Tuesday, December 7, 2010

Setelah Brazil, Argentina Akui Palestin


Setelah Brazil, giliran Argentina yang mengakui kedaulatan Palestin berdasarkan perjanjian perbatasan pada 1967. Bagi Palestin, sikap Argentina kian memperkuat kedudukan mereka dari penindasan Israel.
Pengakuan kedaulatan itu disampaikan secara langsung oleh Presiden Argentina, Cristina Fernandez, kepada Presiden Mahmoud Abbas dari Palestin, isnin 6 Disember 2010. Fernandez melontarkan pernyataan itu selang tiga hari dari pengakuan Brazil.

Menteri Luar Negeri Argentina, Hector Timerman, seperti disiar pejabat berita Associated Press, mengatakan bahwa Argentina sangat prihatin mengenai perundingan damai 1991 di Madrid dan 1993 di Oslo yang belum tercapai. Kini, menurutnya, merupakan waktu yang tepat untuk mengakui Palestin sebagai negara.

“Waktunya telah tiba untuk mengakui Palestin sebagai negara yang bebas dan merdeka,” ujar Timerman.

Dia juga menekankan bahawa Argentina juga akan mempertahankan posisi teguhnya dalam hak Israel untuk diakui semua bangsa dan dapat hidup damai dan aman di wilayahnya.

“Keputusan Argentina untuk mengakui negara Palestin adalah berdasarkan keinginan para pemimpin negara itu serta menyokong proses rundingan yang akan menghentikan konflik,” ujar Timerman.

“Penting untuk diingat bahawa Argentina adalah satu dari ratusan negara yang mengakui Palestin. Hal ini mencerminkan peningkatan kesedaran dalam komuniti internasional mengenai status Palestin,” tuturnya.

Menyokong pengakuan ini, Menlu Palestina, Riad Malki, mengaku sangat gembira. Dia juga mengatakan bahawa Uruguay, Paraguay, Bolivia, dan Ecuador juga akan menyatakan pengakuannya beberapa hari lagi.

“Pengakuan ini simbolik. Namun, penting kerana semakin banyak negara yang mengakui Palestin, maka semakin banyak juga tekanan bagi negara yang meragukan proses perdamaian. Jika Israel tetap menolak mengakui negara Palestin ketika banyak yang mengakuinya, hal ini akan membuat perbezaan,” ujar Malki.

Israel mengatakan bahawa pengakuan negara Palestin adalah pelanggaran dari perjanjian interim yang ditandatangani oleh pemerintah Israel dan Palestin pada 1995.

Perjanjian tersebut menyatakan bahawa permasalahan status Tepi Barat dan Jalur Gaza harus dirunding dan diselesaikan melalui meja rundingan.




.

Wabak taun Haiti ragut 2,013 nyawa


Lebih 2,000 orang daripada 90,000 kes pengidap wabak taun yang melanda Haiti telah mati, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan kementerian kesihatan negara itu semalam.


Perangkaan kematian akibat taun terus meningkat setelah lebih enam minggu kes pertama dikesan pada Oktober lalu dan wabak itu kini telah merebak hampir ke seluruh negara, namun tidak ada jumlah tepat mengenai mereka yang dijangkiti.


Perangkaan rasmi menunjukkan jumlah kematian akibat penyebaran bakteria melalui air minuman kini seramai 2,013 orang dan sebanyak 88,789 kes jangkitan taun telah direkodkan.




.

Semangat Drogba membara


LONDON - Penyerang Chelsea, Didier Drogba menegaskan, keinginannya untuk memenangi gelaran Liga Juara-Juara masih tinggi apabila kembali ke gelanggang bekas kelabnya, Marseille awal pagi Khamis ini.

Sebelum ini, Drogba pernah beraksi bersama kelab Perancis itu dan kepulangannya ke Stade Velodrome pasti menghadirkan sambutan hangat daripada penyokong tuan rumah.
Penyerang Ivory Coast itu hanya beraksi semusim bersama Marseille pada 2003/04 tetapi mampu meledak 18 gol dalam saingan Liga Perancis dan 11 gol pada saingan Eropah.

Biarpun Chelsea sudah mengesahkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan F, sekali gus layak ke pusingan kalah mati, Drogba tetap mahu membantu barisan bimbingan Carlo Ancelotti itu mengekalkan momentum kemenangan.

