Friday, November 12, 2010

Tidak Sempat Beli Barangan Bayi

Balu Shamrin membantu anaknya menyiram air di pusara Shamrin di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ, Subang Jaya.

BERITA kematian penyanyi kumpulan Fotograf, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, mengejutkan ramai pihak yang mengenalinya.

Sebelum ini penyanyi yang terkenal menerusi lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an ini tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami penyakit serius.

Antara ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat Shamrin yang menghadiri upacara pengebumian.

Tiba-tiba sahaja, pada petang Khamis lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Shamrin meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mungkin, sudah tiba ajalnya dan Tuhan lebih menyayangi Allahyarham yang disifatkan oleh rakan-rakan artis sebagai seorang yang periang dan penyabar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor selepas solat Jumaat.

Ahli keluarga dan rakan Allahyarham ketika menunggu giliran untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah di Masjid Al-Falah USJ 9.

Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).
Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.

Antara ahli keluarga dan rakan artis yang menunggu di perkarangan masjid.

Antara lagu yang mempopularkan mereka ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, bersama tiga orang anak iaitu Akmal Danish,5, Akmal Shamim, 18 bulan dan Siti Najwa,17, iaitu anak daripada perkahwinan terdahulu.

Jazriatul Akma Abu Saman sekarang ini sarat mengandung sembilan bulan.

Jazriatul tabah dan tenang walaupun menghadapi kematian suaminya dalam keadaan sedang sarat sembilan bulan.

Shamrin bawa anak beli mainan

Siapa yang tidak sedih apabila kehilangan suami tersayang, namun riak wajah balunya, Jazriatul tampak tenang. Biarpun sedang sarat mengandung, wanita ini kelihatan tabah dan menerima kenyataan bahawa suaminya sudah tiada lagi.

Bagaimanapun dia tidak pasti bagaimana hendak menerangkan kepada anak keduanya, Shamim yang rapat dengan Allahyarham suaminya.
Malah, anak sulungnya juga seakan tidak menunjukkan apa-apa reaksi apabila memberitahu bahawa bapanya sudah tiada lagi.

“Allahyarham kelihatan seperti biasa sahaja sepanjang seminggu lalu. Namun, kelmarin sebelum kali terakhir kami anak-beranak berjumpa, dia nampak lain sangat.

“Saya berasa hairan kerana sebelum ini biasanya dia tidak membawa anak-anak membeli alat permainan tetapi sebelum kejadian itu, dia sempat membawa anak-anak keluar jalan-jalan.
“Dia juga tidak sempat membelikan barangan bayi yang akan saya lahirkan dan hanya meninggalkan duit untuk saya membeli sendiri kerana terlalu sibuk dengan kerjanya.

"Insya-Allah, saya dijangka akan bersalin pada awal Disember ini di Hospital Serdang, Selangor,” katanya selepas selesai upacara mandi dan solat jenazah Shamrin di Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Jumaat.

Noreda memberikan sokongan kepada Jazriatul.

Memandangkan Jazriatul dijangka akan melahirkan bayi lelaki, dia akan menamakan anak itu sempena nama Shamrin.

Bekas Isteri Pertama Beri Sokongan Kepada Jazriatul

Anak pertama Allahyarham dengan bekas isteri pertamanya, Siti Najwa.

Dalam pada itu, bekas isteri pertama Shamrin, Noreda Mohd Ramli, 45, turut hadir melawat jenazah dan memberikan sokongan kepada Jazriatul.
Kelihatan riak wajah Noreda turut menyimpan perasaan sedih dan bersimpati dengan nasib balu bekas suaminya itu.

Noreda turut ditemani oleh anaknya, Siti Najwa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tahu anak saya sangat sedih setelah menerima berita kematian ayahnya tetapi saya cuba memberi kekuatan kerana dia bakal menempuhi SPM nanti.

“Kami sangat terkejut kerana dia masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Minggu lepas, Allahyarham ada menghubungi Najwa untuk mengucapkan semoga berjaya dalam SPM dan berjanji untuk membawa bercuti bersama-sama selepas SPM," katanya.

