Saturday, December 4, 2010

Tiga rentung kereta rempuh treler di Rembau


REMBAU - Dua penumpang dan seorang pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi mati terbakar apabila kenderaan mereka dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Km 241.1 berhampiran plaza tol Pedas-Linggi menghala ke utara pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Yusof Samad berkata, kereta terbabit yang datang dari arah Melaka dikatakan melanggar belakang treler panjang itu yang sedang bergerak perlahan di lorong sebelah kiri ketika membawa jengkaut.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit terbakar dan mangsa-mangsa mati rentung. Kita mengeluarkan dua mayat yang sudah rentung di bahagian hadapan serta satu lagi di tempat duduk belakang kereta berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.09 pagi mengenai kemalangan itu sebelum mengejarkan sebuah jentera bersama sembilan anggota ke tempat kejadian.

Mayat mangsa yang belum dikenali dihantar ke Hospital Seremban.




.

Sekeluarga nyaris maut bas ekspres rempuh rumah


KOTA BHARU: Seramai 11 orang dalam satu keluarga, nyaris maut apabila sebuah bas ekspres merempuh bahagian hadapan kediaman mereka, di Kampung Wakaf Merah, Tendong, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan termasuk 26 penumpang bas berkenaan yang sedang dalam perjalanan daripada Pulau Pinang ke Kota Bharu.

Pemilik rumah terbabit, Zakaria Dollah, 66, berkata ketika kejadian beliau berada dalam bilik air rumah berkenaan dan dikejutkan oleh isterinya, Wan Meriam Wan Idris, 43, mengenai kemalangan itu.
Katanya, beliau terus keluar rumah apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan terkejut apabila mendapati bahagian hadapan rumahnya ranap serta keretanya rosak teruk.

"Walaupun rumah dan kereta rosak teruk, namun saya bersyukur isteri dan sembilan anak yang masih tidur dalam rumah terselamat dalam kejadian yang menakutkan itu. Ini adalah kejadian pertama menimpa kediaman yang diduduki sejak 10 tahun lalu walaupun terletak berhampiran dengan jalan utama," katanya.





.

Tanam kekasih dalam penjara


LIMA: Seorang banduan membunuh teman wanitanya dan menyembunyikan mayat mangsa dalam bilik kurungannya tanpa dikesan selama tiga bulan.
Warga Belanda, Jackson Conquet mengaku mencekik hingga mati Leslie Paredes, 22, apabila dia melawatnya di sebuah penjara di ibu negara Peru ini.

Dia membunuh Leslie apabila kekasihnya itu menyuarakan hasrat untuk menamatkan hubungan mereka.
Mayat Leslie kemudian disembunyikan di bawah bangku konkrit yang dibina Conquet di atas kubur mangsa.


Polis hanya menyedari kejadian itu apabila mereka menyiasat bau busuk dari bilik kurungan itu.

Conquet, 32, mengaku melakukan pembunuhan itu di Penjara Lurigancho di Lima, tempat lebih 8,000 banduan ditahan, sebahagian besarnya penjenayah berbahaya. Warder penjara sering mengawasi bilik kurungan bagi memastikan setiap pelawat meninggalkan penjara itu selepas mengunjungi banduan.

Bagaimanapun, tidak ada yang menyedari Leslie tidak meninggalkan penjara berkenaan selepas melawat Conquet pada Ogos lalu, kata Ketua Penjara Peru, Wilson Hernandez.

Beberapa jam selepas membuat pengakuan, polis menyerbu penjara itu di daerah San Juan de Lurigancho.

Penjara yang terletak diatas bukit

Ketika diwawancara sebuah rangkaian radio tempatan, Hernandez berkata, pasangan kekasih itu bergaduh di dalam bilik kurungan dan berakhir dengan Conquet mencekik wanita itu.

“Conquet mengaku membina bangku konkrit dalam bilik kurungannya dan dia menanam mayat Leslie di situ,” katanya.

Mayat wanita itu digali pegawai penjara dan dibawa ke sebuah rumah mayat.

