Sunday, December 5, 2010

Didie Alias Tak Kisah Pendapat Orang


Pelakon Didie Alias mengakui tidak pernah mengambil peduli tanggapan orang ramai terhadap imej dan penampilan barunya yang lebih seksi dan berani.
Jelas Didie, apa juga yang cuba ditampilkan melalui fesyen tersebut adalah dari dalam dirinya sendiri dan bukan sekadar ikut-ikutan.


“Saya tidak kisah apa yang orang nak cakap, saya hanya jadi diri saya yang sebenar. Apa yang saya cuba sampaikan ialah sebagai selebriti kita perlu ketengahkan fesyen.
“Saya berfesyen begini juga seiring dengan konsep program televisyen yang sedang saya kendalikan berjudul Kalau Berani 1 vs 0. Apa juga cakap orang, itu adalah hak mereka dan kita tidak boleh untuk tutup mulut mereka,” ujarnya.


Tambah Didie, industri hiburan tanah air kini sedang mundur dari segi fesyen, ramai artis masih tidak berani untuk mengayakan pelbagai fesyen.
“Saya mahu jadi ikon fesyen, bagi saya tidak salah kalau kita ingin bergaya bagi memberi pembaharuan kepada industri hiburan tanah air.

“Jika mereka kata saya semakin seksi, bagi saya dari dulu memang saya begini. Pada saya apa yang saya pakai bukan seksi tetapi lebih berani dengan rekaan yang agak pelik,” ujarnya.
Selain itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui usia bukan penghalang baginya untuk bergaya, namun begitu dia masih mengetahui batasan sebagai seorang isteri dan ibu.


“Saya tahu ke mana saya ingin bergaya seperti ini. Tidak semua tempat dan majlis saya berpakaian seperti ini.
“Saya bersyukur anak-anak dan suami saya sangat memahami. Malah mereka juga ada memberi idea sedikit sebanyak tentang penampilan saya,” katanya.


P/S - Lagi gambar Didie [KLIK SINI]




.

Lima Sekeluarga maut Dalam Kemalangan Ngeri


PORT DICKSON: Lima sekeluarga terbunuh manakala enam yang lain termasuk anggota tentera cedera dalam satu kemalangan ngeri yang membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 19.6 Jalan Pantai-Pasir Panjang-Linggi dekat Kampung Bukit Tembok di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Mohd Said Lakan, 58, isterinya Rosnani Buyong, 50.

Kedua-duanya berasal dari Hulu Langat, Selangor.

Turut terbunuh anak perempuan mereka Nordiana Mohd Said, 30, suaminya Saipul Naaim Mat Dan, 36 dan anak mereka Mohammad Harith Firdaus Saipul Naaim, 4, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang teruk di kepala dan anggota badan dalam kejadian pukul 11.15 pagi, katanya.

Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat yang tersepit.

Mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson.Tiga lagi termasuk pemandu sebuah kenderaan yang lain turut cedera tetapi identiti mereka tidak diketahui.


ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mayat mangsa dalam kereta mereka yang remuk 

Katanya, kenderaan yang dinaiki oleh keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Melaka dan diekori oleh sebuah kenderaan lain yang dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka.
Lori tentera terbabit pula datang dari arah Kem Terendak, Melaka menuju ke markas tentera di Port Dickson dan diekori oleh dua buah kenderaan lain, katanya.

Salah sebuah kenderaan yang datang dari arah Port Dickson dipercayai memotong kereta keluarga malang itu tetapi tergesel bahagian belakang lori menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh oleh kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga itu," katanya.
Akibatnya, lori tentera seberat 3 tan itu terbalik ke sisi dan dan tiga anggota tentera mengalami kecederaan ringan, katanya.

Setakat ini, maklumat mengenai mereka juga tidak diketahui.

Dua buah kenderaan yang mengekori belakang lori itu gagal menghentikan kenderaan mereka lalu merempuh belakang lori terbabit, katanya.