Sementara rakan artis yang turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah penyanyi Nash (Lefthanded), Lah Ahmad, Nasser Wahab, Aris Ariwatan, Zura (The Girls), Hairi (Kool), Ali (Mpire), Zamani (Slam), pelakon Ayu Raudhah, Accapan, Abon dan bekas pemain bass Fotograf, Amran Abu Sidek.


Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat.




.

2 pelajar UiTM Arau maut nahas di Alor Setar



ALOR SETAR: Dua pelajar semester pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar dua batang pokok di KM47.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Alor Setar Utara, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Produa Viva bersama dua lagi rakan mereka.

"Mereka yang maut di tempat kejadian ialah Syazwan Azizan, 19, dan Azrul Hadi Azizan, 18, manakala Mohd Aiman Ismail, 18, cedera parah dan pemandu kereta, Faris Abdul Ghani, 18, mengalami cedera ringan.
"Pemandu kereta tersebut memaklumkan bahawa dia ternampak sesuatu melintas di jalan menyebabkan dia menekan brek secara mengejut menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar dua pokok.

"Keempat-empat mangsa tercampak keluar dari kereta dan ketika kejadian hujan turun renyai-renyai," katanya.

Sepupu Syazwan, Nurul Aimah Norizan, 27, berkata beliau diberitahu bahawa Syazwan dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya selepas menghantar barang-barang Azrul di rumah kakaknya.

"Saya tidak pasti pukul berapa mereka bertolak dari Pulau Pinang, tetapi saya diberitahu bahawa mereka singgah di hentian Gurun untuk menunaikan solat Subuh," katanya yang ditemui di unit forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.





Mizz Nina & Noh Sah Bertunang


PETALING JAYA: Pasangan yang dikatakan sedang hangat bercinta, vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh dan Mizz Nina atau Shazrina Azman sah bertunang pada 6 November lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, majlis pertunangan tersebut diadakan secara ringkas dengan dihadiri keluarga terdekat kedua belah pihak sahaja.
"Alhamdulillah, majlis itu berjalan dengan lancar di rumah keluarga Mizz Nina di Ampang Jaya, Selangor.
"Tidak sampai 150 orang tetamu yang hadir kerana hanya keluarga rapat sahaja yang dijemput.

"Setakat ini saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perbincangan yang dibuat antara kedua-dua belah pihak.
"Cuma mereka akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan," kata sumber itu.

Tambahnya, Mizz Nina dan Noh akan mengumumkan pertunangan mereka pada sebuah sidang media khas yang akan berlangsung pada 16 November ini di restoran Sri Melayu.
Mereka akan menjelaskan segala persoalan yang berbangkit berkenaan dengan hubungan mereka itu.
Mizz Nina dan Noh dikatakan mula bercinta ketika mereka bekerjasama dalam projek album penyanyi wanita itu, What Are You Waiting For.

Dalam album tersebut mereka turut berduet menerusi lagu Kurnia yang kini sedang hangat dimainkan di stesen-stesen radio.





‘Vegrow Capsule’, ubat batuk ‘NCHK Pil Zhi Ke’ kandung racun berjadual

Vegrow Capsule

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat mengelak dari membeli dan mengguna dua produk tradisional iaitu ”Vegrow Capsule” dan ”NCHK Pil Zhi Ke” yang telah dibatalkan pendaftarannya setelah dikesan mengandungi racun berjadual.
 Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican berkata, pendaftaran produk ”Vegrow Capsule” yang digunakan secara tradisional untuk menguatkan badan dan untuk kesihatan, dikesan mengandungi racun thiodimethylsikdenafil (analog sildenafil).
"Sildenafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Sildenafil atau analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. Pemegang pendaftaran bagi produk ”Vegrow Capsule” ialah sebuah syarikat di Selangor dan produk dikilangkan juga di Selangor.
Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serious seperti kesan kardiovaskular (contohnya kematian cardiac serta merta, kegagalan jantung, hypotensi postural, berdebar, susah bernafas, pendarahan cerebrovaskular), katanya.



 P/S - Harap maklum..




.
.

Jom Skodeng awek seksi mandi sungai.... Nak?

Ah ha..Tajuk entry memang hebat..
Yah sehebat isinya..ngee..
Tapi, seperti biasalah..
Takkan itu pun nak ingatkan, ye tak?