Conquet ditahan di penjara berkenaan sejak Mei 2009 kerana kesalahan membabitkan dadah. Video yang dibekalkan polis menunjukkan beberapa pegawai bersenjata memeriksa seluruh kawasan penjara berkenaan, termasuk bilik air dan kemudian mempamerkan senjata yang mereka rampas.

Dadah dan senjata dikatakan begitu mudah dibawa masuk ke penjara berkenaan.

Ia dibina pada 1960-an untuk menempatkan 2,000 banduan tetapi kini jumlah penjenayah yang ditahan adalah empat kali ganda.




.

Perang dingin Rusia-Britain


Kegagalan memalukan England dalam perlumbaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 mencetuskan ‘Perang Dingin’ baru dengan Rusia kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Usaha England membida sebagai hos Piala Dunia 2018 diketuai tiga wira mereka iaitu Perdana Menteri Britain, David Cameron, pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan bintang bola sepak, David Beckham dengan bidaan berjumlah £15 juta (R73.80 juta).

Sebuah akhbar melaporkan, bidaan mereka gagal melepasi pusingan pertama sesi pengundian rahsia ahli jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sini bagi memilih hos Piala Dunia 2018 dan Piala Dunia 2022.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua peminat bola sepak England. Kami telah mencuba sedaya upaya kami tetapi gagal,” kata Putera William.

Berbeza dengan Putera William, kekalahan England kepada Rusia sukar diterima Perdana Menteri Britain sehinggakan beliau enggan menghubungi rakan sejawatannya, Vladimir Putin bagi mengucapkan tahniah.
Kelmarin, Presiden FIFA, Sepp Blatter mengisytiharkan di sini bahawa Rusia merupakan hos Piala Dunia 2018 diikuti dengan Qatar sebagai tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun 2022.

Rusia memperoleh sembilan undi daripada 22 ahli jawatankuasa FIFA manakala nasib England amat malang apabila ia cuma mendapat dua undi dalam sesi pengundian rahsia itu pada minggu ini.

Namun, isu itu tidak berakhir di situ apabila media Britain mengeruhkan keadaan dengan mendakwa Rusia adalah sebuah negara mafia yang bermain kotor bagi mengetepikan bidaan England sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.




.

Proses pengundian Piala Dunia didakwa diatur

PARA delegasi Rusia dan Qatar bersorak kegembiraan selepas kedua-dua negara itu diumumkan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 di Switzerland kelmarin.
LONDON - Proses pengundian mengenai hak penganjuran Piala Dunia dipercayai sudah diaturkan.
Ini kerana, Rusia yang dipilih untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dilaporkan telah mengetahui keputusan mengenai undian itu 24 jam sebelum ia diumumkan secara rasmi kelmarin.

Ketua Eksekutif Pembida Rusia, Alexey Sorokin dikatakan sangat yakin dengan peluang mereka sehingga memberitahu pasukan pembida England di Zurich pada Rabu lalu bahawa negaranya telah menerima undian yang mencukupi.

Menariknya, kenyataan yang dikeluarkan bekas diplomat Rusia di Washington itu terbukti sangat tepat.
England terkeluar pada pusingan pertama setelah mendapat dua undian, satu daripada wakil mereka sendiri manakala satu lagi kemungkinan dari Jepun.

Manakala Rusia pula diberi hak penganjuran setelah selesa dengan 13 undian pada pusingan kedua.
Situasi tersebut turut dilihat sebagai satu ejekan terhadap pembentangan rayuan oleh pasukan pembida England yang diketuai Putera William, Perdana Menteri David Cameron dan bintang mereka, David Beckham.

Sorokin pula menjelaskan, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin tidak akan hadir pada majlis itu kerana ia melibatkan unsur 'pertandingan yang tidak beretika.'

Kenyataan tersebut jelas sekali merujuk kepada penyiasatan media di England terhadap jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Wakil dari Sepanyol, Angel Maria Villar Llona pula cuba menjejaskan bidaan England dengan memberitahu wakil-wakil lain mengenai rasa marahnya terhadap serangan melibatkan integriti FIFA itu.