.

Tasik ‘darah’ ditemui di Sumatera Selatan


Merah bak darah! Itulah warna permukaan sebuah tasik seluas enam hektar yang ditemui sekumpulan penduduk tempatan dan peminat paranormal di Pagar Alam di sini, lapor akhbar Kompas semalam.

"Kami bersama rombongan 21 orang melakukan ekspedisi di kawasan Rimbacandi dengan menyusuri tebing, hutan, dan bukit bukau selama dua hari untuk sampai ke lokasi tasik merah itu," kata Asmidi, seorang penduduk tempatan.

Tasik berkenaan terletak di kawasan hutan berbukit Raje Mandare di sempadan Kota Pagar Alam dan Daerah Kaur, wilayah Bengkulu yang terkenal dengan banyak peninggalan bersejarah, termasuk candi.

"Anehnya, walaupun permukaan tasik ini merah, airnya pula jernih ketika dicedok keluar dengan menggunakan tapak tangan," kata Asmidi.

Selain tasik merah, hutan Raje Mandare turut menampilkan keganjilan lain termasuk spesies haiwan raksasa seperti lipan sepanjang 50 sentimeter (sm) dan lebar 30 sm serta burung raksaksa selain kerbau-kerbau yang mempunyai sarang lebah pada telinganya.




.

FFAP Ke-54: Allahyarham Yasmin Ahmad Gondol Pengarah Terbaik


TAIPEI: Allahyarham Yasmin Ahmad melakar sejarah negara apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik melalui filem terakhir arahannya "Mualaf" di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 di sini Sabtu malam.
Ketua Delegasi Malaysia ke festival itu, merangkap Presiden PersatuanPenerbit Filem Malaysia Ahmad Puad Onah berkata anugerah itu merupakan julungkalinya dimenangi Malaysia sejak festival itu diperkenalkan.

"Ini merupakan detik bersejarah bagi Malaysia. Jika sebelum ini kita pernah memenangi anugerah pelakon terbaik tetapi kali ini kita berjaya membolot anugerah tertinggi pada pertandingan filem serantau itu," katanya kepada Bernama selepas festival itu yang berlansung di Dewan Peringatan Dr. Sun Yet-Sen, Sabtu.

Ahmad Puad yang mewakili Allahyarham menerima trofi berkenaan berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian Yasmin yang merupakan antara kenalan rapatnya kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia.
Muallaf yang dibintangi oleh pelakon muda berbakat besar, Sharifah Amani itu mengisahkan tentang bagaimana tiga orang individu mencari ketenangan jiwa menerusi agama.

Yasmin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 26 Julai tahun lalu kerana pendarahan otak pada usia 51 tahun.

Anugerah Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh Yasmin itu merupakan satu-satunya trofi yang menjadi milik Malaysia yang turut menghantar lima buah filem untuk diadili di festival berkenaan kali ini.
Selain Mualaf, empat lagi filem Malaysia yang dipertandingkan ialah Magika,Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur, dan Cinta Ais Kacang.

FFAP dianjurkan oleh Federation Of Motion Picture In Asia Pacific (FPA), dimana kali ini ia disertai oleh 13 buah negara dengan penyertaan 37 filem cereka, 14 filem pendek dan dua buah dokumentari.

Malaysia sebelum ini menerusi beberapa penganjuran FFAP pernah meraih anugerah utama melalui Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada FFAP keempat pada 1957 menerusi filem Anakku Sazali, Maya Karin pada FFAP ke-49 (2004) serta Datin Seri TiaraJacquelina pada FFAP ke-50 (2005).




.

Pembunuh upahan umur 14 tahun


BANDAR RAYA MEXICO - Baru berusia 14 tahun tetapi tangan seorang budak lelaki, Edgar Jimenez telah meragut tujuh nyawa, lapor sebuah akhbar semalam.