Dah, jangan pura-pura tak tahu umur lak..
Pi check IC sana..
ekeke..

Digantung 189 tahun


LONDON: Seorang wanita yang menyelidiki salasilah keturunannya terkejut apabila mendapati dia mempunyai pertalian dengan seorang pembunuh yang masih tergantung.

Mary Halliwell begitu marah apabila mendapati rangka anggota keluarganya itu masih digantung dalam kabinet untuk pameran di Universiti Bristol sejak 189 tahun lalu.


Selepas berusaha, dia akhirnya memperoleh hak untuk menjadi pemilik sah rangka itu dan berikrar untuk mengebumikan rangka remaja yang dihukum gantung pada 1821 kerana membunuh kekasihnya, dengan sempurna.

Mary, 67, berkata: “Baru saya rasa tenang.”

John Horwood

Remaja itu, John Horwood adalah anak lelaki kepada abang keluarga moyang Mary. 

Horwood dihukum gantung selepas melontar kekasihnya Eliza Balsom dengan batu apabila mendapat tahu kekasihnya itu mempunyai teman lelaki baru.

Eliza mati akibat kecederaan di kepala selepas dirawat pakar bedah.

Horwood yang bekerja sebagai pelombong digantung di New Bristol Gaol tiga hari selepas menyambut hari lahirnya yang ke 18.

Dr Richard Smith, pakar yang merawat Eliza enggan menyerahkan mayat Horwood kepada keluarganya.

Dia sebaliknya menyiat daging Horwood dari rangkanya secara terbuka sambil melakukan pembedahan pada mayatnya di depan 80 pelatih di bilik mayat Hospital Diraja Bristol.

Doktor itu seterusnya menyimpan rangka Horwood di rumahnya dan turut menggunakan kulit Horwood untuk menjilid buku mengenai kes remaja itu selepas mengawetnya.

Mary dari Leigh, Lancester yang mengesan mayat itu di Universiti Bristol berkata: “Saya kesal apabila mendapat tahu seorang manusia boleh melakukan perbuatan tidak bertamadun terhadap manusia lain.”





Rakam gambar Bumi dari angkasa?


LONDON - Sekumpulan peminat sains angkasa lepas di Britain menemui cara murah untuk merakamkan gambar pemandangan Bumi seperti rakaman satelit dengan hanya menggunakan kapal terbang kertas, lapor sebuah akhbar semalam.


Pesawat tanpa enjin itu meluncur pada ketinggian 27.4 kilometer di udara yang merupakan altitud tertinggi bagi sebuah kapal terbang kertas.


Pesawat kecil yang bersayap sepanjang satu meter dan dicipta oleh Steve Daniels, John Oates dan Lester Haines dengan kos cuma £8,000 (RM39,885) sekali gus jauh lebih murah berbanding harga sebuah roket.


Ia yang dilengkapi kamera video kecil dan sistem Perkhidmatan Paket Radio Umum (GPRS), dilancarkan ke udara dengan menggunakan sebuah belon berisi gas helium di kawasan pedalaman Sepanyol, kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Madrid baru-baru ini.


Belon itu meletup pada altitud melebihi 27 kilometer menyebabkan kapal terbang kertas itu meluncur di udara sebelum mendarat kira-kira 160 kilometer dari lokasi pelancaran selepas dikesan dengan menggunakan perkhidmatan GPRS.






Wanita dakwa jumpa makhluk asing


Seorang wanita berumur 40 tahun, Bridget Grant mendakwa telah menemui objek terbang tidak dikenali (UF0) sebanyak 17 kali dan melihat makhluk asing, lapor sebuah akhbar semalam.

"Kenapa saya (menjadi sasaran UFO). Saya tidak mengetahuinya tetapi saya perlukan jawapan," katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya tetapi berasa gembira kerana melihat UFO dan makhluk asing.

Bridget berkata, dia menemui makhluk asing itu buat pertama kali semasa berumur tujuh tahun semasa cuti sekolah di sebuah kampung di sini.

Menurutnya, dia kemudian menemui satu makhluk yang dianggapnya kanak-kanak berketurunan Cina yang ketinggiannya sama dengannya.
"Dia (makhluk itu) menunjukkan wang kertas, sehelai mata wang Hong Kong dan menunjukkan rumahnya," tambah wanita itu.