Beliau mengulangi lagi kemarahan itu ketika pembentangan rasmi pembidaan Sepanyol/Portugal dengan berkata: "Kamu jangan percaya lagi kata-kata pihak media.

Proses undian ini adalah bersih."

Begitupun, Rusia sebelum ini mendedahkan Sepanyol telah membuat satu pakatan dengan Qatar yang mana mereka dapat memenangi hak penganjuran Piala Dunia pada 2018 dan Qatar pula pada 2022.
Bagaimanapun, Qatar telah memenangi undian bagi 2022 manakala Sepanyol pula gagal bagi hak penganjuran 2018.




.

Terry kembali pimpin Chelsea


Pemain pertahanan Chelsea, John Terry meluahkan kekecewaan selepas skuad The Blues mengalami kemerosotan prestasi sepanjang ketiadaannya.

Begitupun, Terry berazam untuk memimpin semula kebangkitan pasukan itu dalam mencipta kemenangan selepas dia disahkan cergas daripada kecederaan untuk berdepan Everton malam ini.
Terry berehat selama beberapa bulan selepas mengalami kecederaan saraf pada bahagian pahanya.

Begitupun, pertahanan England itu memberi suntikan semangat baru kepada pengurus, Carlo Ancelotti dengan impian untuk menjadi kapten Chelsea selepas pulih daripada kecederaan.
Chelsea pula gagal mempertahankan kedudukan selesa dengan empat mata sebagai pendahulu Liga Perdana England dan kini hanya mengutip satu mata dalam tiga perlawanan.

"Kami kehilangan terlalu banyak mata sejak kebelakangan ini," kata Terry.
"Jika dilihat semula, dua atau tiga minggu lepas kami sangat selesa di atas liga dan juga memiliki kelebihan dalam perbezaan jaringan.
"Kini semua jurang tersebut telah pun berubah. Kami perlu kembali mencatat kemenangan bermula dari sekarang.

"Saya rasa keseluruhan di bahagian pertahanan, tengah dan serangan, kami tidak bermain dengan baik seperti yang sepatutnya.

"Ia adalah kerana kami menetapkan standard yang terlalu tinggi dan memulakan musim ini dengan sangat baik," katanya lagi.

Chelsea juga menerima khabar gembira apabila Michael Essien selesai menjalani penggantungan pada malam ini manakala Frank Lampard yang masih cedera pula hanya boleh diturunkan pada pertemuan penting dengan Manchester United minggu depan.

"Dengan keadaan sekarang, dua atau tiga pemain tonggak kami akan kembali selepas pulih dari kecederaan," kata Terry.

"Saya telah menjalani latihan sejak beberapa hari lalu dan Frank juga tidak lama lagi menyertai kami. Diharap Michael juga akan turut serta minggu depan."


P/S - Go go chelsea..Rampas balik takhta liga..yeah




.

Wartawan wanita lawan perompak


GOMBAK: Seorang wartawan wanita sebuah akhbar harian mengalami detik cemas lebih 15 minit apabila terpaksa bertarung dengan dua penjenayah ‘geng langgar dan rompak.
Kumpulan penjenayah terbabit sengaja melanggar belakang kereta wanita itu bagi memperdaya mangsa memberhentikan kereta sebelum merompak wartawan berkenaan yang keluar dari kenderaan bagi melihat kerosakan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 27, berkata, ketika kejadian dia memandu bersendirian dari Batang Kali ke Jalan Sungai Dua, Ulu Yam, di sini, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Menurutnya, dia bercuti panjang dan ingin pulang ke rumahnya dengan memandu kereta Honda City yang baru dibelinya pada Mei lalu.

“Namun, sebaik sampai ke satu kawasan cerun, saya terlihat sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak mengekori saya dengan laju. Bimbang berlaku pelanggaran menyebabkan saya memberikan lampu isyarat kecemasan bagi memberi laluan kenderaan terbabit memotong.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila bahagian belakang kereta saya dirempuh kereta terbabit menyebabkan saya terkejut dan membunyikan hon,” katanya.