Jimenez alias 'El Ponchis' yang bermaksud 'pembunuh bertopeng' dipercayai merupakan pembunuh upahan kartel dadah Morelos yang bergiat aktif di sini dan lokasi sekitarnya.


Budak lelaki tersebut yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) ditangkap tentera Mexico kelmarin ketika dia cuba melarikan diri ke AS dengan menaiki pesawat di bandar Cuernavaca, kira-kira 85 kilometer ke selatan bandar raya ini.

Pihak tentera berkata, dia ditangkap bersama dua saudara perempuannya ketika dalam perjalanan untuk menuju ke rumah ibu mereka di San Diego, AS.

Kakaknya yang berusia 16 tahun dan turut ditahan merupakan kekasih ketua kartel dadah berkenaan, Hector Beltran Leyva yang masih diburu tentera Mexico.
Ketika dalam tahanan pihak berkuasa, Jimenez mengakui terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh pembunuhan atas arahan Leyva.


"Saya dipaksa melakukan pembunuhan-pembunuhan itu dan diberi dadah setiap kali sebelum melakukannya. Saya diancam dibunuh jika enggan menurut arahannya," kata Jimenez kepada pemberita di pejabat pendakwa raya di sini kelmarin.

Namun, pada bulan lalu, akhbar La Razon di Mexico melaporkan bahawa El Ponchis dibayar AS$3,000 (RM9,423) bagi setiap pembunuhan yang dilakukannya.




.

Tujuh orang terkaya baru Indonesia


Majalah Forbes mengumumkan tujuh muka baru dalam senarai 40 orang terkaya di Indonesia dalam terbitan terbaru majalah itu bulan ini

Mereka terdiri daripada Sri Prakash Lohia yang memiliki kekayaan berjumlah RM8.39 bilion (AS$2.65 bilion), Kiki Barki Makmur RM5.34 bilion (AS$1.7 bilion), Benny Subianto RM3.3 bilion (AS$1.05 bilion), Agus Lasmono Sudwikatmono RM2.65 bilion (AS$845 juta), Tahir RM2.53 bilion (AS$805 juta), Wiwoho Basuki Tjokronegoro RM1.81 bilion (AS$575 juta) serta Engki Wibowo dan Jenny Quantero masing-masing memiliki kekayaan berjumlah RM1.76 bilion (AS$560 juta).

Daripada ketujuh-tujuh nama itu, Agus Lasmono Sudwikatmono merupakan yang paling muda pada usia 39 tahun dengan kekayaan berjumlah RM2.65 bilion (7.6 trilion rupiah).
Agus merupakan Naib Presiden syarikat, PT Indika Energy, yang berkecimpung dalam industri perlombongan dan tenaga.

Menurut Ketua Penasihat Editorial Forbes Indonesia, Justin Doeble, jutawan Indonesia mengalami peningkatan kekayaan hampir dua kali ganda dari tahun sebelumnya.
Kebanyakan mereka terlibat dalam perniagaan arang batu dan perladangan, khususnya sawit.

Berikut ini adalah profil tujuh pendatang baru orang terkaya di Indonesia.
Sri Prakash Lohia, 58, pemilik Grup Indorama. Pengeluar polyester terkemuka di dunia. Produknya dieksport ke 90 negara di lima benua. Selain terlibat dalam industri tekstil, beliau juga terlibat dalam sektor jana kuasa elektrik.

Kiki Barki Makmur, 71, pemilik Kumpulan Tanito Coal. Salah satu perusahaan arang batunya, PT Harum Energy Tbk disenaraikan di Bursa Efek Indonesia pada Oktober lalu dan memperoleh keuntungan 1 trillion rupiah (RM350 juta). Kekayaannya naik mendadak dalam tempoh tiga tahun daripada 13.5 trillion rupiah (RM4.7 bilion) menjadi 15.3 trillion rupiah (RM5.3 bilion). Kiki turut memiliki saham di Australia melalui Cockatoo Coal.

