangkung dilihat konsisten menguasai pawagam bersaing pula dengan filem-filem besar dari Hollywood.
Filem terbitan MiG ke-42 ini dijayakan oleh Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Azad Jazmin, Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet dan ramai lagi.

Tahun 2011 akan menyaksikan lebih banyak filem terbitan MiG menjengah pawagam termasuk Kembar Siang (2 Feb 2011), Kongsi, 3 2 1 Cinta, Sekali Lagi, Senario Ops Pocot dan Keramat.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!