Menurutnya, dia memberhentikan keretanya di bahu jalan tidak jauh dari kereta Toyota Vios terbabit yang dinaiki dua lelaki itu.

“Saya melihat kerosakan di bahagian bumper sebelum menuntut dua lelaki berusia 20-an dan 40-an terbabit bertanggungjawab dan membayar ganti rugi terhadap kesan kemek itu.
“Pada mulanya saya langsung tidak mengesyaki ia bermotifkan rompakan kerana menyangka ia kemalangan biasa. Berikutan itu, saya mengambil gambar nombor plet pendaftaran kenderaan Toyota terbabit untuk tujuan laporan polis selepas suspek seolah-olah tidak mahu memenuhi tuntutannya,” katanya.

Menurutnya, tanpa disedari seorang daripada lelaki terbabit menghampirinya dari belakang sebelum menutup mulutnya menggunakan tapak tangan.

“Saya cuba meronta bagi melepaskan diri sebelum bergelut dengan penjenayah terbabit. Dalam keadaan cemas itu, kaki dan muka saya luka selain dipukul penjenayah.

“Penjenayah terbabit mengikat tangan saya sebelum seorang daripada suspek berusia 20-an merampas kunci kereta saya selain mengambil beg komputer riba,” katanya. Menurutnya, penjenayah terbabit melarikan diri dengan membawa keretanya dan dia ditinggalkan di tepi jalan.

Difahamkan kawasan berlaku kejadian terbabit agak sunyi menyebabkan tiada saksi atau orang awam membantu mangsa ketika kejadian.

“Saya pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan rompakan berkenaan. Agak mengejutkan apabila polis mendakwa nombor plet kenderaan penjenayah palsu,” katanya.




.

Balu Shamrin Lahirkan Bayi Lelaki


Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang.

Semasa majlis pengebumian Shamrin pada 12 November lalu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, sempat memberitahu, dia akan menamakan anak ketiganya itu dengan nama Shamrin sempena nama arwah suaminya.

Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada 11 November lalu setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab
Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Allahhyarham meninggal dunia akibat sakit jantung.

Hasil perkahwinan dengan Jazriatul, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan.

Selain itu, Shamrin turut mempunyai seorang lagi anak bernama Siti Najwa,17, hasil perkahwinan pertamanya.


P/S - Entry terdahulu..[KLIK SINI]




.

Zaibo Tamat Zaman Bujang Pada Usia 54 Tahun


BATU PAHAT: Pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun apabila selamat bernikah dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, Jumaat.
Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menemui teman hidup pada usia sekarang. Inilah yang dikatakan jodoh,” ujar Zaibo yang mengenali isterinya selama 10 tahun lalu.
Siapa sangka, hubungan yang pada mulanya sekadar abang dan adik akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.

“Pada mulanya, saya menganggap dia sebagai adik saya dan begitu juga dia tetapi Tuhan mempunyai perancangan lain untuk kami. Kami mula rapat beberapa tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Ramadan lalu,” kata pelakon teater Caught In The Middle, Tun Mahathir, Penyu Menangis, TokPerak, Anak Tanjung, I remember ....The Rest House dan Demi Zaitun itu.


Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.

Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.
Bagaimanapun, pelakon popular itu enggan menghebahkan jumlah wang hantaran mahu pun dulang hantaran yang diberikan kepada isterinya.

“Saya boleh katakan, penyanyi Aishah menguruskan semua hantaran manakala selebriti Habsah Hassan dan Rubiah Suparman turut memberikan sumbangan lain. Biarlah hantaran yang diberikan kepada isteri saya menjadi rahsia,” ujar aktor kelahiran Perlis yang pernah berlakon lebih 15 buah filem termasuk Soalnya Siapa?, Putera, Soal Hati, Senario Asam Garam, Cuti-cuti Cinta, Magika, Lu Pikirlah Sendiri dan Pontianak Harum Sundal Malam 2.

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”

Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.
Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.

“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!