"Saya telah beritahu sebelum ini bahawa memenangi Liga Juara-Juara sesuatu yang penting tetapi pada masa sama saya sedar ada beberapa pemain bintang belum pernah merasai nikmat itu termasuk saya.

"Sudah tentu sebagai seorang pemain, saya akan lakukan apa saja untuk memenanginya. Inilah kejohanan sering saya ikuti semasa remaja dan saya rasa gembira apabila melihat pemain seperti Nicolas Anelka pernah menjulang trofinya.

"Agak lucu kerana saya hanya beraksi setahun bersama Marseille tetapi perasaan di antara penyokong, bandar ini dan saya sukar dipercayai. Mereka masih sayangkan saya.

"Jadi saya cukup teruja kerana ternyata mereka tahu betapa sayangnya saya kepada Marseille. Ini kali pertama saya kembali ke sana untuk beraksi. Ia sesuatu yang istimewa," kata Drogba.

Chelsea kini menjadi pasukan tunggal yang meraih 15 mata maksimum selepas lima aksi kumpulan biarpun tanpa bantuan pemain tengah, Frank Lampard yang terpaksa diketepikan tiga bulan akibat kecederaan hernia.
Lampard semakin hampir untuk kembali beraksi dan Drogba menyatakan bahawa ketiadaannya begitu dirasai bahagian tengah Chelsea terutama pada awal saingan musim ini.



.

Bilik persalinan Newcaslte 'panas'


LONDON - Sunderland dan West Bromwich Albion semakin menghampiri kedudukan keenam Liga Perdana England selepas masing-masing mencipta kemenangan kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Sunderland menewaskan West Ham United 1-0 manakala skuad The Baggies menumpaskan Newcastle United 3-1.

Jordan Henderson (gambar) meledakkan gol pertama tahun ini pada minit ke-34 untuk meletakkan Sunderland di tempat ketujuh, sekali gus memaksa West Ham di kedudukan tercorot liga.
Manakala West Bromwich melonjak di tangga kelapan selepas Somen Tchoyi menjaringkan satu gol dan Peter Odemwingie menyumbat dua gol, sekali gus merekodkan kemenangan pertama liga ke atas Newcastle dalam tempoh 26 tahun.

Kekalahan Newcastle di Stadium The Hawthorns itu telah mencetuskan kemarahan pengurus, Chris Hughton.
"Saya mahu meluahkan semua yang tersimpan di dalam dada saya selama ini termasuklah kemarahan saya terhadap prestasi yang dipamer- kan para pemain.

"Kami (Newcastle) masih belum cukup baik dalam beberapa posisi.
"Saya sangat tidak berpuas hati de- ngan prestasi yang dipamerkan para pemain dan disebabkan itu kami berada dalam bilik persalinan untuk tempoh 90 minit.

"Ia adalah perkara biasa selepas se- tiap perlawanan bagi mengetahui punca sebenar kami tewas seperti yang kami alami hari ini (kelmarin)," jelas Hughton.
Sementara itu, pengurus West Bromwich, Roberto Di Matte berkata: "Saya tidak peduli dengan kedudukan kami (West Bromwich) pada carta liga ketika ini.

"Saya hanya mula mengambil tahu mengenai perkara tersebut bermula pada 22 Mei depan.
"Ia merupakan suatu persembahan yang menakjubkan daripada pemain- pemain saya dari awal sehinggalah tamat perlawanan dengan Newcastle itu," katanya.




.

Remaja koma perlu bantuan


Ibu tak mampu beli susu, lampin sejak mangsa terlantar 3 bulan lalu

KUALA KEDAH: Mohd Nor Hafizi Abdul Aziz, 19, yang terbabit dalam kemalangan tiga bulan lalu, masih tidak sedarkan diri dan terlantar di katil di rumahnya di Kampung Telok Talipon, di sini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu sudah tiga bulan koma selepas otaknya gagal berfungsi akibat gegaran kuat pada kepalanya berikutan terbabit dalam kemalangan.
Dalam kejadian pada jam 11.50 malam, 31 Ogos lalu, motosikal ditunggangi Mohd Nor Hafizi dirempuh kereta di Taman Baru Kubang Rotan, menyebabkannya parah di muka selain patah hidung, tulang paha dan kaki.

Ibunya, Sabariah Saari, 49, berkata, selain itu, doktor mengesahkan anaknya kemungkinan besar buta, manakala hidungnya digantikan dengan hidung plastik selepas mukanya remuk akibat kemalangan terbabit.