Benny Subianto, 68, memulakan kerjaya dengan menyertai Astra Internasional milik William Soeryadjaya. Beliau kemudian memegang jawatan penting di syarikat milik Astra, antara lain United Tractors, Agro Industri, PT Sumalindo Lestari Jaya, dan Astra Basic Industri.
Kini Benny dan dua lagi rakan kongsi, Edward Soeryadjaya dan Boy Tohir sama-sama membina kejayaan melalui Adaro Energy.

Agus Lasmono Sudwikatmono, 39, pemilik Grup Indika. Terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuk multimedia (Indika FM, Indika Telemedia, Indika Production) serta memiliki saham di SCTV dan Planet Hollywood.

Turut menceburi sektor tenaga arang batu melalui syarikat PT Indika Energy Tbk, industri petrokimia melalui syarikat PT Petrokimia Nusantara Interindo.

Wiwoho Basuki Tjokronegoro, pemilik Grup Tripatra, menceburi industri cari gali minyak termasuk mengeluarkan pelantar serta pemasangan kelengkapan itu. Beliau turut menceburi bidang kajian laut, kewangan serta bekalan elektrik dan perlombongan. Beliau merupakan Presiden Pesuruhjaya syarikat Indika Energy.

Engki Wibowo, 59, dan Jenny Quantero, 58, pula merupakan pemilik syarikat PT Bayan Resources Tbk, yang terlibat dalam bidang perlombongan arang batu. Bayan merupakan salah satu daripada syarikat arang batu terbesar di Indonesia.




.

Rabecca dedah rahsia 10 Disember


Selebriti seksi, Rabecca Nur Islam sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi tetapi dia masih mahu berahsia mengenai identiti bakal suaminya itu.

Malah, pelakon berusia 24 tahun itu meminta para peminat supaya menunggu pengumuman mengenai perkahwinannya pada 10 Disember ini.

“Saya akan cerita semua pada hari itu, tidak mahu lagi berselindung,’’ katanya ketika dihubungi sebelum berlepas ke Singapura atas urusan kerja semalam.

Pelakon berdarah campuran Cina, Arab, Indonesia dan Melayu itu juga akan memujuk bakal suaminya untuk hadir pada majlis berkenaan.



P/S - Sudah tengok entry terdahulu mengenai Rebecca? [KLIK SINI]




.

Kerani dipecat selepas bantu tangkap perompak


JACKSONVILLE: Kerani di sebuah stesen minyak dipecat selepas membantu polis menangkap perompak bersenjatakan pisau yang cuba merompak wang tunai di stesen itu.


Dalam kejadian waktu subuh itu, Keith Ireland yang bekerja di stesen itu dengan gaji AS$7.50 (RM23.30) sejam, melawan lalu mengejar perompak itu sebelum berjaya mendapat nombor plet keretanya dan menghubungi polis.

Tertuduh : Jamie Butterman

“Polis memuji saya, malangnya pihak pengurusan pecat saya kerana keluar dari stesen tanpa izin dan membenarkan pelanggan masuk ke kaunter waktu subuh,” katanya.




.

Tiga penculik tumpas

TANGKAP... dua daripada tiga suspek ditahan reman dengan kes culik di Rawang.

Impian tiga penculik untuk bersenang lenang dengan wang tebusan bernilai RM30,000 tidak kesampaian apabila mereka ditumpaskan dalam serbuan Ops Scorpion, dekat sini, awal pagi semalam.
Rancangan mereka membebaskan mangsa culik iaitu seorang penuntut kolej swasta bagi mendapat wang tebusan terbabit memakan diri sendiri apabila tindak tanduk mereka dikesan polis.