Bridget berkata, dia kemudian mengatur pertemuan dengan makhluk itu pada keesokan harinya tetapi anehnya, rumah tersebut didapati telah hilang.

Selepas 33 tahun, dia memikirkan kemungkinan apa yang dilihatnya itu ialah makhluk asing.
Bridget turut menyatakan, dia pernah melihat piring terbang dari dalam keretanya pada Februari 1993 semasa dia bekerja sebagai jurumekap pada 1993 di Los Angeles.

Semasa dalam perjalanan ke Rodeo Drive, Los Angeles dia melihat piring terbang dekat barisan pokok-pokok.
Namun, dia melihat beberapa buah helikopter tentera cuba memintasnya.

Bridget kini sedang menulis buku mengenai pengalamannya yang ganjil itu.





Paris paling bercahaya dari angkasa



STESEN ANGKASA LEPAS ANTARABANGSA (ISS) - Seorang angkasawan ISS, Doug Wheelock merakamkan gambar yang menunjukkan London dan Paris yang merupakan lokasi paling bergemerlapan dengan cahaya lampu pada waktu malam.


Gambar-gambar itu yang dirakamkan 460 kilometer dari Bumi di atas ISS , turut menunjukkan beberapa bandar raya di Eropah dan Amerika Syarikat yang disinari lampu.


Keadaan itu jauh berbeza dengan kawasan mundur termasuk di utara Afrika dan sepanjang Sungai Nil yang diselubungi kegelapan.





Masjid pertama Kanada di Artik dibuka


OTTAWA: Masjid pertama Kanada di Artik dibuka semalam di Inuvik untuk memulakan khidmat sebagai rumah ibadat di kawasan komuniti Islam di sana.

‘Masjid pasang siap’ itu tiba di bandar utara kecil bulan lalu melalui perjalanan 4,000 kilometer (km) melalui darat dan air.

 Beberapa wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai penduduk Islam tempatan untuk majlis pembukaannya.
Bilangan penduduk Islam di bandar dengan 4,000 penduduk di Wilayah Barat Laut Kanada itu meningkat sejak beberapa tahun kepada kira-kira 80 orang. Mereka sebelum ini beribadat di dalam sebuah karavan berukuran tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah.


Masjid baru yang digelar sebagai masjid kecil di Tundra oleh media Kanada itu dihiasi dengan permaidani merah di ruang utama, mempunyai sebuah dapur dan perpustakaan, kata ahli jawatankuasa masjid, Amer Suliman.

“Langit kelabu tetapi lampu dari masjid dan kubah menjadikan ia terang, ia tidaklah terlalu sejuk di luar sana dan tetamu berkumpul di sini,” katanya yang dihubungi.

Bangunan pasang siap itu dibawa dari Manitoba kerana harga bagi buruh dan bahan adalah lebih rendah berbanding di bahagian utara Kanada.


P/S - Alhamdulillah..





Asap misteri dilihat di New York





QUEENS, New York - Selepas satu asap misteri yang dikatakan sebagai satu pelancaran peluru berpandu di pantai Los Angeles, California pada petang Isnin lalu, asap serupa turut dilihat di ruang udara Far Rockaway, Queens Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.


Gambar gumpalan asap yang melonjak ke langit itu dirakamkan oleh seorang pejalan kaki kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Ia kelihatan seperti asap yang keluar dari peluru berpandu yang baru dilancarkan.

Sehingga kini, puncanya masih belum diketahui.
"Ia kelihatan seperti asap sebuah roket," kata jurugambar itu yang menyatakan bahawa asap itu muncul di selatan Rockaway yang mungkin melangkaui Brooklyn atau New Jersey.

Penduduk tempatan memberitahu asap itu tidak kelihatan seperti 'sisa' yang ditinggalkan oleh pesawat yang terbang dari Lapangan Terbang Kennedy yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian.

Pada Isnin lalu, gambar asap yang sama dirakamkan oleh seorang jurugambar sebuah stesen televisyen semasa dia menaiki sebuah helikopter sekitar pukul 5 petang.
Ketika itu, Jabatan Pertahanan AS menafikan bahawa ia melancarkan sebarang ujian peluru berpandu dan tidak mengetahui mengenai fenomena tersebut.