Sabariah berkata, ketika ini anaknya makan dengan menggunakan tiub khas yang ditebuk pada perutnya.

“Jika Mohd Nor Hafizi lapar, beliau akan menggerakkan kaki dan tangannya. Saya akan memasukkan susu menerusi tiub khas berkenaan. Malah, sesekali Mohd Nor Hafizi juga meronta-ronta kesakitan menyebabkan saya terpaksa mengikat kaki dan tangannya pada tiang untuk tujuan keselamatan.
“Saya mengikat tangannya di tiang rumah apabila tangan Mohd Nor Hafizi akan merayap dengan sendiri seolah-olah beliau mahu menggaru matanya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sabariah yang juga ibu tunggal berkata, beliau memerlukan wang yang banyak untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya setiap bulan. Keadaan itu membuatkannya tertekan kerana beliau tidak bekerja.

Sehubungan itu, pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh ke rumah Sabariah di Nombor 6, Kampung Telok Talipon, Mukim Kubang Rotan atau menghubunginya di nombor 012-5986163.



.

Bakal pengantin parah sondol lori


MASJID TANAH: Seorang lelaki yang akan berkahwin Sabtu ini mungkin terpaksa menangguhkan majlis itu apabila cedera parah dalam kemalangan di satu simpang di Taman Seri Jeram, dekat sini, semalam.
Lebih mengharukan, kereta dinaiki Asmani Aziz, 20-an, dikatakan berlanggar dengan lori syarikat penyediaan makanan yang bakal digunakan untuk majlis perkahwinannya itu.

Sebelum kejadian, bakal raja sehari itu dikatakan berperangai pelik apabila tiba-tiba nekad mengambil kunci kereta Proton Persona milik seorang penduduk di atas meja gerai makanan sebelum terus memandunya dari arah Kampung Pulau ke pusat bandar dengan laju sebelum merempuh belakang lori berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, Asmani dikatakan mengambil kunci kereta berkenaan ketika pemiliknya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kampung itu, Rahim Yunus, 50-an sedang minum di warung berdekatan.

“Saya sedang minum sebelum dia tiba-tiba mengambil kunci kereta atas meja dan terus menghidupkan enjin lalu beredar tanpa berkata sepatah pun. Saya tergamam tetapi tidak sempat berbuat apa-apa.

“Dia tak pernah buat kerja begini sebelum ini tetapi tadi perangainya tiba-tiba bertukar pelik apabila merampas kunci kereta saya. Beberapa minit kemudian saya terdengar bunyi perlanggaran kuat dan terkejut apabila mendapat tahu kereta saya terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui.

Akibat nahas itu, Asmani dan kelindan lori berkenaan, Hamzah Che Mat, 54, cedera parah di beberapa anggota badan apabila Proton Persona terbabit merempuh lori berkenaan menyebabkan lori itu terhumban sejauh 20 meter.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori berkenaan, Fauzi Mohd Zain, 30-an, hanya cedera ringan.

Rahim berkata, dia tidak menyangka Asmani yang dikenalinya sanggup merampas kunci kereta sebelum terus memecut hingga terbabit kemalangan yang hampir meragut nyawanya yang bakal melangsungkan perkahwinan Sabtu ini.

“Saya tergamam apabila diberitahu kereta saya dipandu laju dan terbabit kemalangan apabila merempuh belakang sebuah lori yang berhenti untuk membelok di simpang kanan taman perumahan itu.

“Saya percaya dia tiada niat apa-apa kerana saya mengenalinya lantaran kami tinggal sekampung, cuma agak terkilan apabila dia merampas kunci kereta atas meja tanpa kebenaran. Apapun saya bersyukur dia terselamat biarpun mengalami kecederaan parah,” katanya.




.

4 kenderaan hangus dijilat api


BUKIT MERTAJAM – Tiga buah kereta dan sebuah motosikal hangus dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kayu dua tingkat di Kampung Alma di sini semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, tiga beradik yang tinggal di rumah berkenaan keluar bekerja sebagai tukang cat di dua buah kedai di sini.
Salah seorang mangsa, Heng Kok Peng, 32, berkata, dia sedih kerana rumah yang telah berusia hampir 30 tahun itu adalah peninggalan nenek mereka.
“Walaupun terkilan kerana kediaman kami musnah tetapi nasib baik tiada sesiapa di dalam rumah semasa kejadian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kok Peng berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh seorang jirannya.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!