Penuntut berusia 22 tahun itu diculik di depan rumahnya di Selayang Baru kira-kira jam 5.45 pagi pada 1 Disember lalu ketika menunggu rakan untuk ke kolej di Petaling Jaya. Dia dilarikan dua lelaki menaiki kereta.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, usaha menangkap penculik dibuat selepas keluarga penuntut perempuan itu menyerahkan wang tebusan di kawasan Bukit Bintang, jam 2.45 petang semalam.

“Keluarga menyedari kehilangannya apabila suspek menghubungi mereka beberapa jam selepas kejadian untuk meminta wang tebusan RM30,000,” katanya, semalam.

Beliau berkata, keluarga mangsa yang bimbangkan keselamatannya segera membuat laporan polis pada hari sama.

“Polis merancang dengan keluarga mangsa untuk menetapkan tempat dan waktu untuk menyerahkan wang,” katanya.

Selepas keluarga menyerah wang tebusan dan mangsa dibebaskan, pasukan pantau polis dalam operasi berkenaan mengekori tiga suspek dengan seorang lelaki menunggang motosikal manakala dua lagi suspek, termasuk seorang wanita, menaiki kereta Toyota Avanza.

Polis mengekori penculik terbabit hingga kira-kira jam 3.05 pagi sebelum suspek panik melihat polis.

Ini mengakibatkan kereta dipandu suspek terbalik pada jarak kira-kira 500 meter berdekatan Tesco Rawang.

Dua suspek ditahan manakala suspek yang menunggang motosikal ditahan berhampiran lampu isyarat di tempat kejadian.

Abdul Rahim mengesahkan suspek berumur lingkungan 20-an dengan seorang bekerja di kilang, pejabat peguam serta penganggur.

Mereka ditahan reman bermula semalam untuk membantu siasatan polis.

“Kami masih menyiasat motif penculikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1996, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup,” katanya.




.

Selamat Tinggal, Limewire!

Pada 31 Disember 2010, Limewire akan tutup.


Limewire, layanan file-sharing muzik akhirnya diputuskan bersalah setelah menjalani proses perbicaraan panjang berkait pelanggarannya terhadap hak cipta di industri muzik. Pada hari Jumaat waktu tempatan, Limewire menyatakan secara rasmi akan tutup selamanya.

Umum mengetahui, Limewire adalah program client peer-to-peer (P2P) untuk file sharing secara percuma yang meluas didunia dan berjalan di berbagai platform, termasuk Windows, Mac OS X, Linux, dan platform lain berdasarkan Java.

Ia dikenali sebagai layanan yang mempermudah pengguna Internet untuk menemukan lagu atau file video di Internet. 10 tahun dahulu, jika seseorang sukar menemui file muzik mp3 lagu kegemarannya di Google, dia akan mencari file tersebut di Limewire. Klik! Dengan mudah lagu itu ditemui dan siap dimuat turun.

Sayangnya, cara seperti itu dinilai ilegal oleh Industri pengeluar muzik RIAA (Recording Industry Association of America) kerana pemegang hak cipta tidak mendapatkan hak atas cipta karyanya. Sementara pengguna secara bebas dan percuma bertukar lagu di Limewire. Dengan demikian, Limewire dituntut US$150.000, sebagai hukumannya.

"Sebagai hasil dari situasi hukuman yang kami hadapi, kami tidak punya pilihan lain selain menutup operasi Limewire Store untuk selamanya," kata Limewire dalam pernyataan rasminya, yang dipetik dari Straits Times, Sabtu 4 Disember 2010.

"Tanggal 31 Disember 2010 bermakna tutupnya pintu virtual Limewire Store," tambahnya.

Tidak salah lagi, Limewire memang merupakan outlet terbesar di dunia, di mana para pengguna Internet boleh saling bertukar file muzik, filem, dan acara TV secara percuma via Internet. Didirikan oleh Mark Gorton sejak 2000, Limewire telah menjadi duri tajam bagi perusahaan rakaman dunia sampai akhirnya ditutup Disember 2010.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!