Namun, jabatan itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia berpuas hati bahawa sumber asap itu adalah dari sebuah pesawat selepas pihaknya memeriksa rakaman kepulan asap tersebut berdasarkan rekod radar Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan sistem pengesanan pelancaran peluru berpandu miliknya.





Pelajar merusuh kadar yuran naik


PM Britain kecam tindakan lemah polis, Ibu Pejabat Konservatif jadi sasaran

LONDON: Perdana menteri Britain, David Cameron semalam mengecam tindakan ribuan pelajar yang menceroboh Ibu Pejabat Parti Konservatif kelmarin sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan untuk menaikkan yuran pengajian.


Cameron juga mengecam tindak balas polis yang ‘tidak memadai’ dalam menangani rusuhan itu di mana hanya sekumpulan kecil pasukan keselamatan dikerah untuk melindungi bangunan parti yang dipimpin beliau.


Seramai 14 orang cedera dan 35 lain ditahan selepas ribuan penunjuk perasaan bertindak merusuh bangunan pejabat 1960-an itu yang terletak berhampiran bangunan Parlimen.

Penunjuk perasaan bertindak memecahkan kaca dan merosakkan perabot di lobi pejabat parti Konservatif yang memerintah dalam kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat itu.



Polis mengakui tidak bersedia menghadapi rusuhan itu kerana pihaknya hanya menjangka tunjuk perasaan secara aman.

Insiden kelmarin adalah rusuhan ganas pertama dihadapi kerajaan Konservatif-Liberal Demokrat sejak mengambil alih kuasa pada Mei lalu.


Kerajaan baru-baru ini mencadangkan kenaikan tiga kali ganda yuran pengajian bagi sebagai sebahagian usahanya mengurangkan perbelanjaan.


Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS) yang berkata sehingga 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu, turut mengecam tindakan segelintir daripada mereka yang merusuh pejabat parti Konservatif itu.


Bercakap di Seoul, Korea Selatan ketika menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 (G-20), Cameron berkata, mereka yang bertanggung jawab terhadap rusuhan terbabit perlu dikenakan tindakan.


“Sudah semestinya mereka berhak mengadakan tunjuk perasaan secara aman tetapi saya melihat ada di kalangan mereka yang menggunakan keganasan dan merosakkan harta. Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).


Dalam rusuhan terbabit, beberapa penunjuk perasaan dilihat menaiki bumbung bangunan enam tingkat yang menghadap sungai itu dan membaling pemadam api ke arah polis di bawah ketika beratus pelajar lain bersesak memasuki pekarangan bangunan terbabit sambil membakar unggun api sepanduk.



Seorang pegawai polis wanita dilihat dibawa keluar dengan darah memenuhi mukanya.

Selepas beberapa jam polis rusuhan akhirnya berjaya mengawal semula bangunan dan memaksa pelajar berundur. Selepas penunjuk perasaan itu diusir, lobi bangunan terbabit dilihat dipenuhi kaca yang pecah, serpihan dan kayu sepanduk dengan meja berselerak, saluran udara siling diruntuhkan dan contengan lukisan menghina disembur pada dinding marmar.





ViVA Elite edisi Eksklusif dilancar



Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) semalam melancarkan varian terbaru ViVA Elite iaitu ViVA Elite Edisi Eksklusif (ViVA EEE) dengan rekaan dalaman dan luaran yang menampilkan ciri-ciri baru yang cukup eksklusif.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, model terbaru dengan kapasiti enjin 1000 cc itu adalah pelengkap kepada rangkaian ViVA yang telah dikeluarkan oleh syarikat tersebut pada tahun 2007.


Beliau berkata, ViVA EEE mempunyai rekaan bergaya dengan enam perubahan rekaan dalaman dan luaran serta warna baru yang menarik.

“Kumpulan sasaran kami adalah pelanggan wanita dan lelaki sama ada yang tinggal di bandar mahupun di pinggir bandar. Mereka memiliki pendapatan di antara RM30,000 sehingga RM35,000 setahun,” katanya.





Update : Rebah ketika bermain bola

ZIARAH...sanak-saudara menziarahi jenazah Allahyarham Shamrin di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, semalam.

Penyanyi kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada jam 6.30, petang semalam.

Shamrin yang popular menerusi lagu Di Alam Fana Cinta dan Ke Pintu Kasihmu dikatakan tidak langsung menunjukkan sebarang tanda atau sakit sebelum rebah secara tiba-tiba di tengah padang ketika perlawanan persahabatan berlangsung di antara teman-teman artis.

Menurut rakannya, Shaful Azry Mohd Ariffin, 38, atau lebih dikenali sebagai Riot daripada kumpulan Kool yang berada di tempat kejadian, semuanya berlaku terlalu pantas hingga sukar untuk diingatkan semula.

“Sekitar jam 5.45 petang Shamrin ada mengangkat tangannya seolah-olah menunjukkan tanda dia kepenatan dan meminta pemain lain menggantikannya. Kemudian, dia tunduk seperti hendak membetulkan kasut dan ingin duduk. Namun, tiba-tiba rebah dan terbujur di tengah padang. Saya dan teman-teman yang sedang bermain terus meluru kearahnya.

JASRIZATUL AKHMAR...isteri Shamrin

“Kami lihat dia menggigil dan kemudian tidak sedarkan diri, namun jantungnya masih berdegup. Kami buat pelbagai cara yang termampu untuk menyelamatkannya kerana bimbang mungkin serangan jantung. Namun, semuanya tidak berhasil dan terus mengangkat Shamrin untuk dibawa ke hospital di Kampung Baru.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, wajah dan tubuhnya sudah kebiru-biruan dan ketika itu denyutan jantungnya sudah berhenti,” katanya.

Jenazah Shamrin kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Selain menyifatkan kejadian yang menimpa sahabatnya itu bagai sukar dipercayai, Riot langsung tidak menyangka pertemuan petang itu yang terakhir antara mereka.

“Siapa sangka, dalam sekelip mata saja saya kehilangan seorang sahabat. Bukan saja kami berdua sering membuat persembahan bersama, malah kami berkongsi minat sama iaitu bermain bola sepak seperti kami lakukan hari ini,” katanya.

Shamrin meninggalkan balu, Jasrizatul Akhmar Abu Saman, 29, yang sarat mengandung anak ketiga serta dua anak iaitu, Akmal Danish, 5, dan Akmal Shamim, 1. Dia juga mempunyai anak perempuan Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan pertama dengan Noreda Mohd Razali.

Jenazah Shamrin dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Selangor, sebelum solat Jumaat hari ini.

Sebelum itu, Shamrin sempat membuat persembahan di Balai Seni Lukis Negara sempena Pelancaran Syiling P Ramlee dengan menyampaikan sebuah lagu seniman agung itu berjudul Bila Larut Malam.



 P/S - Susulan berita terkini kelmarin [KLIK SINI]




Kereta dirempuh treler


Bekas jaguh lumba basikal negara, Dawod@Daud Ibrahim, terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 232.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Dawod, 63, yang juga bekas jurulatih basikal kebangsaan mati di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa bahagian badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor, dilanggar dari belakang treler.

Anak ketiga mangsa, Mohd Firdaus, 27, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka berjumpa tengah hari kelmarin sebelum bapanya ke Kuala Lumpur kerana urusan perniagaan.

“Pada pertemuan Aidilfitri lalu, ayah berpesan supaya menjaga ibu tiri serta adik-beradik lain dengan baik dan tidak mahu ada perbalahan apabila dia tiada nanti.

“Saya menerima berita kejadian yang menimpa ayah jam 3 pagi selepas dimaklumkan polis Muar,” katanya ditemui di Rumah Mayat Hospital Tampin, semalam.

Turut melawat jenazah mangsa pelumba basikal serta sahabat handai termasuk jurulatih lumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rani Jurah, 22, dan 13 anak serta tiga cucu.

Sementara itu Joo Ngan berkata, sepanjang mengenali Dawod sejak 40 tahun lalu, arwah seorang disegani serta disenangi termasuk di kalangan anak didik dan pemergiannya kehilangan kepada sukan lumba basikal negara.

Allahyarham membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600 meter di Sukan Asia pada 1970.

Setahun kemudian, Dawod menguasai acara lumba basikal apabila meraih lima pingat emas Sukan SEAP di Kuala Lumpur serta pernah mewakili negara ke Sukan Komanwel Ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu seorang diri dan dalam perjalanan menghala ke selatan, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler yang bergerak dalam arah sama.





Sebak ceritakan keadaan mayat mangsa

MAZLI bersama dokumen siasatan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.
Badan di luar kereta, muka tersembam atas kerusi pemandu

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis sebak di Mahkamah Sesyen semalam, apabila diminta menceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid Hamzah, yang tertiarap di kerusi pemandu kereta Proton Iswara dipandunya, selepas maut akibat ditembak di Seksyen 11, di sini, April lalu.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Pegawai Penyiasat Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor, Cif Inspektor Mazli Jusof terdiam seketika sebelum mengusap mukanya menahan air mata.
Mazli kemudian meminta kebenaran Hakim Latifah Mohd Tahar untuk menangguhkan prosiding itu selama lima minit bagi menenangkan dirinya. Sebaik prosiding ditangguhkan, beliau seterusnya dilihat menuju ke tandas.

Terdahulu, Mazli memberitahu mahkamah mayat Aminulrasyid berada dalam keadaan tertiarap, badannya berada di luar kereta di bahagian pemandu, manakala mukanya tersembam di atas tempat duduk pemandu.

“Saya berpendapat kedudukan mayat sudah dialihkan daripada kedudukan asalnya dan ketika itu mayat berada dalam kedudukan yang amat menyedihkan,” katanya dalam nada sebak.

Saksi ke-25 itu berkata, terdapat kesan darah keluar di bahagian hidung pada wajah mangsa.
Mazli berkata, beliau turut dimaklumkan Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Fauzi Mohamed Zin, mayat Aminulrasyid sebelum itu sudah dialihkan anggota polis kereta peronda dan kemudian diperiksa oleh pihak ambulans.

“Saya kemudian memeriksa mayat dan mengalihkan dari kedudukan itu dengan membaringkan di atas tanah berumput. Disebabkan siasatan saya mungkin mengambil masa yang lama, jadi saya tidak mahu kedudukan mayat terus begitu sehingga siasatan saya selesai.

“Ketika itu, saya dapati berdasarkan fizikal dan rupa mayat itu, beliau seorang lelaki Melayu berumur belasan tahun,” katanya ketika memberi keterangan perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, pada jam 1.10 pagi, pada 26 April lalu.

Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini dan didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Dusuki dan Idham Abd Ghani melakukan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Salim Bashir dan M Athimulan. Perbicaraan bersambung 22 November ini.





48,327 calon UPSR dapat semua A


Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.


''Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.
Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.
''Pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun menandakan pencapaian mereka semakin baik," katanya.


Abd. Ghafar berkata, bilangan calon istimewa pada tahun ini bertambah sebanyak 184 orang dan pencapaian baik mereka meningkat sebanyak 1.97 peratus manakala GPN bagi pencapaian keseluruhan meningkat sebanyak 0.02 peratus.

Menurut Abd. Ghafar, bagi prestasi mengikut pelajaran pula diukur mengikut Gred Purata Mata pelajaran (GPMP) dan analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dibuat secara berasingan memandangkan bilangan waktu pembelajaran berbeza dan kertas soalan disediakan tidak setara.


Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun bagi Bahasa Melayu Penulisan bagi Gred A menurun sebanyak 8.9 peratus.

''Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK secara keseluruhannya meningkat dengan mencatatkan nilai GPMP sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.


''Di SJK pula, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bagi Gred A menurun masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.4 peratus, bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris meningkat 2.69 peratus berbanding 2.8 peratus tahun lalu.

''Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, peratusan calon mendapat Gred A meningkat iaitu masing-masing 1.9 peratus dan 1.7 peratus daripada tahun lalu," katanya.


Dalam pada itu, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud diduduki semua pelajar Tahun Enam sebagai memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental sebelum memasuki sekolah menengah.
Katanya, keputusan ujian itu yang dilaksanakan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

''Daripada keputusan ujian ini, kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional serta seni menunjukkan penurunan ketara pada tahun ini.


''Bagaimanapun, kecenderungan ini mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ujian tersebut telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi, kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan dan harus digunakan di peringkat nasional untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.





 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!